Sunday 4 August 2013

Izzat (1)

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Hehehe... Ini adalah cerpen terakhir sebelum saya beraya. Yeayyyy... Berlalulah sudah Ramadhan.... Sebulan berpuasaaaaa... Hahaha... *tengah puasa*

Kenal dok 'mamat' di atas ni? =P




Izzat membuka radio di dalam kereta Proton Saga milik ayahnya. Ayahnya hanya tersenyum melihat Izzat yang gemar tersengih itu. Kedengaran suara juruhebah radio Suria fm sebaik sahaja radio dalam kereta ayahnya terbuka.

“Izzat Harraz, kemuliaan yang amat warak. Sedap nama yang ayah letak untuk anak ayah ni.” Ujarnya ayahnya tiba-tiba.

Izzat menoleh memandang ke arah ayahnya yang masih menumpukan perhatian sepenuhnya ke atas jalanraya.

“Memanglah sedap lagipun tengoklah orangnya juga. Hensem lagi comel.” Ujar Izzat sambil mendabik dada. Kononnya banggalah.

Ayahnya tersenyum ke arah Izzat. Rambut Izzat diusap dengan jemarinya. “Tapi Izzat Harraz, ayah harap Izzat dapat jadi orang yang warak. Jangan hanya ada pada nama tapi tiada pada diri Izzat. Ayah nak Izzat lakukan segala amalan yang telah diperintah oleh-NYA. Jangan tinggalkan segala perintah-NYA tapi jauhi segala larangan-NYA.” Ayah Izzat memberi nasihat kepadanya.

Izzat hanya tersenyum lebar sambil terangguk-angguk. Suasana sepi mengambil alih antara mereka dua beranak.

“Terimalah, sebuah lagu bertajuk Laskar Pelangi nyanyian dari kumpulan Nidji.” Kata juruhebah radio tersebut. Makin lebar pula senyum di bibir Izzat tatkala mendengar tajuk lagu yang akan dimainkan oleh juruhebah tersebut.

Laskar Pelangi, lagu kegemaran Izzat yang tidak pernah jemu untuk dia dengari sejak pertama kali lagu tersebut diperkenalkan di Malaysia.

Mimpi adalah kunci
Untuk kita menaklukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya

Laskar pelangi takkan terikat waktu
Bebaskan mimpimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia selamanya

Cinta kepada hidup
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita

Laskar pelangi takkan terikat waktu
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi

Laskar pelangi takkan terikat waktu


Sesekali bibirnya mengikut rentak dan irama lagu tersebut. Ayahnya hanya menggeleng melihat gelagat anak lelaki yang satu-satunya yang dia ada bersama isteri tercinta.

“Izzat, andai kata ayah ‘pergi’ dulu suatu hari nanti, Izzat jagalah ibu dengan adik baik-baik ya.” Tutur ayahnya tiba-tiba.

Izzat terkedu sejenak di tempat duduknya. Wajah ayahnya dipandang lama dengan kerutan di dahi yang berlapis. Rasa sebak menyerbu dadanya.

“Kenapa ayah cakap macam tu?! Ayah dah tak sayangkan ibu dengan Izzat dan Izyan ke?” Perlahan Izzat menuturnya. Dia tertunduk memandang ke arah dashboard. Dia bermain dengan hujung jarinya.

“Izzat, takdir ALLAH itu bukan sesuatu yang dapat kita teka. Kita tak tahu bila kita akan meninggal tapi kita tahu tarikh kita lahir. Ayah tak kata yang ayah tak sayangkan anak-anak dan isteri ayah. Ayah sayangkan semua orang tapi kita tak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan, Izzat.” Ujar ayahnya seraya mengusap rambutnya.

“Tapi ayah janganlah cakap macam tu. Izzat dengan Izyan masih perlukan ayah.” Perlahan Izzat menuturnya tapi kepalanya masih tertunduk.

Ada air mata yang mengalir di celah tubir matanya. Buat pertama kalinya air mata lelakinya mengalir di pipinya selain waktu kecil yang penuh dengan warna-warni.

Ayahnya mengusap rambutnya sambil mencium dahinya. Izzat mendongak untuk melihat ayahnya. Senyuman yang dihadiahkan untuknya dibalas jua dengan sebuah senyuman. Izzat berpaling ke hadapan.

Tiba-tiba...

“Ayah...!!! Lori tu!!!” Jerit Izzat sekuat hati apabila ada sebuah lori dari arah bertentangan laju meluru ke arah kereta yang dipandu ayah Izzat.

Ayah Izzat cuba untuk mengelak lori berkenaan tapi malangnya kereta mereka berlanggar dengan kereta yang datang dari arah belakang pula. Berpusing-pusing kereta yang dipandu oleh ayah Izzat sebelum bergesel dengan penghadang jalan dan terbalik apabila ayahnya sudah tidak mampu untuk mengawal kereta yang dipandu.

“A... a... yah.” Perlahan suara Izzat cuba untuk memanggil ayahnya yang tersepit di tempat pemandu. Tangannya yang tersepit cuba untuk dikeluarkan agar dia dapat mencapai tangan ayahnya. Tapi malang, tangannya tidak dapat dikeluarkan.

Air matanya laju menitis apabila melihat ayahnya yang sudah longlai. Sempat ayahnya tersenyum ke arah Izzat sebelum menutup mata yang mungkin jua buat selamanya. Air matanya mengalir kian lebat.

Pandangannya kabur sebelum gelap ditutupi kelopak mata.

~*~*~*~*~

“Ayah!” Bergema wad lelaki di Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan jeritan seorang remaja berusia 17 tahun yang baru sahaja sedar setelah hampir tiga bulan lamanya dia terbaring kaku di atas katil bercadarkan kain putih itu.

Dia memerhati ke arah sekeliling yang kelihatan amat janggal baginya. Dia cuba untuk mencari bayang seseorang yang sudah lama tidak dia tatap. Wayar yang berselirat di tangan kanannya menyebabkan pergerakannya terbatas. Laju sahaja tangannya ingin menarik wayar tersebut tapi sempat ditahan oleh seseorang.

Izzat mengerling ke arah seorang wanita yang memegang tangan kirinya daripada menarik wayar tersebut.

“Ibu.” Hanya sepatah perkataan itu sahaja yang meniti di bibirnya. Berdiri di sebelah kirinya pula ialah Nur Izyan, adik bongsunya yang juga sudah lama tidak dia tatap wajahnya. Di belakang ibunya pula berdiri seorang wanita yang tidak dia kenali. Tiada senyuman yang menghiasi bibir wanita tersebut tapi pandangan redupnya membuat Izzat terpaku seketika sebelum kembali tersedar ke alam nyata.

“Izzat bawa bertenang. Bawa mengucap, sayang.” Ujar ibunya seraya mengusap kepala Izzat.

“Tak. Izzat takkan bertenang selagi Izzat tak jumpa dengan ayah. Ayah mana ibu? Izyan, ayah mana Yan? Bagitau abang ayah mana?!” Izzat memberontak dengan cuba untuk menarik lagi wayar di tangan kanannya. Wanita di belakang ibunya tadi melangkah meninggalkan Izzat bersama ibu dan adiknya.

Ibunya terpaksa memegang kuat tangannya. Izyan turut membantu.

“Sabar Izzat.” Ibunya menutur dengan linangan air mata di tubir matanya.

Izzat memandang pelik ke arah ibunya. Berkerut-kerut dahinya apabila melihat ada air mata yang berlinang di mata ibunya.

“Kenapa ibu nangis, bu? Ayah mana?!” Jerit Izzat ke arah ibunya. Dia tidak berpuas hati apabila soalannya tidak berjawab.

“Ayah dah tak ada, bang. Ayah meninggal waktu accident tiga bulan lepas.” Laju Izyan menuturnya dalam nada sebak. Air matanya mengalir apabila melihat abangnya yang terdiam dan terkaku melihatnya.

Perlahan tangannya yang berada di dalam genggaman ibunya ditarik. Lama dia terkaku sebelum terbaring semula ke atas katil. Dia merenung ke arah siling yang berwarna putih. Terbayang di ruang matanya wajah ayah yang dia rindui.

“Ibu dengan Yan tipu Izzat, kan? Korang tipu Izzat, kan? Tolong cakap yang ibu dengan Yan tipu Izzat.” Perlahan dia menuturnya tapi matanya masih lagi menatap siling.

Tangan kanannya digenggam erat oleh ibunya. “Izzat, tak ada gunanya kami nak menipu Izzat. Ini adalah kenyataan Izzat.” Izzat cuba untuk ditenangkan oleh ibunya. Tangan kirinya pula digenggam oleh Izyan.

Perlahan Izzat menarik tangannya dari genggaman ibu dan adiknya. Dia mengiring ke arah kiri membelakangi ibunya. Sempat telinga menangkap keluhan nafas ibunya. Dia rasa bersalah membuat ibunya begitu tapi perasaan sedih apabila khabar ayahnya sudah tiada lebih menguasai.

“Yan, jom kita turun dulu. Biar abang kamu tenangkan diri dulu.” Itu sahaja yang dia dengar sebelum hanya angin yang menderu dari tingkap yang terbuka luas dan suara doktor dan jururawat yang berulang-alik menjadi halwa telinganya.

Air mata lelakinya yang ditahan akhirnya tertumpah jua menyembah lantai hospital.

‘Ya ALLAH, KAU tempatkanlah ayahku di tempat orang yang beriman.’ Izzat berdoa di dalam hati sebelum kembali melelapkan mata.

~*~*~*~*~

Lapan tahun kemudian...

‘Ayah, Izzat balik dulu ya ayah. InsyaALLAH lain kali Izzat datang lagi ‘melawat’ ayah di sini.’ Ujar Izzat di dalam hati seraya memegang batu nisan milik kubur arwah Ikmal, ayahnya.

Izzat bangun dari duduk dan melangkah meninggalkan tanah perkuburan Islam tempat jasad ayahnya bersemadi. Lapan tahun sudah berlalu namun hatinya tetap kukuh melekatkan wajah dan suara ayahnya yang sering bergurau dengan dia dan Izyan.

Sedang asyik Izzat melangkah keluar dari kawasan tanah perkuburan tiba-tiba pandangannya menangkap bayang seorang wanita yang agak gempal tubuh badannnya menangis teresak-esak di sebelah kubur. Lama Izzat mengamati wanita tersebut sebelum wanita tersebut berpaling dan mata mereka bertentangan.

Kuat hati dan benaknya menyatakan bahawa dia mengenali wanita itu tapi di mana. Dia pernah melihat wanita itu. Ya, dia pasti tapi masalahnya di mana dan bila?

Izzat memberikan sebuah senyuman ke arah wanita tersebut tapi wanita itu hanya menunduk kembali dan terus bangun meninggalkan kawasan tanah perkuburan. Izzat cuba untuk mengekori langkah wanita tersebut tapi wanita itu lebih laju melangkah.

Izzat berhenti separuh jalan dan terintai-intai cuba untuk mencari bayang wanita itu sebelum tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Izzat terkejut dan laju dia berpaling ke belakang. Wajah manis adiknya, Izyan, menjadi tatapan matanya.

“Abang buat apa dekat sini? Jenuh Yan cari abang dekat kubur ayah tapi tak ada pun. Ingatkan abang dah tinggalkan Yan dengan ibu.” Kata Izyan seraya menoleh ke kiri dan kanan untuk melihat apa yang abangnya buat di situ.

“Eh, hmm... Tak ada apa-apalah. Dah selesai ke kemaskan kubur nenek? Kalau belum, abang tunggu Yan dengan ibu dalam keretalah. Jangan lama sangat tau.” Itu saja yang Izzat katakan pada adiknya sebelum berlalu meninggalkan Izyan yang terpinga-pinga melihat abangnya.

Sempat Izzat menoleh ke belakang, cuba untuk mencari wanita yang dia lihat tadi tapi hampa. Hanya bayang adiknya yang melangkah semula ke arah ibunya sahaja yang menjadi tatapan matanya. Perlahan dia menghela nafas dan terus melangkah ke arah kereta yang diparkir di luar pagar kawasan tanah perkuburan itu.

~*~*~*~*~

“Ibu, Izzat pergi dulu ya. Nanti kalau Izzat ada masa Izzat balik makan tengah hari. Kalau Izzat tak balik tu maknanya Izzat sibuklah tu ya.” Ujar Izzat seraya mencium pipi ibunya yang sedang menuang air di dalam teko ke dalam cawan.

Butang baju kemeja berwarna hitam yang tersarung di tubuhnya dibetulkan. Tali leher yang sudah diikat kemas dibetulkan pula. Cukup segak untuk Izzat memulakan hari pertamanya buat minggu ini.

“Ya ALLAH, awalnya. Kalau ya pun minumlah dulu air ni. Penat adik comel Izzat tu buat air ni tau.” Ujar ibu seraya memaksa Izzat untuk duduk ke atas kerusi di hadapannya.

Izzat hanya tersenyum pada ibunya dan melabuhkan punggungnya ke atas kerusi. Walaupun sudah lambat namun dia tetap perlu menjaga hati ibunya. Izyan yang baru tiba di ruang makan hanya tersenyum ke arah ibu dan abangnya sebelum duduk di sebelah ibunya.

“Rileks la abang. Tak adanya bankrap bisnes abang tu kalau abang masuk lambat pun. Lagipun setiausaha abang yang comel tu kan ada.” Kata Izyan pada abangnya yang sedang menghirup air kopi o’ di dalam cawannya.

“Memanglah abang takkan bankrap, sayang. Tapi abang takut nanti Wirda ternanti-nanti. Lagipun abang dah janji nak ambil barang dekat pembekal di Tasek hari ni. Pergi lambat nanti balik pun lambat.” Izzat membalas semula kata-kata adiknya sambil sempat tangannya menyambar sekeping roti yang sudah disapu dengan Nutella di atas pinggan.

Tak sempat nak makan konon tapi sempat juga dia melantak sekeping roti. Izzat mengerling ke arah jam tangannya beberapa kali.

Ibu dan Izyan hanya tersenyum melihat abangnya yang tak ubah seperti kera kena belacan. Tak tentu arah macam setiausaha dia cikgu disiplin yang akan marah jika anak muridnya datang lambat.

“Oklah, Izzat pergi dulu la. Assalamualaikum.” Ujar Izzat seraya menghulur tangan untuk bersalam dengan ibunya. Izyan turut menghulurkan tangan ke arah Izzat untuk bersalam dengan abangnya.

“Waalaikummussalam. Hati-hati ya Izzat. Ingat, jangan lupa mulakan apa-apa jua pekerjaan itu dengan lafaz basmallah. Mudah-mudahan ALLAH memberkati setiap apa yang Izzat lakukan.” Pesan ibunya.

Izzat hanya tersenyum dan mengangguk. Dia melangkah keluar dari ruang makan tapi sempat dia menoleh ke arah adiknya dan tersenyum senget.

“Yan pun kerja tu jangan dok nak tengok doktor tu aje. Ingat, awak tu baru setahun jagung, jangan nak cari pasal. Bye!” Sempat dia memberi ‘nasihat’ kepada adiknya yang bekerja di sebuah klinik milik seorang doktor muda.

Izyan membuat muka geram ke arah abangnya.

“Abang!” Jerit Izyan dan Izzat terus laju membuka langkah melarikan diri.

Izzat tersenyum sendiri sambil membetulkan cermin pandang belakang. Dia memasukkan gear dan perlahan kereta Proton Personanya meninggalkan perkarangan rumahnya. Bibirnya terkumat-kamit membaca doa ketika memandu.

 “Subhanalladzi sakhara lana hadza wama kunna lahu muqrinin wainna ila robbina lamunqalibun...”

Bayangan wanita di kubur semalam kembali bermain di benaknya. Entah mengapa kuat naluri hatinya berkata bahawa dia mengenali wanita itu tapi lupa pula dia di mana dan bagaimana dia boleh mengenali wanita itu.

Perlahan bayangan kejadian lapan tahun lalu ketika dia terlantar di hospital mencelah. Walaupun sekadar samar-samar tapi dia tetap ingat bagaimana dia berkeras dengan ibu dan adiknya agar memberitahu kenyataan tentang ayahnya. Tiba-tiba hatinya terdetik akan suatu perkara. Izzat berkerut seketika sambil masih menumpukan perhatian di atas jalan raya.

Bayangan wanita di hospital bersama ibunya menjelma. Baru kini dia teringat di mana dia melihat wanita itu. Tapi, siapa dia sebenarnya?

‘Dia?! Siapa dia sebenarnya?! Apa kena mengenanya aku dan dia. Kenapa hati aku bergetar ni? Jodoh aku ke? Ish, mustahil! Tapi tiada apa yang mustahil. Ya ALLAH...’ Panjang dia bermonolog di dalam hati sambil kepalanya tergeleng-geleng.

Tanpa sedar kini keretanya sudah pun elok terparkir di ruang parkir kereta tempat kerjanya merangkap syarikatnya yang baru setahun jagung bertapak di dunia perindustrian. Sekadar perindustrian membuat biskut mazola atau kuih kacang yang telah divariasikan kepada pelbagai perisa termasuk coklat dan madu.

Setelah memastikan pintu keretanya dikunci elok, dia melangkah masuk ke arah pintu utama. Wajah pertama yang menjadi tatapan matanya sudah pastilah wajah pekerja yang sangatlah ‘berdedikasi’ menggodanya.

“Hai Zat. Lambat pula you sampai. You dah makan? Kalau belum I boleh temankan you makan.” Ujar Qiqie atau nama betulnya Qeyrah. Aduh, nama yang amatlah unik eja dan sebutannya.

‘Zat dipanggilnya aku?! Ingat aku ni salah seorang golongan kekurangan zat apa?’ Bisik hati Izzat sambil tersenyum tak berapa manis ke arah Qiqie yang masih galak berposing maut di meja penyambut tetamu. 

“Waalaikummussalam. Saya dah makan dah tadi. Sedap ibu saya masak tadi. Lagi sedap daripada makan bertemankan orang lain selain ibu saya.” Sinis Izzat menyindir Qiqie yang sudah tersipu-sipu sambil menarik-narik bajunya yang tidak cukup kain itu. Gaya macam boleh aje baju tu turunkan ke bawah sikit untuk menutupi pahanya.

Izzat terus berlalu ke pejabatnya sebelum malaikat di bahu kirinya terus mencatit dosanya kerana melihat aurat seorang wanita yang bukanlah mahramnya. Patut buat tapisan di pejabatnya selepas ini. Mereka yang tak ada duit nak beli kain untuk buat baju tidak akan diterima bekerja di syarikatnya.

Wajah Wirda yang kelihatan cemas di tempat duduknya menjadi tatapan mata Izzat sebaik sahaja dia melangkah masuk ke pejabatnya. Wirda terus menghampirinya sebaik sahaja Wirda melihat dia.

“Iz, kita ada masalah. Masalah besar ni Iz.” Ujar Wirda dalam nada cemas.

“Masalah apa, Wir?” Soal Izzat.

“Pembekal kacang akan menarik balik tawaran dia untuk membekalkan kacang kepada syarikat kita jika kita masih menangguhkan masa untuk membayar wang baki. Malah, kacang yang pernah dia berikan dulu sebagai permulaan dulu pun dia akan minta semula tapi dalam bentuk wang ringgit.” Lebar Wirda menerangkan kepada Izzat.

Izzat tersenyum ke arah Wirda. “Tak perlu risau Wirda, awak siapkan dulu cek yang saya bagi pada awak hari Jumaat hari tu lepas tu tunggu saya di bawah. Kita akan pergi ke syarikat kacang tu.” Tenang Izzat menuturnya dan terus melangkah ke pejabatnya.

Wirda menggaru kepalanya yang terselindung di sebalik selendang yang terlilit di kepalanya. Wajah tenang Izzat yang sudah dua tahun menjadi bosnya membuatkan jiwanya menjadi kacau.

Terus dia melangkah semula ke tempatnya untuk mengambil cek yang telah diserahkan oleh Izzat kepadanya. Dia terus melangkah turun ke tingkat bawah setelah cek tersebut diletakkan ke dalam failnya.

Sesampai sahaja dia di bawah, dia terlihat Qiqie yang asyik berbual dengan seseorang melalui telefon sambil bersandar di meja penyambut tetamu. Dengan wajah yang menyampah dia melintasi wanita itu yang masih asyik dengan telefon bimbitnya.

“Hey, hey! Hey, minah!” Jerit Qiqie ke arah Wirda yang baru sahaja ingin menolak pintu utama. Wirda mengeluh perlahan sebelum berpaling ke belakang untuk melihat Qiqie.

Qiqie memberikan sebuah senyuman yang sinis kepada Wirda sebelum berjalan mengelilingi Wirda yang kaku. Bukannya Wirda tidak tahu perangai Qiqie tapi kadang-kadang rasa menyampah menguasai sehingga membuatkan dia ingin membuat seperti tidak tahu perangai Qiqie itu bagaimana ‘rupanya’.

“Hmm... Cun, I lagi cun dari you tapi macam manalah you ni boleh terlepas jadi secretary Izzat. I think I la orang yang paling layak untuk jadi his secretary. I pun lebih georgeous dari you yang errr... Bergaya pun fesyen orang purba you know. Not sexy as me.” Ujarnya untuk menyakitkan hati Wirda.

Wirda memandang lama ke arah Qiqie yang tak ubah seperti cacing kerawit kelaparan. Sakit mata memandang sakit lagi hati yang berasap ni. Wirda hanya tersenyum sumbing ke arah Qiqie yang masih tidak berganjak dan terus berlalu keluar.

“Eleh, baju dia tu yang macam baju orang zaman purba. Tak sedar diri!” Omel Wirda sendiri sebaik sahaja keluar dari pintu pejabat tempat dia mencari sesuap nasi.

Izzat yang baru sahaja keluar dari lif telah menarik perhatian Qiqie yang masih setia menemani kaunter penyambut tetamu. Sara yang menjadi penyambut tetamu terpaksalah menahan mata dan hati yang sakit melihat ‘umpan ikan’ di hadapannya ini.

‘Aduh, minah ni! Ada juga yang dapat surat berhenti kerja ni. Orang dahlah tengah kusut, tengok pula muka dia yang tak secomel kak ton tu.’ Izzat bermonolog sendiri. Bukannya dia tidak menyampah dengan Qiqie tapi rasa geram dan bengang itu tersimpan kemas di dalam hati.

You nak pergi mana, Zat? Nak I temankan you, tak?” Soal Qiqie sambil tangannya cuba untuk meraih tangan Izzat.

Izzat membulatkan mata ke arah Qiqie dan terus melarikan tangannya dari bersentuhan dengan ‘benda’ haram. Tahap ‘kenyampahan’ Izzat kini dirasakan bagai sudah berada tahap tertinggi, tahap yang sama dengan ketinggian menara Eiffel.

“Kerja di tempat orang Islam dan jika awak tahu apa itu halal dan haram tolong jaga adab awak. Adab awak melambangkan siapa sebenarnya awak. Tolong, jangan sampai saya buat sesuatu yang dapat lukakan hati awak.” Mendatar sahaja Izzat memberi nasihat kepada Qiqie. Tapi, penuh dengan sindiran dan amaran di sebalik kata-katanya.

Qiqie terkedu di hadapan Izzat yang menjelingnya tajam. Izzat terus berlalu meninggalkan Qiqie yang masih lagi kaku tidak bergerak di tempatnya. Tidak percaya agaknya kerana bos kesayangannya memberi nasihat kepadanya. Nasihat yang lebih kepada menyindir dirinya pula itu.

“Itu maknanya orang ramai dah menyampah dengan kau, Qiqie. Orang dah tak suka tu lain kali jangan nak bermimpi dapat duduk sebelah-menyebelah lain kali. Dia tu baik, terlalu baik untuk mendampingi orang yang ‘murah’ macam kau.” Selamba sahaja Sara menyimbah ke dalam api yang marak.

Qiqie mengetap bibir sambil menjeling tajam ke arah Sara. Sakit hatinya tak terbilang apabila dikutuk sebegitu rupa. Mungkin sebelum ini walaupun dikutuk oleh orang lain tidak dia pedulikan tapi jika Izzat, seorang jejaka yang sudah lama dia menaruh hati. Sukar sekali hatinya ingin menerima hakikat.

“Eleh, kau tu pun bukannya layak juga untuk bos kita tu! Tak apa, aku akan buktikan pada kau yang bos kita tu akan tergila-gilakan aku suatu hari nanti. Kau cuma perlu tunggu dan lihat aje apa yang akan aku buat. Waktu tu jangan nak menangis merayu dekat kaki aku.” Kata Qiqie.

Qiqie tersenyum dalam geram sambil menjeling ke arah Sara yang sedang duduk di belakang meja penyambut tetamu. Sara hanya menggelengkan kepalanya melihat Qiqie yang bagai berada di alamnya sendiri.

Tak sedar yang diri itu hanya pipit tapi masih ada hati ingin terbang seiring dengan enggang. Itulah Qiqie!

~*~*~*~*~

“InsyaALLAH, saya takkan lupa syarat-syarat yang telah Dato’ tetapkan tu.” Ujar Izzat seraya bersalam dengan Dato’ Shamsul merangkap bos di kilang kacang itu.

Dato’ Shamsul menyambut huluran tangan Izzat sambil tersenyum penuh makna. Dia berasa amat gembira apabila melihat kesungguhan anak muda di hadapan matanya ini cuba untuk membangunkan industri yang telah diusahakan olehnya sendiri.

“Jemputlah minum dulu. Lagipun pekerja saya dah siapkan air.” Ajak Dato’ Shamsul sambil membuka pintu di ruang rehat.

Izzat hanya mengangguk dan mengekori langkah Dato’ Shamsul yang sudah mendahuluinya. Sebaik sahaja dia menapak masuk ke bilik berkenaan, dia melihat Wirda sedang berbual dengan seorang wanita yang membelakanginya.

“Laa, patutlah saya cari awak tadi tak jumpa. Rupa-rupanya dia dah rehat dulu.” Ujar Izzat seraya melabuhkan punggung ke atas sofa yang berada di sebelah wanita di hadapan Wirda.

Wirda tersengih panjang. “Maaflah.”

Izzat tersenyum sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia cuba untuk melihat gerangan wanita yang berada di sebelahnya. Tapi malangnya tudung wanita itu terlalu ke depan sehingga menutup wajahnya dari sisi.

Tiba-tiba wanita itu berpaling ke arahnya sambil tersenyum. Izzat terkedu seraya menelan liurnya yang terasa bagai menelan seketul batu. Wanita itu turut terkedu. Dia terus bangun meninggalkan Izzat bersama Dato’ Shamsul dan Wirda.

“Saya keluar dulu ya, Dato’. Nanti saya masuk balik.” Itu sahaja yang dikatanya sebelum langkahnya terus laju mencari jalan keluar. Izzat hanya mengekori gerak langkah wanita itu melalui ekor matanya.

“Jemputlah minum. Hanya air teh kosong sahaja yang dapat saya hidangkan. Eh, bukan saya tapi pekerja saya.” Dato’ Shamsul cuba untuk menaikkan suasana yang kelihatan santai antara mereka.

Tapi bagi Izzat, hanya senyuman yang mampu dicalitkan di bibirnya kerana hatinya kini tidak tenteram selagi dia tidak mengetahui siapakah gerangan wanita yang telah membuat dadanya bergetar bagai nak mati.

Wirda melihat ke arah bosnya yang kelihatan kusut dengan adakalanya terbit kerutan di dahinya. Apakah yang bosnya sedang fikirkan? Takkanlah stres soal pembekal kacang lagi kut sedangkan terang lagi bersuluh Dato’ Shamsul sudah menerima wang baki. Soal cinta ke? Tapi sejak bila pula bosnya pandai bermain cinta?

‘Tak boleh jadi! Lagi aku diam lagi banyak soalan tentang dia yang bermain di hati aku ni. Memang tak boleh jadi. Aku kena tahu juga siapa dia sebenarnya!’ Bisik Izzat sendiri di dalam hati sambil merenung ke arah cawan yang berisi teh di hadapannya.

Dato’ Shamsul yang dari tadi  ralit dengan gajetnya berpaling melihat ke arah Izzat. Anak muda yang dia kenali dengan keramahan dan kepetahannya ketika bercakap kini hanya diam seribu bahasa. Malah, seperti Wirda, dia turut melihat ada kerutan yang terbit di dahi usahawan muda itu.

“Ada ada apa-apa ke yang mengganggu fikiran Izzat?” Soal Dato’ Shamsul seraya meletakkan gajetnya ke atas meja.

Izzat yang tersedar dari lamunannya laju berpaling ke arah Dato’ Shamsul. Dato’ Shamsul yang sedang melihat ke arahnya sambil tersenyum menjadi tatapan matanya. Dia turut membalas senyuman Dato’ Shamsul.

‘Aku kena ambil peluang ni. Bukan selalu aku akan berkesempatan untuk bertanyakan soal ini.’ Sempat Izzat bermonolog sendiri.

“Hmm... Boleh tak kalau Izzat nak tahu soal wanita yang ada dalam bilik ni tadi?” Soal Izzat tanpa berlapik.

Wirda melihat lama ke arah bosnya yang tersenyum ke arah Dato’ Shamsul. Bagai tidak percaya bahawa bosnya bertanyakan soal seorang wanita. Memang tidak pelik pun bunyinya tapi bagi Wirda, ini adalah suatu keajaiban.

Setahu dialah, bos adalah orang yang formal, yang jarang melibatkan hal-hal keluarga, wanita atau teman hidup di dalam soal kerja. Baginya, segala perkara itu hanya membebankan lagi otak yang sedia penuh dengan maklumat kerja.

Dato’ Shamsul tersenyum penuh makna. “Owh, Nur Safiya. Dia pekerja saya. Dah lama dah dia kerja dengan saya. Adalah dalam empat tahun. Sebelum saya cerita lagi soal Fiya boleh tak saya tahu kenapa Izzat tiba-tiba nak tahu soal Fiya?” Kata Dato’ Shamsul.

Izzat tersenyum nipis. “Kalau saya ceritakan pada Dato’ pun belum tentu Dato’ faham tapi saya tahu Dato’ tetap akan faham kerana Dato’ juga seorang manusia yang pernah melalui zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.” Tenang Izzat memberikan jawapan.

Wirda menyembunyikan senyumannya yang terbit di bibir dengan menutup separuh wajahnya dengan fail yang berada di tangannya. Dato’ Shamsul pula hanya tersenyum lagi dan lagi.

“Saya faham. Tak apa, mungkin tak sesuai untuk saya ceritakan waktu ni. Saya akan cuba curi waktu malam ni untuk bercerita lebih lanjut. Tapi, saya harap Izzat pun free la malam ni. Kita keluar makan.” Usul Dato’ Shamsul.

Izzat tersenyum. “InsyaALLAH.”

Nur Safiya, Cahaya wanita yang baik dan suci. SubhanALLAH, namanya sungguh indah.

~*~*~*~*~

“Izzat menaruh perasaan pada Fiya?” Soal Dato’ Shamsul kepada Izzat yang berada di hadapannya. Segak dengan T-shirt Polo berwarna putih dan hitam.

Izzat tersenyum kecil. Tidak tahu sama ada dia perlu katakan ya ataupun tidak. Nak kata ya, benarkah perasaan itu? Nak katakan tidak, apa maknanya pula hatinya yang sering bergetar dan dirinya yang jadi umpama mandi tak basah, tidur tak lena mengingati wanita itu.

“Entah la Dato’. Saya sendiri pun tak tahu macam mana nak describe perasaan saya sendiri.” Jujur Izzat meluahkan.

“Hmm... Izzat tak perlulah panggil saya Dato’. Panggil aje saya pak cik. Lagipun pasti umur saya sebaya dengan umur ayah Izzat.” Ujar Dato’ Shamsul yang tidak selesa apabila Izzat memanggilnya Dato’.

Riak wajah Izzat berubah. Senyuman yang terukir di bibirnya menjadi kelat. Sukar sekali untuk dia mengawal senyuman yang terukir di bibirnya agar Dato’ Shamsul tidak perasan akan riaknya yang berubah.

“Ayah saya dah tak ada. Dah lapan tahun saya kehilangan kasih sayang seorang lelaki bergelar ayah.” Perlahan Izzat menuturnya sambil masih lagi cuba untuk mengawal senyuman yang terukir di bibirnya.

Dato’ Shamsul terkedu dan dirinya mula dihimpit rasa bersalah sambil memandang lama ke arah Izzat di hadapannya. “Ya ALLAH, maafkan pak cik. Pak cik tak tahu.”

Izzat menggeleng. “Tak apa, hmm... Boleh kita teruskan topik Nur Safiya?” Ujar Izzat cuba untuk mengembalikan topik asal.

Dato’ Shamsul tersenyum. “Boleh. Apa lagi yang Izzat nak tahu soal Fiya?” Soalnya seraya memandang tepat ke arah anak mata Izzat.

Izzat tertunduk malu apabila ditanya begitu. Aduh, mengalahkan anak dara!

“Apa-apa sahaja yang berkaitan Nur Safiya asalkan bukan sesuatu yang membuka keaibannya. Tapi sebelum tu boleh saya tahu apa jawatan dia di pejabat Dato’?” Ujar Izzat.

Dato’ Shamsul tersenyum. “Panggil pak cik sahaja, Izzat. InsyaALLAH, tidak. Dia pembuat air di pejabat pak cik. Dia seorang yang sering bertukar-tukar kerja sebelum dia bekerja dia pejabat pak cik. Seorang yang pendiam dan penuh rahsia. Pak cik sendiri pun tak faham perangai dia. Kadang-kadang dia menyepikan diri, kadang-kadang dia terlebih ramah. Kadang-kadang pak cik tengok dia macam stres melampau.”

“Bila ditanya kenapa dia macam tu, dia hanya jawab itulah fitrah seorang hamba ALLAH yang... Sampai tu aje. Ayatnya sentiasa tergantung. Pak cik sendiri pun sering tertanya-tanya setiap kali dia membuka mulut menjawab segala pertanyaan pak cik.” Ujar Dato’ Shamsul.

Izzat terangguk-angguk mendengar jawapan yang meniti di bibir Dato’ Shamsul. Senyuman yang diberi oleh Dato’ Shamsul dibalas semula. Entah kenapa hatinya meronta ingin tahu lebih lagi. Lebih dari dia merupakan seorang yang ada kaitan dengan Dato’ Shamsul.

“Safiya sudah ada yang punya atau masih lagi single?” Soal Izzat tanpa segan silu kerana Dato’ Shamsul sudah memahami hatinya.

“Setakat ni pak cik tidak pernah lagi melihat dia keluar bersama mana-mana lelaki tak kiralah bersama pekerja lelaki saya atau mana-mana lelakilah. Kenapa? Kumbang di hadapan pak cik ni dah terpikat dengan bunga yang indah di pejabat pak cik ke?” Soal Dato’ Shamsul sambil tersenyum penuh makna.

Izzat tersipu-sipu apabila disoal begitu. Dia mengurut-ngurut belakang lehernya sambil tertunduk sedikit memandang ke bawah. Dato’ Shamsul ketawa kecil sambil melihat ke arah Izzat yang masih lagi tertunduk.

“Tak perlulah nak malu ala-ala anak dara dengan pak cik. Pak cik pun pernah lalui zaman perasaan tak tentu arah sebelum ada yang halal seperti Izzat.” Ujar Dato’ Shamsul yang dapat meneka hati Izzat yang tidak keruan dek sekuntum bunga yang diberi nama Nur Safiya.

“Kalau dah berkenan pak cik boleh tolong kenenkan. Usah risau, pak cik takkan menghampakan Izzat, InsyaAllah. Yang penting Izzat pun jangan lupa untuk istikharah. Jangan biar perasaan terhadap wanita selain mahram itu bersarang terlalu lama. Kelak memudaratkan diri nanti.” Sambung Dato’ Shamsul.

Izzat hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata Dato’ Shamsul.


‘Ya Allah, aku memerlukan petunjuk-Mu.’ Detik hati Izzat.

2 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih.. saya dah sambung dah, kak... ni linknya --> http://kupukupupurple.blogspot.com/2013/08/izzat-2.html =)

      Delete