Tuesday 7 October 2014

Korea Lagi? (Cerpen)

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...



******


Aku menatap wajah Bae Yong Joon yang diletakkan bersebelahan dengan Kim Hyun Joong. Bae Yong Joon (배용준). Lelaki idaman versi Korea mak aku. Mak aku memang minat dengan Bae Yong Joon sebab dia ni hensem dan jambu dalam drama Winter Sonata (겨울연가). Drama yang popular sekitar tahun 2002, 2003 macam tu. Waktu tu aku masih ralit main dengan patung Barbie siang malam.

Kim Hyun Joong (김현중). Aku mengenali jejaka yang berwajah hampir serupa dengan Bae Yong Joon ini melalui drama Boys Over Flower (꽃보다 남자). Drama yang diadaptasi dari manga Jepun Hana Yori Dango. Aku suka dengan Kim Hyun Joong sebab dia tampak begitu cool dan kacak dalam drama tersebut.

Tapi, itu sekadar lakonan! Untuk melihat kriteria yang sebenarnya, tak susah pun. Cari sahaja rancangan hiburan Korea iaitu Running Man yang dihadiri oleh Kim Hyun Joong sebagai tetamu jemputan... Dan segala kriteria sebenarnya akan terbongkar.

Aku melepaskan keluhan yang kasar. Kedua-dua belah tangan dicantum dan ditolak ke udara. Lenguhnya!

"Korea lagi? Kak long mati-mati ingat angah buat kerja sekolah tadi," tegur kak long mengejutkan aku.

Aku tersengih tanpa menoleh melihat ke arah kak long.

Kak long, kakak sulung aku yang hanya tua dua tahun dari aku. Aku pula anak yang kedua. Bawah aku ada lagi dua orang adik lelaki. Kedua-dua adik lelaki aku berjaya aku pengaruh dengan Korea.

"Sengih-sengih pula dia. Bawa-bawalah bertaubat, angah oi! Kamu tu nak exam tahun depan. Nak buat persediaan, buat dari sekarang. Kalau tunggu tahun depan baru nak kelam kabut, alamatnya memang tinggal harapan nak merasa dapat straight A's."

Aku tertunduk sambil perlahan-lahan menyembunyikan wajah. Reaksi biasa kalau nak menghindarkan diri dari terus dibebel.

"Haa, dah tertunduk-tunduk macam tu dah menyampahlah tu."

Aku terus tertunduk sampai dahi mencecah komputer. Kalau dah namanya kakak, senang aje nak tebak perangai adik-adiknya. Especially adik dia yang ratu K-Pop ni.

"Lantak engkaulah, dik. Kak long ni nak tolong angah dapat result yang baik dengan cara beri nasihat. Tapi, kalau angah sendiri dah tak nak peduli, apa boleh kak long buat lagi."

Aduh, ayat kak long aku kalah ayat dalam drama Ibu Mertuaku! Kenapalah kak long tak jadi penulis skrip aje? Bakat dah ada dah.

Kak long terus berlalu tanpa sedikit pun menoleh melihat aku. Reaksi kak long sedikit sebanyak membuatkan hati aku terasa. Perlahan-lahan aku menekan butang pangkah pada gambar Bae Yong Joon dan Kim Hyun Joong. Aku kembali membuka laman web Google untuk mencari bahan untuk kerja rumah.

Namun, lima minit kemudian...

"Arrgghh! Comelnya!"

Aku menjerit seperti orang sasau. Alang, adik lelaki yang hanya selang dua tahun dari aku terkejut mendengar jeritan aku. Dia yang sedang melakukan ulang kaji untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) terus meninggalkan bukunya. Pantas seperti kilat dia berdiri di sebelah aku sambil mata menghala ke arah skrin komputer.

Setelah melihat gambar tersebut, riak wajah alang terus berubah.

"Apa ni angah? Lagi-lagi muka 'mamat' jambu ni. Tengoklah G-Dragon (Kwon Ji Yong / 권지용) pula. Lagi style!"

Aku menjegilkan mata ke arahnya.

"Ada ke patut kau kata muka Kim Soo Hyun (김수현) ni jambu? Nak tengok G-Dragon pergi buka komputer sendiri. Kim Soo Hyun ni lagi hensemlah dari G-D kau tu!"


Alang mencebik.

"Kalau setakat jambu macam dia ni, alang tak layanlah. Kut hensem macam alang bolehlah juga. Digandingkan pula dengan Ji Hyo (Cheon Seong Im). Sepadan, kan?"

Aku membuat muka sambil mata dijulingkan ke atas. Aku tak tahulah mana cantiknya Ji Hyo tu sampai adik aku yang seorang ni  tergilakan sangat 'ajumma' (아줌마 / mak cik) tu. Sampai tergamak dia nak pisahkan 'ajumma' Ji Hyo dengan 'ajeossi' (아저씨 / pak cik) Gary ( Kang Hee Gun / 강희건). How dare betul alang ni!

"Tergamak ke kau nak pisahkan Monday Couple (월요커플) tu?"

Alang tayang muka yang suci lagi penuh dengan keyakinan.

"Bukannya susah mana pun. Petik jari aje, gerenti Ji Hyo beralih arah kepada alang. Jangan tak percaya!"

"Memang tak percaya!"

"Angah jealous..." alang menjelir lidah ke arah aku.

"Angah dah ada Kim Soo Hyun, buat apa nak jealous dengan kau. Please la..."

Aku meletakkan kedua-dua belah tangan ke atas bahu sambil mata dijulingkan ke atas. Reaksi biasa kalau tengah menyampah bila berdebat dengan alang yang tak nak kalah. Tak macam adik, main ikut aje cakap angah dia ni. Angah dia kata hensem, maka hensemlah yang akan dia kata.

"Ala, Kim Soo Hyun tak ada style rare macam G-D, kan? Jadi, angah kena jealous."


"Kalau angah tak nak?"

"Angah mesti jealous juga sebab fesyen dia terbaik."

Aku buat aksi ala-ala nak muntah. Terbaik? Serabut aku tengok!

"Terbaik? Entah apa-apa aje fesyen 'mamat' G-D tu. Angah tak suka. Macam tu yang kau minat sangat. Tolonglah..."

"Ala, angah... Kalau dah namanya pelakon atau penyanyi Korea, tak banyak pun, sekali aje mesti diorang akan buat fesyen pelik-pelik. Tak percaya cuba angah cari gambar Kim Soo Hyun guna kata kunci ni..."

Alang mengalih komputer ke hadapannya. Dia menaip sesuatu di atas papan kekunci di laman web Google. Aku perhati aje apa yang ingin dia taip.

Dia taip, kim soo hyun model under...

Tak sempat dia nak habiskan sesi menaip dia, aku ketuk kepala dia. Aku jegilkan mata ke arah dia. Gila kepala otak tak pernah basuh dengan Clorox punya adik. Malu aku nak ngaku dia ni adik aku.

"Kuninglah kepala otak kau. Sejak bila kau buat perbuatan terkutuk ni, alang? Tak ada benda berfaedah ke kau nak buat selain dari search benda bukan-bukan maca tu? Bengong! Hish, dahlah! Kau pergi ngadap buku kau tu. Menyemak aje kau dekat sini."

Kali ni aku betul-betul geram. Tak payah nak tunggu sampai habis dia taip pun aku dah tahu apa yang dia nak taip. Haihhh, tercemar imaginasi suci nan murni aku ni dek alang.

"Haha!" 

Boleh lagi dia gelakkan aku. Eeee!!!

Aku terus tutup tab Google tersebut dan buka tab yang baru. Baru aje aku nak tekan huruf, tiba-tiba keluar kotak tertulis, UNABLE TO CONNECT WITH INTERNET.

Laju-laju aku menoleh melihat ke arah kotak modem Wi-fi. Kak long berdiri di sisi kotak modem tersebut sambil berpeluk tubuh. Sebelah tangannya yang bersilang memegang plug modem tersebut. Kak long mengoyak senyum sinis.

Plug di tangannya diletakkan di sebelah kotak modem Wi-fi. Kak long menghampiri aku di meja komputer. Aku hanya terkaku. Kuasa veto seorang kakak jelas terserlah dalam diri kak long. Laju aje tangan kak long mengklik butang Start dan terus menutup komputer. Aku hanya mampu melihat. Oh, my Kim Soo Hyun!

"Kak long tengok kamu lebih fokus merenung muka Kim Soo Hyun tu daripada cari bahan Sejarah. Jadi, untuk hari ni biar kak long tolong kamu cari bahan tanpa menggunakan internet. Orang zaman dulu pun belajar tak ada guna internet pun boleh aje dapat PhD."

Ayat makan dalam kut!

"Kata tak nak pedulikan angah." Aku tak tahu mana datangnya keberanian untuk melawan cakap kak long.

Along menjeling tajam.

"Kak long rasa kak long tak boleh tak pedulikan angah. Lagi kak long tak peduli, lagi jauh angah tenggelam dalam dunia Korea. Kita ni kat Malaysia, angah oi!"

Apa kena mengena aku minat K-Pop dengan Malaysia. Memanglah aku dekat Malaysia. Takkan baru aku tengok muka Kim Soo Hyun tiba-tiba aku dah ada dekat Korea. Aku ni ada semangat patriotisme yang tebal terhadap Malaysia, okey! Bukannya macam sesetengah peminat K-Pop yang mentang-mentang minat Korea, langsung lupa Bahasa Malaysia.

"Jom cepat, buat Sejarah!"

Aku tertunduk lantas bangun membuntuti kak long ke meja belajar. Telefon bimbit dalam kocek seluar aku keluarkan. Gambar Kim Soo Hyun yang menjadi wallpaper telefon aku renung. Aku sudah obses sama ini pria dari Korea.


"Angah renung dia sampai tahun depan pun dah tentu-tentunya dia tak boleh tolong angah dapatkan straight A's," kata kak long sambil tangannya menyelongkar rak bukunya.

Aku cepat-cepat memasukkan kembali telefon bimbit ke dalam kocek seluar. Aduh, payah betullah dapat kakak yang dah rupa ala-ala psiko ni! Segala benda dia boleh tahu, walhal tak tengok pun. Ada sixth sense betullah kak long ni.

"Nah, ambil buku ni! Cari apa benda yang angah nak cari untuk bahan Sejarah. Biar kak long cari guna tab. Kalau suruh kamu cari guna tab nanti takut bukan bahan Sejarah yang dicarinya, bahan hiburan Korea yang dicarinya pula."

Oh, mak... bapak... Mengapa tengah-tengah inilah nak adakan perjumpaan dengan kawan-kawan lama? Tolonglah selamatkan anakanda dari cengkaman anak sulung ayahanda dan bonda ini. Dah macam mak rimau ala-ala partner Jong Kook (김종국) dah aku tengok kak long aku ni.

Aku termenung seketika di hadapan buku rujukan Sejarah yang kak long beri. Namun, pantas tersedar dek kata-kata sepedas cili api dari mulut kak long.

"Tak adanya cover buku tu akan bertukar jadi muka Kim Soo Hyun kalau angah renung lama-lama pun."

Aku terdengar suara halus alang tertawa. Kurang ajaq punya adik! Dia gelakkan aku!

Aku menjeling alang sekilas lantas membuka buku Sejarah tersebut. 

Nanti kita dating lagi ya, Kim Soo Hyun!


DUA MINGGU sebelum peperiksaan akhir tahun, aku masih aku. Melayan drama Korea siang dan malam tanpa pedulikan exam yang around the corner. Kerja sekolah sering disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa. Salah ke betul jawapannya tidak aku peduli. Asal siap sudah...

Kuasa veto kak long kian dahsyat. Kak long ada ciri-ciri untuk jadi ibu mithali yang kuat membebel. Kadang-kadang suara kak long lagi lantang dari suara mak dengan bapak. Aku rasa macam kak long ni mak tiri aku aje. Garang sangat-sangat! Menakutkan aje.

Tapi kuasa veto kak long itu tetap tak boleh melawan nafsu aku. Makin hari makin memuncak untuk aku menonton drama-drama Korea. Mak dan bapak pun ada jugalah tegur tapi aku hanya mampu insaf untuk dua atau tiga jam sahaja. Lepas tu balik tengok drama Korea.

Bila tiba hari periksa, aku ialah insan yang paling kabut. Kabut mengulang kaji pelajaran. Sedikit sebanyak mendatangkan perasaan insaf ke dalam hati aku. Sikit ajelah, tak banyak pun. Sebabnya malam hari nak periksa tu aku boleh pula layan Running Man episod 211 part 1.

Bila dah duduk atas kerusi dalam kelas yang diubah menjadi dewan peperiksaan, barulah terasa debarannya. Barulah terasa nak risau tentang periksa. Otak pun kelam kabut mencari maklumat yang boleh digunakan untuk menjawab soalan peperiksaan.

Namun, hasilnya aku hampir-hampir pitam kerana terlampau stres. Yang terlayar di minda aku hanya si zirafah, Lee Kwang Soo (이광수) dengan Ji Chang Wook (지창욱). Bila keluar dari dewan peperiksaan, perasaan insaf tu meningkat berganda-ganda.

Balik tu aku mengadu pada kak long. Kak long, walaupun dia garang tapi dalam hati dia ada taman. Dia dengar setiap apa yang aku adukan padanya. Kak long tak marah lagi tapi dia beri nasihat yang membina semangat aku.

"Now is not your time to regret about your past. But, now is the time for you to keep up your weakness. Jangan putus asa selagi masa masih ada. Kak long tak nak sebut apa yang angah buat dua minggu lepas. Tapi, kak long harap angah ambil itu semua sebagai pengajaran agar tidak berulang. Tak salah nak minat K-Pop, tapi jangan sampai obses."

Aku pulun belajar bersungguh-sungguh selepas itu. Tapi, kata kak long jangan fikir langsung pasal Korea selagi peperiksaan masih berlangsung. Korbankan seketika gambar Kim Soo Hyun dalam telefon bimbit sebab takut mengganggu konsentrasi.

Bukan itu sahaja, poster Kim Soo Hyun dalam bilik pun aku tanggalkan dan simpan dalam almari buat seketika. Nanti dah habis peperiksaan akhir tahun, aku tampallah balik.

Untuk berjaya, kita perlu korbankan sesuatu.


"YA ALLAH, ALHAMDULILLAH..." Aku terdengar suara Syiqin, rakan sebelah aku mengucap alhamdulillah setelah dapat result yang diberi oleh Cikgu Talha, guru kelas aku.

Aku pula masih berdebar menanti keputusannya.

Baik atau buruk.

Tapi, awal-awal lagi aku sudah menetapkan pendirian bahawa aku perlu redha walau apa yang aku dapat nanti. Jika aku gagal bererti aku perlu korbankan Korea sehingga aku menduduki PT3 tahun hadapan. Jika aku lulus, bolehlah intai sikit-sikit drama apa yang best dekat Good Drama.

Aduh, aku memang tak boleh berenggang dengan dunia K-Pop!

"Najah Qalisah binti Fadwaz."

Sebaik sahaja nama aku disebut oleh Cikgu Talha, terus aje saluran arteri aku terasa seperti tersekat. Dengan dada yang rancak berdebar, aku melangkah ke arah meja guru.

Cikgu Talha menghulurkan kertas keputusan peperiksaan akhir tahun kepada aku. Aku tidak terus melihatnya tetapi melipatnya dan kembali ke tempat duduk.

"Kau dapat berapa, Qal?" Soal Syiqin membuatkan aku bertambah takut nak tengok result aku sendiri. Kan seronok kalau ada Kim Soo Hyun yang tolong tenangkan aku saat ini.

Cis, sempat lagi teringat dekat jejaka Korea dia!

"Tak tengok lagi." Jawab aku jujur.

"Laa, kenapa tak tengok? Tengoklah cepat." 

Amboi, Syiqin ni! Dia pula yang teruja melampau nak tengok result aku.

Perlahan-lahan aku selak kertas result aku. Setelah melihatnya, laju-laju aku menutupnya kembali. Keputusan yang memang tidak mengejutkan kerana ini adalah balasan untuk aku kerana terlalu obses dengan Korea.

"Berapa?" Soal Syiqin, teruja.

Aku menggeleng sambil wajah tertunduk. Frust, frust, frust!

"Tak apalah kalau tak nak beritahu. Tapi, kalau betul kau tak berjaya, jangan putus asa. Kita nak exam tahun depan. Kau kena yakin yang kau mampu. Insya-Allah, kau akan kuat. Lagipun, pasti ada hikmahnya mengapa kau dapat result begitu."

Ya, memang ada hikmahnya! Hikmahnya ialah obses pada drama Korea hanya mendatangkan kesan negatif kepada aku. Mungkin aku perlu korbankan seketika drama-drama Korea. Nanti, apabila masanya tiba, aku boleh kembali melayan drama-drama Korea.

Kak long, kenapalah angah ni degil sangat dulu!

~Tamat~

~*~*~*~*~*~*~*~*~*~

Cerpen 'Korea Lagi?' ni adalah idea spontan yang datang tanpa diduga. Kena pula sekarang ni aku tengah demam K-Pop bak dalam entry lepas. Jadi memang semua benda pun ada kaitan dengan K-Pop. Parah weyh, kalau sekali dah terjangkit dengan demam K-Pop ni.

Apa-apa pun, hope korang enjoy dengan cerpen ni sebab cerpen ni memang agak merapu. Tapi cerpen ni paling best waktu aku buat. Enjoy sebab sambil-sambil tu aku boleh search gambar-gambar jejaka Korea yang hensem. Muahaha....

Oh, ya... gambar-gambar jejaka hensem dalam entry ni adalah hasil kopi&pasta dari Google. Jadi, tumbesarannya terencat!

Buat peminat-peminat K-Pop, jangan marah. Mana tahu kut-kut nanti ada maki hamun aku kata, 'Salah ke layan K-Pop, bukannya aku tak belajar langsung!' Hahaha... aku suka fikir yang negatif jauh-jauh.

Tak salah pun minat K-Pop. Kawan aku siap hafal lirik lagu Korea lagi tapi boleh aje dia lulus periksa. Boleh aje dia dapat A. Aku... tak tahulah nak cakap macam mana. Rasanya sama macam Najah Qalisah ni kut. Kalau terlayan lebih sikit mulalah terlarut dan terus abaikan pembelajaran. Grrr... bahaya!

Apa-apa pun, Selamat Hari Raya Aidiladha dan semoga berjaya buat calon-calon UPSR, PT3 & SPM. Do the best, beat the rest! Luv u!

Wassalam. Tata. Thanks sudi baca Fitri merepek. ^_^

1 comment:

  1. Awak minat Korea ke?sy pun!awak minat ji Chang Wook jugak ke?sy start kenal die dlm drama suspicious partner...cute!😍

    ReplyDelete