Friday, 27 March 2015

Cinta Pertama Abang (Cerpan)

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Sebelum baca cerpan ni, baca yang ini dulu > Cinta Yang Tak Ke Mana (cerpen) sebab ini adalah sambungan cerpen tu. Tapi kalau nak terus baca cerpen ni pun boleh cuma nanti blur la tengah jalan.

Setelah sekian lama melarikan diri dari dunia cerpen, budak montel ini telah membuat comeback (bunyi macam retis je comeback bagai). Ada cerpen yang kalau diikutkan tahun sudah genap setahun diperam dalam words. Tapi kalau ikut bulan adalah dalam lima atau enam bulan.

Sebenarnya takut nak masuk dalam blog. Fikir empat ratus namploh kali kut! Mana idoknya, tiap-tiap hari perasan kengkonon budak sekolah Fitri akan baca segala merepek kerepek Fitri. Menyesal suruh Kema copy&paste aje cerpen dulu untuk masuk dalam majalah sekolah. Dia pergi letak sekali dengan link blog. 

Der, kalau budak sekelas baca boleh tahan lagi, buatnya cikgu yang baca, tak ke rasa macam nak mumiakan diri sendiri lepas tu nyorok bawah selimut empat ratus namploh hari. Sungguh melecakkan ketiak daku betul si Kema ni. 

Lepas ni memang Fitri dah tak nak bagi dah cerpen dalam blog untuk diletak dalam majalah sekolah. Nanti bukan aje link blog, dengan akaun fb pun dia bagi sekali. Oreo ciskek betul budak tembam tu!

Anyway, kalau dah penulisnya asyik duduk dalam kotak, memang macam inilah jadinya! Again, cerpen Fitri sangat-sangat sukar untuk lari dari tema klise. Why cliche? Sebab dah klise nak buat macam mana? (tumbuk muka sendiri)

AMARAN KERAS Cerpen ini panjang. Sediakan popcorn dan bantal di tepi anda siap-siap. Jika sanggup, bacalah cerpen ini sehingga ke penghujungnya. Tengok mukadimah dia yang panjang lebar pun korang dah boleh agak yang cerpennya pun mesti panjang. Sebab tu namanya cerpan. Cer = cerita. Pan = panjang


Surat khabar yang sudah habis aku telaah, aku tutup dan letakkan ke tepi. Rambut yang terjuntai di dahi aku tolak ke belakang telinga. Aku melihat ke arah Afti yang khusyuk membaca novel.

Afti atau nama sebenarnya Waftiha Laili binti Hazfar. Dia ialah rakan sekuliah aku. Bukan sahaja rakan sekuliah tapi juga roommate aku. Kebetulan cuti semester kali ini, kedua-dua orang tuanya mengerjakan umrah. Jadi, dia mengikut aku pulang ke rumah untuk menghabiskan masa cuti semesternya.

Bukannya dia tidak punya saudara-mara, cuma katanya dia tidak selesa dengan mereka. Lebih mudah, hubungan antara Afti dengan sepupunya agak dingin. Jadi, daripada dia menghabiskan cutinya dalam keadaan tidak selesa, ada baiknya dia mengikut aku.

“Amboi, khusyuknya kau baca novel! Tak toleh kiri kanan dah.”

Kata-kata aku sekadar dibalasnya acuh tak acuh. Dia sekadar tersenyum senget sedikit dan kembali serius. Asyik benar dia membaca novel Asrama keluaran Fixi tersebut. Novel yang pernah menghantui aku waktu pertama kali aku bacanya dulu. Serius, novel tu meremangkan bulu roma aku!

Aku sekadar mencebik dan menjongketkan bahu. Getah rambut di pergelangan tangan aku guna untuk mengikat rambut. Sempat aku mencapai tudung sebelum keluar dari bilik. Aku perlu memakai tudung sementelah abang ipar aku ada di sini.

Kakak aku yang mengandung tiga bulan datang ke sini bersama-sama suaminya. Katanya teringin nak makan masakan ibu. Tak cukup dengan itu, dari pagi tadi aku dengar kakak asyik muntah. Aduh, kasihan pula pada kakak aku!

“Betul ke ni, kak? Ya ALLAH, dah lama rasanya adik kamu yang seorang tu tak balik. Itulah, kerja tak ingat dunia. Bos dia pun satu. Tak habis-habis bagi kerja dekat abang.”

Semasa aku melangkah menuju ke ruang tamu, aku terdengar suara ibu berbual. Dengan siapa lagi kalau bukan ibu berbual dengan kakak dan suaminya, abang Ruzmin. Kemudian, terdengar pula suara kakak dan abang Ruzmin tertawa.

“Ibu ni, abang tu kerja bawah orang. Kalau syarikat tu dia punya mungkin dia boleh cuti ikut suka hati dia aje,” ujar kakak sambil tersenyum.

“Amboi, rancaknya bercerita! Ada apa-apa berita sensasi yang adik tertinggal ke?”

“Ha’ah, memang sensasi habis.” Kakak menjawab bagi pihak mereka bertiga.

Aku terus melabuhkan duduk di atas sofa di sebelah ibu. Lengan ibu aku peluk manja. Aku memang manja. Manja anak bongsu.

“Apa yang sensasinya tu?”

Aku lihat kakak berbalas senyuman dengan ibu. Saspens betullah kakak dengan ibu ni.

“Abang adik yang sewel tu balik malam ni. Katanya dia dapat cuti sampai minggu depan. Dia nak rehat lepas penat uruskan projek dekat Sabah.”

Kata-kata yang terbit di bibir akak membuatkan aku dihinggap perasaan teruja. Akhirnya... setelah hampir setahun tak berjumpa. Kali terakhir berjumpa pun raya tahun lepas. Itupun, abang hanya mendapat cuti selama tiga hari. Terpaksalah kerana waktu itu baru sahaja ditukarkan ke tempat baru.

“Haa, abang balik malam ni? Serius?” soal aku dalam nada teruja. Teruja yang teramat sehingga tak mampu untuk aku sembunyikan lagi.

Apabila melihat kakak mengangguk sambil tersenyum membuatkan aku berasa ingin terbang. Akhirnya, rindu terhadap abang yang aku sayangi selama ini akan terlerai tidak lama lagi.

“Gembiralah dia ya...” kata ibu sambil memeluk bahu aku.

Aku tersengih. “Mestilah, ibu. Adik rindu sangat-sangat dekat abang. Dah lama tak wrestling dengan abang.”

Wrestling pula yang dia ingat. Dah masuk universiti pun nak cari gaduh lagi dengan abang kamu tu.”

Aku sekadar membalas kata-kata ibu dengan sengihan yang kian melebar. Sumpah, perasaan teruja kian mengembang di seluruh pelosok hati aku tika ini.

“Eh, kita asyik berbual ni, mana Afti?” soal kakak.

“Ada aje dalam bilik tu, kak. Khusyuk sangat dia baca novel yang abang Ruzmin cadangkan tu.”

Novel Asrama tu sebenarnya dicadangkan oleh abang Ruzmin. Kalau bukan kerana abang Ruzmin, aku juga mungkin takkan sentuh novel tu. Aku bukanlah peminat Fixi tapi, bolehlah...

“Dia dah jatuh cinta pula ke dengan novel tu?” soal abang Ruzmin.

Abang Ruzmin aku lihat menyandarkan badannya ke sofa. Tangannya pula melingkar di bahu kakak. Gembira aku melihat kakak bahagia di samping suaminya yang tercinta.

“Agaknyalah. Dari tadi adik tengok dia tak berenggang langsung dengan novel tu. Fuh, kuat semangat dia tu!”

Ha ha ha... habis tu, adik tak ada semangatlah baca novel tu?” Sempat juga abang Ruzmin mentertawakan aku.

“Semangat tu ada tapi lepas tu mulalah tidur pun habis berselubung satu badan dengan selimut.”

Aku ingat lagi waktu pertama kali aku baca novel Asrama tu. Malam tu aku tidur tutup satu badan dengan selimut. Yalah, macam-macam yang aku bayang. Ada ‘benda’ duduk atas badan akulah. Ada ‘benda’ keluar dari bawah katil akulah. Memang tak senang baringlah aku malam tu. Rasa nak lari tidur satu katil dengan Afti. Waktu tu aku di hostel.

Dahlah tajuknya pun Asrama. Memang tak kena sungguh waktu aku baca novel tu.

“Adik tu suka sangat bayangkan ‘benda’ tu. Itulah sebabnya kakak tak nak abang Ruzmin bagi novel tu dekat adik. Dah adik nak juga.”

Aku hanya tersengih mendengar kata-kata kakak. Kakak memang tahu aku penakut dengan ‘benda’ tu. Errr... minta dijauhkan terserempak dengan makhluk tu. Mahu aku terkencing dalam seluar.

“Arrgghh...”

Tiba-tiba terdengar Afti menjerit dari dalam bilik aku. Aku yang terkejut pantas bangun dan meleraikan pelukan di lengan ibu. Aku menoleh melihat ke arah pintu bilik aku.

“Haa, dah kenapa dengan kawan kamu tu adik? Pergi tengok. Kut histeria ke,” kata ibu. Aku hanya mengangguk dan terus menuju ke arah bilik aku. Ni mesti takut sangat baca novel tu.

Masuk aje dalam bilik, aku melihat Afti duduk sambil mengurut dadanya di atas katil aku. Matanya terpejam rapat. Aku merapatinya seraya duduk di atas katil.

“Kau kenapa, Afti?”

“Argh!”

Ya ALLAH, budak ni! Aku tegur pun dia terkejut. Nampak sangat dah terbayangkan ‘benda’ tu dalam novel Asrama.

“Woi, kau kenapa? Aku tegur pun nak terkejut. Takut sangatlah tu. Siang-siang macam ni pun nak takut ke?”

“Hish, kau ni!” Dia memukul belakang aku dengan bantal. Aku tidak mengelak dan membiarkan sahaja dia memukul aku. Lagipun, bukannya sakit pun. Tak rasa apa-apa pun.

“Kau kenapa?” Aku ajukan lagi soalan itu kepadanya. Yalah, mana tahu kut-kut dia jiwa kacau lepas baca novel tu. Aku dulu pun jiwa kacau lepas baca novel tu. Rasa macam ada yang ikut. Tapi tak adalah sampai jerit-jerit macam Afti ni.

“Aku tengah baca part Dahlia jumpa hantu tak ada kepala tu. Tiba-tiba ada benda melompat dari tingkap. Terkejutlah aku.” Dia masih lagi mengurut dadanya.

Aku lihat ke arah tingkap. Tingkap kelihatan terbuka lebih luas. Seperti ada sesuatu yang melaluinya. Aku rasa aku tahu apa yang melompat dari tingkap aku tu. Siapa lagi kalau bukan Nonen, kucing ibu aku.

“Nonen... Nonen... biasa Nonen tu. Ada pintu nak masuk ikut tingkap.”

Aku mengintai ke bawah katil. Kelihatan Nonen merenung aku dengan matanya yang bersinar-sinar. Elok sahaja dia duduk dengan badan ke atas. Sambil itu, sebelah tangannya diletakkan di atas ‘tut’nya. Tahu juga dia malu, Nonen.

“Haippp... biasa dia tu. Keluar cepat.”

Boleh lagi dia buat muka toya dengan aku sambil lidahnya terkeluar. Amboi, menjelir lidah dia! Tengok, kucing zaman teknologi ni... cerdik pandai.

“Nonen... keluarlah. Kalau Nonen keluar nanti akak bagi ikan. Nak tak?”

Okey, serius macam lawak sebab aku gelarkan diri sebagai ‘akak’ dengan kucing. Tapi, jadilah sebab ada adik, seekor kucing. Nonen pula bagai mengerti apa yang aku katakan. Dia terus keluar dari bawah katil aku. Aku terus memeluk tubuh gebu berbulu oren itu.

I’m a cat lover.

AKU TAK MAMPU menahan bibir dari tersenyum sedari tadi. Manakan tidak, orang yang dinanti-nanti akhirnya tiba jua. Sekarang, abang yang aku rindui sudah pun berada di hadapan mata. Abang tengah pelahap makan nasi ayam buatan ibu. Tak toleh langsung ke kiri mahupun ke kanan.

“Abang ni, kalau ya pun lapar agak-agaklah. Makan macam baru habis setahun bertapa dekat gunung.” Aku menegur abang. Risau pula tengok cara abang aku makan. Nasi di dalam mulut masih belum habis dikunyah, sudah disumbat lagi dengan nasi. Mahu jam mulut tu nanti.

Abang tersengih sambil mulutnya penuh dengan nasi ayam. Afti di sebelah aku tertawa kecil melihat gelagat abang. Mata helang abang beralih ke wajah Afti. Tak puas hatilah tu sebab Afti gelakkan dia.

Afti terus tertunduk dan meneruskan suapannya. Aku pula terus menambah lagi nasi ayam ke dalam pinggan. Huuu... nasi ayam buatan ibu memang mantap!

Semasa ingin mencapai ayam, aku melihat ke arah abang. Matanya melekat di wajah Afti. Namun, tangannya masih bergerak menyuap nasi ke dalam mulut. Aku melihat pula ke arah Afti. Dia masih selamba menyuap nasi ke dalam mulut. Sah, dia tak sedar abang aku tengah sekodeng dia.

“Ehem... makan tengok pinggan. Tengok ke lain nanti takut bukan sumbat nasi dalam mulut, sumbat dalam lubang hidung.”

Okey, bukan aku yang tegur abang. Tapi, ayah! Maknanya bukan aku seorang aje yang nampak abang renung Afti.

Uhuk uhuk uhuk...

Abang Ruzmin di sebelah abang pantas memberikan abang air. Obvious sangat abang terasa. Obvious sangat juga yang abang memang renung muka Afti, bukan renung pinggan. Tolong jangan katakan yang abang dah jatuh cinta.

“Aikk... ada orang tu tersedak nampak? Terasa ke?” Sengaja kakak menokok tambah.

Abang apalagi, makin teruk dia tersedak. Terpaksalah abang Ruzmin menggosok belakang abang. Abang ni... teruk! Tak pandai nak sembunyi perasaan hati dari jiwa.

“Kenapa ni abang?” soal ibu lembut.

Abang sekadar menggeleng manakala aku dah tak tahan nak tergelak. Apalagi... meriahlah meja makan dengan suara aku gelak. Aku tengok abang dah pandang semacam dekat aku. Tapi, ada aku kisah?

Mata abang tu tak selawa mata Edward Cullen la!

Afti yang tak mengerti, terpinga-pinga. Dia tengok muka aku, lepas tu tengok pula muka abang. Berkerut-kerut dahi dia aku tengok. Ni lagi seorang. Buat kejang perut aku aje. Kejang sebab gelak macam orang gila.

Afti ni memang ada masanya blank. Orang lain dah sampai ke Seoul, dia baru terkedek-kedek nak tempah tiket kapal terbang. Sadis!

“Gelak-gelak... anak dara makan kena sopan. Barulah mak mentua tengok pun tak payah nak fikir seratus kali. Tengah itu juga masuk minangnya. Ini gelak pun mengalahkan orang gila Tanjung Rambutan, lari mak mentua.”

Selamba badak Sumatera aje abang mengutuk aku. Cis, tak boleh jadi!

“Sekurang-kurangnya kita tak renung anak teruna orang. Renung tu pula macam harimau pertama kali nampak daging. Tajam....”

Abang menjulingkan matanya ke atas. Tapi aku pandai baca riak wajah abang. Abang macam malu-malu sebab dah terkantoi. Hu hu hu... sekarang aku dah pandai baca riak dan senyuman orang. Kalau dulu, memang aku tak pandai.

Sampai terkena prank dengan Dufa. Prank yang takkan aku lupa sampai bila-bila. Gara-gara Dufalah, aku kini agak rapat dengan Ilzam. Namun, aku dah berjanji. Aku dan dia sekadar teman tapi mesra. Nak lebih-lebih, masuk meminang dan kahwin.

Big no to couple.

Abang tiada tindak balas dengan kata-kata aku. Sedap-sedap dia menggigit daging ayam. Sah, abang tengah malu!

“Tak cakap apa-apa tu maknanya Qashril Hirdaf tengah malulah tu, Afti...”

Aku memang tak berputus asa nak menyakat abang. Aku kan memang suka sakat abang sejak dari dulu. Ops, silap! Abang yang suka sakat aku. Aku nak sakat abang? Setahun sekali aje kut.

Afti aku lihat tercengang-cengang. Tangannya yang baru sahaja ingin menyuap nasi ke dalam mulut terhenti di tengah jalan. Dia melihat ke arah aku. Aku membalas pandangannya dengan sengihan.

Sengaja aku menyebut nama penuh abang. Tanda perkenalan... he he he...

“A...”

Tak sempat nak sambung bicara, ayah dah potong ayat abang.

“Nasi dalam pinggan tu dah menangis sebab dari tadi tak dimakan. Tak habis-habis nak ‘berperang’. Kut ya pun tunggulah habis makan.”

Semua menikus bila ayah dah bersuara. Aku pun cepat-cepat tertunduk dan meneruskan sesi memenuhkan perut. Sempat aku jeling ke arah abang. Abang buat muka. Fahamlah aku yang aku akan kena ‘gulai’ dengan abang lepas makan ni.

Matilah aku!

“SUKA SANGATLAH dia sakat abang macam tu tadi. Malu abang dengan kawan adik tu, tahu tak!”

Dah aku agak yang aku mesti kena ‘gulai’ dengan abang. Lepas aje solat Isyak tadi, terus abang tarik aku ke sini. Tempat kegemaran aku dan abang untuk melihat bintang, di atas pangkin.

“Malu dengan Afti? Dah kenapa pula abang nak malu dengan dia?”

Aku senyum menyenget. Sambil-sambil tu mata dok renung muka abang. Abang dah gabra. Sekejap-sekejap tangan dia garu kepala. Lepas tu, masuk pula dalam poket seluar track yang dia pakai. Lepas tu buat-buatlah tengah tampar nyamuk.

Cis, obvious sangat!

“Aikk... semacam aje respons abang. Dah terjatuh tangga... ops, terjatuh cinta pandang pertama ke?”

Aku lihat mulut abang ternganga sambil matanya melekat pada wajah aku. Aku memetik jari di hadapan abang. Abang menggeleng-gelengkan kepalanya. Kepalanya digaru lagi. Banyak betul kutu dekat kepala abang aku ni. Nak kena tukar syampu Safi Shayla pula ke?

“Abang... obvious sangat,” ujar aku.

“Haa?”

“Reaksi abang tu, jelas sangat yang abang ada perasaan pada Afti. Come on, jujur aje dengan adik dan adik akan tolong abang.”

“Errr...”

Aduhai, abang aku ni! Dah terjangkit blank dengan Afti ke apa?

“Adik tolong abang mengurat Afti. Macam mana?”

Abang mengerdipkan matanya berkali-kali.

“Abang!”

“Malulah...”

Jawapan abang yang cuma sepatah perkataan itu membuatkan bibir aku spontan tersenyum. Abang aku malu! Phewittt... jejaka Melayu terakhir rupanya abang aku ni.

“Jangan gelakkan abang walau dalam hati.”

“Taklah.”

Aku lihat abang gelisah tak tentu arah.

“Qalwa!”

Tiba-tiba nama aku diseru oleh seseorang. Aku berpaling dan melihat Afti sedang berdiri di muka pintu. Aku lihat pula ke arah abang. Abang pandang tak lepas wajah Afti.

“Ehem...” Aku berdeham.

Abang lihat ke arah aku. “Pandang ala-ala jeling sudahlah. Jangan nak pandang macam renung muka isteri. She’s not yours.”

Abang tersengih tapi macam tak menjadi. Nampak sangat gabra ala cobra dia. Dahsyat betul abang aku ni. Kenapa aku baru tahu yang abang aku ni malu tahap gaban dengan perempuan? Atau selama ni aku yang tak ambil tahu? Tahu nak wrestling abang aje.

“Afti, mehlah sini... join kami,” ajak aku.

Abang dah terbeliak biji matanya. Kalau besarkan lagi mata tu, mahu terjojol biji mata ke luar. Mahu kalah rupa zombi dalam Zombi Kampung Pisang. Ala, cerita Mamat Khalid yang wajib ditayang setiap kali raya puasa tu.

Afti tayang muka was-was campur malu-malu Nonen. Tersipu-sipu dia di muka pintu.

“Tak apalah...” Afti ada berkata-kata lagi tapi dalam nada berbisik. Aku hanya dapat lihat bibirnya bergerak-gerak. Kepalanya tertunduk memandang lantai rumah.

“Tak payah nak segan sangat. Abang aku ni tak makan orang.”

Tapi dia ‘makan’ hati kau dan simpankan dalam hati dia. Aku sekadar mampu mengucapnya di dalam hati. Nak mampus cakap terus-terang dengan abang?

Abang pula dah terbeliakkan lagi biji matanya. Agaknya abang ni memang ada simpan hajat nak aku korekkan biji mata dia. Cantik sangatlah buat mata macam tu. Sekali jadi macam zombi baru tahu. Lari semua awek.

Afti aku lihat menggigit bibirnya. Sekejap dia pandang aku, sekejap lepas tu dia pandang muka abang pula. Afti ni memang gadis Melayu terakhir sikit. Pemalu! Sepadanlah dengan abang aku yang jejaka Melayu terakhir ni.

Kesudahannya, aku bangkit dan mendapatkan Afti. Aku memaksa dia mengikut aku. Aku tarik dia sampai ke pangkin. Abang pula aku lihat merenung wajah Afti. Sesekali matanya dihalakan ke arah lain.

“Kau duduk aje sini. Kau duduk dalam bilik terperap pun bukan dapat apa. Tak berkembang otak jadinya. Sekurang-kurangnya kau kenalah rasa angin malam kampung halaman aku ni.”

Aku duduk di antara abang dengan Afti. Gila nak bagi diorang duduk rapat-rapat. Mahu aku kena hempuk dengan ibu. Yang bukan mahram dilarang sekeras-kerasnya untuk duduk rapat-rapat. Takut tersentuh, sah-sah haram.

Krik... krik... sayup-sayup aku terdengar seolah-olah suara cengkerik berlagu di tepi telinga aku. Kejap aku pandang abang, lepas tu pandang pula Afti. Dua-dua diam dan buat hal masing-masing.

Abang dengan bibirnya yang terkumat-kamit tanpa suara. Tahulah aku yang abang sedang menyanyi tapi sengaja tidak dikeluarkan suaranya. Abang kata dia tak suka nyanyi depan orang lain. Tapi dia suka nyanyi lagu untuk aku. Lagu Twinkle Twinkle Little Star. Rasa macam kembali ke alam tadika setiap kali abang nyanyi lagu tu.

Afti pula sedang tertunduk. Jari-jemarinya saling bertaut. Kakinya menguis pasir sambil kepalanya bergoyang perlahan. Ini seorang lagi. Tanya sahaja apa-apa lagu Korea, semua mampu dinyanyikannya. Tapi, bila disuruh translate, satu perkataan pun tak mampu.

Tiba-tiba terdetik untuk aku melakukan sesuatu. Aku memetik jari sambil tersenyum lebar. Abang dan Afti serentak menoleh melihat aku. Terkejut agaknya kerana tiba-tiba sahaja aku memetik jari.

“Abang dengan Afti duduk kat sini sekejap. Adik nak ambil sesuatu kat dalam rumah.” Aku bangun dari atas pangkin. “Tunggu kejap ek.” Aku pantas menuju ke pintu rumah.

Sempat lagi aku menoleh untuk melihat abang dan Afti. Mereka saling berpandangan tapi hanya bertahan untuk lima saat. Kemudian, seorang pandang ke kanan manakala seorang lagi pandang ke kiri. Comel sangat diorang!

Aku terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik abang. Kakak dan abang Ruzmin di ruang tamu yang sedang menonton drama tidak aku peduli. Kelibat ibu dan ayah tidak pula aku lihat.

Masuk aje dalam bilik abang, aku terus mengambil gitar yang tersandar di tepi almari buku abang. Abang jarang marah kalau aku ‘pecah masuk’ bilik dia. Abang tahu yang dia selalu ada benda-benda yang aku suka yang aku tak ada.

Contohnya, gitar. Puas aku merayu nak beli gitar dekat ibu tapi abang yang dapat.

Aku terus keluar dari bilik abang sambil bawa gitar. Lagi sekali aku perlu melintasi kakak dan abang Ruzmin. Kali ni, kakak menegur aku.

“Nak bawa ke mana gitar abang kamu tu?” soal kakak.

“Nak tolong abang meluahkan perasaan pada seseorang.”

Dahi akak berkerut-kerut.

Aku hanya tersenyum dan tanpa berpaling aku terus keluar ke arah abang dan Afti. Abang memandang pelik ke arah aku. Matanya melirik ke arah gitar kesayangannya di tangan aku.

“Kenapa adik bawa keluar Shin Min Ah?”

Oh, Shin Min Ah yang abang maksudkan itu bukan pelakon My Girlfriend Is Gumiho. Sebaliknya, gitar dia. Abang aku suka tahap obses dekat pelakon wanita Korea tu. Sampaikan nama gitar dia ni pun sama nama dengan Shin Min Ah.

Aku tersengih depan abang. Lepas tu aku pandang pula ke arah Afti. Obvious sangat dia tengah blank. Tengok muka pun tahu. Aku pandang balik muka abang.

“Adik nak tolong abang.”

“Tolong abang?” soal abang dengan wajah yang tertanya-tanya.

Aku menghulurkan ‘Shin Min Ah’ kepada abang. Walaupun abang blank macam Afti, tapi disambutnya juga gitar yang aku hulur. Dia pandang lagi wajah aku. Menagih jawapan untuk soalannya yang masih belum aku jawab.

Sengihan aku makin lebar. Tiba-tiba rasa macam ada tumbuh tanduk dekat atas kepala ni. Aku dekatkan wajah kepada abang. Perlahan-lahan aku berbisik kepadanya.

“Nyanyi satu lagu untuk Afti.”

Respons drastik oleh abang, matanya terbeliak lagi. Abang ni sejak bekerja suka sangat terbeliak mata. Nak lepas geram kut sebab dekat tempat kerja dia asyik kena terbeliak biji mata dengan bos dia. Ini semua sekadar spekulasi mengarut!

“Kau jangan nak malukan abang,” jawab abang dalam nada berbisik juga.

Afti buat muka poyo aje macam tak nampak apa yang terjadi.

Giliran aku pula membeliakkan biji mata kepada abang. Ingat abang seorang aje yang reti terbeliak biji mata ni?

“Nyanyi ajelah!” Aku cakap sambil gigi diketap rapat. Tandanya apa? Tandanya aku tengah geram. Rasa nak hempuk ‘Shin Min Ah’ biar abang sedar yang aku nak tolong dia.

Aku tahu abang aku jenis susah nak dapatkan cinta. Dia kata susah nak cari cinta sejati yang dapat cairkan hati dia sejak dari dulu. Aku cakap benda yang betul. Setiap kali aku telefon abang dan tanya pasal awek, hanya satu jawapan dia. Awek sekarang lagi banyak yang mengeraskan hati dari mencairkan hati.

Sedikit sebanyak aku terasa. Aku tak tahulah aku ni golongan yang mengeraskan hati atau mencairkan hati. Hmm...

Aku menoleh dan menyengih ke arah Afti.

“Ehem... saya, Qalwa Hirfani binti Waris Osman ingin memberitahu kepada Waftiha Laili binti Hazfar. Qashril Hirdaf bin Waris Osman ingin menyampaikan sebuah lagu khas buat Waftiha Laili.”

Aku tersengih ke arah abang yang menjeling aku tajam.

“Perlu ke sebut nama penuh macam tu?” Sinis betul ayat abang. Tapi, macam biasalah... ada aku kisah?

“Dipersilakan...” Aku menghalakan kedua-dua belah tangan ke arah abang.

Afti melihat ke arah aku tanpa berkelip mata. Aku membalas dengan mengenyitkan sebelah mata ke arahnya. Abang, walaupun tak rela, tetap juga dia bersedia. Gitar diletakkan di atas ribanya.

Saat gitar mula dipetik oleh abang, aku terus melihat ke arah abang. Feel habis tengok muka dia. Maklumlah, nak luah perasaan melalui lagu. Kena ada feel baru budak blank sebelah dia tu faham. Siapa lagi kalau bukan Afti.

Abang mula menyanyikan lagu kegemaran dia. Hadirlah Kasih nyanyian KGB.

Hadirlah kasih
Hadir dalam mimpiku
Hadirlah cinta
Hadir dalam hidupku

Dalam perjalananku
Masih jauh harus ku tuju
Aku mencari-cari cinta
Cinta yang tulus dan sejati

Kerna aku percayakan
Cinta suci yang datang dari hati

Aku melihat ke arah Afti yang menundukkan kepalanya sedikit. Aku dapat lihat ada senyuman yang luar biasa terhias di bibirnya. Petanda baik!

Hadirlah kasih
Hadir dalam mimpiku
Hadirlah cinta
Hadir dalam hatiku
Hadirlah sayang
Hadir dalam hidupku
Hadirlah kasih
Agar tercapai segala-galanya

Harus aku mencari
Cinta yang tulus suci
Punya segala-galanya
Apa yang aku impikan
Oh impikan

Kerna aku percayakan
Cinta suci yang datang dari hati

Kalau ditakdirkan
Bertemu ku denganmu
Akan ku bina istana bahagia
Agar kita bersama
Kekal selamanya

Usai abang menyanyi, aku terus menepuk tangan. Akhirnya, aku telah berjaya membantu abang meluahkan rasa hatinya. Aku pula yang rasa lega. Tak kisahlah, asalkan aku dah tolong. Langkah seterusnya, terletak di tangan abang. Apa dia nak buat, buatlah.

Sunyi... hanya terdengar bunyi desiran angin yang menggoyangkan pepohon. Angin malam ini agak lain. Nak hujan barangkali. Aku lihat abang. Abang lihat ‘Shin Min Ah’nya sambil dipetik-petik gitar tersebut. Afti pula, masih tertunduk melihat jarinya sendiri.

“Ehem...” Aku berdeham.

Abang mendongak melihat aku. Afti pula masih begitu seakan tidak mendengar suara dehaman aku tadi. Abang mengangkat sebelah keningnya.

Aku menghantar pesanan melalui mata. Aku melihat ke arah Afti dan kembali melihat ke arah abang. Abang pantas menggeleng. Aku membeliakkan mata ke arah abang. Dah orang tolong buka langkah pertama, abang pula tak nak teruskan. Sia-sia ajelah kalau macam tu idea aku suruh abang menyanyi tadi.

Tiba-tiba Afti bangun. Laju aku menoleh melihat ke arah Afti.

“Sedap suara awak.”

Afti terus berjalan laju masuk ke dalam rumah. Aku melihat setiap lenggok langkahnya sampailah dia hilang ke dalam rumah. Aku tersenyum lebar dan kembali melihat ke arah abang.

“Abang tahu tak apa maknanya?”

Abang tak jawab, sebaliknya melihat ke arah lain.

“Abang!” seru aku. Tapi, abang masih begitu.

Abang menjongketkan bahunya dan terus bangun. Terpinga-pinga aku melihat abang yang macam tak sedar aku ada dekat depan dia. Adakah aku sudah jadi halimunan? Tak sempat nak tegur, abang dah buka langkah masuk dalam rumah.

Tinggallah aku sorang-sorang dekat pangkin ni. Aku menghela nafas panjang. Kecewa betul tengok reaksi abang. Dah Afti puji tu maknanya taman dalam hati dia dah mula berbunga. Ingat senang ke minah K-Pop tu nak puji orang nyanyi lagu Melayu, lagu lama pula tu.

Lagu terbaru Datuk Siti Nurhaliza pun dia tak tahu. Yang dia tahu lagu terbaru Super Junior aje. Tak habis-habis Mamacita.

Aku kembali melabuhkan duduk di atas pangkin. Namun, baru lima saat aku duduk di pangkin, tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu.

Uuuu... Uuuu...

Okey, petanda yang tak baik. Masuk rumah! Menyeramkan betul bunyi burung hantu tu. Grrr...

CUTI SEMESTER berbaki lagi dua hari. Sudah seminggu Afti pulang ke rumahnya sendiri. Mak dengan abah dia dah balik dari umrah, jadi dia baliklah ke rumah dia sendiri. Lepas ni dah satu semester pula tak jumpa dengan orang tua dia.

Baju kurung yang sudah siap dilipat aku masukkan ke dalam beg. Sehelai demi sehelai baju, aku masukkan ke dalam beg. Cuti semester kali ini terasa begitu singkat. Tak puas rasanya nak bermanja dengan ibu dan ayah.

Lagi tak puas nak bergaduh dengan abang sebab abang hanya cuti seminggu. Lepas seminggu tu, abang sibuk sampai telefon pun tak sempat. Daripada sehari sekali sekarang ni dah bertukar jadi seminggu sekali abang telefon aku. Abang kata dia banyak projek baru. Alhamdulillah, rezeki abang.

“Hadirlah kasih hadir dalam mimpiku... hadirlah cinta hadirlah dalam hidupku...”

Sedang asyik memasukkan baju ke dalam beg, tiba-tiba telefon aku berbunyi. Nada deringnya adalah lagu Hadirlah Kasih. Lagu yang sama yang abang nyanyikan buat Afti. Aku dah tergilakan lagu tu sejak abang nyanyi lagu tu.

Aku terus bangkit menuju ke meja solek. Gerangan pemanggil yang terpapar di skrin telefon bimbit aku lihat. Abang. Panjang umur abang. Baru aje aku teringatkan abang, tup-tup abang call aku.

Aku pantas menekan butang hijau.

“Assalamualaikum, awak. Awak tengah buat apa tu?”

Bulat mata aku mendengar sapaan abang di corong telefon. Aku mengalihkan telefon dari telinga untuk melihat gerangan pemanggil lagi sekali. Betul, memang abang aku yang telefon. Tapi, dah kenapa abang nak berawak-awak pula dengan aku? Mimpi makan apa abang aku ni?

“Waalaikummussalam. Tahap kesewelan abang dah makin meningkat ek?”

“Haa? Adik?” Soal abang di sana.

Aku dah kerut-kerut dahi. Sah, abang aku tak sihat. Dah sah-sah dia telefon aku, lagi nak terkejut dengar suara aku.

“Yalah, adiklah ni. Dah kenapa nak tiba-tiba nak berawak-awak dengan adik? Mimpi makan batu kapur ke semalam sampai sewel hari ni?”

“Errr...”

Setakat telefon nak cakap itu aje baik tak payah abang aku ni. Buat habis masa aku dan habis kredit abang aje. Aku memeluk tubuh seraya menilik muka sendiri di cermin. Alamak, jerawat tumbuh tepat-tepat atas hidung. Esok balik kampus mesti hidung macam badut. Tak boleh jadi! Malam ni kena gosok muka kuat-kuat dengan pembersih muka.

“Adik buat apa?”

“Buat pandai sambil lipat baju. Tapi, tiba-tiba kena kacau dengan orang tu yang sesat berawak-awak dengan adik. Sewel agaknya orang tu.”

Terdengar suara abang aku ketawa di hujung talian. Tapi, suara ketawanya kedengaran seperti tidak ikhlas. Ni mesti kes nak telefon awek tapi tertekan nombor aku. Itu sebab ketawa pun tak ikhlas.

“Abang ni mesti nak telefon awek tapi tertekan nombor adik. Jujur ajelah abang.” Sengaja aku memprovok abang.

“Aaaa... errrr...”

“Jujurlah sayang aku tak mengapa...” Nasib kaulah, abang. Dengarlah suara adikmu yang lima peratus lebih merdu dari suara kodok.

“Haish, adik ni! Eh, bos abang panggil tu. Abang letak telefon dulu ek. Kirim salam dekat semua. Esok abang telefon adik lagi. Asssalamualaikum.”

Tak sempat aku jawab apa-apa, talian dah terputus. Pandai betul abang kelentong aku. Jahat betul bos abang sampai waktu lunch pun nak kacau abang aku. Aku menoleh melihat jam di dinding. 1.30 petang.

Malas nak fikir perangai sewel abang aku, aku sambung sesi mengemas baju. Abang aku nak ada awek ke apa ke, aku tak kisah pun. Sekurang-kurangnya aku perlu ucap tahniah dekat awek dia. Sebabnya, dia ialah awek yang berjaya mencairkan hati yang abang aku cari-cari selama ini.

Kalau betullah abang aku ada awek.

Tapi, takkanlah abang aku nak berawak-awak dengan kawan lelaki dia? Macam pelik sebab abang aku walau baru kenal pun dah beraku-kau dengan orang lelaki. Errr... abang aku straight kut. Tak ada songsang-songsang. Aku confirm 200%. Tapi, apa salahnya juga kan kalau abang nak berawak-awak dengan kawan dia. Tak semestinya dengan awek aje boleh berawak-awak.

SEJAK NAIK SEMESTER, Afti dah banyak berubah. Dia dah makin rajin belajar. Seolah-olah ada semangat yang ditiup ke arahnya. Tiap-tiap hari tak berenggang dengan buku. Kalau boleh, waktu mandi pun nak diletakkan buku dalam bilik air. Sambil basuh rambut sambil tu ulang kaji.

Tapi, dia bukan setakat berubah dalam pembelajaran aje. Dia juga berubah kelakuan. Tiap kali habis belajar, mesti dia akan main telefon. Lepas tu tersengih sorang-sorang macam orang meroyan. Perkara itu adalah perkara yang paling sukar untuk aku tengok.

Lepas tu, hampir setiap hari dia cas telefon. Selalunya seminggu sekali aje dia cas telefon. Kadang-kadang dia tak peduli pun kalau telefon dia kong. Korea pun dia dah tak layan sangat. Yang dia layan, lagu-lagu jiwang 80 dan 90-an.

Pelik... pelik...

Assignment yang Prof. Walida suruh buat tu kau dah siapkan ke?”

Suara Afti menyentak aku yang ralit berfikir. Berfikir mengapa drastik sangat perubahan Afti kali ini. Aku ni bukanlah seorang yang ada bakat untuk busybody hal orang lain. Lainlah kalau hal keluarga aku. Itu memang aku nombor satu.

“Belum. Kenapa kau tanya? Bukan Prof. Walida kata dia nak assignment tu minggu depan ke?”

Afti mengangguk. “Saja tanya.”

Tittt...

Telefon bimbit dia berbunyi. Sepantas kilat dia mengambil telefonnya di atas meja belajar. Muka dia teruja semacam. Macam dapat berita menang hadiah sejuta ringgit.

Tak boleh jadi. Kali ni aku perlu busybody juga.

“Kau dah ada pakwe ke?”

Soalan panas aku berjaya mengalihkan perhatian Afti pada telefon bimbitnya. Dia merenung aku. Dari pandangan matanya aku tahu dia rasa bersalah. Bersalah kerana tidak tahu sama ada dia patut mengiakan atau menafikan.

“Aku kawan dengan kau bukan baru semalam. Kita kawan sejak waktu orientasi. Aku kenallah perangai kau. Tak adanya kau rajin nak menghadap buku 24 jam. Dah tu, telefon bimbit langsung tak berenggang. Ini bukan Afti, siapa kau haa? Siapa kau?”

Aku mendekatinya lantas memegang bahunya. Bahunya aku goncang kuat. Sama seperti drama-drama Korea yang pernah dia tonton. Pantang tengok orang tu berubah dah disangkanya bertukar jadi orang lain.

Afti tertawa kecil lantas menolak bahu aku. Dia tersengih ke arah aku. Tapi, dia masih membisu. Persoalan aku masih tidak terjawab.

“Jawablah bila aku tanya. Kau dah ada pakwe ke?” Lagi sekali soalan itu aku ajukan kepadanya.

Afti tersenyum. “Kau akan tahu suatu hari nanti.”

Afti terus melakukan aksi terjun tiruk ke atas katil. Aku pula terkedip-kedip mata melihatnya. Betul ke roommate aku ni Waftiha Laili atau ada sesiapa yang wajah seiras Afti tertukar bilik dengan dia?

Melihatkan Afti seperti sudah lena, aku kembali ke meja belajar aku. Buku setebal kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang terbuka aku katupkan perlahan. Gambar selfie aku, kakak, dan abang yang tertampal di dinding aku renung.

Wajah yang paling lama aku renung adalah wajah abang. Entah kenapa, tapi akal aku mengaitkan perubahan drastik Afti dengan abang. Sebab kebetulan sangat. Abang agak berubah selepas malam dia nyanyikan lagu untuk Afti. Afti pun berubah tapi semasa naik semester baru aku perasan perubahannya.

“Takkanlah...”

Aku bersuara perlahan kerana tidak mahu mengejutkan Afti. Aku berpusing melihat ke arah Afti yang membelakangi aku. Aku tersenyum sendiri. Harapnya apa yang aku fikirkan adalah benar.

AKU MEMBACA lagi sekali mesej yang dihantar oleh abang. Abang nak melawat aku sekejap lagi? Bukan itu aje, katanya ada surprise untuk aku. Hari jadi aku ada lagi dua bulan. Maknanya bukan surprise hari jadi aku.

Hai, abang aku... macam-macam.

Usai menyarungkan tudung ke kepala, aku terus keluar dari bilik. Aku tidak lupa untuk membawa beg dompet dan telefon bimbit sekali. Kut-kut abang aku telefon ke senang nak angkat. Tak adalah nanti kena bebel sebab tak jawab bila abang telefon.

“Assalamualaikum, akak...” sapa Faliqa, junior aku. Kami bertembung semasa aku ingin turun ke tingkat bawah.

Aku tersenyum dan menjawab salam yang dihulurnya.

“Waalaikummussalam. Fal dari mana ni?” Aku menyoalnya.

Dah jadi senior ni kenalah berbaik-baik dengan junior. Aku paling takut kalau diorang melabel aku senior yang sombong. Aku nak jadi senior yang dihormati dan bukannya senior yang ditakuti.

“Fal dari perpustakaan. Pinjam buku.” Dia menunjukkan aku buku di tangannya.

Aku tersenyum. “Owh... akak pergi dulu ya, Fal.”

“Okey.”

Aku terus berjalan menuruni tangga. Sambil-sambil aku berjalan, sambil itu aku melihat ke arah sekeliling. Macam-macam ragam ada. Ada yang ralit baca buku dan ada yang ralit main telefon. Tak kurang juga ada yang sambil menyelam sambil minum air. Sambil belajar sambil tu dating.

Aku selalu ingat pesanan cikgu Bahasa Malaysia aku waktu tingkatan empat.

“Kalau nak cari pakwe atau makwe, cari waktu last semester. Itu aje peluang yang ada untuk cari pakwe atau makwe. Bila dah bekerja, dah tak sempat dah nak fikir pasal cinta. Rembat aje seorang buat pakwe.”

Aku tersenyum mengenangkan kata-kata cikgu itu. Cikgu suka menggunakan pendekatan cinta untuk menarik murid-murid belajar. Yalah, muda-muda ni fikirnya cinta aje. Tak kurang juga aku.

Aku sampai ke tempat yang dijanjikan oleh abang. Aku menoleh kiri dan kanan untuk mencari gerangan abang. Mata aku tertancap ke arah susuk tubuh abang yang tidak jauh dari aku. Tapi, aku yang agak tersorok tidak mampu dilihat oleh abang.

Abang aku lihat tersenyum lebar sambil matanya terarah ke suatu arah. Aku cuba untuk melihat pada siapa abang tersenyum tapi tak nampak. Tunggu punya tunggu, akhirnya aku tahu pada siapa abang tersenyum.

“Afti!”

Aku tersebut namanya dengan agak kuat. Tiga orang mahasiswa yang lalu di sebelah aku menoleh dan melihat aku. Aku hanya tersengih dan tertunduk sedikit. Kemudian, mereka pergi begitu sahaja.

Maknanya, tekaan aku betul.

Rupa-rupanya abang nak telefon Afti hari tu tapi tertekan nombor aku. Afti pula mendapat semangat nak belajar dari abang. Biasalah, orang yang bercinta ni selalunya semangat dia lebih sikit. Jadi, Afti tersengih-sengih depan telefon pun sebab abang.

Dahsyat betul diorang ni! Diam-diam jatuh cinta.

Tapi, mengejut sangat kalau diorang bercinta. Walhal, baru pertama kali berjumpa kut! Tapi, ada juga yang pernah berkata yang cinta itu boleh datang walau baru pertama kali bersua. Tak kisahlah, yang penting aku perlu ucap tahniah dekat Afti sebab berjaya cairkan hati abang.

“Awak tengok apa tu, Qalwa?”

Aku terkejut kerana tiba-tiba disapa dari belakang. Nyaris sahaja telefon bimbit di tangan aku tercampak ke lantai. Aku mengurut dada untuk menghilangkan debar.

“Saya terkejutkan awak ke? Maaflah, saya tengok awak ralit sangat tengok apa benda entah.”

Aku berpaling dan melihat Ilzam terpacak di belakang aku. Aku menghela nafas. Takutkan orang aje dia ni! Oh, sebenarnya aku dan Ilzam belajar di universiti yang sama. Cuma berlainan bidang.

Bukan dirancang tapi kebetulan. Orang kata kalau dah jodoh tak ke mana. Eh, eh... belum tentu dia jodoh aku.

“Terkejut semestinya. Dahlah datang tak bagi salam. Main terjah macam itu aje. Buatnya saya ada lemah jantung, dah selamat dah saya tau.”

Ilzam tertawa. Dada aku berdebar melihat Ilzam tertawa. Malunya!

“Maaflah. Okey, sekarang saya bagi salam. Assalamualaikum, Qalwa tengok apa sampai saya datang pun tak sedar?”

“Waalaikummussalam. Adalah, tak perlu tahu pun tak apa.”

Ilzam menjongketkan bahunya. Dia tersenyum pula setelah itu.

“Tak bagitau tak apa, saya tak paksa. Hmm... awak buat apa dekat sini?”

“Tunggu abang. Dia kata nak lawat saya hari ni.”

Pandai aje aku kelentong. Tunggulah sangat walhal abang dah sampai. Cuma aku tak sampai hati nak kacau dia jumpa buah hati dia. Siapa lagi kalau bukan Afti.

Dia terangguk-angguk kemudian matanya melilau ke serata tempat. Lagaknya sedang mencari seseorang. Dia tersenyum tiba-tiba. Mungkin apa yang dicarinya sudah dijumpai. Makwe dia kut. Hmm...

Eh, cemburu ke aku? Errr...

“Tu bukan abang awak ke?”

Fuh, dia tolong carikan abang aku rupa-rupanya. Itulah Qalwa, lain kali kau jangan buat spekulasi sendiri. Tengok, sia-sia aje kau cemburu sorang-sorang. Errr... cemburu?

Aku berpaling dan tersenyum apabila melihat abang menuju ke arah kami. Kelibat Afti pula tidak aku lihat. Mungkin sudah pergi kerana takut terkantoi depan aku. Padahal dah kantoi. Nantilah, aku kantoikan abang pula.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.” Serentak aku dan Ilzam menjawab salam yang dihulur oleh abang.

Abang bersalam dengan Ilzam dahulu kemudian barulah tangannya dihulur kepada aku. Dia bertanya khabar kepada Ilzam. Kemudian, macam-macam topik mereka buka. Bila dah cukup sepuluh minit, aku mula rimas. Abang ni datang nak jenguk aku ke Ilzam?

Aku berdeham dan serta-merta topik hangat mereka tertutup.

Abang mengajak aku ke luar. Katanya dah lama tak keluar ‘dating’ dengan aku. Cis, kenapa abang tak keluar dating dengan Afti aje? Beranilah dia dating dengan Afti kalau nak rasa kena parang dengan ayah. Ayah tak suka anak-anak dia keluar berdua-duaan dengan bukan mahram.

Di dalam kereta, aku dah merancang nak memprovok abang agar abang jujur dengan aku. Jujur pasal Afti. Nak memprovok Afti macam tak best sebab takut nanti dia tersentap pula. Jadi, ambil jalan lain dengan memprovok abang.

“Lepas abang nyanyi lagu untuk Afti tu, abang ada plan lain tak lepas tu?”

Plan? Plan apanya?” Abang menyoal aku semula.

Aku dah nampak aura gabra abang dah keluar.

“Ala, plan macam minta nombor telefon ke?”

“Nombor telefon? Errr... maksud adik?”

Aku menjulingkan mata ke atas. “Tahap sewel abang meningkat lagi, ya sampai soalan mudah pun tak boleh nak jawab?”

“Taklah, abang normal lagi okey.”

“Habis tu, kenapa tak jawab?”

Come on, ni Qalwa la. Qalwa anak pak cik Waris. Setakat ugut abang tu celah gigi aku ajelah. Tapi tengok situasilah. Tak semua situasi aku boleh ugut abang. Nak kena geletek dengan abang main-main ugut dia?

“Ada...”

“Apa plannya?” Soal aku lagi.

“Kejap! Kenapa beria-ria sangat bertanya itu ini macam Inspektor Sahab ni? Dah tak reti nak duduk diam-diam ke?”

Aku tertawa kecil. Lawak dan obvious sangat abang terketar. Ala, jujur ajelah. Jujurlah sayang, aku tak mengapa... kan aku dah menyanyi.

“Tak nak share apa-apa ke dengan adik?”

Aku lihat dahi abang berkerut. Sambil tu tangannya ligat menukar gear.

“Nak share apa? Share pasal kerja abang? Adik bukannya faham pun skop kerja abang.”

“Tak.”

“Habis tu, share apa?”

Abang melihat aku sekilas sebelum kembali melihat ke arah jalan raya.

Share pasal Afti.”

Shritttt... mengejut aje abang aku menekan brek. Nasib baiklah lampu isyarat pun memang warna kuning nak ke warna merah. Kalau tak, nasib tak baiklah ceritanya.

Abang menoleh dan melihat ke arah aku dengan mata terbeliaknya. Ops, aku dah terkantoi rahsia abang dengan Afti ke? He he he...

“Afti?”

“Ha’ah, sharelah pasal abang yang nak telefon Afti tapi tertekan nombor. Lepas tu pasal abang selalu main mesej dengan Afti. Sekarang ni pun adik tengok Afti dah makin rajin belajar. Abang tiup semangat apa dekat dia sampai rajin betul dia belajar sekarang ni?”

Muka abang berkerut-kerut.

“Mana adik tahu?”

Aku tersengih. “Baru kejap tadi. Ralit sangat orang tu tersenyum tengok buah hati dia. Adik pun abang tak perasan. Yalah, orang dah ada buah hati.”

Abang tersengih sambil tangan menggosok belakang lehernya. Aku tertawa melihat reaksi abang. Aduh, abang aku pemalu!

“Maknanya Afti dah berjaya cairkan hati abanglah ni? Wah, akhirnya terbuka juga hati abang aku ni. Jadi, Afti secara rasminya dah jadi cinta pertama abang ke?”

Abang mengangguk sambil tersengih.

“Cinta pertama selain ibu, kakak, dan adik.”

“Alhamdulillah...” Aku pantas meraup wajah dengan kedua-dua belah tapak tangan.

Aku menoleh melihat abang dan kami saling berpandangan. Lima saat kemudian, kami sama-sama ketawa. Entahlah kenapa tapi aku rasa nak ketawa. Jadi, aku ketawalah. Abang... abang... dengan aku pun nak malu ke nak bercerita pasal Afti.

“Jangan lama-lama sangat angkut kawan adik tu ke hulu, ke hilir. She’s not yours.”

“Tahu. Tunggu nanti korang dah nak habis belajar nanti, abang angkut adik teman abang pergi jumpa mak ayah dia.”

“Eh, eh... dia yang nak kahwin, kita pula yang dia nak angkut.”

Abang hanya tersenyum senget.

Apa-apa pun, aku kena ucap tahniah kepada Afti lepas ni. Abang dah bukan sekadar teman tapi mesra dengan Afti. Aku ni pula, sampai bila nak teman tapi mesra dengan Ilzam?

Errr... aku serah pada takdir ajelah.


~TAMAT~


~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~

Tahniah sekiranya anda berjaya baca sehingga ke titik noktah yang terakhir.
^_^

Wassalam. Tata. Thanks sudi baca Fitri merepek. ^_^

No comments:

Post a Comment