Assalamualaikum dan hai semua...
Hehehe... Ini adalah cerpen terakhir sebelum saya beraya. Yeayyyy... Berlalulah sudah Ramadhan.... Sebulan berpuasaaaaa... Hahaha... *tengah puasa*
Kenal dok 'mamat' di atas ni? =P |
Izzat membuka radio di dalam kereta Proton
Saga milik ayahnya. Ayahnya hanya tersenyum melihat Izzat yang gemar tersengih
itu. Kedengaran suara juruhebah radio Suria fm sebaik sahaja radio dalam kereta
ayahnya terbuka.
“Izzat Harraz, kemuliaan yang amat
warak. Sedap nama yang ayah letak untuk anak ayah ni.” Ujarnya ayahnya
tiba-tiba.
Izzat menoleh memandang ke arah ayahnya
yang masih menumpukan perhatian sepenuhnya ke atas jalanraya.
“Memanglah sedap lagipun tengoklah orangnya
juga. Hensem lagi comel.” Ujar Izzat sambil mendabik dada. Kononnya banggalah.
Ayahnya tersenyum ke arah Izzat. Rambut
Izzat diusap dengan jemarinya. “Tapi Izzat Harraz, ayah harap Izzat dapat jadi
orang yang warak. Jangan hanya ada pada nama tapi tiada pada diri Izzat. Ayah
nak Izzat lakukan segala amalan yang telah diperintah oleh-NYA. Jangan
tinggalkan segala perintah-NYA tapi jauhi segala larangan-NYA.” Ayah Izzat
memberi nasihat kepadanya.
Izzat hanya tersenyum lebar sambil
terangguk-angguk. Suasana sepi mengambil alih antara mereka dua beranak.
“Terimalah, sebuah lagu bertajuk Laskar
Pelangi nyanyian dari kumpulan Nidji.” Kata juruhebah radio tersebut. Makin
lebar pula senyum di bibir Izzat tatkala mendengar tajuk lagu yang akan
dimainkan oleh juruhebah tersebut.
Laskar Pelangi, lagu kegemaran Izzat
yang tidak pernah jemu untuk dia dengari sejak pertama kali lagu tersebut
diperkenalkan di Malaysia.
Mimpi adalah kunci
Untuk kita menaklukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya
Laskar pelangi takkan terikat waktu
Bebaskan mimpimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa
Untuk kita menaklukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya
Laskar pelangi takkan terikat waktu
Bebaskan mimpimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa
Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia selamanya
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia selamanya
Cinta kepada hidup
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita
Laskar pelangi takkan terikat waktu
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi
Laskar pelangi takkan terikat waktu
Sesekali bibirnya mengikut rentak dan
irama lagu tersebut. Ayahnya hanya menggeleng melihat gelagat anak lelaki yang
satu-satunya yang dia ada bersama isteri tercinta.
“Izzat, andai kata ayah ‘pergi’ dulu
suatu hari nanti, Izzat jagalah ibu dengan adik baik-baik ya.” Tutur ayahnya
tiba-tiba.
Izzat terkedu sejenak di tempat
duduknya. Wajah ayahnya dipandang lama dengan kerutan di dahi yang berlapis.
Rasa sebak menyerbu dadanya.
“Kenapa ayah cakap macam tu?! Ayah dah
tak sayangkan ibu dengan Izzat dan Izyan ke?” Perlahan Izzat menuturnya. Dia
tertunduk memandang ke arah dashboard.
Dia bermain dengan hujung jarinya.
“Izzat, takdir ALLAH itu bukan sesuatu
yang dapat kita teka. Kita tak tahu bila kita akan meninggal tapi kita tahu
tarikh kita lahir. Ayah tak kata yang ayah tak sayangkan anak-anak dan isteri
ayah. Ayah sayangkan semua orang tapi kita tak tahu apa yang akan terjadi di
masa hadapan, Izzat.” Ujar ayahnya seraya mengusap rambutnya.
“Tapi ayah janganlah cakap macam tu.
Izzat dengan Izyan masih perlukan ayah.” Perlahan Izzat menuturnya tapi
kepalanya masih tertunduk.
Ada air mata yang mengalir di celah
tubir matanya. Buat pertama kalinya air mata lelakinya mengalir di pipinya
selain waktu kecil yang penuh dengan warna-warni.
Ayahnya mengusap rambutnya sambil
mencium dahinya. Izzat mendongak untuk melihat ayahnya. Senyuman yang
dihadiahkan untuknya dibalas jua dengan sebuah senyuman. Izzat berpaling ke
hadapan.
Tiba-tiba...
“Ayah...!!! Lori tu!!!” Jerit Izzat
sekuat hati apabila ada sebuah lori dari arah bertentangan laju meluru ke arah
kereta yang dipandu ayah Izzat.
Ayah Izzat cuba untuk mengelak lori berkenaan
tapi malangnya kereta mereka berlanggar dengan kereta yang datang dari arah
belakang pula. Berpusing-pusing kereta yang dipandu oleh ayah Izzat sebelum
bergesel dengan penghadang jalan dan terbalik apabila ayahnya sudah tidak mampu
untuk mengawal kereta yang dipandu.
“A... a... yah.” Perlahan suara Izzat
cuba untuk memanggil ayahnya yang tersepit di tempat pemandu. Tangannya yang
tersepit cuba untuk dikeluarkan agar dia dapat mencapai tangan ayahnya. Tapi
malang, tangannya tidak dapat dikeluarkan.
Air matanya laju menitis apabila melihat
ayahnya yang sudah longlai. Sempat ayahnya tersenyum ke arah Izzat sebelum
menutup mata yang mungkin jua buat selamanya. Air matanya mengalir kian lebat.
Pandangannya kabur sebelum gelap
ditutupi kelopak mata.
~*~*~*~*~
“Ayah!” Bergema wad lelaki di Hospital Raja
Permaisuri Bainun dengan jeritan seorang remaja berusia 17 tahun yang baru
sahaja sedar setelah hampir tiga bulan lamanya dia terbaring kaku di atas katil
bercadarkan kain putih itu.
Dia memerhati ke arah sekeliling yang
kelihatan amat janggal baginya. Dia cuba untuk mencari bayang seseorang yang
sudah lama tidak dia tatap. Wayar yang berselirat di tangan kanannya
menyebabkan pergerakannya terbatas. Laju sahaja tangannya ingin menarik wayar
tersebut tapi sempat ditahan oleh seseorang.
Izzat mengerling ke arah seorang wanita
yang memegang tangan kirinya daripada menarik wayar tersebut.
“Ibu.” Hanya sepatah perkataan itu
sahaja yang meniti di bibirnya. Berdiri di sebelah kirinya pula ialah Nur
Izyan, adik bongsunya yang juga sudah lama tidak dia tatap wajahnya. Di
belakang ibunya pula berdiri seorang wanita yang tidak dia kenali. Tiada
senyuman yang menghiasi bibir wanita tersebut tapi pandangan redupnya membuat
Izzat terpaku seketika sebelum kembali tersedar ke alam nyata.
“Izzat bawa bertenang. Bawa mengucap,
sayang.” Ujar ibunya seraya mengusap kepala Izzat.
“Tak. Izzat takkan bertenang selagi
Izzat tak jumpa dengan ayah. Ayah mana ibu? Izyan, ayah mana Yan? Bagitau abang
ayah mana?!” Izzat memberontak dengan cuba untuk menarik lagi wayar di tangan
kanannya. Wanita di belakang ibunya tadi melangkah meninggalkan Izzat bersama
ibu dan adiknya.
Ibunya terpaksa memegang kuat tangannya.
Izyan turut membantu.
“Sabar Izzat.” Ibunya menutur dengan
linangan air mata di tubir matanya.
Izzat memandang pelik ke arah ibunya.
Berkerut-kerut dahinya apabila melihat ada air mata yang berlinang di mata
ibunya.
“Kenapa ibu nangis, bu? Ayah mana?!”
Jerit Izzat ke arah ibunya. Dia tidak berpuas hati apabila soalannya tidak
berjawab.
“Ayah dah tak ada, bang. Ayah meninggal
waktu accident tiga bulan lepas.”
Laju Izyan menuturnya dalam nada sebak. Air matanya mengalir apabila melihat
abangnya yang terdiam dan terkaku melihatnya.
Perlahan tangannya yang berada di dalam
genggaman ibunya ditarik. Lama dia terkaku sebelum terbaring semula ke atas
katil. Dia merenung ke arah siling yang berwarna putih. Terbayang di ruang
matanya wajah ayah yang dia rindui.
“Ibu dengan Yan tipu Izzat, kan? Korang
tipu Izzat, kan? Tolong cakap yang ibu dengan Yan tipu Izzat.” Perlahan dia
menuturnya tapi matanya masih lagi menatap siling.
Tangan kanannya digenggam erat oleh
ibunya. “Izzat, tak ada gunanya kami nak menipu Izzat. Ini adalah kenyataan
Izzat.” Izzat cuba untuk ditenangkan oleh ibunya. Tangan kirinya pula digenggam
oleh Izyan.
Perlahan Izzat menarik tangannya dari
genggaman ibu dan adiknya. Dia mengiring ke arah kiri membelakangi ibunya.
Sempat telinga menangkap keluhan nafas ibunya. Dia rasa bersalah membuat ibunya
begitu tapi perasaan sedih apabila khabar ayahnya sudah tiada lebih menguasai.
“Yan, jom kita turun dulu. Biar abang
kamu tenangkan diri dulu.” Itu sahaja yang dia dengar sebelum hanya angin yang
menderu dari tingkap yang terbuka luas dan suara doktor dan jururawat yang
berulang-alik menjadi halwa telinganya.
Air mata lelakinya yang ditahan akhirnya
tertumpah jua menyembah lantai hospital.
‘Ya ALLAH, KAU tempatkanlah ayahku di
tempat orang yang beriman.’ Izzat berdoa di dalam hati sebelum kembali
melelapkan mata.
~*~*~*~*~
Lapan tahun kemudian...
‘Ayah, Izzat balik dulu ya ayah.
InsyaALLAH lain kali Izzat datang lagi ‘melawat’ ayah di sini.’ Ujar Izzat di
dalam hati seraya memegang batu nisan milik kubur arwah Ikmal, ayahnya.
Izzat bangun dari duduk dan melangkah
meninggalkan tanah perkuburan Islam tempat jasad ayahnya bersemadi. Lapan tahun
sudah berlalu namun hatinya tetap kukuh melekatkan wajah dan suara ayahnya yang
sering bergurau dengan dia dan Izyan.
Sedang asyik Izzat melangkah keluar dari
kawasan tanah perkuburan tiba-tiba pandangannya menangkap bayang seorang wanita
yang agak gempal tubuh badannnya menangis teresak-esak di sebelah kubur. Lama
Izzat mengamati wanita tersebut sebelum wanita tersebut berpaling dan mata
mereka bertentangan.
Kuat hati dan benaknya menyatakan bahawa
dia mengenali wanita itu tapi di mana. Dia pernah melihat wanita itu. Ya, dia
pasti tapi masalahnya di mana dan bila?
Izzat memberikan sebuah senyuman ke arah
wanita tersebut tapi wanita itu hanya menunduk kembali dan terus bangun
meninggalkan kawasan tanah perkuburan. Izzat cuba untuk mengekori langkah
wanita tersebut tapi wanita itu lebih laju melangkah.
Izzat berhenti separuh jalan dan
terintai-intai cuba untuk mencari bayang wanita itu sebelum tiba-tiba bahunya
ditepuk dari belakang. Izzat terkejut dan laju dia berpaling ke belakang. Wajah
manis adiknya, Izyan, menjadi tatapan matanya.
“Abang buat apa dekat sini? Jenuh Yan
cari abang dekat kubur ayah tapi tak ada pun. Ingatkan abang dah tinggalkan Yan
dengan ibu.” Kata Izyan seraya menoleh ke kiri dan kanan untuk melihat apa yang
abangnya buat di situ.
“Eh, hmm... Tak ada apa-apalah. Dah
selesai ke kemaskan kubur nenek? Kalau belum, abang tunggu Yan dengan ibu dalam
keretalah. Jangan lama sangat tau.” Itu saja yang Izzat katakan pada adiknya
sebelum berlalu meninggalkan Izyan yang terpinga-pinga melihat abangnya.
Sempat Izzat menoleh ke belakang, cuba
untuk mencari wanita yang dia lihat tadi tapi hampa. Hanya bayang adiknya yang
melangkah semula ke arah ibunya sahaja yang menjadi tatapan matanya. Perlahan dia
menghela nafas dan terus melangkah ke arah kereta yang diparkir di luar pagar
kawasan tanah perkuburan itu.
~*~*~*~*~
“Ibu, Izzat pergi dulu ya. Nanti kalau Izzat ada
masa Izzat balik makan tengah hari. Kalau Izzat tak balik tu maknanya Izzat
sibuklah tu ya.” Ujar Izzat seraya mencium pipi ibunya yang sedang menuang air
di dalam teko ke dalam cawan.
Butang baju kemeja berwarna hitam yang
tersarung di tubuhnya dibetulkan. Tali leher yang sudah diikat kemas dibetulkan
pula. Cukup segak untuk Izzat memulakan hari pertamanya buat minggu ini.
“Ya ALLAH, awalnya. Kalau ya pun
minumlah dulu air ni. Penat adik comel Izzat tu buat air ni tau.” Ujar ibu
seraya memaksa Izzat untuk duduk ke atas kerusi di hadapannya.
Izzat hanya tersenyum pada ibunya dan
melabuhkan punggungnya ke atas kerusi. Walaupun sudah lambat namun dia tetap
perlu menjaga hati ibunya. Izyan yang baru tiba di ruang makan hanya tersenyum
ke arah ibu dan abangnya sebelum duduk di sebelah ibunya.
“Rileks la abang. Tak adanya bankrap
bisnes abang tu kalau abang masuk lambat pun. Lagipun setiausaha abang yang
comel tu kan ada.” Kata Izyan pada abangnya yang sedang menghirup air kopi o’
di dalam cawannya.
“Memanglah abang takkan bankrap, sayang.
Tapi abang takut nanti Wirda ternanti-nanti. Lagipun abang dah janji nak ambil
barang dekat pembekal di Tasek hari ni. Pergi lambat nanti balik pun lambat.”
Izzat membalas semula kata-kata adiknya sambil sempat tangannya menyambar sekeping
roti yang sudah disapu dengan Nutella di atas pinggan.
Tak sempat nak makan konon tapi sempat
juga dia melantak sekeping roti. Izzat mengerling ke arah jam tangannya
beberapa kali.
Ibu dan Izyan hanya tersenyum melihat
abangnya yang tak ubah seperti kera kena belacan. Tak tentu arah macam
setiausaha dia cikgu disiplin yang akan marah jika anak muridnya datang lambat.
“Oklah, Izzat pergi dulu la.
Assalamualaikum.” Ujar Izzat seraya menghulur tangan untuk bersalam dengan
ibunya. Izyan turut menghulurkan tangan ke arah Izzat untuk bersalam dengan
abangnya.
“Waalaikummussalam. Hati-hati ya Izzat.
Ingat, jangan lupa mulakan apa-apa jua pekerjaan itu dengan lafaz basmallah.
Mudah-mudahan ALLAH memberkati setiap apa yang Izzat lakukan.” Pesan ibunya.
Izzat hanya tersenyum dan mengangguk.
Dia melangkah keluar dari ruang makan tapi sempat dia menoleh ke arah adiknya
dan tersenyum senget.
“Yan pun kerja tu jangan dok nak tengok
doktor tu aje. Ingat, awak tu baru setahun jagung, jangan nak cari pasal. Bye!” Sempat dia memberi ‘nasihat’
kepada adiknya yang bekerja di sebuah klinik milik seorang doktor muda.
Izyan membuat muka geram ke arah
abangnya.
“Abang!” Jerit Izyan dan Izzat terus
laju membuka langkah melarikan diri.
Izzat tersenyum sendiri sambil
membetulkan cermin pandang belakang. Dia memasukkan gear dan perlahan kereta
Proton Personanya meninggalkan perkarangan rumahnya. Bibirnya terkumat-kamit
membaca doa ketika memandu.
“Subhanalladzi
sakhara lana hadza wama kunna lahu muqrinin wainna ila robbina lamunqalibun...”
Bayangan wanita di kubur semalam kembali
bermain di benaknya. Entah mengapa kuat naluri hatinya berkata bahawa dia
mengenali wanita itu tapi lupa pula dia di mana dan bagaimana dia boleh
mengenali wanita itu.
Perlahan bayangan kejadian lapan tahun
lalu ketika dia terlantar di hospital mencelah. Walaupun sekadar samar-samar
tapi dia tetap ingat bagaimana dia berkeras dengan ibu dan adiknya agar
memberitahu kenyataan tentang ayahnya. Tiba-tiba hatinya terdetik akan suatu
perkara. Izzat berkerut seketika sambil masih menumpukan perhatian di atas
jalan raya.
Bayangan wanita di hospital bersama
ibunya menjelma. Baru kini dia teringat di mana dia melihat wanita itu. Tapi,
siapa dia sebenarnya?
‘Dia?! Siapa dia sebenarnya?! Apa kena
mengenanya aku dan dia. Kenapa hati aku bergetar ni? Jodoh aku ke? Ish,
mustahil! Tapi tiada apa yang mustahil. Ya ALLAH...’ Panjang dia bermonolog di
dalam hati sambil kepalanya tergeleng-geleng.
Tanpa sedar kini keretanya sudah pun
elok terparkir di ruang parkir kereta tempat kerjanya merangkap syarikatnya
yang baru setahun jagung bertapak di dunia perindustrian. Sekadar perindustrian
membuat biskut mazola atau kuih kacang yang telah divariasikan kepada pelbagai
perisa termasuk coklat dan madu.
Setelah memastikan pintu keretanya
dikunci elok, dia melangkah masuk ke arah pintu utama. Wajah pertama yang menjadi
tatapan matanya sudah pastilah wajah pekerja yang sangatlah ‘berdedikasi’
menggodanya.
“Hai Zat. Lambat pula you sampai. You dah makan? Kalau belum I
boleh temankan you makan.” Ujar Qiqie
atau nama betulnya Qeyrah. Aduh, nama yang amatlah unik eja dan sebutannya.
‘Zat dipanggilnya aku?! Ingat aku ni
salah seorang golongan kekurangan zat apa?’ Bisik hati Izzat sambil tersenyum
tak berapa manis ke arah Qiqie yang masih galak berposing maut di meja
penyambut tetamu.
“Waalaikummussalam. Saya dah makan dah
tadi. Sedap ibu saya masak tadi. Lagi sedap daripada makan bertemankan orang
lain selain ibu saya.” Sinis Izzat menyindir Qiqie yang sudah tersipu-sipu
sambil menarik-narik bajunya yang tidak cukup kain itu. Gaya macam boleh aje
baju tu turunkan ke bawah sikit untuk menutupi pahanya.
Izzat terus berlalu ke pejabatnya
sebelum malaikat di bahu kirinya terus mencatit dosanya kerana melihat aurat
seorang wanita yang bukanlah mahramnya. Patut buat tapisan di pejabatnya
selepas ini. Mereka yang tak ada duit nak beli kain untuk buat baju tidak akan
diterima bekerja di syarikatnya.
Wajah Wirda yang kelihatan cemas di
tempat duduknya menjadi tatapan mata Izzat sebaik sahaja dia melangkah masuk ke
pejabatnya. Wirda terus menghampirinya sebaik sahaja Wirda melihat dia.
“Iz, kita ada masalah. Masalah besar ni
Iz.” Ujar Wirda dalam nada cemas.
“Masalah apa, Wir?” Soal Izzat.
“Pembekal kacang akan menarik balik
tawaran dia untuk membekalkan kacang kepada syarikat kita jika kita masih
menangguhkan masa untuk membayar wang baki. Malah, kacang yang pernah dia
berikan dulu sebagai permulaan dulu pun dia akan minta semula tapi dalam bentuk
wang ringgit.” Lebar Wirda menerangkan kepada Izzat.
Izzat tersenyum ke arah Wirda. “Tak
perlu risau Wirda, awak siapkan dulu cek yang saya bagi pada awak hari Jumaat
hari tu lepas tu tunggu saya di bawah. Kita akan pergi ke syarikat kacang tu.”
Tenang Izzat menuturnya dan terus melangkah ke pejabatnya.
Wirda menggaru kepalanya yang
terselindung di sebalik selendang yang terlilit di kepalanya. Wajah tenang
Izzat yang sudah dua tahun menjadi bosnya membuatkan jiwanya menjadi kacau.
Terus dia melangkah semula ke tempatnya
untuk mengambil cek yang telah diserahkan oleh Izzat kepadanya. Dia terus
melangkah turun ke tingkat bawah setelah cek tersebut diletakkan ke dalam
failnya.
Sesampai sahaja dia di bawah, dia
terlihat Qiqie yang asyik berbual dengan seseorang melalui telefon sambil
bersandar di meja penyambut tetamu. Dengan wajah yang menyampah dia melintasi
wanita itu yang masih asyik dengan telefon bimbitnya.
“Hey, hey! Hey, minah!” Jerit Qiqie ke
arah Wirda yang baru sahaja ingin menolak pintu utama. Wirda mengeluh perlahan
sebelum berpaling ke belakang untuk melihat Qiqie.
Qiqie memberikan sebuah senyuman yang
sinis kepada Wirda sebelum berjalan mengelilingi Wirda yang kaku. Bukannya
Wirda tidak tahu perangai Qiqie tapi kadang-kadang rasa menyampah menguasai
sehingga membuatkan dia ingin membuat seperti tidak tahu perangai Qiqie itu
bagaimana ‘rupanya’.
“Hmm... Cun, I lagi cun dari you tapi macam
manalah you ni boleh terlepas jadi secretary Izzat. I think I la orang yang paling layak untuk jadi his secretary. I pun lebih georgeous dari
you yang errr... Bergaya pun fesyen orang purba you know. Not sexy as me.”
Ujarnya untuk menyakitkan hati Wirda.
Wirda memandang lama ke arah Qiqie yang
tak ubah seperti cacing kerawit kelaparan. Sakit mata memandang sakit lagi hati
yang berasap ni. Wirda hanya tersenyum sumbing ke arah Qiqie yang masih tidak
berganjak dan terus berlalu keluar.
“Eleh, baju dia tu yang macam baju orang
zaman purba. Tak sedar diri!” Omel Wirda sendiri sebaik sahaja keluar dari
pintu pejabat tempat dia mencari sesuap nasi.
Izzat yang baru sahaja keluar dari lif
telah menarik perhatian Qiqie yang masih setia menemani kaunter penyambut
tetamu. Sara yang menjadi penyambut tetamu terpaksalah menahan mata dan hati
yang sakit melihat ‘umpan ikan’ di hadapannya ini.
‘Aduh, minah ni! Ada juga yang dapat
surat berhenti kerja ni. Orang dahlah tengah kusut, tengok pula muka dia yang
tak secomel kak ton tu.’ Izzat bermonolog sendiri. Bukannya dia tidak menyampah
dengan Qiqie tapi rasa geram dan bengang itu tersimpan kemas di dalam hati.
“You
nak pergi mana, Zat? Nak I temankan
you, tak?” Soal Qiqie sambil tangannya cuba untuk meraih tangan Izzat.
Izzat membulatkan mata ke arah Qiqie dan
terus melarikan tangannya dari bersentuhan dengan ‘benda’ haram. Tahap
‘kenyampahan’ Izzat kini dirasakan bagai sudah berada tahap tertinggi, tahap
yang sama dengan ketinggian menara Eiffel.
“Kerja di tempat orang Islam dan jika
awak tahu apa itu halal dan haram tolong jaga adab awak. Adab awak melambangkan
siapa sebenarnya awak. Tolong, jangan sampai saya buat sesuatu yang dapat
lukakan hati awak.” Mendatar sahaja Izzat memberi nasihat kepada Qiqie. Tapi,
penuh dengan sindiran dan amaran di sebalik kata-katanya.
Qiqie terkedu di hadapan Izzat yang
menjelingnya tajam. Izzat terus berlalu meninggalkan Qiqie yang masih lagi kaku
tidak bergerak di tempatnya. Tidak percaya agaknya kerana bos kesayangannya
memberi nasihat kepadanya. Nasihat yang lebih kepada menyindir dirinya pula
itu.
“Itu maknanya orang ramai dah menyampah
dengan kau, Qiqie. Orang dah tak suka tu lain kali jangan nak bermimpi dapat
duduk sebelah-menyebelah lain kali. Dia tu baik, terlalu baik untuk mendampingi
orang yang ‘murah’ macam kau.” Selamba sahaja Sara menyimbah ke dalam api yang
marak.
Qiqie mengetap bibir sambil menjeling
tajam ke arah Sara. Sakit hatinya tak terbilang apabila dikutuk sebegitu rupa.
Mungkin sebelum ini walaupun dikutuk oleh orang lain tidak dia pedulikan tapi
jika Izzat, seorang jejaka yang sudah lama dia menaruh hati. Sukar sekali
hatinya ingin menerima hakikat.
“Eleh, kau tu pun bukannya layak juga
untuk bos kita tu! Tak apa, aku akan buktikan pada kau yang bos kita tu akan tergila-gilakan
aku suatu hari nanti. Kau cuma perlu tunggu dan lihat aje apa yang akan aku
buat. Waktu tu jangan nak menangis merayu dekat kaki aku.” Kata Qiqie.
Qiqie tersenyum dalam geram sambil
menjeling ke arah Sara yang sedang duduk di belakang meja penyambut tetamu.
Sara hanya menggelengkan kepalanya melihat Qiqie yang bagai berada di alamnya
sendiri.
Tak sedar yang diri itu hanya pipit tapi
masih ada hati ingin terbang seiring dengan enggang. Itulah Qiqie!
~*~*~*~*~
“InsyaALLAH, saya takkan lupa syarat-syarat yang
telah Dato’ tetapkan tu.” Ujar Izzat seraya bersalam dengan Dato’ Shamsul
merangkap bos di kilang kacang itu.
Dato’ Shamsul menyambut huluran tangan
Izzat sambil tersenyum penuh makna. Dia berasa amat gembira apabila melihat
kesungguhan anak muda di hadapan matanya ini cuba untuk membangunkan industri
yang telah diusahakan olehnya sendiri.
“Jemputlah minum dulu. Lagipun pekerja
saya dah siapkan air.” Ajak Dato’ Shamsul sambil membuka pintu di ruang rehat.
Izzat hanya mengangguk dan mengekori langkah
Dato’ Shamsul yang sudah mendahuluinya. Sebaik sahaja dia menapak masuk ke
bilik berkenaan, dia melihat Wirda sedang berbual dengan seorang wanita yang
membelakanginya.
“Laa, patutlah saya cari awak tadi tak
jumpa. Rupa-rupanya dia dah rehat dulu.” Ujar Izzat seraya melabuhkan punggung
ke atas sofa yang berada di sebelah wanita di hadapan Wirda.
Wirda tersengih panjang. “Maaflah.”
Izzat tersenyum sambil menggelengkan
kepalanya beberapa kali. Dia cuba untuk melihat gerangan wanita yang berada di
sebelahnya. Tapi malangnya tudung wanita itu terlalu ke depan sehingga menutup
wajahnya dari sisi.
Tiba-tiba wanita itu berpaling ke
arahnya sambil tersenyum. Izzat terkedu seraya menelan liurnya yang terasa
bagai menelan seketul batu. Wanita itu turut terkedu. Dia terus bangun
meninggalkan Izzat bersama Dato’ Shamsul dan Wirda.
“Saya keluar dulu ya, Dato’. Nanti saya
masuk balik.” Itu sahaja yang dikatanya sebelum langkahnya terus laju mencari
jalan keluar. Izzat hanya mengekori gerak langkah wanita itu melalui ekor
matanya.
“Jemputlah minum. Hanya air teh kosong
sahaja yang dapat saya hidangkan. Eh, bukan saya tapi pekerja saya.” Dato’
Shamsul cuba untuk menaikkan suasana yang kelihatan santai antara mereka.
Tapi bagi Izzat, hanya senyuman yang
mampu dicalitkan di bibirnya kerana hatinya kini tidak tenteram selagi dia
tidak mengetahui siapakah gerangan wanita yang telah membuat dadanya bergetar
bagai nak mati.
Wirda melihat ke arah bosnya yang
kelihatan kusut dengan adakalanya terbit kerutan di dahinya. Apakah yang bosnya
sedang fikirkan? Takkanlah stres soal pembekal kacang lagi kut sedangkan terang
lagi bersuluh Dato’ Shamsul sudah menerima wang baki. Soal cinta ke? Tapi sejak
bila pula bosnya pandai bermain cinta?
‘Tak boleh jadi! Lagi aku diam lagi
banyak soalan tentang dia yang bermain di hati aku ni. Memang tak boleh jadi.
Aku kena tahu juga siapa dia sebenarnya!’ Bisik Izzat sendiri di dalam hati
sambil merenung ke arah cawan yang berisi teh di hadapannya.
Dato’ Shamsul yang dari tadi ralit dengan gajetnya berpaling melihat ke
arah Izzat. Anak muda yang dia kenali dengan keramahan dan kepetahannya ketika
bercakap kini hanya diam seribu bahasa. Malah, seperti Wirda, dia turut melihat
ada kerutan yang terbit di dahi usahawan muda itu.
“Ada ada apa-apa ke yang mengganggu
fikiran Izzat?” Soal Dato’ Shamsul seraya meletakkan gajetnya ke atas meja.
Izzat yang tersedar dari lamunannya laju
berpaling ke arah Dato’ Shamsul. Dato’ Shamsul yang sedang melihat ke arahnya
sambil tersenyum menjadi tatapan matanya. Dia turut membalas senyuman Dato’
Shamsul.
‘Aku kena ambil peluang ni. Bukan selalu
aku akan berkesempatan untuk bertanyakan soal ini.’ Sempat Izzat bermonolog
sendiri.
“Hmm... Boleh tak kalau Izzat nak tahu
soal wanita yang ada dalam bilik ni tadi?” Soal Izzat tanpa berlapik.
Wirda melihat lama ke arah bosnya yang
tersenyum ke arah Dato’ Shamsul. Bagai tidak percaya bahawa bosnya bertanyakan
soal seorang wanita. Memang tidak pelik pun bunyinya tapi bagi Wirda, ini
adalah suatu keajaiban.
Setahu dialah, bos adalah orang yang
formal, yang jarang melibatkan hal-hal keluarga, wanita atau teman hidup di
dalam soal kerja. Baginya, segala perkara itu hanya membebankan lagi otak yang
sedia penuh dengan maklumat kerja.
Dato’ Shamsul tersenyum penuh makna.
“Owh, Nur Safiya. Dia pekerja saya. Dah lama dah dia kerja dengan saya. Adalah
dalam empat tahun. Sebelum saya cerita lagi soal Fiya boleh tak saya tahu
kenapa Izzat tiba-tiba nak tahu soal Fiya?” Kata Dato’ Shamsul.
Izzat tersenyum nipis. “Kalau saya
ceritakan pada Dato’ pun belum tentu Dato’ faham tapi saya tahu Dato’ tetap
akan faham kerana Dato’ juga seorang manusia yang pernah melalui zaman
kanak-kanak, remaja dan dewasa.” Tenang Izzat memberikan jawapan.
Wirda menyembunyikan senyumannya yang
terbit di bibir dengan menutup separuh wajahnya dengan fail yang berada di
tangannya. Dato’ Shamsul pula hanya tersenyum lagi dan lagi.
“Saya faham. Tak apa, mungkin tak sesuai
untuk saya ceritakan waktu ni. Saya akan cuba curi waktu malam ni untuk
bercerita lebih lanjut. Tapi, saya harap Izzat pun free la malam ni. Kita keluar makan.” Usul Dato’ Shamsul.
Izzat tersenyum. “InsyaALLAH.”
Nur Safiya, Cahaya wanita yang baik dan
suci. SubhanALLAH, namanya sungguh indah.
~*~*~*~*~
“Izzat menaruh perasaan pada Fiya?” Soal Dato’
Shamsul kepada Izzat yang berada di hadapannya. Segak dengan T-shirt Polo
berwarna putih dan hitam.
Izzat tersenyum kecil. Tidak tahu sama
ada dia perlu katakan ya ataupun tidak. Nak kata ya, benarkah perasaan itu? Nak
katakan tidak, apa maknanya pula hatinya yang sering bergetar dan dirinya yang
jadi umpama mandi tak basah, tidur tak lena mengingati wanita itu.
“Entah la Dato’. Saya sendiri pun tak
tahu macam mana nak describe perasaan
saya sendiri.” Jujur Izzat meluahkan.
“Hmm... Izzat tak perlulah panggil saya
Dato’. Panggil aje saya pak cik. Lagipun pasti umur saya sebaya dengan umur
ayah Izzat.” Ujar Dato’ Shamsul yang tidak selesa apabila Izzat memanggilnya
Dato’.
Riak wajah Izzat berubah. Senyuman yang
terukir di bibirnya menjadi kelat. Sukar sekali untuk dia mengawal senyuman
yang terukir di bibirnya agar Dato’ Shamsul tidak perasan akan riaknya yang
berubah.
“Ayah saya dah tak ada. Dah lapan tahun
saya kehilangan kasih sayang seorang lelaki bergelar ayah.” Perlahan Izzat
menuturnya sambil masih lagi cuba untuk mengawal senyuman yang terukir di
bibirnya.
Dato’ Shamsul terkedu dan dirinya mula
dihimpit rasa bersalah sambil memandang lama ke arah Izzat di hadapannya. “Ya
ALLAH, maafkan pak cik. Pak cik tak tahu.”
Izzat menggeleng. “Tak apa, hmm... Boleh
kita teruskan topik Nur Safiya?” Ujar Izzat cuba untuk mengembalikan topik
asal.
Dato’ Shamsul tersenyum. “Boleh. Apa
lagi yang Izzat nak tahu soal Fiya?” Soalnya seraya memandang tepat ke arah
anak mata Izzat.
Izzat tertunduk malu apabila ditanya
begitu. Aduh, mengalahkan anak dara!
“Apa-apa sahaja yang berkaitan Nur
Safiya asalkan bukan sesuatu yang membuka keaibannya. Tapi sebelum tu boleh
saya tahu apa jawatan dia di pejabat Dato’?” Ujar Izzat.
Dato’ Shamsul tersenyum. “Panggil pak
cik sahaja, Izzat. InsyaALLAH, tidak. Dia pembuat air di pejabat pak cik. Dia
seorang yang sering bertukar-tukar kerja sebelum dia bekerja dia pejabat pak
cik. Seorang yang pendiam dan penuh rahsia. Pak cik sendiri pun tak faham
perangai dia. Kadang-kadang dia menyepikan diri, kadang-kadang dia terlebih
ramah. Kadang-kadang pak cik tengok dia macam stres melampau.”
“Bila ditanya kenapa dia macam tu, dia
hanya jawab itulah fitrah seorang hamba ALLAH yang... Sampai tu aje. Ayatnya
sentiasa tergantung. Pak cik sendiri pun sering tertanya-tanya setiap kali dia
membuka mulut menjawab segala pertanyaan pak cik.” Ujar Dato’ Shamsul.
Izzat terangguk-angguk mendengar jawapan
yang meniti di bibir Dato’ Shamsul. Senyuman yang diberi oleh Dato’ Shamsul
dibalas semula. Entah kenapa hatinya meronta ingin tahu lebih lagi. Lebih dari
dia merupakan seorang yang ada kaitan dengan Dato’ Shamsul.
“Safiya sudah ada yang punya atau masih
lagi single?” Soal Izzat tanpa segan
silu kerana Dato’ Shamsul sudah memahami hatinya.
“Setakat ni pak cik tidak pernah lagi
melihat dia keluar bersama mana-mana lelaki tak kiralah bersama pekerja lelaki
saya atau mana-mana lelakilah. Kenapa? Kumbang di hadapan pak cik ni dah
terpikat dengan bunga yang indah di pejabat pak cik ke?” Soal Dato’ Shamsul
sambil tersenyum penuh makna.
Izzat tersipu-sipu apabila disoal
begitu. Dia mengurut-ngurut belakang lehernya sambil tertunduk sedikit
memandang ke bawah. Dato’ Shamsul ketawa kecil sambil melihat ke arah Izzat
yang masih lagi tertunduk.
“Tak perlulah nak malu ala-ala anak dara
dengan pak cik. Pak cik pun pernah lalui zaman perasaan tak tentu arah sebelum
ada yang halal seperti Izzat.” Ujar Dato’ Shamsul yang dapat meneka hati Izzat
yang tidak keruan dek sekuntum bunga yang diberi nama Nur Safiya.
“Kalau dah berkenan pak cik boleh tolong
kenenkan. Usah risau, pak cik takkan menghampakan Izzat, InsyaAllah. Yang
penting Izzat pun jangan lupa untuk istikharah. Jangan biar perasaan terhadap
wanita selain mahram itu bersarang terlalu lama. Kelak memudaratkan diri
nanti.” Sambung Dato’ Shamsul.
Izzat hanya mampu tersenyum mendengar
kata-kata Dato’ Shamsul.
‘Ya Allah, aku memerlukan petunjuk-Mu.’
Detik hati Izzat.
Best ! Sambung2 ...hehe
ReplyDeleteTerima kasih.. saya dah sambung dah, kak... ni linknya --> http://kupukupupurple.blogspot.com/2013/08/izzat-2.html =)
Delete