Monday 5 August 2013

Izzat (2)

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum dan hai semua...

Sebelum terus ke point yang sebeno-benonya, terlebih dahulu Fitri nak sampaikan beso-beso ucapan SELAMAT HARI RAYA tulus di hati dari jiwa. ^_^ Lemang dah masak? Haha.. Tengah demam lemang sebenarnya ni. nyum...

Pinjam muka Omi jeeee.. Haha.. Kesian Omi sayang.


Ok, kita tinggalkan 30 minit raya tu dulu. Kita sama-sama dating dengan Izzat dulu nak? Jom!






Tok, tok, tok!

Dato’ Shamsul yang sedang menyemak fail melihat ke arah pintu biliknya. Bibirnya mengukir senyuman apabila melihat bayang seorang wanita yang berdiri di hadapan biliknya.

“Masuk, Fiya. Silakan duduk, ada perkara yang perlu saya bincangkan dengan awak.” Ucap Dato’ Shamsul.

Safiya melangkah masuk dengan sopan dan duduk di atas kerusi di hadapan Dato’ Shamsul. Safiya melihat ke arah bosnya yang asyik tersenyum sambil memandang ke arahnya.

“Apa halnya, Dato’?” Soal Safiya.

“Hal penyatuan dua hati satu jiwa.” Dahi Safiya berkerut-kerut melihat ke arah bosnya.

“Maksud Dato’?” Soal Safiya yang menginginkan sebuah penjelasan.

Dato’ Shamsul tersenyum dan membuka laci mejanya lalu mengambil sesuatu dari dalam laci tersebut yang tidak Safiya ketahui apakah bendanya.

Dato’ Shamsul menghulurkan sesuatu kepada Safiya. Safiya menyambut hulurannya dengan teragak-agak dengan kerutan yang kian menebal di dahinya. Seribu satu persoalan berputar di dasar akalnya.

Sebuah kotak berwarna coklat kini bertukar tangan. Perlahan Safiya membuka kotak tersebut dan mengintai isi di dalamnya. Safiya terperanjat apabila melihat seutas rantai bersama sebentuk cincin yang sama corak ialah antara isi kotak tersebut selain sehelai kertas berwarna peach yang kemas terlipat.

Tangannya mengambil kertas tersebut dan membuka lipatannya. Isi di dalamnya dibacanya dengan penuh khusyuk sambil diperhati oleh Dato’ Shamsul.

~Dalam kekalutan hatiku mengawal debaran, tanpaku sangka rupanya ia telah dicuri oleh sang Hawa bernama Nur Safiya. Dalam kebuntuan akalku berfikir, tanpaku sangka rupanya hatiku telah mula merindui seorang wanita itu iaitu Nur Safiya. Aku bukan sang Adam yang dengan mudah mengambil Hawa menjadi pelengkap hidupku.

Aku ialah seorang lelaki, lelaki yang penuh dengan perasaan yang masih belum terpesong. Aku sudah jatuh cinta tapi aku bukan yang suka membawa sang Hawa ke sana dan ke sini tanpa ada sebarang ikatan. Oleh itu...

Awak, Nur Safiya, sang Hawa saya, sudikah awak menjadi yang halal dalam hidup saya yang masih belum sempurna ini.~

Membuntang mata Nur Safiya sebaik sahaja selesai membaca surat tulisan sang Adam yang tidak dia ketahui siapakah gerangannya. Pandangannya jatuh ke arah Dato’ Shamsul yang masih setia dengan senyuman semanis gula.

“Siapa yang mencoret surat yang penuh ayat semanis gula ini kepada saya?” Soal Safiya sambil menunjukkan surat tersebut kepada Dato’ Shamsul.

“Saya!” Ucap seorang lelaki yang tiba-tiba muncul dari arah pintu.

Safiya berpaling dan melihat gerangan sang Adam kononnya. Bertambah-tambah perasaan terkejutnya sebaik saja melihat Izzat terpacak berdiri sambil bersandar di pintu. Ada senyuman yang terukir di bibirnya buat Safiya.

~*~*~*~*~

Kicauan burung yang berterbangan di sekitar taman bunga tersebut menguasai pertemuan antara Izzat dan Safiya. Masing-masing terkaku sambil melayan perasaan sendiri. Izzat yang duduk bertentangan dengan Safiya melihat ke arah wanita itu yang ralit melihat keindahan bunga yang memekar di taman bunga itu.

“Awak sudi jadi isteri saya? Kahwin dengan saya?” Soal Izzat mematikan kesepian yang sedari tadi menjadi peneman mereka.

Safiya berpaling dan melihat ke arah jejaka yang duduk di hadapannya. Sebuah keluhan dilepaskan dari celah bibirnya. Hatinya galau memikirkan soalan itu.

“Saya tak layak untuk awak, Izzat. Saya orang jahat. Saya jahat, tak sebaik seperti yang awak nampak sekarang.” Ujar Safiya kepada Izzat.

Dahi Izzat berkerut. “Jahat? Tak, saya tak nampak apa-apa pun tentang awak yang jahat.” Balas Izzat.

Safiya tertunduk dan mengeluh. Sukar untuk dia menjelaskan perkara yang sebenar kepada Izzat. Hatinya hiba dihimpit kisah lampau. Kisah yang tragis sehingga mampu meluruhkan organ-organ dalamannya.

“Saya jahat! Tolonglah faham apa yang saya katakan. Saya tak suka untuk mengulang semula perkara yang menyesakkan jiwa saya yang sudah cukup disiksa dengan pelbagai dugaan. Saya jahat, jahat, evil, bad dan semuanyalah. Saya tak layak untuk jadi isteri awak.” Ujar Safiya kembali dengan nada yang tidak teratur. Sekejap tinggi sekejap rendah.

Izzat terkaku melihat perubahan sikap wanita idaman di hadapannya ini. Adakah dia sudah tersalah kata atau tanpa sengaja dia sudah mengguris hati kecil wanita itu?

“Fiya, janganlah marah. Definisi tak layak untuk jadi isteri saya itu tak patut wujud sebenarnya. Saya dah buat istikharah dan saya yakin awak layak. Hati saya hanya terarah kepada awak, Fiya.” Ujar Izzat separuh memujuk dan merayu.

Safiya tertunduk. Air mata perlahan mengalir membasahi pipinya. Izzat terkedu melihat air mata yang tiba-tiba mengalir di pipi gebu wanita idamannya. Izzat mulai keresahan. Punggungnya panas melihat Safiya yang masih galak menangis.

“Saya jahat, Izzat. Saya dah bunuh orang!” Balas Safiya dalam nada sebak.

Izzat terkedu dan terkaku. Terkedip-kedip matanya melihat ke arah Safiya yang masih tidak dapat mengawal perasaannya. Safiya dah bunuh orang? Hatinya meronta berkata bahawa Safiya cuma menipu.

No! Saya tahu awak bukan macam tu, Fiya. Fiya...” Perlahan Izzat menuturnya. Ada getar di sebalik suaranya.

“A... awak bunuh siapa?” Walaupun Izzat tidak mempercayai kata-kata Safiya namun bibirnya tetap bertanyakan soalan itu.

Perlahan Safiya mengangkat kepalanya dan melihat ke arah Izzat yang masih tidak lepas dari melihat ke arahnya. Jantungnya tiada detak yang sempurna tatkala matanya melihat ke arah anak mata Izzat.

“Orang yang awak sayang.” Perlahan nada suara Safiya tapi masih sempat ditangkap oleh deria pendengaran Izzat.

Mata Izzat mulai bersinar dek kaca yang berkumpul di depan lensa matanya. Hatinya dapat mengagak siapakah orang yang dia sayang itu namun hati dan akalnya tetap menafikan apa yang dibicarakan oleh Safiya kerana dia percaya Safiya tidak sejahat itu.

“Maksud, Fiya?” Soal Izzat.

Safiya tertunduk sedikit tapi matanya tetap melekat ke arah Izzat walaupun sekadar dari hujung ekor matanya. “Maafkan, Fiya. Maafkan Fiya... Fiya tak sengaja.” Ujar Safiya dan terus bangun meninggalkan Izzat keseorangan.

Izzat terpaku di tempat duduknya sambil melihat ke arah Safiya yang kian jauh dari pandangan matanya. Hatinya perlukan jawapan namun siapalah dia untuk memaksa Safiya. Izzat menyilangkan tangannya di atas meja dan meletakkan kepalanya di atas tangan.

~*~*~*~*~

Izzat mengangkat kepalanya tatkala merasakan bahunya disentuh oleh seseorang. Matanya melihat seraut wajah sang wanita tua berada di sebelahnya sambil tersenyum ke arah Izzat. Izzat membalas semula senyuman itu walaupun agak sukar untuk diluahkan.

“Kenapa cucu tidur di sini? Lari dari rumah ke?” Soal wanita tua itu sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Izzat. Izzat memberikan ruang buat wanita tua itu duduk.

Izzat menghela nafas sebelum memandang ke arah wanita tua yang tidak lekang dek senyuman di bibirnya. “Tak adalah, nek.” Jawab Izzat ringkas.

“Habis tu apa yang cucu buat di sini? Senja-senja begini pula tu. Tak baik tau waktu senja duduk dekat luar.” Nasihat wanita tua itu.

“Melepaskan rasa yang terbuku di hati, nek. Macam-macam dugaan yang DIA berikan sehingga saya rasa lemah.... sangat. Rasa tak bernyawa, terasa hilang satu-satunya harta yang saya ada itu, nek.” Balas Izzat lemah. Jiwanya masih kusut dengan persoalan tentang Safiya.

“Rasa apa, cu? Luahkanlah pada nenek, mana tahu kalau-kalau nenek dapat bantu cucu walaupun nenek tak dapat bantu dari segi kudrat, insyaAllah nenek cuba bantu dari segi nasihat.” Tenang wanita tua itu berbicara.

Izzat memandang lama ke arah wanita tua yang kelihatan ikhlas untuk mendengar masalahnya. Namun, mampukah wanita tua seperti nenek ini faham akan masalah anak muda seperti yang dialami oleh Izzat?

“Hmm... Rasa sedih, tak percaya, terluka dan macam-macam lagilah. Saya sendiri pun tak pasti apakah perasaan yang sebenarnya bersarang dalam hati saya sekarang.” Lancar sahaja bibir Izzat meluahkan kata-kata kepada wanita tua itu meskipun dia baru sahaja mengenali wanita itu.

Wanita itu tersenyum ke arah Izzat. “Cu, DIA Yang Maha Esa itu amat penyayang dan pemurah. Tak pernah sekalipun DIA menurunkan dugaan dan cabaran buat hamba-Nya melebihi batas iman seseorang itu. Sebenarnya juga cu, Allah berikan dugaan buat kita kerana satu perkara. DIA inginkan doa. Doa dari hamba-Nya yang jahil seperti kita. DIA ingin membantu kita tapi kita perlu bantu diri kita. Serahkanlah diri kita kepada DIA.” Wanita tua itu berhenti seketika daripada berbicara dan memandang ke arah Izzat.

“InsyaAllah segalanya akan lebih mudah dan lebih lancar. Kerana DIA tahu yang terbaik buat hamba-Nya. Hanya DIA, cu.” Sambung wanita tua itu.

Izzat tertunduk dan menelan liurnya berkali-kali. Perit hatinya dengan kenyataan Safiya tadi masih terasa di lubuk hati kecilnya. Meskipun kebenarannya tidak pasti namun mustahil wanita itu menipu.

Izzat tersenyum walaupun pahit ke arah wanita tua yang masih setia memandangnya.

“Terima kasih, nek. Betul kata nenek, DIA rindukan doa dari hamba-Nya yang jahil lagi hina seperti saya.” Ujar Izzat.

Wanita tua itu tersenyum sambil terangguk-angguk berkali-kali. Wajah Izzat yang polos di hadapannya ditenung lama. Raut wajahnya sudah cukup untuk menggambarkan betapa peritnya hati anak muda itu dilanda dugaan dari-Nya.

“Nenek pulang dulu. Cucu pun pulanglah, tak manis berada di luar terutama di kawasan begini pada waktu-waktu senja. Tak pun, di hadapan sana ada sebuah masjid. Nenek pulang dulu, ya. Assalamualaikum.” Ujar wanita tua itu seraya jarinya ditunjukkan ke sebuah arah.

Izzat berpaling melihat ke arah yang wanita tua itu tunjukkan. Tanpa sempat untuk dia membalas salam, kelibat wanita tua itu telah hilang dari sisinya. Izzat mencari-cari gerangannya, ternyata wanita tua sudah berlalu pergi.

Izzat mengangkat punggungnya dari terus berpanas di atas kerusi itu lalu menapak ke arah masjid yang berdekatan yang ditunjukkan oleh wanita tua tadi. Memang kita perlukan pertolongan-Nya, tapi untuk mendapatkan pertolongan-Nya, kita juga perlu menolong diri kita sendiri.

Serahkan segalanya pada DIA yang Maha Mengetahui.

~*~*~*~*~

Izzat menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus kembali. Dadanya yang berdebar tak perlu diungkapkan lagi dengan kata-kata. Walaupun hatinya cukup sedih dan pedih namun kenyataan dan kepastian perlu dicari dan perlu dihadam oleh otak. Dia tidak mahu cepat melatah.

Izzat menapak masuk ke dalam Restoran Jabbar dengan dada yang berkocak hebat. Walaupun dia tidak membuat sebarang kesalahan kepada Safiya namun hatinya tetap tidak tenteram setiap kali nama wanita itu terdetik di hatinya.

Kelibat insan yang ingin dia temui dicari di segenap restoran sehinggalah matanya menangkap bayang Safiya sedang tersenyum kelat ke arahnya di suatu sudut di dalam restoran itu. Dengan lafaz basmallah Izzat menghayunkan kaki ke arah Safiya.

“Assalamualaikum, Fiya. Izzat minta maaf kerana lambat. Izzat ada hal tadi.” Ucap Izzat seraya menarik kerusi untuk duduk di hadapan Safiya.

“Waalaikummussalam. Tak apa, Safiya pun baru beberapa minit sampai.” Balas Safiya perlahan sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Izzat. Jiwanya jadi kacau tatkala matanya menangkap seraut wajah anak seorang lelaki yang telah ‘pergi’ lapan tahun lalu.

“Hmm... Boleh kita mulakan?” Soal Izzat sambil melihat ke arah Safiya. Mereka berbalas pandang sebelum Safiya melarikan anak matanya ke arah lain.

“Awak mintalah dulu apa yang awak nak makan dan minum. Tak manis rasanya kalau dah sampai di restoran tapi tak jamah apa-apa. Lebih baik kita bertemu di luar kalau begitu.” Sedaya upaya Safiya cuba untuk melarikan topik asal.

Entah mengapa hatinya seakan masih belum bersedia untuk menceritakan kisah hitam yang telah dia cipta buat Izzat lapan tahun lalu. Dia tidak ingin hati lelaki yang cool di hadapannya ini terluka.

Izzat tersenyum kecil lalu memanggil seorang pelayan untuk mengambil ordernya. Hanya segelas milo ais tabur dan french fries. Cukuplah sekadar untuk mencukupkan syarat dan menjaga hati Safiya.

So, boleh Safiya terangkan sejelas yang mungkin kepada saya. Tolong, saya bukan orang yang suka mendesak tapi kali ni saya betul-betul mohon pada awak. Just tell me the truth. Saya takkan marah seseorang itu jika dia jujur. Jangan biarkan segalanya menjadi sesak dalam otak saya.” Tenang Izzat menuturnya walaupun hatinya berkocak hebat bagai dilanda tsunami.

Safiya menundukkan wajahnya. Tidak sanggup rasanya untuk dia melihat wajah Izzat yang masih lagi setenang air tasik. Tapi setenang-tenang tasik jangan disangka tiada yang bahaya. Malah, lebih dari bahaya jua ada di bawahnya. Menanti untuk naik apabila tiba masanya.

“Saya harap awak... Hmm... Aaa... Awak jangan marah saya kalau saya ceritakan perkara sebenar pada awak. Boleh?” Lemah Safiya menuturkannya dengan wajahnya yang masih lagi tertunduk.

Izzat menghela nafas perlahan sehingga tiada siapa menyedari kelakuannya. Dia cuba untuk mengukirkan sebuah senyuman di bibirnya walaupun payah. Sinar mata Safiya cuba dicari. Sang bunga di hadapannya masih kembang mekar di taman hatinya.

“InsyaAllah. Saya bukanlah seorang yang gemar melakukan sesuatu secara buta tanpa melihat kelogikannya. Lagipun rugilah saya jika marah kerana awak. Awak yang saya sayang. Saya sayangkan awak, hati saya masih ada awak.” Sempat jua Izzat meluahkan rasa sayang terhimpit di jiwanya.

Safiya mengetap bibirnya. Jiwanya kian kacau dek seorang lelaki bernama Izzat Harraz bin Ikmal di hadapannya ini.

“Hmm... Aaaa...” Lidah Safiya jadi kelu untuk meneruskan kata-kata.

“Saya minta maaf. Over pula. Tak apalah, teruskan cerita awak. Tapi tolong, jangan keruhkan suasana dan hubungan kita.” Ujar Izzat apabila melihat Safiya teragak-agak untuk berbiacara.

“Hubungan?” Berkerut-kerut dahi Safiya melihat ke arah Izzat.

Nothing. Teruskan kisah awak.” Izzat tersenyum.

“Ok, saya terus ke point yang awak inginkan. Pembunuh. Ya, saya telah membunuh. Bunuh ayah awak. Saya yang buat ayah awak terkulai lemah di atas jalan, saya yang buat awak koma tiga bulan terlantar di atas katil hospital. Saya orangnya, saya yang langgar kereta ayah awak. Saya!” Ujar Safiya sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah mukanya.

Izzat terkedu seribu bahasa. Hilang segala ayat-ayat coolnya. Dia cuba mencari semangat yang terbang selaju angin selaju bicara Safiya. Lensa matanya kian berkaca dek air mata yang bergenang.

Izzat menundukkan wajahnya seraya menahan dari tumpahnya air mata lelakinya di hadapan Safiya.

Safiya turut terkedu melihat reaksi Izzat. Hatinya hiba. Apa yang dia tidak ingin untuk terjadi akhirnya terjadi jua. Hati milik lelaki yang berada di hadapannya kini terluka jua. Safiya menahan sebak dan takut yang menggunung di dadanya.

“Saya... minta maaf. Sa.. Saya...”

Izzat mengangkat kepalanya setelah yakin dia dapat menahan sebak di hatinya.

“Perkara sudah pun berlalu, Fiya. Tak perlu awak nak minta maaf. Lagipun saya redha dengan pemergian arwah ayah saya. Malah, bukan salah awak pun ayah saya meninggal. Itu semua adalah takdir. Sudah tertulis di ‘sana’ bahawa ayah saya ‘pergi’ dengan cara itu.” Tenang Izzat membalas kata-kata Safiya.

Dia tidak mahu wanita idamannya itu rasa bersalah gara-gara dia dan peristiwa lampau.

“Tapi, Izzat...” Belum sempat Safiya meneruskan bicaranya, Izzat sudah mencelah.

“Sudah. Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Yang penting sekarang ni, saya nak awak jadi isteri saya, suri rumah saya, penyeri hidup saya.” Kata Izzat sambil tersenyum manis ke arah Safiya. Biarlah kisah tragis hitam pekat itu berlalu pergi begitu sahaja.

‘Tak marah ke budak ni? Ke hati kering? Aduh, bersalah....’ Safiya bermonolog sendiri di dalam hati.

“Awak tak rasa apa-apa ke bila saya beritahu yang saya ni pembunuh ayah awak?” Soal Safiya kepada Izzat.

Izzat tersenyum. Tipulah jika dia kata tak rasa apa-apa tapi takkanlah seseorang itu perlu hidup dalam kisah lampau buat selama-lamanya.

“Mustahillah jika saya kata saya tak rasa apa-apa. Tapi, kalau saya rasa pun apa yang dapat saya lakukan. Ayah saya tetap juga sudah tiada. Tetap juga sudah meninggalkan saya dan keluarga.” Tenang Izzat menjawab soalan Safiya.

Terkedip-kedip mata Safiya melihat ke arah Izzat. Rupanya lelaki seperti Izzat masih wujud. Fikirnya lelaki setenang Izzat sudah tiada. Kalau ada pun hanya ada dalam novel.

So, will you be wife? Forever, ever and ever.” Izzat ulang dan terus mengulang soalan yang sama.

Safiya terkaku di tempat duduknya. Walaupun dia suka, walaupun dia sayang pada Izzat, hatinya tetap sukar untuk mengatakan ‘ya’ untuk soalan itu. Kerana peristiwa itu, peristiwa ketika dia menjadi pembunuh.

“Aaaaa...”

Izzat tersenyum melihat Safiya.

~*~*~*~

Tiga bulan kemudian...

Izzat melangkah masuk ke dalam surau Al-Amin sambil diiringi oleh beberapa orang lelaki iaitu sepupunya. Songkok yang sudah terletak di kepalanya dibetulkan. Tangannya menggeletar bagai orang demam.

“Bro, rilekslah.” Bisik salah seorang daripada sepupunya sambil tersengih-sengih.

Izzat turut tersengih sama kepada sepupunya itu. Dadanya yang berdebar membuatkan bibirnya mati kata. Terbang segala ayat-ayat penenang dan jiwanya yang tenang dek hari ini yang bakal melakar sebuah sejarah indah dalam hidupnya.

Izzat melihat ke arah Safiya, wanita yang bakal bergelar isterinya tidak lama lagi. Safiya hanya tersenyum ke arah Izzat lalu menundukkan wajahnya. Izzat duduk di hadapan tok kadi yang sudah sedia yang untuk mengijabkabulkan dia dan Safiya.

“Sudah sedia?” Soal tok kadi tersebut.

Izzat mengangguk mengiakan soalan tok kadi. Huluran tangan tok kadi disambut dengan debaran yang kian memuncak. Bagai nak luruh jantungnya ketika ini.

“Aku nikahkan dikau dengan Nur Safiya binti Muhammad dengan mas kahwinnya, RM300 tunai.”

Izzat menghembus nafas perlahan. “Aku terima nikahnya Nur Safiya binti Muhammad dengan mas kahwinnya RM300 tunai.” Dengan sekali lafaz sahaja kini sah Izzat ialah suami kepada Safiya.

“Sah?”

“Sah! Sah! Sah!”

Izzat menghela nafas lega sebaik sahaja saksi mengatakan ‘sah’. Terasa bahunya dicuit. Dia berpaling melihat ke arah sebelahnya. Kelihatan sepupunya tersenyum lebar sambil menepuk bahunya berkali-kali tanda ucapan tahniah.

Selesai membaca doa, Izzat bangun dan menapak ke arah Safiya yang kini menjadi isterinya yang sah. Tapi, belum sempat dia sampai ke arah Safiya, langkah dihalang oleh seseorang.

“Zattttt... Dah lama I tunggu you. You hensemlah hari ni. Tapi, lagi hensem kalau you sarungkan cincin ke jari manis I.” Dengan gaya kucing miang Qiqie menggeselkan tubuhnya pada Izzat.

Izzat membulatkan matanya ke arah Qiqie yang masih selamba merapatkan tubuhnya dengan Izzat. Izzat menolak tubuh Qiqie tapi makin kuat ditolak makin rapat pula Qiqie dengan tubuhnya.

“Hey, kau ni dah kenapa?!” Izzat menengking Qiqie. Mata-mata yang melihat ‘drama’ yang dicipta oleh Qiqie tidak dia peduli. Hatinya panas dengan kelakuan Qiqie yang sudah melampau.

I nak you! You nak tahu tak I tunggu you dah lama. Tapi, just look what you have do! You kahwin dengan betina tua tu! Hey, you sedar tak yang dia tu dah tua! Lagi tua dari you!” Tengkingan Izzat dibalas semula oleh Qiqie.

Izzat melihat ke arah Safiya dan ibunya yang berada di sebelah Safiya bergilir-gilir. Perasaan bersalah menyerbu hatinya tatkala melihat redup mata Safiya yang digenangi air mata.

“Mulut kau tu jaga sikit! Isteri aku bukan betina, kau tu yang betina. Dalam rumah Allah pun tak reti nak jaga adab. Biarlah isteri aku tu tua ke muda, bukan kau yang kahwin dengan dia tapi aku!” Izzat menolak kuat tubuh Qiqie sehingga dia jatuh terduduk.

Izzat menghayunkan kakinya ke arah Safiya dan terus menarik tangan isterinya itu. Kotak cincin di dalam dulang di tangan adiknya diambil. Tanpa sebarang bicara Izzat terus mengheret isterinya keluar dari surau Al-Amin. Biarlah apa yang ingin orang kata tentang kejadian tadi yang penting dia tidak mahu hati isterinya terluka.

Izzat membuka pintu kereta dan memaksa Safiya masuk ke dalamnya. Laju kakinya melangkah ke arah tempat pemandu. Sempat dia melihat ke arah ibunya yang berdiri di pintu surau.

Izzat memandu keretanya tanpa arah. Safiya terdiam dan kaku di tempat duduknya. Sesekali matanya mengerling ke arah Izzat yang masih serius memandu. Hatinya terluka dek ‘drama’ selepas dia diijabkabulkan tadi tapi kini dia rasa bersalah pula apabila melihat keadaan Izzat, suaminya.

“Kita nak ke mana ni, awak?” Perlahan Safiya menyoal Izzat.

Izzat tersentak. Baru kini dia sedar bahawa dia memandu tanpa arah tuju yang tepat. Izzat menoleh sekilas ke arah Safiya di tempat penumpang di sebelahnya. Sebuah senyuman yang tawar dihadiahkan buat isterinya yang baru dinikahinya.

“Tempat yang sesuai untuk kita berdua pergi.” Hanya itu jawapan yang Izzat berikan. Dalam akalnya sudah terdetik sebuah tempat yang boleh dia pergi untuk menghabiskan masa bersama isterinya.

Izzat memandu dalam sunyi kerana masing-masing dia melayan perasaan sendiri. Safiya bermain dengan jarinya di sepanjang jalan. Sudahnya Safiya terlena.

“Sayang... sayang. Kita dah sampai ni.” Izzat menepuk lembut pipi isterinya yang lena.

Terpisat-pisat Safiya membuka matanya. Wajah Izzat yang tersenyum manis ke arahnya menjadi tatapan matanya. Matanya ditenyeh perlahan kerana pandangannya masih agak kabur.

“Kita dekat mana ni?” Soal Safiya seraya memandang ke arah luar. Ada sebatang sungai di hadapan tapi di mana?

“Kita dekat Kuala Kangsar. Jom keluar, abang ada sesuatu nak bagi dekat sayang.” Ujar Izzat seraya membuka pintu. Safiya yang tidak mahu ketinggalan turut membuka pintu dan mengikuti langkah suaminya.

Izzat memegang erat tangan Safiya dan membawa isteri ke tempat yang agak jauh dari pandangan orang ramai. Mereka duduk di bawah pohon yang rendang. Safiya memerhati ke arah sekeliling.

“Abang minta maaf.” Sayu Izzat menuturnya seraya menatap seraut wajah milik Safiya.

Safiya memandang lama ke arah Izzat. “Saya faham, lagipun saya memang lagi tua dari Izzat.” Ujar Safiya dengan nada yang seakan berjauh hati.

“Sayang, jangan cakap macam tu. Tak pernah pun terlintas di hati abang ni soal jarak usia kita. Abang tak pernah pandang pun semua tu.” Balas Izzat seraya meletakkan tangannya ke atas dadanya.

Safiya tertunduk. Hatinya menangis mengiringi setiap butir bicara suaminya. Dia bersyukur dan rasa beruntung kerana Izzat tetap sudi menerimanya meskipun dia ‘tua’ dan ‘pembunuh’.

Tiba-tiba tangannya ditarik oleh Izzat. Sebentuk cincin disarungkan ke jari manisnya. Tangannya turut dicium oleh Izzat. Lama sehingga air mata Safiya tidak sanggup lagi untuk hanya mengalir di dalam hati.

Izzat menyapu butir-butir air mata Safiya yang lebat mengalir di pipi gebunya. Safiya mendongak ke arah Izzat. Sepasang mata milik Izzat turut berkaca.

“Maafkan, abang. Maafkan abang, Fiya...” Ucap Izzat seraya menggenggam erat jemari Safiya.

Safiya bertindak memeluk Izzat.

“Aw... Abang tak salah, Fiya yang salah. Fiya masih buta untuk memandang kelemahan abang setelah abang sudi menerima Fiya sebagai isteri dalam hidup abang. Fiya yang sepatutnya minta maaf pada abang. Abang tak salah.” Tutur Safiya sambil mengusap lembut belakang Izzat persis anak kecil.

Izzat tersenyum dalam diam. Air mata lelakinya yang ditahan mengalir jua di pipinya tapi segera dikesat. Dia tidak mahu isterinya melihat air matanya. Pelukan Safiya dibalas seerat yang mungkin. Dia tidak sanggup untuk kehilangan orang yang tersayang lagi. Cukuplah dia hilang seorang ayah.

‘Terima kasih Allah atas kurniaan-Mu yang indah ini.’ Ucap Izzat di dalam hatinya.

Lama mereka begitu sebelum Safiya meleraikan pelukan. Izzat merenung lama ke dalam anak mata Safiya sebelum dahi isterinya itu dikucup pula.

“Terima kasih kerana sudi terima Fiya sebagai isteri abang.” Ucap Safiya seraya tunduk menyalami tangan Izzat.

Izzat hanya tersenyum sambil mengangguk. Dahi isterinya dikucup buat kali kedua. Hatinya gembira tak terkata di saat ini. Segalanya adalah kurniaan dari-Nya.

~*~*~*~*~

Hospital Tanjung Rambutan, Wad 78...

           “Hey, aku suka Zat. Kau suka tak? Hehehe...” Ujar seorang wanita sorang-sorang sambil memintal-mintal hujung rambutnya.

Seorang jururawat lelaki yang melintasi wad yang menempatkan wanita itu. Jururawat tersebut menggelengkan kepalanya berkali-kali sambil melihat ke arah wanita itu.

“Beb, kenapa kau tergeleng-geleng ni?” Soal rakannya.

“Tak adalah, aku dengar cerita perempuan ni masuk sini sebab dia stres sangat sebab tak dapat cinta lelaki yang dia suka. Dengar ceritanya lagi dia yang terhegeh-hegeh dekat lelaki tu tapi lelaki tu dah kahwin.” Panjang lebar lelaki itu menjelaskan kepada rakannya.

“Ish, pelik! Itulah zaman sekarang, perempuan ni suka terhegeh-hegeh padahal lelaki tu tak nak pun. Kadang-kadang aku pelik, ke manalah hilangnya sifat malu seorang wanita.” Rakannya pula menambah.

Jururawat lelaki tadi terangguk-angguk mengiakan kata-kata rakannya.

“Betul tu. Aku doa suatu hari nanti bila aku kahwin, biarlah isteri aku pemalu. Tak sanggup aku ada isteri yang kaki terhegeh-hegeh. Kalau boleh lagi biarlah aku yang pergi cakap aku cinta dia janganlah dia yang dok terhegeh-hegeh bermanis bicara dengan aku.”

Rakannya turut mengangguk mengiakan kata-katanya.

“Sudahlah, weyh! Jomlah sambung kerja. Dok bersembang aje nanti tak pasal-pasal kena tuduh dapat gaji buta.”

“Jom.”

Mereka berlalu meninggalkan wad yang menempatkan wanita itu.

“Zat.... Qiqie sayang Zat. Tapi kenapa Zat buat Qiqie macam ni.” Wanita itu tiba-tiba menangis.

“Ahh, kau jahat! Kau pergi dekat betina tua tu! Arrrgghhh!” Dia menghentakkan kepalanya sendiri ke dinding.

Kepalanya berdarah sebelum dia pengsan.

Takdir Yang Maha Esa itu amat cantik secantik sutera. Namun, tiada siapa dapat melawan setiap takdirnya. Terima dengan hati dan jiwa yang tenteram. Usah diikutkan nafsu yang berkawan dengan syaitan. Kelak merana diri sendiri. Wassalam.

@ Tamat @


P/S à Terima kasih sudi baca ^_^ Please leave ur comment. Not more, just a comment. Jangan lupa tanda pendapat awak ya, readers. ^_^

For the last time, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. Ampunkan segala salah dan silap yang telah saya lakukan buat semua. Salam Lebaran, Minal Aidil Wal Faizin.

2 comments:

  1. Ooo..gitu ye cite die..hihii..
    nothing to say. you ar the best fit !! :D
    Selamat hari raye dari awan biru.hihi.. <3

    ReplyDelete
  2. ha'ah.. gitu citenya.. biasa je.. the best? errkk.. kebingungan di situ..
    anyway thanks sudi tiupkan semangat buat fit :)
    Selamat Hari Raya juga dari Nur Fitri.. hee.. :D <3

    ReplyDelete