Assalamualaikum dan hai semua...
TERPISAT-PISAT Achik membuka mata apabila terasa ada
cahaya yang menerobos masuk ke dalam kornea matanya. Perlahan-lahan dia bangun.
Bahagian pinggang masih terasa perit tapi tidak seperit sewaktu mula-mula jatuh
dari pokok rambutan tadi.
“Bangunlah, Achik. Dah senja dah ni.”
Suara Mak Datin Bunga menerjah lubang telinganya. Dia pantas bangun dan mencari
kelibat sang empunya suara. Dia melihat Mak Datin Bunga berdiri tegak di
sebelah suis lampu.
Achik mengangguk perlahan sambil
tersenyum nipis. Mak Datin Bunga terus berlalu keluar apabila melihat Achik
sudah tersandar di kepala katil. Achik tersenyum sendiri apabila teringat
kembali kejadian petang tadi. Aduh, buat lawak bodoh betullah tupai tu. Ada ke
patutnya landing dekat depan dia
walhal banyak lagi tempat landing baik
punya.
Melihat jarum jam pendek sudah tepat ke
angka tujuh, dia segera bangun untuk membersihkan diri sebelum menunaikan
tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Dengan langkah yang gontai dia berlalu keluar
setelah mengambil tualanya.
Sakit tu sakit juga, tapi bukan alasan
untuk tidak menunaikan solat. Tak boleh berdiri, duduk, tak duduk, baring. Tak
boleh juga baring, guna kelopak mata. Tak boleh juga! Gunakan hati. Kalau tak
boleh juga! Jawabnya kena ready upah penggali
kubur, beli siap kain kafan. Bungkus lepas tu tanam.
“Achik ok?” Soal Nana yang baru sahaja
keluar dari biliknya di sebelah bilik tamu.
Achik menoleh melihat Nana. Dia
tersenyum senget.
“Macam ni ajelah. Sakit lagi...” Adu
Achik pada Nana. Suara ala-ala minta simpati dengan Nana. Tangannya memegang
pinggang.
Nana membuat muka risau melihat Achik
yang kelihatan macam datuk sakit pinggang. Dia menggigit bibir dengan rasa
bersalah yang kembali mengepung dadanya. Aduh, takut kena cop pembuli bakal
suami. Aniaya!
Achik yang pelik melihat wajah Nana yang
berubah terus menyoalnya. “Kenapa, Nana? Semacam aje muka. Tak adalah, Achik
tak sakit sangat dah. Risau ke?” Achik cuba mencari lirikan redup mata Nana
yang tersembunyi dari pandangannya.
Nana tersenyum nipis ke arah Achik. Nak
bagitau atau tak. Hmmm... Bagitau ajelah.
“Hmm... Nana takut ibu Achik marahkan
Nana.” Luah Nana dengan ton suara yang perlahan. Dia tertunduk memandang ke
arah lantai.
“Haa? Kenapa pula ibu nak marah? Nana
ada buat apa-apa ke?” Aduh, blur
sungguh mamat ni!
Nana tersengih sambil menggaru kepalanya
yang terlindung di bawah kain tudung yang tidak gatal. Oleh kerana dia sudah
bertudung, jadi kenalah dia bertudung walau di dalam rumah. Lagipun dia dan
Achik masih lagi dikira sebagai bukan mahram.
“Yalah, dah Achik sakit macam ni. Baru
aje sehari dekat sini dah macam-macam jadi.” Balas Nana.
Achik ketawa terbahak-bahak. “Aduh,
aduh... Haha! Sakit buah pinggang Achik dengar ayat Nana ni. Aduhhhh, Nana...
Bukannya Nana yang tolak Achik dari atas pokok tu. Lagipun bukannya sengaja
Achik nak terjun dari atas pokok tu. Tak adanya ibu nak marah Nana.” Ujar Achik
dengan tawa yang masih bersisa.
Tangannya pula memegang pinggangnya.
Senak perut, ngilu pinggang dia dibuatnya. Nana yang melihat Achik yang masih
asyik dengan tawanya memuncungkan bibir. Geram pun ada.
“Amboi, berseloka cinta remaja nampak!
Tak nampak ke jam dah pukul berapa tu? Tak ingat nak ambil wuduk solat Maghrib
ke?” Tegur Mak Datin Bunga yang muncul dari arah dapur.
Laju mereka berdua melarikan diri. Yang
Nana terus masuk kembali ke dalam biliknya. Yang Achik pula segera berlalu
melintasi Mak Datin Bunga untuk ke bilik air yang terletak di sebelah ruang
dapur. Sempat juga dia menyengih ke arah Mak Datin Bunga.
Mak Datin Bunga pula hanya menggelengkan
kepala melihat gelagat Achik dan Nana. Dia terus berlalu ke arah bilik Nana.
Jam dah pukul tujuh suku tapi boleh pula dia masuk ke dalam bilik. Tak
reti-reti ke nak ambil wuduk lepas tu solat!
“Dah solat Maghrib ke belum?” Soal Mak
Datin Bunga dari arah luar bilik Nana.
“Belum, mak.” Balas Nana.
“Habis tu apalagi dibuatnya dekat dalam
bilik tu. Pergilah ambil wuduk. Ambil dekat tandas. Jangan nak lambat-lambat,
nak kahwin tapi nak solat awal-awal liat bebeno.
Nak tunggu mak bentangkan karpet merah untuk pergi ambil wuduk ke?” Kan Mak
Datin Bunga dah membebel.
Nana terus membuka pintu dan tersengih
ke arah emaknya yang masih terpacak di depan pintu biliknya. Wajahnya emaknya
kelihatan basah. Mungkin dek air wuduk.
“Apalagi yang dok tersengih depan mak. Pergi
cepat! Rotan nanti baru tahu.”
Ligat Nana mengatur langkah ke arah
tandas. Karang kena rotan betul-betul buat malu dengan Achik aje. Umur dah nak
masuk three series tapi kena rotan
lagi dengan mak sebab liat nak solat.
Mak Datin Bunga berlalu ke arah biliknya
untuk menunaikan solat Maghrib.
“AMIN YA RABBAL Al-AMIN...” Achik meraup wajahnya
setelah selesai berdoa. Oleh kerana tak boleh nak solat berdiri, Achik solat
secara duduk di atas kerusi. Itupun pedih juga pinggangnya tapi ditahan
sajalah.
Dia bangun lantas tunduk untuk melipat
sejadah yang digunakan untuk solat. Songkok yang dipakai, dibuka lalu
diletakkan ke atas meja solek. Dia melabuhkan punggung ke atas katil. Berkerut
dahinya menahan pedih yang menyucuk-nyucuk pinggangnya.
“Achik...” Mendengar namanya diseru dari
arah luar bilik, dia pantas bangun dan menapak ke arah pintu bilik. Tombol pintu
dipulas dan dibuka pintu tersebut. Terjengul wajah Nana yang kelihatan
malu-malu.
“Yup.”
“Mak panggil makan malam.” Ujar Nana
ringkas dan terus berlalu tanpa menanti Achik. Entah kenapa tapi malunya kepada
Achik pada hari ni melebihi semalam dan kelmarin.
Achik yang terpinga-pinga dengan
pemergian Nana hanya melihat Nana yang menonong melangkah ke arah dapur. Mahu tidak
mahu, Achik turut membuka langkah mengekori Nana ke dapur. Lagipun perutnya
sudah mendendangkan lagu Seksa. Pok cik
Amir Uk’s yang nyanyi.
Masuk sahaja ke ruang dapur, terus
hidungnya tercium aroma gulai tempoyak. Kecur liur dibuatnya. Laju sahaja dia
melabuhkan punggung ke atas kerusi di meja makan.
“Dah basuh tangan ke belum ni?” Soal Mak
Datin Bunga sambil tangannya ligat menuang air sirap ke dalam gelas.
Sambil tersengih Achik menggelengkan
kepalanya.
“Dekat sini tak ada servis paip datang
dekat meja makan. Jadi, sakit pinggang ke tak kenalah pergi ke sinki.” Sinis
sungguh suara Mak Datin Bunga ‘menyinis’ Achik yang teruja nak menghadap makan
malamnya.
Achik tersengih dalam keadaan kekok. Sedih
pula dirinya ‘disinis-menyinis’ oleh bakal mak mentua. Baru sahaja Achik ingin
bangun, Nana sudah mencelah.
“Tak apalah, mak. Biar Nana ambilkan air
basuh tangan. Achik duduk aje.” Nana terus bangun dan berlalu ke arah rak pinggan
sebelum mengambil mangkuk lalu diisi dengan air paip.
Mak Datin Bunga yang melihat adegan ‘ku
kasih ku sayangmu, Achik’ oleh Nana menjeling tajam ke arah Nana. Tajam sampai
boleh terbelah dua badan Nana dibuatnya.
Hai, kalau dah katanya cinta tu! Rasanya
dengan paip dan sinki tu pun sanggup dibawanya ke meja ni. Mak Datin Bunga
melepaskan rasa geramnya melihat Nana di dalam hati.
Achik hanya terdiam. Aduh, Nana! Kenapalah
baik sangat ni. Nanti tak pasal-pasal pula aku kena lempang dengan mak dia ni.
Dahlah menumpang, menyusahkan dia pula. Achik bermonolog di dalam hati.
Nana yang perasan jelingan emaknya hanya
buat selamba badak. Mangkuk yang berisi air basuh tangan diletakkan di sebelah
Achik sebelum dia melabuhkan punggung ke atas kerusi yang didudukinya tadi.
Mereka memulakan sesi makan malam
setelah membaca doa sebelum makan yang diketuai oleh Achik. Sakit pinggang
diletakkan ke tepi. Teruja dapat makan gulai tempoyak ikan kembung sampai dua
kali tambah. Nana ketawa di dalam hati melihat Achik yang macam sepuluh hari
tak jumpa nasi.
“Tak nak tambah lagi ke?” Pelawa Mak
Datin Bunga apabila melihat Achik sudah membasuh tangannya.
Achik menggeleng. “Tak apalah, mak cik. Sendat
dah perut saya ni, mak cik. Sedap gulai tempoyak mak cik.” Ujar Achik sambil
mengusap perutnya yang sudah kembung dengan nasi gulai tempoyak. Terlupa sudah
yang dia sedang sakit pinggang.
Mak Datin Bunga hanya senyum senget
mendengar kata-kata Achik.
“Eloklah, Nana. Dah kahwin nanti,
selalu-selalulah kamu masakkan gulai tempoyak untuk laki kamu. Dan untuk
pengetahuan Achik, hari ni semuanya Nana yang masak. Mak tukang tengok aje.”
Kata Mak Datin Bunga dan terus berlalu ke arah ruang tamu.
Nana yang malu terus tertunduk dan
bangun sambil menatang pinggan kotor ke arah sinki. Achik cuba memahami
kata-kata emak Nana tadi. Maknanya, lauk yang dia puji sedap adalah hasil air
tangan Nana. Nana yang dia sayang. Nana yang dia cinta. Oit! Melebih tu, Achik!
Tiba-tiba terdetik suatu perkara di
benaknya.
Mak Nana gelarkan dirinya sebagai mak
dengan aku tadi. Maknanya... Detik hati Achik. Dia melihat ke arah Nana yang
membelakanginya di sinki yang sedang membasuh pinggan kotor.
Perlahan senyum melebar di bibirnya. Dia
menggelengkan kepalanya.
Tak halal lagi, Achik! Jerit Achik di
dalam hati. Dia terus bangun sambil menatang pinggannya ke arah sinki. Diletakkan
sahaja pinggannya ke dalam sinki tanpa sedikit pun menoleh ke arah Nana. Nanti tak
pasal-pasal malam ni kena belasah dengan bakal mak mertua.
Dia terus berlalu masuk ke dalam
biliknya sambil senyum tidak putus menguntum di bibirnya. Dia lantas melabuhkan
punggungnya ke atas katil. Belakang lehernya diusap. Lupa terus yang petang
tadi dia buat perkara dalam sejarah jatuh pokok rambutan sebab tupai landing baik punya depan dia.
“Fahmi!” Bicaranya sendiri. Dia segera
mencapai telefon bimbitnya di atas meja solek sebelum mencari nama Fahmi untuk
dihubungi.
“Assalamualaikum, Fahmi... Aku ada berita
baik punya!”
KECIL besar mata Nana melihat cerekerama yang
ditayang di kaca televisyen. Sesekali mulutnya luas ternganga gara-gara menguap
ditekup dengan tapak tangannya. Mak Datin Bunga melihat ke arah Nana yang
menguap.
“Kalau ngantuk pergilah tidur.” Ujar Mak
Datin Bunga seraya matanya kembali tertumpu ke arah kaca televisyen.
Dengan mata yang kuyu dia mengangguk dan
bangun. Dia menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam dengan emaknya sebelum
berlalu masuk ke dalam bilik. Sempat jua dia melihat ke arah Achik yang duduk
di anak tangga mengambil angin malam sebelum menapak masuk ke dalam biliknya.
Achik mendongak memandang ke arah langit
yang begitu indah dengan bintang-bintang yang berkerlipan di sana sini. Berbeza
suasana malam di kampung Nana dan Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, bingit dengan
deruman enjin kereta. Di kampung Nana pula, sunyi cuma sesekali terdengar bunyi
unggas malam.
Sedang asyik dia menghayati keindahan
alam ciptaan-Nya, tiba-tiba Mak Datin Bunga menegurnya dari arah ruang tamu.
“Masuklah, Achik. Dah nak dekat pukul
sepuluh setengah dah ni. Kamu tu sakit, nanti masuk angin badan tu payah. Elok-elok
boleh gerak terus tak boleh nak bergerak langsung.” Prihatin Mak Datin Bunga
menegur Achik.
Achik tersenyum senang. Bahagia rasa di
hati apabila emak Nana sudi mengambil berat akan dirinya. Terasa seperti diri
disayangi oleh ibu sendiri.
Perlahan Achik bangun dan menapak masuk.
Pinggangnya yang agak lenguh diregang perlahan. Terasa hilang kesakitan yang
menyucuk di bahagian pinggangnya setelah disapa keindahan alam semulajadi. Pintu
ditutup rapat sebelum berlalu ke arah kerusi.
“Tak nak tidur lagi ke? Dah pukul berapa
dah ni.” Tegur Mak Datin Bunga apabila melihat Achik tidak masuk ke dalam bilik
sebaliknya turut duduk bersamanya di ruang tamu.
“Tak mengantuk lagi. Hmm... Mak cik,
kalau saya nak tanya soal Nana boleh tak?” Dengan penuh hemah Achik mengajukan
soalan buat Mak Datin Bunga.
Tidak berkedip mata Mak Datin Bunga
memandang ke arah Achik.
“Apa yang Achik nak tahu soal anak mak?”
Mak Datin Bunga membahasakan dirinya sebagai mak dengan Achik membuatkan Achik
bertambah yakin dengan perasaannya. Emak Nana sudi menerimanya walaupun tiada
kata putusnya lagi.
“Nana tu orangnya jenis yang macam mana
ek? Hmm... Maksud Achik, perangai sebenar-benarnya Nana. Perangai yang tidak pernah
dia tunjuk pada semua orang.” Achik menyulam jemari kedua-dua belah tangannya
sambil matanya tidak lepas dari memandang ke arah emak Nana.
Mak Datin Bunga mengambil alat kawalan
televisyen. Suara diperlahankan sebelum menekan butang merah. Kaca televisyen
tersebut terus menjadi gelap. Dia menghela nafas sedalam-dalamnya sebelum
menjawab soalan Achik.
“Dia jenis yang merendah diri. Sentiasa merasa
dirinya teruk jika ingin dibandingkan dengan orang lain. Tak ada keyakinan pun
ya. Dia jadi macam tu sebab arwah ayah dia. Dia jadi takut. Lagipun dia rapat
dengan ayah dia. Ke mana-mana dia bersama dengan ayah dia. Jadi, bila ayah dia
dah tiada, dia jadi takut untuk keluar dari rumah.” Achik mendiamkan diri. Hanya
telinganya teliti mendengar setiap bicara emak Nana.
“Dia kata dia takut kalau apa-apa
terjadi pada dia sebab dah tak ada sesiapa yang sudi melindungi dia. Jenuh mak nasihatkan
dia tapi tak menjadi. Mak pun takut sebenarnya. Takut kalau-kalau dia terjebak
dengan anasir-anasir yang tidak baik. Dan segala apa yang mak takutkan menjadi
kenyataan sewaktu dia melangkah masuk ke alam sekolah menengah.”
“Dia kawan dengan budak-budak kelas
bawah. Dulunya bertudung, lepas tu terbuka. Belajar pun malas. Penat mak
nasihatkan dia tapi dia buat ‘kering’. Bila disuruh sambung belajar, tak nak. Sudahnya
dia pergi cari kerja dekat Kuala Lumpur.” Mak Datin Bunga melihat ke arah Achik
yang tekun mendengar bait-bait katanya.
“Achik pun anak yatim, kan? Tak ada
ayah?” Soal Mak Datin Bunga.
Achik mengangguk sambil tersenyum nipis.
“Tapi ayah Achik meninggal sebulan selepas Achik ambil keputusan SPM.” Jawab
Achik.
Dalam diam Mak Datin Bunga meneliti
Achik. Entah buat kali ke berapa jua dia tidak tahu. Hatinya seakan sudah
terpaut dengan kelembutan dan kematangan Achik. Cuma sesekali bila datang
merengnya, boleh tahan juga.
“Arwah ayah Nana pula meninggal seminggu
sebelum dia ambil ujian sekolah rendah.”
Masing-masing terdiam setelah Mak Datin Bunga
berbicara. Masing-masing melayan feel.
“Dua puluh kali Nana putus cinta.”
Tiba-tiba Mak Datin Bunga bersuara. Terbuntang biji mata Achik mendengar tapi
segera dia mengawal perasaannya. Tak tahu pula dia yang Nana dah dua puluh kali
putus cinta. Yang dia tahu Nana itu seorang playgirl
dahulu. Itu sahaja.
“Mak tahu dia cuba mencari cinta
terakhir dia. Cinta yang mampu menjadi pelindung buat dirinya. Dan dua puluh
kali dia bercinta dengan orang yang salah. Mak tahu dia berusaha mencari cinta
terakhir. Cinta yang mampu membahagiakan dirinya.” Ujar Mak Datin Bunga sambil
matanya merenung ke arah Achik yang kelihatan cool.
“Mak tahu Achik ialah orang terakhir
pilihannya. Dan mak tahu pilihannya kali ni tepat. Mak dapat rasa yang cintanya
yang ke dua puluh satu ini adalah cinta terakhirnya.” Sayu suara Mak Datin Bunga
menimbulkan rasa sebak di dada Achik.
Terasa ada segunung harapan seorang ibu
untuk menjaga anak daranya mencengkam hatinya. Dalam diam dia cuba bermuhasabah
diri. Mampukah dia menjadi cinta terakhir buat Nana?
Achik tersenyum ke arah Mak Datin Bunga.
“Achik akan cuba untuk menjadi cinta terakhir buat Nana. Achik akan cuba, mak.”
Tanpa sedar Achik memanggil Mak Datin Bunga dengan panggilan ‘mak’.
Mak Datin Bunga menganggukkan kepalanya
berkali-kali. Dia membalas senyuman yang dihulur oleh Achik. Dia senang dan
suka dengan sikap Achik. Dia yakin Achik mampu menjadi pelindung buat satu-satunya
anak daranya.
“Sudahlah, Achik. Pergilah tidur. Tidur
elok-elok tau. Takut nanti salah tidur patah pula pinggang kamu tu.” Prihatin
Mak Datin Bunga bertutur.
Achik mengangguk. Dia lantas mengangkat
punggung dan berlalu setelah memberi salam. Mak Datin Bunga menghantar Achik ke
dalam bilik tamu dengan ekor matanya.
Dia tersenyum sendiri sambil melihat ke
arah televisyen yang gelap.
ACHIK merenung siling rumah mak Nana. Matanya yang
sudah terbiasa tidur lewat membuatkan dia sukar untuk melelapkan mata apatah
lagi jam baru menunjuk ke angka sebelas setengah.
“Nana... Rupa-rupanya kisah silam Nana
lebih hebat dari kisah silam aku. Hebat dugaan yang KAU hadirkan buat dirinya.”
Bicara Achik sendiri seraya beralih mengiring ke kanan pula. Lenguh pinggangnya
apabila baring secara terlentang begitu lama.
Mindanya terbayang saat-saat terakhir
dia bersama-sama arwah ayahnya. Gembira dan terasa bagai tiada duka yang akan
hadir walau sedetik. Tapi siapa sangka segalanya berakhir dengan tragedi ngeri.
Sebuah kereta Proton Saga merempuh jasad ayahnya yang ketika itu sedang
melintas jalan.
Di hadapan matanya sendiri kejadian itu
terjadi. Trauma tak perlu dikata lagi. Hampir setahun dia menjadi ‘orang lain’.
Menjadi seorang yang pendiam dan tidak seceria dulu. Malah, Restoran Fee Delima
juga terpaksa ditutup sementara gara-gara tiada sesiapa yang mampu
menguruskannya.
Ketenangan wajah ibunya yang menghadapi
kematian suami tercinta membuatkan Achik kembali bersemangat. Rasa sedih jangan
diikutkan sangat. Kelak merana diri sendiri. Lagipun, setiap yang bernafas
pasti akan mati. Tak terlepas walau seorang.
Dia bangkit sebagai Achik yang baharu. Yang
lebih yakin, yang lebih bersemangat demi tiga orang heroin yang waktu itu menjadi
tanggungjawabnya. Sedih dan duka biarlah tersimpan kemas di sudut hati yang paling
jauh kerana dia pasti, setiap duka pasti akan diganti dengan suka.
“Ayah...” Ucapnya perlahan sebelum
matanya terlelap dibuai mimpi.
Yang pergi takkan kembali lagi.
No comments:
Post a Comment