Assalamualaikum dan hai semua...
BERBANDING semalam, hari ni tiada lagi jeritan
batinku versi Achik semasa diurut oleh Pak Mot. Senyap dan sunyi aje.
Sangatlah... Padahal kecoh suara Mak Datin Bunga dok memekik nama Nana dari
arah luar rumah.
Nana yang baru selesai melipat telekung
setelah menunaikan solat Asar segera berlalu keluar. Sempat jua dia mencapai
tudung sarung yang tersangkut di tepi pintu sebelum mencari emaknya di luar.
“Ada apa mak panggil Nana?” Soal Nana
seraya menyarung selipar.
“Kamu dah telefon ke Puan Syura cakap
tambah cuti esok?” Sambil tangannya ligat menarik rumput liar di dalam pasu
bunga kesayangannya sambil itu mulutnya menyoal Nana.
“Dah, mak. Puan Syura cakap boleh.
Lagipun tempahan tak banyak minggu ni.” Balas Nana sambil melangkah menuju ke
arah pangkin yang terletak di bawah pokok rambutan. Dia tersenyum sendiri
apabila terkenangkan peristiwa semalam.
Macam nangka busuk Achik ‘terjun’ dari
atas pokok rambutan semalam. Tapi kesian juga dia tengok muka Achik yang
menahan sakit gara-gara ‘terjun’ cara paling tragis abad ini. Nasiblah badan...
Mak Datin Bunga menoleh melihat ke arah
anak dara tunggalnya itu. Dia menggeleng perlahan sambil menepuk tangannya yang
dipenuhi tanah. Perlahan kakinya melangkah mendekati Nana yang masih tersenyum.
Ni kalau jururawat hospital bahagia nampak ni, tak tunggu dah. Terus diangkut
naik ambulans ke hospital bahagia. Bahagialah Nana.
“Jangan gatal nak teringatkan anak
teruna orang, Nana oi!” Sergah Mak Datin Bunga membuatkan Nana hampir
terlompat.
Nana mengurut perlahan dadanya sebelum
tersengih ke arah emaknya. Dia mengesot sedikit untuk memberi ruang kepada Mak
Datin Bunga untuk duduk. Dia kembali melihat ke arah rumahnya. Entah bila
pulalah dia dapat tengok rumah ni.
“Dalam rumah tangga ni Nana, ada
macam-macam rasa. Ada pahit, ada manis, ada masam, ada tawar. Semuanya
cukuplah. Mungkin pahit akan manis akhirnya tapi tak semua, Nana. Sebagai
seorang isteri, kita kena bijak mengawal perasaan.” Mak Datin Bunga sudah buka
topik ‘bersedialah Nana untuk masuk ke alam perkahwinan’.
Nana terangguk-angguk mendengar
kata-kata emaknya.
“Walau apa sahaja permintaan daripada
suami, kita perlu patuh Nana. Jangan sesekali kita ingkar walau permintaan
suami itu mampu menyakitkan hati kita. Ingat, syurga di bawah telapak kaki
suami.” Sambung Mak Datin Bunga lagi.
Nana menoleh melihat ke arah emaknya.
Wajah emaknya dari arah sisi dilihat lama sebelum dia bersuara menyatakan rasa
hatinya.
“Walau suami kita minta untuk memadukan
kita?” Soal Nana.
Perlahan-lahan Mak Datin Bunga
mengangguk mengiakan kata-kata Nana. Nana berkalih memandang ke bawah. Tidak
sanggup rasanya kasih yang dicurah oleh insan yang paling dia sayangi perlu
dibahagi dengan wanita lain. Wajahnya menjadi keruh membayang andai nasibnya
untuk dimadu menjadi kenyataan.
“Kenapa? Takut kena madu dengan suami
suatu hari nanti?” Soal Mak Datin Bunga apabila perasankan riak wajah Nana
sudah berubah menjadi suram.
Nana tidak menjawab soalan yang diaju
oleh emaknya sebaliknya hanya mendiamkan diri dan tertunduk. Belum kahwin
dengan Achik lagi dah takut kalau-kalau suatu hari nanti Achik jemu dengannya.
Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba
terjengul wajah Pak Mot yang keluar dari arah pintu hadapan. Segera Mak Datin
Bunga bangun dan menapak ke arah Pak Mot.
“Haa, macam mana si Achik tu Pak Mot?”
Soal Mak Datin Bunga kepada Pak Mot.
“Dah ok dah. Awatnya anak dara hang tu,
Odah? Termenung jauh aje aku tengok. Risaukan budak laki tu lagi ke?” Soal Pak
Mot apabila melihat wajah Nana yang keruh dan suram.
“Haishhh... Hal orang perempuan, Pak Mot
diam aje.” Jawab Mak Datin Bunga sambil matanya turut melirik ke arah Nana.
Pak Mot mencebik ke arah Mak Datin
Bunga. “Aku tanya pun salah...” Omel Pak Mot seorang diri.
“Masuklah dulu Pak Mot. Aku buatkan air,
lagipun duit ngurut Pak Mot pun Odah tak bayar lagi.” Mak Datin Bunga terus
menapak masuk ke dalam rumah melintasi Pak Mot yang masih tercegat di tepi
pintu.
Perlahan Pak Mot mengekori gerak langkah
Mak Datin Bunga yang sudah berlalu masuk ke dalam rumah.
Nana di luar pula masih termenung sambil
merenung masa hadapannya yang entah cerah atau kelam.
ACHIK menyarung baju ke tubuhnya setelah selesai
mengurut. Sakit di pinggangnya sudah tidak begitu terasa dek penangan Pak Mot.
Kalau macam ni gayanya, setiap kali sakit, cari Pak Mot aje. Tak payah buat
duit pergi ‘berdating’ dengan doktor.
Haa, baru kau tahu penangan mengurut.
Dia menapak keluar dari bilik. Apabila
matanya bertaut dengan mata Mak Datin Bunga dan Pak Mot di ruang tamu, dia
terus tersenyum. Dia melangkah mendekati mereka berdua.
“Macam mana rasanya, Achik? Dah ok ke
pinggang kamu tu?” Soal Mak Datin Bunga apabila punggung Achik sudah mencecah
ke atas kerusi di ruang tamu rumah mak Nana.
Achik tersenyum senang. “Alhamdulillah,
dah lega. Kalau macam ni gayanya tak payahlah Achik nak pergi hospital dah.
Cari Pak Mot aje lepas ni.” Balas Achik seraya tersengih-sengih ke arah Pak
Mot.
Pak Mot tertawa mendengar kata-kata Achik.
Seronoklah orang tua tu. Tangan bergerak sikit, dapat duit. Haha! Jahat!
“Ahh, sebelum saya lupa, berapa casnya
Pak Mot?” Soal Achik kepada Pak Mot.
Baru sahaja Pak Mot ingin membuka mulut
untuk menyatakan cas yang dikenakan kepada Achik, Mak Datin Bunga sudah
memotong.
“Biar mak yang bayar.” Ujar Mak Datin
Bunga seraya laju sahaja tangannya menarik beg duitnya yang diletak di bawah
lipatan kain batik yang dipakainya. Tercengang kejap Achik dibuatnya. Dalam
kepala otak dia ada satu aje persoalan.
Tak ke terlondeh kain batik tu? Jahat
kau, Achik! Mengutuk bakal mak mentua. InsyaAllah...
“Eh, susahkan mak aje!” Ujar Achik dalam
nada yang bersalah sambil mengusap belakang lehernya. Dia tersenyum senget
melihat Mak Datin Bunga yang ralit mengira wang untuk diberi kepada Pak Mot.
“Anggap ajelah mak belanja Achik.” Kalau
tadi Achik yang tercengang, sekarang Pak Mot pula yang tercengang.
Tercengang apabila mendengar Mak Datin
Bunga membahasakan dirinya sebagai mak dengan Achik dan Achik memanggil Mak
Datin Bunga sebagai mak. Ada sesuatu ke yang dia tidak tahu?
“Nah, Pak Mot!” Huluran Mak Datin Bunga
mematikan ‘kecengangan’ Pak Mot. Dia segera mengambil wang yang dihulur oleh
Mak Datin Bunga. Dikira dahulu jumlahnya sebelum memasukkan wang tersebut ke
dalam beg duitnya.
Achik hanya berdiam diri. Hatinya dihurung
rasa bersalah melihat Mak Datin Bunga yang kembali menyelitkan beg duitnya di
dalam lipatan kain batik. Nasib baiklah baju yang dipakai oleh Mak Datin Bunga
agak labuh, tak adalah nampak benda yang tak sepatutnya Achik dan Pak Mot
tengok.
Tiba-tiba Achik teringatkan Nana. Melilau
matanya mencari bayang Nana tapi tidak jua dia temui. Nak bertanya malu. Nanti tak
pasal-pasal kena cop gatal. Buat malu kaum Adam aje, bro!
Mak Datin Bunga tersenyum nipis melihat
Achik yang melilau. Tahu sangatlah apa yang terdetik di hati anak muda itu.
“Nana ada dekat pangkin bawah pokok
rambutan. Pergilah tengok.” Selamba Mak Datin Bunga bersuara seraya mencapai
cawannya dan perlahan-lahan dia menghirup air tersebut.
Achik tersengih-sengih sambil menggaru
dahinya. Terlupa pula dia yang emak Nana dan Pak Mot ialah orang tua. Orang yang
terlebih dahulu makan garam. Dia makan gula pun baru secubit dua.
“Hmm... Achik minta izin pergi tengok
Nana kejap ya, mak.” Ujar Achik seraya bangun.
Achik berlalu pergi setelah Mak Datin
Bunga mengangguk. Dia menundukkan badannya sedikit semasa melintasi Pak Mot dan
Mak Datin Bunga. Pak Mot hanya tersenyum seraya mengangguk.
“Baik budak tu, Odah. Bakal menantu kau
ke?” Pak Mot bersuara setelah kelibat Achik hilang di balik muka pintu.
Mak Datin Bunga hanya tersenyum seraya
menghirup airnya lagi. Soalan Pak Mot dibiarkan berlalu dibawa angin.
Kalau ada jodoh. Detik hati Mak Datin
Bunga.
ACHIK melihat ke arah Nana yang kelihatan seperti
sedang bermenung jauh. Jauh sangat sampai dia yang dok terpacak di hadapan Nana
pun seperti berada seribu kilometer daripada Nana.
“Ehem!” Achik berdehem seraya berpeluk
tubuh dan memandang ke arah keretanya yang terletak tidak jauh dari pokok
rambutan tersebut. Pokok rambutan! Aduh, pokok rambutan lagi!
Nana tersentak. Dia pantas mendongak
memandang ke arah Achik.
“Kenapa, Achik?” Soal Nana.
“Rindukan Achik ke? Jauh menungnya.”
Usik Achik sambil tersengih ke arah Nana. Achik melabuhkan punggungnya di
sebelah Nana tapi jarak antara mereka hampir dua jengkal. Mahu kena parang
dengan Mak Datin Bunga duduk dekat-dekat dengan anak dara dia.
Nana tersenyum sumbing. Dia membiarkan
bicara Achik berlalu dibawa angin sepoi-sepoi bahasa. Tak ada tenaga rasanya
untuk dia membalas kata-kata Achik. Hatinya dipagut rasa pilu memikirkan
kata-kata emaknya tadi.
Bagaimana jika benar-benar suatu hari
nanti dia perlu menempuh alam rumah tangga sebagai seorang isteri yang perlu
berkongsi kasih suami dengan wanita lain? Mampukah dia yang kerdil lagi hina
ini menghadapi itu semua? Dan... Adakah suaminya nanti akan membahagi kasihnya
kepada dua... atau tiga... atau mungkin empat?
“Nana!” Suara Achik yang lantang
menerjah lubang telinga membuatkan lamunannya terhenti. Dia berpaling melihat
ke arah Achik.
“Ya, kenapa Achik?” Soal Nana.
Achik tertawa kecil. “Achik cakap dengan
patung rupa-rupanya tadi. Achik tanya tadi, dah apply cuti untuk esok ke?” Achik terpaksa mengulang kembali
soalannya tadi.
“Hmm... Dah. Achik...”
Achik merenung ke dalam anak mata Nana. “Ya.”
“Achik dah bagitau ibu Achik yang Achik
akan balik esok?” Nana mengaju soalan kepada Achik. Tiba-tiba perasaan kekok
muncul di dalam dirinya apabila duduk berdua-duaan sebegini bersama-sama Achik.
“Mestilah, dah. Kalau tak Achik tak
terpacak dekat sini lagi.” Balas Achik sambil tersengih.
Nana hanya tersengih namun kekoknya
begitu jelas kelihatan. Dia tertunduk memandang ke arah kakinya yang menguis
tanah. Dahi Achik berkerut melihat Nana.
“Nana tak sihat ke? Achik tengok dari
tadi diam aje. Ke ada perkara yang mengganggu fikiran Nana? Ceritalah dengan
Achik. Mana tahu dapat mengurang beban Nana.” Achik cuba memancing perhatian
daripada Nana yang masih tertunduk.
Nana mendongak tapi dia tidak langsung
menoleh apatah lagi melihat ke arah Achik. Perlahan-lahan nafas dihela sebelum
dia kembali tertunduk.
“Kalau Achik jadi suami Nana suatu hari
nanti, Achik akan madukan Nana tak?” Perlahan suara Nana berbicara tapi masih jelas
di telinga Achik bait-baitnya.
Achik merenung tajam ke arah Nana. Hatinya
berasa terguris dengan soalan Nana.
“Soalan Nana tu buat Achik
tertanya-tanya. Nana masih tidak percayakan Achik ke walaupun Achik sudah pun
berjumpa dengan mak Nana?” Nada suaranya serius. Matanya tidak berganjak dari
terus memanah wajah Nana yang tertunduk.
Nana menggigit bibirnya. “Bukan macam tu
maksud Nana. Maksud Nana...” Ayatnya tergantung di situ sahaja. Akalnya ligat
mengatur ayat untuk memberikan jawapan buat soalan Achik tapi lidahnya kelu
untuk berkata-kata.
Achik tersenyum sinis. Kepalanya digelengkan
berkali-kali. “I’ll believe you if you
believe me. Dan sekarang Achik rasa macam... I don’t want to say that word.
Hanya kerana Achik lebih muda dari Nana, Nana tak percayakan Achik ke?”
Dari sinis, suaranya bertukar menjadi sayu.
Nana menelan air liurnya yang terasa
seperti berpasir. Tubir matanya tiba-tiba terasa berat dengan air mata yang
mulai bertakung. Tiba-tiba dia rasa menyesal kerana berbicara begitu terhadap
Achik. Nampak sangat ke yang dia tidak yakin akan Achik?
“Nana, semua orang ada masa hadapan yang
berbeza-beza. Mungkin juga hari ni Achik datang untuk meraih restu mak Nana
untuk menjadi suami Nana tapi kita tak tahu esok. Mungkin jodoh Achik bukan
dengan Nana. Dan mungkin juga sebaliknya. Soal madu. Haha!” Achik ketawa
tiba-tiba membuatkan Nana mendongak memandang ke arah Achik.
Lawak ke soal madu yang mampu menjadi
hempedu ni? Tiba-tiba pandangannya bertaut dengan mata Achik. Achik tersenyum
manis semanis madu ke arah Nana. Ahh, perlu ke ada perkataan madu tu?! Gula tak
boleh? Manis juga apa.
“Nana ni dahsyatlah. Achik pun tak
terfikir lagi soal selepas kahwin. Tapi, ada satu yang Achik dah rancang...”
Dia tersengih pula ke arah Nana. Nana pula hanya mampu membatukan diri.
“Achik nak nyanyi lagu Gurauan Berkasih
dengan Nana waktu majlis resepsi kita.” Achik menunjuk tanda ‘peace’ ke arah Nana.
Perlahan-lahan Nana mengukirkan
senyuman. Hatinya terhibur dengan kata-kata Achik. Achik yang pandai bermain
kata, Achik yang pandai menenangkan jiwa. Ceh! Tagline baru ke?
“Achik nak pergi tengok budak-budak main
bola dekat depan kejaplah.” Ucap Achik seraya bangun dan menapak meninggalkan
Nana sendirian. Nana hanya mampu melihat Achik berlalu.
Achik bersandar pada boot keretanya. Tidaklah jauh mana pun
sebenarnya. Depan rumah aje budak-budak tu main bola. Tapi sengaja dia ingin
melarikan diri seketika daripada Nana. Jujur, hatinya masih terguris tapi apa
yang mampu dia lakukan. Dia perlu mengalah dan dia ingin mengalah. Biarlah...
Demi cintanya buat Nana.
Ya Allah, KAU tabahkanlah hatiku dan KAU
tebalkanlah kesabaranku agar mampu aku menghadapi segala dugaan yang KAU
hadirkan dalam hidupku. Ya Allah, KAU kuatkanlah iman Nana. KAU tabahkanlah jua
hatinya yang lemah.
Achik mengadu pada Yang Maha Esa sambil
matanya ralit melihat kepulan-kepulan awan yang berarak di langit biru.
“MAK, Nana
janji Nana akan cuba balik lagi lain kali. Nana janji, mak...” Dengan juraian
air mata Nana menunduk dan mengucup lembut tangan emaknya.
Perlahan-lahan Mak Datin Bunga mengusap
lembut kepala Nana. Ikutkan hati, dia juga tidak mahu melepaskan satu-satu anak
daranya itu pulang ke Kuala Lumpur tapi dia perlu sedar, kerjaya di bandar
lebih lumayan berbanding di kampung. Lagipun dia percaya, Achik mampu menjaga
Nana di sana.
“Sudahlah, Nana. Mak tahu Nana akan
balik jenguk mak nanti. Tapi tak perlulah nak menangis macam ni. Bukannya susah
zaman sekarang ni, telefon kan ada. Agak-agak rindu dengan mak, telefon ajelah.”
Ujar Mak Datin Bunga apabila Nana sudah mengangkat kepalanya.
Nana hanya mampu tersenyum senget. Dengan
tudung sekali senget dibuatnya. Mak Datin Bunga menyeka air mata yang mengalir
di pipi Nana.
“Jaga diri baik-baik ya, Nana.” Nasihat
Mak Datin Bunga.
Nana hanya mengangguk. Achik yang sedang
menyusun beg mereka di dalam boot
kereta tersenyum sendiri melihat adegan dua beranak tersebut. Timbul perasaan
rindu pada ibunya di Kuala Lumpur.
“Nana pergi dulu ya, mak. Mak pun jaga
diri. Assalamualaikum.” Ucap Nana seraya terus melangkah meninggalkan emaknya. Sesekali
dia menoleh ke arah emaknya sebelum masuk ke tempat penumpang kereta Honda City
milik Achik.
Achik yang sudah selesai menyusun beg di
dalam boot kereta terus menapak ke
arah Mak Datin Bunga. Wajah mereka kelihatan begitu serius ketika berbicara
membuatkan Nana tertanya-tanya soal topik yang sedang mereka berdua bincangkan.
Nana melambai ke arah Mak Datin Bunga
sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Achik perlahan-lahan bergerak
meninggalkan perkarangan rumah emaknya.
“Apa yang Achik bualkan dengan mak tadi?”
Soal Nana apabila kereta Achik sudah pun berada di atas jalanraya.
Achik tersenyum lebar. “Soal kau
satu-satunya bakal permaisuriku.” Ujar Achik seraya mengenyitkan matanya ke
arah Nana.
Nana hanya mendiamkan diri cuba untuk
memahami kata-kata Achik. Sudahnya sepanjang perjalanan mereka hanya berdiam. Tiada
walau sepatah pun perkataan yang terbit di bibir mereka berdua. Achik tekun
memandu, Nana tekun mendengar celoteh juruhebah radio.
Kau satu-satunya bakal permaisuriku...
Ayat yang Achik ucapkan pada Nana tadi berulang kembali di benak Nana. Sesekali
dia mengerling ke arah Achik yang masih ligat mengemudi stereng.
Nyah kau perasaan tak yakin! Jerit Nana
di dalam hati.
Nyah, kau, nyah!
sweetnya :)
ReplyDeletehehe.. kalah madu.. huhu... ;)
DeleteAla...hai...nana..;)
ReplyDeletehehe.. nana nini nunu.. huhu... ;D
Delete