Sunday 4 August 2013

Cintaku Jauh Di Awan Biru 38 & 39

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Heee... Kali ni special sikit sebab Fitri bagi bab berkembar. So, harap terhiburlah ya. Maaflah ya sebab bab 38 tu macam bengong sikit. So, agak-agak bosan ke nak mengamuk dekat Fitri sebab bosan ke bila baca, lompat aje terus ke bab 39 yang lebih auwww... Hehehe...



~*~*~*~*~*~*~

Bab 38

Matanya melekat ke arah Tengku Anis yang sedang memeluk kakinya. Bagai mahu luruh jantungnya apabila ibu memberitahu bahawa ada kawan ibu yang ternampak Tengku Anis berduaan dengan seorang lelaki di tepi pantai pada waktu malam kelmarin.

“Bang ngah, kak cik minta maaf, bang ngah. Sumpah kak cik tak buat apa-apa pun dengan lelaki tu. Kak cik kawan aje dengan dia. Sumpah kak cik tak buat apa-apa.” Ujar kak cik sambil terus memeluk kakinya.

Dia lebih takutkan Tengku Izham jika ingin dibandingkan dengan Tengku Ariffin yang lebih cool ketika menasihati atau memarahinya. Dia amat takutkan Tengku Izham kerana abangnya lebih tegas, malah lebih garang daripada ayah. Pernah sekali dia hampir ditampar oleh Izham apabila keluar tanpa izin ayah dan ibu tapi sempat ditahan oleh Amani iaitu kak lang. Kalau tak sempat ditahan, rasanya dah kebas pipinya kena tampar dengan abangnya yang seorang ni.

Jika ingin diikutkan kata hatinya, ingin sahaja dia melayangkan tangannya ke pipi kak cik. Tapi, kak cik sudah dewasa dan sudah cukup matang untuk menilai yang mana hak dan yang mana batil.

Wajah kak cik direnungnya tajam. Titisan air mata masih mengalir di pipi gebu kak cik. Kepenatan yang melanda membuatkan dia mudah sahaja ingin marah tapi segera hatinya disabarkan. Dia tidak ingin bertindak seperti orang bodoh. Cepat marah bukanlah sikap orang yang beriman. Sabar itu separuh dari iman.

“Kak cik. Umur kak cik dah 22 tahun, dah masuk kategori dewasa dan bukan lagi remaja. Umur macam kak cik ni sepatutnya kak cik sudah tahu membezakan yang mana yang patut kak cik buat dan yang mana patut kak cik elak. Kak cik pun tahukan apa hukumnya jika perempuan lelaki berduaan, kan? Mungkin kak cik tak buat apa-apa tapi mulut orang bukan macam mulut tempayan. Mulut orang tak boleh ditutup kalau orang tu tak tutup sendiri.

Orang boleh kata apa sahaja yang dia nak cakap bila dia tengok sesuatu benda tu walaupun pada hakikatnya bukan itu kebenarannya. Macam situasi kak cik sekarang, kalau bang ngah pun tengok apa yang kak cik buat tanpa dilihat dari jarak dekat, bang ngah boleh buat bermacam spekulasi. Antaranya, bang ngah boleh cakap yang kak cik dengan lelaki tu tengah buat maksiat. Begitu juga orang lain yang melihatnya, kak cik.” Panjang bebelan Izham kepada Anis yang sudah tertunduk memandang ke arah karpet tebal yang berwarna coklat muda.

Wajah kak cik masih direnungnya tajam. Kelibat ayah dan ibu sudah tidak kelihatan di ruang tamu. Mereka berdua berada di ruang tengah. Sudah puas Tengku Nazimah membebel tadi. Nasib baik ada seorang kawannya melihat kejadian anak daranya berduaan, jika tidak sampai ke sudahlah jawabnya dia tidak tahu yang anaknya sudah berbuat demikian.

Malunya usah dikatalah. Selama ini kak cik dijaga dengan amat baik, malah sentiasa diberikan ajaran yang cukup soal agama. Tapi, apabila ini terjadi, ia membuatkan Tengku Nazimah dan Tengku Ariffin berasa amat kecewa.

“Kak cik tak buat apa-apa pun!” Kak cik masih menegakkan kebenaran. Memang benar dia tidak membuat apa-apa pun dengan lelaki tersebut.

Dia juga kebetulan bertemu dengan lelaki tersebut apabila dia yang secara tidak sengaja telah melanggar lelaki tersebut. Dan kebetulan dia sedang berjalan berseorangan, lelaki tersebut menawarkan untuk berjalan dengan kerana risau akan keselamatannya sebagai seorang wanita. Akan tetapi, lelaki tersebut tidak membuat apa-apa kepadanya. Malah, ketika berjalan juga lelaki tersebut menjarakkan tubuhnya daripada Anis. Tidak sedikit pun tubuhnya disentuh oleh lelaki tersebut.

Izham mendengus. Marah, memang dia marah! “Kak cik, memanglah kak cik tak buat apa-apa tapi macam yang bang ngah cakaplah, mulut orang tak sama dengan mulut tempayan. Mulut orang tak ada penutup!” Izham meninggikan sedikit volume suaranya.

Kak cik menekur memandang karpet. Jarinya bermain dengan bulu karpet yang lembut. Dia risau jika bang ngah terus mengamuk. Dahlah bang ngah baru balik dari jauh.

“Dahlah, hanya kak cik sendiri yang mampu menyedarkan diri kak cik. Bang ngah hanya tolong menasihati, selebihnya terletak pada tangan kak cik. Bang ngah naik dulu. Kalau ayah dengan ibu tanya mana bang ngah, cakap aje bang ngah ada dalam bilik. Nak rehatkan diri yang stres tak sudah ni!” Sempat juga Izham menyindir Anis. Dia benar-benar stres dengan apa yang berlaku.

Balik dari negara orang yang berbatu jauhnya, lepas tu balik pula terus dapat berita yang tak sedap untuk didengar oleh halwa telinganya. Kepala yang ringan pada awalnya, kini sudah menjadi seberat seperti sedang mengendong seekor gajah yang berat bertan-tan.

Pintu biliknya ditutup rapat. Satu persatu butang baju uniformnya ditanggalkan. Uniformnya ditanggalkan daripada tubuhnya, yang tinggal hanyalah singlet putih yang masih tersarung elok di tubuhnya. Tuala yang tersangkut di atas penyidai ditarik dan disangkut ke bahunya.

Izham termenung sejenak di dalam bilik air sambil memandang dirinya di dalam cermin. Kemarahan yang memuncak kian menurun. Tidak guna marah lama-lama, diri sendiri juga yang rugi. Yang berkedut muka nanti bukannya muka orang lain, mukanya sendiri juga.

Ya ALLAH, KAU tenangkanlah hati dan jiwaku yang sedang serabut ini, Ya ALLAH. Jauhilah hambaMu ini daripada sifat pemarah dan sifat bertindak melulu.

Sempat Izham berdoa memohon agar dirinya terhindari dari sifat marah.

Setelah selesai membersihkan diri, Izham mengambil wuduk untuk menenangkan dirinya kerana wuduk mampu menenangkan hati sesiapa sahaja yang sedang kacau, yang sedang marah.

Dia menghempas tubuhnya ke atas katil empuk di biliknya. Berbunyi tulang belakangnya. Akalnya mula terbayang akan masa hadapannya. Bagaimana kehidupannya jika dia sudah menjadi milik Meah dan sesiapa sahaja yang akan menjadi suri hidupnya suatu hari nanti. Adakah dirinya masih mampu untuk terurus seperti sekarang atau sekarang. Wallahualam.. Segalanya masih menjadi menjadi rahsia. Hanya DIA yang Maha Mengetahui.

Perlahan matanya terkatup kerana terlampau penat. Penat memikirkan masa hadapannya, penat memikirkan masalah adik beradiknya dan yang pastinya penat bekerja setelah seminggu berada di bumi orang.


*****


Izham menenyeh matanya yang masih terasa ingin meneruskan tidurnya. Tapi, tolakan lembut ibu di belakangnya membuatkan dia tidak menjadi untuk meneruskan tidurnya.

“Bang ngah, bangun bang ngah. Dah senja dah ni, tak baik tidur waktu senja macam ni. Lagipun berapa minit aje lagi nak masuk waktu Maghrib. Bangun bang ngah.” Tengku Nazimah terus menolak tubuh Izham sehinggalah Izham bangun.

Walaupun usianya hampir menginjak ke angka 30 untuk tiga tahun lagi, tapi ibu tetap melayannya persis anak kecil. Buat apa nak malu, lagipun bukannya orang lain. Ibunya sendiri juga.

“Hmm.. Bang ngah bangunlah ni.” Ujar Izham dan dia mencium pipi ibunya. Dia yang masih mamai hanya tersenyum ke arah ibu.

“Dah tu, pergi mandi lagi sekali. Baru segar badan tu. Ambil wuduk sekali. Ayah ajak kita semua solat jemaah dekat bawah hari ni.” Kata ibu lagi sambil menolak Izham agar turun dari katilnya.

Izham hanya menurut arahan ibunya. Kakinya melangkah masuk ke dalam bilik air. Sempat juga tangannya menarik tuala yang tersidai.


*****


Izham turun ke tingkat bawah. Kain pelikat dengan baju Melayu berwarna maroon yang tersarung di tubuhnya dibetulkan. Songkok hitam yang dibawa, dipakaikan ke kepalanya. Sudah agak lama dia sekeluarga tidak solat berjemaah bersama-sama.

Ayah, ibu dan Tengku Anis dilihatnya sudah bersedia untuk menunaikan solat jemaah. Izham mengambil tempat di belakang sejadah tempat imam. Kak cik dilihatnya masih takut untuk bertentang mata dengan Izham. Dia malas ingin menegur kak cik yang menekur memandang sejadah tempatnya duduk. Kak long dan kak lang tiada bersama kerana masing-masing sudah ada rumah sendiri bersama suami masing-masing. Yang ada cumalah ayah, ibu, bang ngah dan juga kak cik.

“Malam ni bang ngah jadi imam, boleh?” Kata ayah.

Izham hanya mengangguk. Sudah lama juga dia tidak menjadi imam ketika solat.

Dunia, ada sahaja perkara yang mampu menutup pintu hati seorang manusia. Kerja, itu adalah perkara yang paling banyak peratusnya jika mampu dikira melalui peratus yang membuatkan kita lalai menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNya.

Syaitan, makhluk ALLAH yang tidak pernah jemu dan tidak pernah putus asa untuk menghasut umat Rasulullah S.A.W untuk meninggalkan segala perintahNya. Makhluk yang diperbuat daripada api tidak pernah dan tidak berhenti menghasut sehingga ke akhir zaman, sehingga semua ‘diseru’ untuk pergi ke sebuah padang tempat semua makhlukNya berkumpul iaitu Padang Mahsyar. Itulah kerja sang syaitan yang dilaknat oleh ALLAH.


*****


“Anak-anak ayah semua, ayah sayangkan semua anak-anak ayah. Tiada seorang pun yang terpinggir. Tidak kiralah kak long dan kak lang yang sudah menjadi tanggungjawab seorang suami. Cuma satu perkara sahaja yang buat ayah rasa ayah gagal mendidik anak ayah apabila anak ayah sudah pandai untuk melakukan perkara yang membuat ayah terkilan.” Ayah berhenti seketika sambil melihat ke arah Tengku Anis yang berkaca matanya.

“Ayah terkilan sangat dengan anak bongsu ayah, Tengku Anis Nurabiatul. Kenapa Anis mesti buat macam tu dekat ayah dan ibu, Anis. Anis dah tak sayangkan ayah dengan ibu ke? Ke Anis dah tak sabar nak kahwin.” Kata ayah dengan senyum yang dibuat-buat.

Tengku Anis mengangkat kepalanya dan melihat ke arah ayah dan ibu bersilih ganti.

“Bang ngah pun kecewa juga dengan kak cik. Kenapa mesti kak cik buat macam tu sedangkan kak cik tahu salah kalau berduaan begitu.” Celah Izham yang dari tadi hanya berdiam diri.

Ayah memegang bahu Izham dan memberi isyarat agar Izham diam dan memberi peluang untuk Anis bercakap. Ayah tahu kalau Izham sudah mula membuka mulutnya, alamatnya sampai esoklah Anis tidak diberi peluang untuk berkata-kata.

Izham hanya mengangguk. Matanya kembali terarah kepada Tengku Anis.

“Kak cik tak buat semua tu ayah, ibu. Kak cik berani bersumpah atas nama ALLAH yang kak cik tak buat apa-apa pun dengan lelaki tu. Kak cik hanya berjalan dengan dia sebab dia cakap dia risaukan kak cik sebab kak cik jalan sorang-sorang waktu tu. Kawan-kawan kak cik semua dah balik. So, tinggallah kak cik sorang-sorang dekat tepi pantai tu. Kebetulan waktu tu kak cik terlanggar dia. Teruslah kita orang jalan sama-sama. Untuk pengetahuan ayah, ibu dengan bang ngah. Nama dia pun kak cik tak tahu sampai sekarang.” Panjang lebar Anis menjelaskan perkara sebenarnya dalam nada sebak. Air mata yang ditahan sejak tadi sudah mengalir laju di kedua belah pipinya.

Tangan kedua-dua ayah dan ibunya disalam dalam sendu tangisnya. Tangan Izham juga tidak lupa untuk disalamnya. Dia dapat merasakan Izham membelai lembut kepalanya ketika dia bersalam dengan Izham.

“Sudahlah kak cik. Jangan menangis lagi.” Ibu mengelap air mata yang mengalir di pipi anak dara bongsunya dengan belakang telapak tangannya. Ibu manalah yang sanggup untuk melihat anaknya menangis.

Ayah sudah bangun dan berlalu keluar dari ruang solat. Izham membuntuti langkah ayahnya. Ada sesuatu yang ingin dia bincangkan dengan ayahnya. Bincang soal kehidupannya di masa hadapan dan paling utama soal wanita idamannya.

Mereka dua beranak melangkah ke arah ruang rehat di luar rumah. Izham tidak mampu untuk meluahkan sepatah kata pun sebagai permulaan. Lidahnya kelu untuk berbicara. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana untuk memulakan ayatnya.

“Ayah.. Bang ngah nak cakap sikit boleh?”

“Hmm.. Boleh, cakaplah.” Jawab ayah. Matanya melihat ke arah dada langit yang cerah dengan kerlipan bintang dan cahaya purnama bulan yang kelihatan seperti permata berlian yang menerangi seluruh alam semesta yang indah ini.

“Bang ngah nak cakap sikit soal wanita idaman bang ngah.” Perlahan Izham menuturkan kata-katanya. Tapi, kata-katanya masih dapat ditangkap oleh telinga ayah.

Ayah melihat ke arah bang ngah yang pipinya sudah mula ber ‘blusher’. ‘Blusher’ memanjang! Tak payah nak penat-penat pergi kedai mekap beli blusher.

Ayah tersenyum melihat gelagat satu-satu anak terunanya. “Wanita idaman? Amboi anak ayah ni senyap-senyap aje dah ada wanita idaman! Tak nak jadikan wanita idaman tu ‘awek’ halal ke? Jangan nak tunggu dia dikebas orang baru nak menyesal.”

Izham menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih lebar.

“Nak jadikan ‘awek’ halal tu memanglah nak tapi bang ngah tak pasti lagi samada dia betul-betul jodoh bang ngah.”

Ayah menghalakan pandangannya ke arah dada langit semula.

“Dah solat istikharah ke belum?” Soal ayah lagi.

“Belum. Tak sempat, lagipun sejak akhir-akhir bang ngah sibuk sangat.” Izham turut melihat ke arah dada langit. Sebutir bintang yang paling menyinar menambat hatinya. Dia menganggap bintang tersebut ialah Meah, Meah yang paling menyinar di hatinya kini.

“Jangan macam tu,bang ngah. Sebelum ambil langkah seterusnya, solat istikharah dulu. Itu adalah langkah pertama sebelum pergi lebih jauh. Ia juga umpama tiket untuk seseorang itu melangkah ke fasa seterusnya. Macam nak masuk stadiumlah, nak masuk kena beli tiket dulu. Dah beli tiket baru boleh masuk stadium. Dah masuk stadium baru boleh tengok perlawanan yang sedang berlangsung.

Begitu juga solat istikharah, dah yakin betul-betul baru boleh masuk meminang anak dara pilihan bang ngah tu. Bila dah masuk meminang baru boleh kahwin. Serupakan dengan tiket nak beli stadium?” Terang ayah sejelasnya. Siap bagi contoh lagi tu!

Izham ketawa mendengar kata ayahnya. “Sejak bila pula ayah tukar profesien jadi penceramah motivasi ni? Siap bagi contoh yang jarang orang bagi pula tu. Hebat betullah ayah bang ngah ni!” Izham masih dengan sisa tawanya.

“Entahlah. Ayah pun tibai aje bagi contoh tadi.” Boleh pula!

Gelak tawa kedua-dua beranak itu bergabung memecah kesunyian di malam hari di Teratak Mawar Putih. Kisah marahnya mereka kepada kak cik bagai angin yang berlalu.


~*~*~*~*~*~





Bab 39


Meah melilau mencari kelibat seseorang yang dia nantikan. Sudah hampir 10 minit dia tercongok di tepi tasik ini tapi masih tidak nampak kelibat Izham. Inilah janji orang Melayu, janji pukul berapa sampai entah pukul berapa. Ala, semua kaum pun sama aje. Bukan Melayu aje. Tapi, bukanlah semuanya macam tu.

Meah yang bosan menunggu kehadiran Izham sudah terduduk di atas rumput yang menghijau di tepi tasik. Pandangannya dihalakan ke arah seberang tasik. Kelihatan sepasang suami isteri bersama anak kecilnya sedang berjoging sambil gelak ketawa. Meah tersenyum melihat gelagat mereka sekeluarga. Alangkah indahnya jika dia juga begitu!

Seketul batu yang kecil diambil di sebalik rumput dan dibaling ke dalam tasik. Dia mula berangan-angan seorang sehingga ke awan biru. Dia melihat ke arah langit yang membiru. Awan-awan yang terbentuk membuatkan dia mula terbayang akan sesuatu bentuk yang amat menarik hatinya. Bentuk hati! Walaupun bentuknya tidak tepat tapi bila imaginasinya sudah terbayang begitu, maka begitulah bentuk yang dapat dia lihat.

Ketika ralit memandang awan di langit, tiba-tiba bahunya dicuit oleh seorang budak lelaki dalam lingkungan usia 5 ke 6 tahun. Dia tersenyum ke arah budak lelaki tersebut.

“Assalamualaikum, akak.” Budak lelaki tadi memberi salam kepada Meah.

“Waalaikummussalam, dik. Mak adik mana? Apa yang adik buat sorang-sorang dekat sini?” Soal Meah sambil mencubit pipi budak itu yang tembam.

“Nah!” Budak itu tidak menjawab soalan yang diberi oleh Meah sebaliknya dia menghulurkan lolipop berbentuk hati kepadanya. Ada sekeping kad kecil yang diletakkan pada batang lolipop tersebut.

Meah menyambut huluran lolipop tersebut. Kad kecil yang berada di batang lolipop itu ditarik dan isinya dibaca.

You can’t to see me.
But,you can feel my love.
Coz I have give my heart to you.
                                                                                  ~ TIF ~

Ayat yang ditulis di atas kad tersebut membuatkan senyuman Meah bertambah lebar. Tapi, ada satu persoalan yang bermain di benaknya. Siapa TIF tu?
Setelah lama berfikir, akhirnya sebaris nama telah menjadi jawapannya. Dia yakin TIF ialah Tengku Izham Faiz. Ya,dia yakin dengan kata hatinya.
Budak lelaki yang masih terpacak di sebelahnya, ditarik duduk ke pangkuannya. Lolipop tadi dibuka dan diberikan kepada budak itu. Laju dia mengambil huluran lolipop yang diberikan oleh Meah.
“Nama adik apa?” Soal Meah kepada budak kecil itu. Rambutnya diusap lembut oleh Meah.
“Nama saya Ahmad Faiz. Akak boleh panggil saya Ayiz.” Jawabnya lancar tanpa ada bahasa pelat. Meah tersenyum mendengar jawapannya. Gaya percakapannya tidak seperti seorang budak berusia 5 ke 6 tahun tapi seperti seorang murid tahap 1 di sekolah rendah.
Tiba-tiba sejambak bunga ros merah diletakkan oleh seseorang di sisinya. Dia yang asyik melayan keletah Ayiz tersentak dan mendongak mencari kelibat orang yang meletakkan jambangan bunga ros tersebut.
Dia melihat Izham sedang tersenyum ke arahnya. Izham kelihatan kacak dengan kemeja bercorak kotak yang berwarna putih dan biru awan. Penampilan Izham agak simple namun mampu mencairkan hati siapa yang melihatnya termasuklah Meah sendiri.
“Assalamualaikum, sayang.” Izham memberi salam kepada Meah setelah dia turut melabuhkan punggung di sebelah Meah tetapi dipisahkan dengan jambangan bunga ros. Ayiz yang ralit menghisap lolipop hanya diam di atas riba Meah.
“Waalaikummussalam.” Jawab Meah malu-malu anak harimau malaya terlepas dari kandang.
“Mana kawan abang Iz?” Soal Meah yang pelik kerana dia tidak nampak pun kelibat kawan lelaki yang Izham janji untuk dibawa bersama.
“Tulah kawan abang.” Kata Izham sambil memuncungkan bibirnya ke arah Ayiz yang masih leka dengan lolipopnya.
Meah tersentak mendengar jawapan Izham. Dia melihat ke arah Izham dan mereka ketawa bersama-sama. Pipi Ayiz dicubit lagi oleh Meah. Kali ni bergabung dengan Izham. Izham mencubit di sebelah kanan manakala Meah pula mencubit pipinya di sebelah kiri.
“Haha.. Ni kawan ke adik abang Iz ni?” Sakat Meah sambil menutup mulutnya. Seganlah nak gelak macam pontianak depan abang Iz, kan? Hilang terus ayunya nanti.
“Haha.. Dua-dua sekali kut.” Izham melihat lama ke arah Meah di sisinya. Meah anggun apabila mengenakan baju T-shirt Muslimah lengan panjang berwarna biru lembut dengan tudung bawal yang berwarna putih. Eh,eh.. Sedondonlah pula! Ayiz juga turut memakai baju yang berwarna sama dengan mereka berdua iaitu biru. Bezanya Ayiz memakai baju berwarna biru yang agak gelap. Kalau orang tak tahu, rasanya pasti mereka menganggap yang mereka ini satu keluarga.
“Sedondonlah pula kita hari ni. Biru dengan biru, putih dengan putih. Ayiz pun sedondon dengan kita juga.” Izham menuturkan kata dengan selamba sambil matanya melihat ke arah Ayiz yang bermain dengan jambangan bunga ros yang dia berikan kepada Meah.
Meah melihat ke arah baju yang dipakai oleh mereka bertiga. Baru dia perasan yang bukan hanya Izham sahaja yang memakai baju berwarna biru tetapi juga dia dan Ayiz. Meah ketawa apabila menyedarinya. Dia mengangguk sambil ketawa.
Masing-masing terdiam apabila Meah berhenti ketawa. Yang kedengaran hanyalah kicauan burung yang berterbangan mencari jalan pulang. Juga kedengaran bunyi Ayiz sedang menghisap lolipop.
“Abang Iz, bunga ros ni abang Iz bawalah balik.” Ujar Meah untuk menghidupkan kembali suasana yang sunyi.
Izham memandang pelik ke arah Meah. “Kenapa pula?” Soal Izham dengan nada yang agak tinggi kerana terkejut.
“Wani dan semua orang tak tahu lagi yang kita berdua dah lebih dari seorang kawan. Eh, tapi betul ke kita dah lebih dari seorang kawan atau Meah yang perasan sendiri ni!” Meah jadi blur tentang hubungannya dengan Izham kini. Betul ke dia dah pergi agak jauh daripada seorang kawan dengan Izham atau dia yang perasan sendiri.
“Owh... Maknanya tak ada sesiapa pun yang tahulah yang abang ada mesej dengan Meah ni? Hanya Meah yang mampu menjawab soalan tu sendiri.” Duga Izham sambil mencuit Ayiz yang bermain dengan bunga ros tersebut.
Meah hanya tersengih. Malas nak jawab soalan tersebut. Nak jawab sendiri pula dah! Hmm.. kena buat analisis malam ni.
“Tapi Meah wajib bawa balik satu benda ni.”
“Benda apa pula? Takkan nak bawa balik Ayiz ni kut? Mengamuk pula mak dia nanti, tengok Meah bawa balik anak dia ke rumah tanpa kebenaran.”
Izham ketawa mendengar jawapan Meah.
“Sayang, kalau nak bawa balik Ayiz abang pun tak bagi. Maksud abang kad tu Meah wajib bawa balik. Isi hati abang tu tau tak! Penat abang fikir dua hari dua malam nak tulis ayat apa dekat kad tu tau.” Izham meletakkan kad tersebut yang terjatuh di atas jambangan ros ke atas paha Meah.
Meah mengambil kad kecil tersebut. Isinya dibaca buat kali kedua.

You can’t to see me.
But,you can feel my love.
Coz I have give my heart to you.
                                                                                  ~ TIF ~
 Mendalam sungguh maksudnya!
“Meah rasa Meah sudah ada jawapan untuk soalan Meah sendiri.” Meah tersenyum ke arah Izham yang memandangnya.
“Soalan apa?” Izham buat-buat tak faham dengan kata-kata Meah sedangkan hatinya sudah dapat mengagak apa soalan Meah.
“Soal hati abang Iz untuk Meahlah. Tapi, Meah tak nak kita dok macam ni sampai ke tua.” Bertambah lebar senyuman Izham apabila dia dapat mengagak lagi ayat yang bakal terbit di bibir Meah.
Married?” Soal Izham sambil melihat ke anak mata Meah. Mata mampu mencairkan hati mana-mana lelaki yang melihatnya.
“Kalau itu yang abang nak.” Fuhh... ‘Blusher’ tahap gaban pipi Meah waktu dia cakap macam tu.
“Bila boleh hantar rombongan merisik?” Spontan Izham menuturkannya.
“Lepas Meah selesai banyak kerja yang Meah belum selesaikan.” Meah sudah tertunduk menahan perasaan malu yang bermaharajalela di seluruh hatinya. Rambut Ayiz diusap lembut.
Ikutkan hati sudah lama Izham melompat gaya kanak-kanak Ribena di situ. Tapi, apabila mengenangkan dia kini berada di kawasan umum terpaksalah dibatalkan niat tersebut. Cukuplah dengan mengucapkan kata Alhamdulillah di dalam hati.
“Banyak lagi ke kerjanya?”
“Banyaklah juga. Ambil masa sampai sebulan lebih kurang. Hmm.. Lepas ni abang Iz fly ke mana pula?” Meah sudah mula beralih topik asal.
“Lamanya. Kenapa tak settle dalam masa sehari aje. InsyaAllah abang akan fly pergi Beijing pula. Tiga minggu dari sekarag.” Meah mengangguk faham.
Masing-masing mendiamkan diri apabila merasakan sudah habis idea untuk berbual. Ayiz juga turut diam.
“Oklah, abang Iz. Meah balik dululah. Lagipun sekarang dah pukul 6:30 petang. Tak baik anak dara keluar senja macam ni. Ayiz pun kecil lagi.” Ujar Meah memecah kesunyian di antara mereka.
“Hmm... Ok. Abang pun kena hantar Ayiz ni sebelum pukul 7:00. Dah janji dengan mama dia.” Mereka bangun bersama-sama. Ayiz meminta Izham untuk mendukungnya. Izham mendukung Ayiz yang masih tidak habis menghisap lolipopnya.
“Assalamualaikum. Nah, ambil balik! Hehehe...” Meah menghulurkan jambangan bunga ros tersebut ke arah Izham.
Izham mengambilnya dan tertawa kecil. Kelakar pula apabila mengenangkan kisah cinta mereka. Memang cinta melankolia betul!
Meah meletakkan kad kecil di sebalik cover telefon bimbitnya. Kad yang bersaiz kecil itu memudahkan lagi ia terselit di belakang cover telefon.
“Waalaikummussalam. Hati-hati ya, sayang.” Izham menghantar langkah Meah dengan anak matanya. Sempat Meah menoleh dan melambai tangan ke arah Ayiz dan Izham. Ayiz membalas lambaian tangan Meah manakala Izham hanya tersenyum.
Dia turut melangkah pergi meninggalkan tasik di Taman Permata. Bagai terngiang ayat yang telah dituturkan oleh Meah tadi. Meah tidak mahu mereka begini selamanya. Dan dia yakin maksudnya ialah adanya ikatan halal. Buktinya Meah memberikan jawapan yang memberangsangkan apabila dia bertanya soal menghantar rombongan merisik. Dia yakin Meah tidak menipu perasaannya. Ya,dia yakin!
Perlahan Proton Inspira miliknya meninggalkan tempat parkir Taman Permata. Istikharah. Hanya itu yang berada di benaknya. Dia ingin solat istikharah. Tapi, masih bolehkah untuk dia melakukannya setelah meluahkan isi hatinya kepada Meah? Macam mana pula jika wajah orang lain pula yang muncul setelah dia solat istikharah? Apa yang perlu dia katakan kepada Meah?
Bermacam-macam persoalan bermain di akalnya. Tapi, tiada satu pun yang mampu di jawab.

*****

Hazwan memandang geram ke arah pasangan merpati dua sejoli yang ralit melayan perasaan masing-masing. Dia menjadi tidak tentu arah apabila melihat ada seorang lelaki yang tidak dikenalinya duduk rapat dengan Meah di hadapan tasik.
Dia yang melihat adegan mereka dari dalam kereta BMW miliknya menjadi panas. Hatinya berasa panas apabila mengenangkan sikap Meah ketika pertama kali bertemu dengannya. Jelas Meah menolaknya. Tapi, lain pula sikap Meah apabila dia bersama lelaki tersebut.
Air-cond yang terpasang di dalam keretanya tidak mampu menyejukkan hatinya panas. Panas, memang panas sehinggakan ingin sahaja di terjun ke dalam tasik itu untuk menyejukkan badannya.
Dia rasa tercabar dengan sikap Meah. Kalau diikutkan hatinya, sudah lama kereta Izham dirempuh olehnya. Tapi, apabila mengenangkan di ialah seorang manusia yang sudah banyak dosa dan tidak mahu menambah dosanya lagi, segalanya hanya mampu dipendam.
Laju keretanya dipandu. Dia ingin pergi berhibur. Dia perlukan hiburan! Hiburan untuk menghiburkan hati sendiri. Tapi, sebelum tu dia perlu singgah di masjid yang berdekatan dahulu. Solat Maghrib dahulu! Orang jahat pun solat tau! Jangan pandang diorang sebelah mata. Biar pun jam baru menunjuk ke angka 6:45 tapi apa salahnya sampai awal ke masjid. Bukankah itu lebih afdal dan lebih baik.


No comments:

Post a Comment