Thursday 5 December 2013

Berkasih Dalam Bercinta 13

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...


BERBANDING semalam, hari ni tiada lagi jeritan batinku versi Achik semasa diurut oleh Pak Mot. Senyap dan sunyi aje. Sangatlah... Padahal kecoh suara Mak Datin Bunga dok memekik nama Nana dari arah luar rumah.

Nana yang baru selesai melipat telekung setelah menunaikan solat Asar segera berlalu keluar. Sempat jua dia mencapai tudung sarung yang tersangkut di tepi pintu sebelum mencari emaknya di luar.

“Ada apa mak panggil Nana?” Soal Nana seraya menyarung selipar.

“Kamu dah telefon ke Puan Syura cakap tambah cuti esok?” Sambil tangannya ligat menarik rumput liar di dalam pasu bunga kesayangannya sambil itu mulutnya menyoal Nana.

“Dah, mak. Puan Syura cakap boleh. Lagipun tempahan tak banyak minggu ni.” Balas Nana sambil melangkah menuju ke arah pangkin yang terletak di bawah pokok rambutan. Dia tersenyum sendiri apabila terkenangkan peristiwa semalam.

Macam nangka busuk Achik ‘terjun’ dari atas pokok rambutan semalam. Tapi kesian juga dia tengok muka Achik yang menahan sakit gara-gara ‘terjun’ cara paling tragis abad ini. Nasiblah badan...

Mak Datin Bunga menoleh melihat ke arah anak dara tunggalnya itu. Dia menggeleng perlahan sambil menepuk tangannya yang dipenuhi tanah. Perlahan kakinya melangkah mendekati Nana yang masih tersenyum. Ni kalau jururawat hospital bahagia nampak ni, tak tunggu dah. Terus diangkut naik ambulans ke hospital bahagia. Bahagialah Nana.

“Jangan gatal nak teringatkan anak teruna orang, Nana oi!” Sergah Mak Datin Bunga membuatkan Nana hampir terlompat.

Nana mengurut perlahan dadanya sebelum tersengih ke arah emaknya. Dia mengesot sedikit untuk memberi ruang kepada Mak Datin Bunga untuk duduk. Dia kembali melihat ke arah rumahnya. Entah bila pulalah dia dapat tengok rumah ni.

“Dalam rumah tangga ni Nana, ada macam-macam rasa. Ada pahit, ada manis, ada masam, ada tawar. Semuanya cukuplah. Mungkin pahit akan manis akhirnya tapi tak semua, Nana. Sebagai seorang isteri, kita kena bijak mengawal perasaan.” Mak Datin Bunga sudah buka topik ‘bersedialah Nana untuk masuk ke alam perkahwinan’.


Nana terangguk-angguk mendengar kata-kata emaknya.

“Walau apa sahaja permintaan daripada suami, kita perlu patuh Nana. Jangan sesekali kita ingkar walau permintaan suami itu mampu menyakitkan hati kita. Ingat, syurga di bawah telapak kaki suami.” Sambung Mak Datin Bunga lagi.

Nana menoleh melihat ke arah emaknya. Wajah emaknya dari arah sisi dilihat lama sebelum dia bersuara menyatakan rasa hatinya.

“Walau suami kita minta untuk memadukan kita?” Soal Nana.

Perlahan-lahan Mak Datin Bunga mengangguk mengiakan kata-kata Nana. Nana berkalih memandang ke bawah. Tidak sanggup rasanya kasih yang dicurah oleh insan yang paling dia sayangi perlu dibahagi dengan wanita lain. Wajahnya menjadi keruh membayang andai nasibnya untuk dimadu menjadi kenyataan.

“Kenapa? Takut kena madu dengan suami suatu hari nanti?” Soal Mak Datin Bunga apabila perasankan riak wajah Nana sudah berubah menjadi suram.

Nana tidak menjawab soalan yang diaju oleh emaknya sebaliknya hanya mendiamkan diri dan tertunduk. Belum kahwin dengan Achik lagi dah takut kalau-kalau suatu hari nanti Achik jemu dengannya.

Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba terjengul wajah Pak Mot yang keluar dari arah pintu hadapan. Segera Mak Datin Bunga bangun dan menapak ke arah Pak Mot.

“Haa, macam mana si Achik tu Pak Mot?” Soal Mak Datin Bunga kepada Pak Mot.

“Dah ok dah. Awatnya anak dara hang tu, Odah? Termenung jauh aje aku tengok. Risaukan budak laki tu lagi ke?” Soal Pak Mot apabila melihat wajah Nana yang keruh dan suram.

“Haishhh... Hal orang perempuan, Pak Mot diam aje.” Jawab Mak Datin Bunga sambil matanya turut melirik ke arah Nana.

Pak Mot mencebik ke arah Mak Datin Bunga. “Aku tanya pun salah...” Omel Pak Mot seorang diri.

“Masuklah dulu Pak Mot. Aku buatkan air, lagipun duit ngurut Pak Mot pun Odah tak bayar lagi.” Mak Datin Bunga terus menapak masuk ke dalam rumah melintasi Pak Mot yang masih tercegat di tepi pintu.

Perlahan Pak Mot mengekori gerak langkah Mak Datin Bunga yang sudah berlalu masuk ke dalam rumah.

Nana di luar pula masih termenung sambil merenung masa hadapannya yang entah cerah atau kelam.


ACHIK menyarung baju ke tubuhnya setelah selesai mengurut. Sakit di pinggangnya sudah tidak begitu terasa dek penangan Pak Mot. Kalau macam ni gayanya, setiap kali sakit, cari Pak Mot aje. Tak payah buat duit pergi ‘berdating’ dengan doktor. Haa, baru kau tahu penangan mengurut.

Dia menapak keluar dari bilik. Apabila matanya bertaut dengan mata Mak Datin Bunga dan Pak Mot di ruang tamu, dia terus tersenyum. Dia melangkah mendekati mereka berdua.

“Macam mana rasanya, Achik? Dah ok ke pinggang kamu tu?” Soal Mak Datin Bunga apabila punggung Achik sudah mencecah ke atas kerusi di ruang tamu rumah mak Nana.

Achik tersenyum senang. “Alhamdulillah, dah lega. Kalau macam ni gayanya tak payahlah Achik nak pergi hospital dah. Cari Pak Mot aje lepas ni.” Balas Achik seraya tersengih-sengih ke arah Pak Mot.

Pak Mot tertawa mendengar kata-kata Achik. Seronoklah orang tua tu. Tangan bergerak sikit, dapat duit. Haha! Jahat!

“Ahh, sebelum saya lupa, berapa casnya Pak Mot?” Soal Achik kepada Pak Mot.

Baru sahaja Pak Mot ingin membuka mulut untuk menyatakan cas yang dikenakan kepada Achik, Mak Datin Bunga sudah memotong.

“Biar mak yang bayar.” Ujar Mak Datin Bunga seraya laju sahaja tangannya menarik beg duitnya yang diletak di bawah lipatan kain batik yang dipakainya. Tercengang kejap Achik dibuatnya. Dalam kepala otak dia ada satu aje persoalan.

Tak ke terlondeh kain batik tu? Jahat kau, Achik! Mengutuk bakal mak mentua. InsyaAllah...

“Eh, susahkan mak aje!” Ujar Achik dalam nada yang bersalah sambil mengusap belakang lehernya. Dia tersenyum senget melihat Mak Datin Bunga yang ralit mengira wang untuk diberi kepada Pak Mot.

“Anggap ajelah mak belanja Achik.” Kalau tadi Achik yang tercengang, sekarang Pak Mot pula yang tercengang.

Tercengang apabila mendengar Mak Datin Bunga membahasakan dirinya sebagai mak dengan Achik dan Achik memanggil Mak Datin Bunga sebagai mak. Ada sesuatu ke yang dia tidak tahu?

“Nah, Pak Mot!” Huluran Mak Datin Bunga mematikan ‘kecengangan’ Pak Mot. Dia segera mengambil wang yang dihulur oleh Mak Datin Bunga. Dikira dahulu jumlahnya sebelum memasukkan wang tersebut ke dalam beg duitnya.

Achik hanya berdiam diri. Hatinya dihurung rasa bersalah melihat Mak Datin Bunga yang kembali menyelitkan beg duitnya di dalam lipatan kain batik. Nasib baiklah baju yang dipakai oleh Mak Datin Bunga agak labuh, tak adalah nampak benda yang tak sepatutnya Achik dan Pak Mot tengok.

Tiba-tiba Achik teringatkan Nana. Melilau matanya mencari bayang Nana tapi tidak jua dia temui. Nak bertanya malu. Nanti tak pasal-pasal kena cop gatal. Buat malu kaum Adam aje, bro!

Mak Datin Bunga tersenyum nipis melihat Achik yang melilau. Tahu sangatlah apa yang terdetik di hati anak muda itu.

“Nana ada dekat pangkin bawah pokok rambutan. Pergilah tengok.” Selamba Mak Datin Bunga bersuara seraya mencapai cawannya dan perlahan-lahan dia menghirup air tersebut.

Achik tersengih-sengih sambil menggaru dahinya. Terlupa pula dia yang emak Nana dan Pak Mot ialah orang tua. Orang yang terlebih dahulu makan garam. Dia makan gula pun baru secubit dua.

“Hmm... Achik minta izin pergi tengok Nana kejap ya, mak.” Ujar Achik seraya bangun.

Achik berlalu pergi setelah Mak Datin Bunga mengangguk. Dia menundukkan badannya sedikit semasa melintasi Pak Mot dan Mak Datin Bunga. Pak Mot hanya tersenyum seraya mengangguk.

“Baik budak tu, Odah. Bakal menantu kau ke?” Pak Mot bersuara setelah kelibat Achik hilang di balik muka pintu.

Mak Datin Bunga hanya tersenyum seraya menghirup airnya lagi. Soalan Pak Mot dibiarkan berlalu dibawa angin.

Kalau ada jodoh. Detik hati Mak Datin Bunga.


ACHIK melihat ke arah Nana yang kelihatan seperti sedang bermenung jauh. Jauh sangat sampai dia yang dok terpacak di hadapan Nana pun seperti berada seribu kilometer daripada Nana.

“Ehem!” Achik berdehem seraya berpeluk tubuh dan memandang ke arah keretanya yang terletak tidak jauh dari pokok rambutan tersebut. Pokok rambutan! Aduh, pokok rambutan lagi!

Nana tersentak. Dia pantas mendongak memandang ke arah Achik.

“Kenapa, Achik?” Soal Nana.

Rindukan Achik ke? Jauh menungnya.” Usik Achik sambil tersengih ke arah Nana. Achik melabuhkan punggungnya di sebelah Nana tapi jarak antara mereka hampir dua jengkal. Mahu kena parang dengan Mak Datin Bunga duduk dekat-dekat dengan anak dara dia.

Nana tersenyum sumbing. Dia membiarkan bicara Achik berlalu dibawa angin sepoi-sepoi bahasa. Tak ada tenaga rasanya untuk dia membalas kata-kata Achik. Hatinya dipagut rasa pilu memikirkan kata-kata emaknya tadi.

Bagaimana jika benar-benar suatu hari nanti dia perlu menempuh alam rumah tangga sebagai seorang isteri yang perlu berkongsi kasih suami dengan wanita lain? Mampukah dia yang kerdil lagi hina ini menghadapi itu semua? Dan... Adakah suaminya nanti akan membahagi kasihnya kepada dua... atau tiga... atau mungkin empat?

“Nana!” Suara Achik yang lantang menerjah lubang telinga membuatkan lamunannya terhenti. Dia berpaling melihat ke arah Achik.

“Ya, kenapa Achik?” Soal Nana.

Achik tertawa kecil. “Achik cakap dengan patung rupa-rupanya tadi. Achik tanya tadi, dah apply cuti untuk esok ke?” Achik terpaksa mengulang kembali soalannya tadi.

“Hmm... Dah. Achik...”

Achik merenung ke dalam anak mata Nana. “Ya.”

“Achik dah bagitau ibu Achik yang Achik akan balik esok?” Nana mengaju soalan kepada Achik. Tiba-tiba perasaan kekok muncul di dalam dirinya apabila duduk berdua-duaan sebegini bersama-sama Achik.

“Mestilah, dah. Kalau tak Achik tak terpacak dekat sini lagi.” Balas Achik sambil tersengih.

Nana hanya tersengih namun kekoknya begitu jelas kelihatan. Dia tertunduk memandang ke arah kakinya yang menguis tanah. Dahi Achik berkerut melihat Nana.

“Nana tak sihat ke? Achik tengok dari tadi diam aje. Ke ada perkara yang mengganggu fikiran Nana? Ceritalah dengan Achik. Mana tahu dapat mengurang beban Nana.” Achik cuba memancing perhatian daripada Nana yang masih tertunduk.

Nana mendongak tapi dia tidak langsung menoleh apatah lagi melihat ke arah Achik. Perlahan-lahan nafas dihela sebelum dia kembali tertunduk.

“Kalau Achik jadi suami Nana suatu hari nanti, Achik akan madukan Nana tak?” Perlahan suara Nana berbicara tapi masih jelas di telinga Achik bait-baitnya.

Achik merenung tajam ke arah Nana. Hatinya berasa terguris dengan soalan Nana.

“Soalan Nana tu buat Achik tertanya-tanya. Nana masih tidak percayakan Achik ke walaupun Achik sudah pun berjumpa dengan mak Nana?” Nada suaranya serius. Matanya tidak berganjak dari terus memanah wajah Nana yang tertunduk.

Nana menggigit bibirnya. “Bukan macam tu maksud Nana. Maksud Nana...” Ayatnya tergantung di situ sahaja. Akalnya ligat mengatur ayat untuk memberikan jawapan buat soalan Achik tapi lidahnya kelu untuk berkata-kata.

Achik tersenyum sinis. Kepalanya digelengkan berkali-kali. “I’ll believe you if you believe me. Dan sekarang Achik rasa macam... I don’t want to say that word. Hanya kerana Achik lebih muda dari Nana, Nana tak percayakan Achik ke?” Dari sinis, suaranya bertukar menjadi sayu.

Nana menelan air liurnya yang terasa seperti berpasir. Tubir matanya tiba-tiba terasa berat dengan air mata yang mulai bertakung. Tiba-tiba dia rasa menyesal kerana berbicara begitu terhadap Achik. Nampak sangat ke yang dia tidak yakin akan Achik?

“Nana, semua orang ada masa hadapan yang berbeza-beza. Mungkin juga hari ni Achik datang untuk meraih restu mak Nana untuk menjadi suami Nana tapi kita tak tahu esok. Mungkin jodoh Achik bukan dengan Nana. Dan mungkin juga sebaliknya. Soal madu. Haha!” Achik ketawa tiba-tiba membuatkan Nana mendongak memandang ke arah Achik.

Lawak ke soal madu yang mampu menjadi hempedu ni? Tiba-tiba pandangannya bertaut dengan mata Achik. Achik tersenyum manis semanis madu ke arah Nana. Ahh, perlu ke ada perkataan madu tu?! Gula tak boleh? Manis juga apa.

“Nana ni dahsyatlah. Achik pun tak terfikir lagi soal selepas kahwin. Tapi, ada satu yang Achik dah rancang...” Dia tersengih pula ke arah Nana. Nana pula hanya mampu membatukan diri.

“Achik nak nyanyi lagu Gurauan Berkasih dengan Nana waktu majlis resepsi kita.” Achik menunjuk tanda ‘peace’ ke arah Nana.

Perlahan-lahan Nana mengukirkan senyuman. Hatinya terhibur dengan kata-kata Achik. Achik yang pandai bermain kata, Achik yang pandai menenangkan jiwa. Ceh! Tagline baru ke?

“Achik nak pergi tengok budak-budak main bola dekat depan kejaplah.” Ucap Achik seraya bangun dan menapak meninggalkan Nana sendirian. Nana hanya mampu melihat Achik berlalu.

Achik bersandar pada boot keretanya. Tidaklah jauh mana pun sebenarnya. Depan rumah aje budak-budak tu main bola. Tapi sengaja dia ingin melarikan diri seketika daripada Nana. Jujur, hatinya masih terguris tapi apa yang mampu dia lakukan. Dia perlu mengalah dan dia ingin mengalah. Biarlah... Demi cintanya buat Nana.

Ya Allah, KAU tabahkanlah hatiku dan KAU tebalkanlah kesabaranku agar mampu aku menghadapi segala dugaan yang KAU hadirkan dalam hidupku. Ya Allah, KAU kuatkanlah iman Nana. KAU tabahkanlah jua hatinya yang lemah.

Achik mengadu pada Yang Maha Esa sambil matanya ralit melihat kepulan-kepulan awan yang berarak di langit biru.


“MAK,  Nana janji Nana akan cuba balik lagi lain kali. Nana janji, mak...” Dengan juraian air mata Nana menunduk dan mengucup lembut tangan emaknya.

Perlahan-lahan Mak Datin Bunga mengusap lembut kepala Nana. Ikutkan hati, dia juga tidak mahu melepaskan satu-satu anak daranya itu pulang ke Kuala Lumpur tapi dia perlu sedar, kerjaya di bandar lebih lumayan berbanding di kampung. Lagipun dia percaya, Achik mampu menjaga Nana di sana.

“Sudahlah, Nana. Mak tahu Nana akan balik jenguk mak nanti. Tapi tak perlulah nak menangis macam ni. Bukannya susah zaman sekarang ni, telefon kan ada. Agak-agak rindu dengan mak, telefon ajelah.” Ujar Mak Datin Bunga apabila Nana sudah mengangkat kepalanya.

Nana hanya mampu tersenyum senget. Dengan tudung sekali senget dibuatnya. Mak Datin Bunga menyeka air mata yang mengalir di pipi Nana.

“Jaga diri baik-baik ya, Nana.” Nasihat Mak Datin Bunga.

Nana hanya mengangguk. Achik yang sedang menyusun beg mereka di dalam boot kereta tersenyum sendiri melihat adegan dua beranak tersebut. Timbul perasaan rindu pada ibunya di Kuala Lumpur.

“Nana pergi dulu ya, mak. Mak pun jaga diri. Assalamualaikum.” Ucap Nana seraya terus melangkah meninggalkan emaknya. Sesekali dia menoleh ke arah emaknya sebelum masuk ke tempat penumpang kereta Honda City milik Achik.

Achik yang sudah selesai menyusun beg di dalam boot kereta terus menapak ke arah Mak Datin Bunga. Wajah mereka kelihatan begitu serius ketika berbicara membuatkan Nana tertanya-tanya soal topik yang sedang mereka berdua bincangkan.

Nana melambai ke arah Mak Datin Bunga sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Achik perlahan-lahan bergerak meninggalkan perkarangan rumah emaknya.

“Apa yang Achik bualkan dengan mak tadi?” Soal Nana apabila kereta Achik sudah pun berada di atas jalanraya.

Achik tersenyum lebar. “Soal kau satu-satunya bakal permaisuriku.” Ujar Achik seraya mengenyitkan matanya ke arah Nana.


Nana hanya mendiamkan diri cuba untuk memahami kata-kata Achik. Sudahnya sepanjang perjalanan mereka hanya berdiam. Tiada walau sepatah pun perkataan yang terbit di bibir mereka berdua. Achik tekun memandu, Nana tekun mendengar celoteh juruhebah radio.

Kau satu-satunya bakal permaisuriku... Ayat yang Achik ucapkan pada Nana tadi berulang kembali di benak Nana. Sesekali dia mengerling ke arah Achik yang masih ligat mengemudi stereng.

Nyah kau perasaan tak yakin! Jerit Nana di dalam hati.

Nyah, kau, nyah!

4 comments: