Saturday 14 June 2014

Cerpen : Ibu Oh Ibu

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...



“Bukan ini yang ibu kau harapkan. Apatah lagi setelah kau ditatang bagai minyak yang penuh. Teganya engkau, Cinta. Teganya...”

Aku rasa macam nak sekeh kepala Juli. Aku dok pening pikir pasal ibu. Dia boleh lagi dok nak bersyahdu-syahdan. Ada yang kena humban balik Bangla.

“Ju, aku datang ni nak minta pendapat kau. Bukannya nak sedekahkan lempang dekat muka kau!”

Juli tersengih. Rupa dia tersengih tu memang sebiji macam kerang busuk. Makin sakit jiwa aku dibuatnya. Agak-agak kalau aku disahkan dapat sakit jantung, jangan tanya kenapa. Ish! Nauzubillah. Orang nak sihat, aku dok cakap pasal sakit.

“Alah, baru aku nak buka gelanggang syair kejap aje pun dah marah. Janganlah marah, nanti berkedut. Tak tau aku mana satu mak, mana satu anak. Lebih kurang aje.”

Aku ketap bibir. Geram tau tak... geram! Nanti aku sedekah betul-betul lempang aku dekat pipi gebu Juli tu baru dia tahu.

“Kau nak buka gelanggang debat ke, gelanggang takraw ke, aku tak kisah pun. Masalahnya, kau nak buka gelanggang tak kena masa. Aku datang ni nak minta pendapat. Ulang suara. MINTA PENDAPAT.”

Juli tersengih lagi. Tapak tangan aku dah terasa gatal. Lagi sekali Juli buat hal, jangan harap aku nak lepaskan peluang. Peluang menyentuh pipi gebu Juli yang kalah doh piza.

“Ok, ok... minta pendapat. Tapi, aku dah lupa kes kau dengan ibu kau tadi. Asyik sangat dok berjiwang. Ulang balik kes kau tu.”

Aku jeling dia tajam-tajam. Agak-agak kalau boleh aku humban dia dalam lombong dah lama aku buat. Mengenangkan dia ada ibu macam aku aje, aku tahankan niat ‘murni’ tu.

“Ibu aku suruh sambung belajar. Masalahnya otak aku ni dah tak larat nak belajar. Lagipun, bisnes kecil-kecilan aku tu baru nak mengembang. Sat ni aku dok belajar, tak fokus dah dekat bisnes. Sayang kut...”

Aku mengadu nasib pada Juli. Juli aku tengok mendiamkan diri. Bibirnya terherot-herot tanda yang dia sedang berfikir. Itu yang aku suka minta pendapat Juli. Dia tak pernah menghampakan aku.

“Kali ni aku rasa macam tersepitlah, Cinta. Aku sokong kau tapi aku sokong ibu kau.”

Dahi aku berkerut. Kening aku bertaut. Berat sangat ek, konflik aku?

“Aku suka kau buat bisnes. Dapat jana pendapatan walau tak banyak. Tapi, dengan belajar kau mungkin dapat mengembangkan juga bisnes kau tu. Kau dapat belajar cara-cara berbisnes dengan betul.”

Aku buat muka bosan. Aku tak suka betul kalau bab-bab nak mengulang tayang ni. Apa dia fikir aku ni kaset? Sikit-sikit nak ulang?

“Aku tak larat dah nak belajar! Tak faham bahasa Melayu ek? Nak aku cakap bahasa apa? Jepun? Maaflah, tak habis belajar sebab cikgu lari balik Jepun sebab tengok muka aku.”

Juli menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia menghampiri aku dan duduk di sebelah aku di atas katil. Aku tengok muka dia pun macam tengah kusut. Agaknya dia pun pening dengan alkisah aku ni.

“Aku rasa baik kau balik dan cakap elok-elok dengan ibu kau. Setakat ni aku tengok ibu kau tak ada pula bertukar jadi Hulk kalau marah. Aku yakin, kau tuntut ilmu dengan abang Feruz kau, gerenti ibu kau cair. Abang kau kan doktor pakar cinta. Minta ayat jiwang satu dua, tak bankrap punya.”

“Masalahnya kau tau, kan ibu aku macam mana. Macam mana aku, macam itulah ibu aku. Dua-dua keras kepala nak tegakkan benang yang basah.”

Juli senyum dan peluk bahu aku.

“Itulah sebab aku suruh kau tuntut ilmu dengan abang kesayangan kau. Takkanlah novel cinta sampai ada dua tapi nak buat ayat jiwang satu pun tak mampu.”

Abang aku? Memanglah dia tu jiwang sampai boleh tulis novel cinta. Tapi, soal nak tuntut ilmu tu payah sikit. Dia tu kedekut ilmu! Sampai sekarang ni aku masih tak habis lagi pujuk dia ajar aku tulis novel jiwang.

“Err... kau doakan aku ek. Harap-harap hati ibu jadi macam span lepas kena pujuk. Tapi sebelum tu kau doakan dulu aku berjaya pujuk abang aku. Mamat jiwang tu kedekut ilmu!”

Juli terangguk-angguk.

“Aku selalu doakan kau. Dah, dah... pergi balik.”

“Menghalau nampak?”

“Halau tak halau. Rumah aku belum bersedia lagi nak buat tempat kem. Apatah lagi kem motivasi untuk kau.”

Aku jeling dia tajam-tajam. Aku rasa dia mesti dah menyampah tahap gila. Mana taknya, asal dia cuti semester mesti nampak muka aku. Muka yang tak sudah-sudah minta pendapat.

Aku capai beg silang dan terus keluar lepas salam Juli. Fuhh kiri, fuhh kanan... harap-harap aku berjaya pujuk ibu. Aku tak nak sambung belajar!


“ALAH, tolonglah abang. Adik tak nak banyak pun. Satu ayat aje bukan satu perenggan,” macam nak mati aku pujuk abang aku yang kedekut ilmu ni.

Nasiblah dah aku ada dua beradik aje. Kalau ramai boleh juga minta banyak ayat syahdu-syahdan. Ini yang seorang ini aje pun payah betul nak pujuk. Dehidrasi dah aku dibuatnya dok buat sesi pujuk-memujuk abang dari tadi.

Abang buat muka toya sambil terus menghadap komputer dia. Aku rasa macam semangat aku tinggal sipi-sipi aje ni. Tapi, demi Cutie Online Shop, ditabahkan hati menghadap muka toya abang.

“Abang...”

Aku buat muka comel. Mata dikerdipkan berkali-kali. Biar abang sedar dan tahu yang aku lebih comel dari awek yang dia cipta dalam novel dia. Aku tengok abang dok jeling aku berkali-kali. Ya Allah, kau hangatkanlah hati abang aku yang dingin itu.

“Apa masalah adik dengan ibu sebenarnya?”

“Ibu paksa adik sambung belajar. Adik tak nak! Adik nak majukan Cutie Online Shop. Tak ada mood langsung nak belajar ke, nak apa ke.”

Abang tersenyum senget. “Kepala batu!”

Aku hanya buat bodoh dengan apa yang abang cakap. Takkan aku nak melenting pula? Apa yang abang cakap tu seratus peratus betul. Ya, aku memang kepala segala jenis batu di dunia ni. Batu sungai, batu kapur, batu api dan macam-macam batu lagilah.

Aku tengok abang dok tulis sesuatu atas kertas. Cuba intai tapi tak nampak. Sudahnya aku tunggu dan lihat aje apa yang abang buat. Hampir sepuluh minit menunggu, baru abang berhenti menulis. Kertas di tangan dia, dia bagi dekat aku.

Aku baca apa yang abang tulis.

“Ibu oh ibu... kau ratu hatiku yang menceriakan hari-hariku. Tanpamu siapalah aku. Namun, diriku punya arah tujuan. Ini pilihanku dan selamanya. Kerana aku bahagia, bahagia dengan apa yang aku miliki. Fahamilah diriku wahai bondaku.”

Aku baca dalam nada mendatar. Ayat abang macam tak jiwang pun. Terus ke poin utama, tak ada belok-belok.

“Kadang-kadang ibu tak akan faham kalau kita tak terus ke poin yang utama. Tak payah nak belok sana sini sangatlah. Sat lagi ibu tak faham, adik sendiri yang makan hati,” abang ni faham betul apa yang berlegar dalam otak aku.

Abang, aku tengok kembali menghadap komputer dia. Sebenarnya abang aku ni kategori kaya dalam diam. Aku tak pernah tahu dia kerja apa. Tapi nampak jugalah dia keluar pergi kerja. Tapi, kerja apa aku tak pernah jadi Detective Conan nak siasat. Sedar-sedar dah dapat habuan dari gaji dia.

“Ok, terima kasih abang...” ucap aku ikhlas.

Baru aku nak keluar dari bilik dia, abang cakap lagi. Aku hentikan langkah depan pintu dan berpaling tengok abang.

“Ibu nak yang terbaik buat anak dia. Tapi abang percaya, adik boleh fikir sendiri apa yang terbaik buat diri adik. Restu ibu pun penting juga.”

Abang cakap dengan aku tapi mata dia dok melekat dekat komputer. Apa aku ni masih tak cukup lawa lagi ke? Sampai abang cakap pun tak nak tengok muka aku.

Aku hanya angguk dan terus keluar. Terngiang ayat terakhir abang waktu dia cakap tadi. Restu ibu pun penting juga...


TEMPAHAN yang banyak terutama musim kahwin ni betul-betul buat aku tak menang tangan. Nak minta tolong abang, dia kata masa yang digunakan untuk tolong aku tu bermakna buat dia. Boleh dapat sebuah mini novel kalau menulis. Sakit hati aku dibuatnya!

Jadi, nak atau tak nak, kena kerah tenaga sehabisnya. Adalah dalam lebih kurang lapan jam aku terperap dalam bilik. Keluar untuk ambil snek dan wuduk nak solat aje. Lepas tu berkurung balik. Ibu pun mulalah membebel.

“Kamu kalau belajar ada juga faedahnya. Ini balik-balik terperap habiskan masa dok buat benda alah tu. Tengok, dah tak ada masa nak duduk berkumpul dengan keluarga.”

Aku telan ajelah kata-kata ibu tu. Tak larat telan, muntahkan aje balik. Aku menggeliat malas membetulkan tulang belakang yang dah bengkok. Akhirnya, 100 rantai kunci yang dibuat dengan menggunakan kain felt berjaya aku siapkan. Malam nanti proses pembungkusan, esok pos.

Selesai bungkus semua pesanan pelanggan, aku turun ke bawah. Perut dah buat acara konsert dondang sayang sedunia. Laparnya tahap lagi sikit aku nak bertukar jadi Hulk. Waktu nak pergi dapur, aku perasan lampu dekat halaman rumah terbuka.

Selalu tak pasang pun awal-awal macam ni. Pelik juga. Perasaan pelik itu mendorong aku untuk menjenguk ke halaman rumah. Aku lihat abang dan ibu berbual di meja bulat. Oleh kerana mereka membelakangi aku, jadi mereka memang tak nampak aku.

“Adik suka dengan apa yang dia buat, ibu. Macam abang, abang suka dengan kerja abang. Ibu tak boleh nak paksa dia buat perkara yang dia tak suka.”

Aku yang baru nak masuk balik ke dalam rumah tidak jadi untuk berbuat demikian. Aku terdengar nama manja aku terselit dalam dialog antara abang dengan ibu. Ni mesti tak lain tak bukan tengah buka topik pasal aku. Dengar ajelah. Aku nyorok belakang pintu.

“Itu ibu tau. Tapi, tak semestinya bila dia sambung belajar, dia tak boleh teruskan perniagaan dalam talian dia tu. Sekarang banyak aje kisah pelajar universiti berniaga. Ibu tengok tak ada pun mereka jadi manusia tak berguna lepas habis belajar.”

Aku tersengih di balik dinding. Memang itu ibu aku. Mulut... pergghh! Hanya anak-anak kesayangan dia ni aje yang mampu bertahan. Lagi tajam dari samurai! Tapi, hatinya lembut selembut kapas.

“Memanglah, ibu. Tapi, dah adik tak nak apa boleh kita buat. Lagipun masa depan dia di tangan dia. Kita memang boleh merancang untuk dia. Tapi, untuk merealisasikan adalah perkara yang paling sukar. Tambahan pula kalau adik tak suka dengan perancangan yang dibuat.”

Itu pula memang abang aku. Kalau mulut ibu memang bagi sedas pun boleh meletup. Abang pula, bagi sedas dekat dia, berdas-das dia bagi balik. Menurut ibu aku, abang aku salah seorang peserta pertandingan debat waktu dia sekolah dulu. Peserta ajelah, jadi juara jauh ke belakang.

“Haihh! Macam-macam anak aku ni. Aku kata itu, dia kata ini. Ni mesti adik ada mengadu apa-apa dekat abang ni.”

Alamak, ibu sudah menaruh syak wasangka! Dan sudah sahlah syak wasangkanya tidak pernah tidak tepat. Ibu kan seorang ibu. Punyai naluri yang sentiasa tepat apatah lagi soal anak-anak.

Aku terdengar suara abang ketawa.

“Benarlah kata orang, naluri seorang ibu tidak pernah salah.”

“Haa, tengok!”

Kemudian diam seketika. Aku jengukkan sedikit kepala ke luar. Masing-masing sedang menikmati air dalam cawan. Setelah meletakkan cawan ke atas meja, abang dongak memandang langit.

Ibu pula menoleh melihat abang setelah meletakkan cawan ke atas meja. Abang yang perasan pandangan mata ibu, terus tertunduk. Dia turut memandang ke arah ibu.

“Kacak sangat ya, abang malam ni sampai ibu asyik tenung abang.”

Abang berseloroh sambil tersengih. Tapi, ibu... wajah ibu kelihatan sayu. Ya, aku tahu wajah ibu suram dan sayu. Aku dapat melihatnya meski dari sudut sisi. Perlahan-lahan wajah abang bertukar jadi agak serius.

“Arwah ayah tinggalkan ibu seorang lelaki yang sama macam dia. Setiap kali ibu tengok abang, ibu tak boleh kawal diri ibu untuk mengingati ayah. Ayah abang tu satu dalam sejuta. Abang dan mana-mana lelaki dalam dunia ni pun tak mampu lawan ayah.”

Suara ibu kedengaran bergetar-getar. Aku di balik dinding sudah menggigit-gigit bibir. Tangkai hati aku digigit perasaan sebak. Kenapa ibu tiba-tiba ubah topik ni? Ibu...

“Ibu... abang tahu itu, ibu. Abang memang tak mampu menandingi ayah. Ayah ialah seorang ayah yang teristimewa. Tiada penggantinya meski dicari sehingga ke hujung dunia. Ayah cinta pertama dan cinta terakhir ibu.”

Air mata aku mengalir. Sejak bila air mata aku bertakung, aku sendiri pun tidak sedar.

“Kalau arwah ayah ada, mesti senang dia nak memujuk adik. Tapi... kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Allah lebih sayangkan ayah. Cinta Allah tak mampu ditandingi oleh mana-mana makhluk-Nya.”

Aku tersandar di dinding. Lutut aku terasa lemah namun aku kuatkan juga kaki aku untuk terus berdiri. Air mata yang mengalir aku biarkan ia terus mengalir. Tiada daya untuk mengesat air mata sendiri.

“Ibu... janganlah macam ni.”

Terdengar suara abang memujuk ibu. Aku tidak betah lagi untuk mendengar apa-apa. Perut yang lapar sudah tidak terasa lagi. Aku terus berlari memanjat tangga. Pintu bilik aku kuak dan terus meloloskan diri. Setelah menutup pintu, aku terus menghenyakkan punggung ke atas katil.

Bingkai gambar yang terletak di meja sisi katil aku capai. Potret aku sekeluarga menghiasi bingkai gambar tersebut. Wajah aku yang keanak-anakan kelihatan manja di atas riba ayah.

Aku membawa bingkai gambar tersebut ke dalam dakapan. Tangisan yang sudah sedia terhambur, makin lebat membasahi daerah pipi. Tubuh yang lelah aku baringkan ke atas katil. Perlahan-lahan mata aku terkatup.

Ayah, adik rindukan ayah...


AKU melihat wajah ibu. Ibu kelihatan ceria. Seakan terlupa akan kesedihan semalam. Aku memotong roti bakar yang diletakkan telur separuh masak diatasnya. Lalu disumbat ke dalam mulut. Lapar lain macam perut aku pagi ini. Yalah, semalam tak makan malam.

“Ibu, hari ni abang mungkin balik lambat. Tadi Joiz telefon kata ada mesyuarat tergempar dengan semua kakitangan. Tergempar pun, Joiz cakap mungkin lama sebab bos besar turun padang.”

Abang bercakap dengan ibu. Aku yang tak faham entah apa benda yang abang cakap hanya pasang telinga. Tak faham pun kena ambil tahu. Tapi, serius sampai hari ni aku masih tidak tahu apa pekerjaan abang.

Abang bersalam dengan aku dan ibu setelah dia selesai sarapan. Aku tengok dia agak kelam-kabut pagi ni. Laju-laju abang capai beg silang dia dan berdesup keluar. Tak sempat enjin Proton Preve panas, abang sudah memandu keluar kereta tersebut.

“Tak ada apa-apa ke nak cakap dengan ibu?”

Pertanyaan ibu mematikan hasrat aku untuk menyuap roti ke dalam mulut. Aku letakkan semula roti tersebut ke dalam pinggan. Aku melihat ke arah ibu. Wanita terhebat dalam dunia aku itu hanya tersenyum. Namun, senyumannya seakan menyembunyikan sesuatu.

Aku menarik nafas dan menghembus perlahan-lahan. Wajah ibu aku tatap. Sedikit demi sedikit wajah itu dimamah usia. Wajah yang dulunya tegang mulai mengendur. Namun, ibu tetap kelihatan anggun.

“Sebelum adik cakap apa-apa, adik nak minta maaf. Adik tahu ibu inginkan yang terbaik buat adik. Tapi...” aku tertunduk menahan rasa.

Terasa usapan lembut pada tangan kanan aku. Aku mendongak dan memandang ke arah ibu. Ibu tersenyum. Aku turut tersenyum namun terasa hambar.

“... adik tak mampu, ibu. Keputusan adik muktamad. Adik tak nak sambung belajar. Adik minta maaf, ibu...”

Aku terus bangun mendapatkan ibu. Tubuh ibu aku dakap erat. Ibu pula terpinga-pinga kerana terkejut. Mana tidaknya, tiba-tiba aje aku buat drama sedih pagi-pagi ini. Tapi jujur, aku tak mampu membendung perasaan bersalah. Apatah lagi setelah terdengar perbualan ibu dengan abang semalam.

“Adik, kenapa menangis ni?”

Soalan ibu membuatkan aku tersedar. Aku menangis. Aku merungkaikan pelukan dan mengesat air mata yang mengalir. Bagai terlihat kelibat ayah di sisi ibu. Aku segera memandang ke arah lain.

“Sayang, kenapa ni? Jangan buat ibu risau, dik.”

Ibu memegang lengan aku. Benar, hati ibu aku lembut selembut kapas.

“Ibu minta maaf kalau ibu terlalu memaksa. Ibu hanya nak adik dapat pendidikan yang lebih tinggi. Lagipun, bukannya adik tak boleh berbisnes langsung. Tapi tak mengapalah kalau adik tak nak.”

Kata-kata ibu menyentap hatiku. Benarkah keputusan yang aku buat? Bak kata Juli, aku dapat belajar cara-cara berbisnes dengan betul jika sambung belajar. Tapi, separuh jiwa aku berkata bahawa aku tidak boleh meninggalkan dunia Cutie Online Shop.

Aku keliru! Aku benar-benar keliru.


AKU melakukan solat istikharah memohon petunjuk dari Yang Maha Esa. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.

Pagi keesokannya, aku bangun dengan satu ketenangan. Jawapan yang aku inginkan selama ini akhirnya terjawab. Aku janji, jawapan ini akan memberikan hikmah yang luar biasa. Untuk aku dan untuk semua.

“Assalamualaikum, ibu... abang.”

Aku terus mengambil tempat di meja makan. Aku lihat abang tercengang-cengang memandang aku. Adakah rupa aku telah berubah menjadi seperti seorang Miss Universe. Hehe....

Tiba-tiba tangan abang tertangkup di dahi aku. Hampir tiga minit juga dia merasa suhu badan aku. Ini tak lain tak bukan mesti syak apa-apa dekat aku. Mana taknya, hari ni aku gembira yang melampau.

“Tak demam, kan?” soal abang.

Aku menggeleng sambil tersenyum. Aku capai senduk dalam bekas mi goreng. Aku sendukkan mi goreng lantas masukkan ke dalam pinggan. Usai membaca doa makan, aku terus menikmati sarapan tanpa mempedulikan pandangan mata abang.

“Boleh ibu tahu kenapa tiba-tiba anak bongsu ibu ni ceria semacam?” soal ibu sewaktu aku menghirup air teh dalam cawan.

“Abang pun nak tahu juga,” sampuk abang.

Wajahnya yang kelihatan teruja menggeletek hati aku. Abang aku memang payah nak buat muka lain selain muka toya. Tapi kalau muka dia tak toya tak hensem.

“Adik dah tahu apa yang terbaik untuk adik. Adik dah tahu apa yang patut adik buat demi masa depan adik. Adik yakin yang keputusan adik kali ni adalah tepat.”

“Maksud adik?” soal ibu.

Aku senyum sumbing. Wajah ibu dan abang aku pandang bergilir-gilir. Masing-masing kelihatan tidak sabar untuk mengetahui apa yang ingin aku katakan.

“Adik akan ikut cakap ibu. Adik nak sambung belajar.”

Usai aku berkata-kata, aku melihat ibu meraup wajahnya. Berseri-seri wajah tersebut sebaik sahaja mendengar luahan hati aku. Tidak kurangnya abang. Dia juga kelihatan senang dengan keputusanku.

Ibu bangkit lantas mendekatiku. Ibu terus menarik tubuh aku ke dalam pelukannya. Erat seerat eratnya. Biarlah. Aku tahu ibu benar-benar gembira kerana aku bakal merealisasikan apa yang ibu inginkan.

“Adik boleh berniaga sambil belajar. Tak apa, ibu akan tolong adik. Nanti bagi kata kunci laman sosial adik. Biar ibu yang tolong jaga kedai online adik.”

Aku tersenyum senang. Akhirnya ibu sedar betapa pentingnya Cutie Online Shop buat aku. Benarlah bahawa ada hikmah atas setiap apa yang berlaku.


EMPAT tahun aku menyambung pelajaran di peringkat ijazah. Hari ini, segala yang aku pelajari telah aku praktikkan. Sampai kini aku masih teringat dan tidak pernah menafikan kata-kata Juli dulu.

Kata Juli...

“Dengan belajar kau mungkin dapat mengembangkan juga bisnes kau tu. Kau dapat belajar cara-cara berbisnes dengan betul.”

Ibu juga benar, aku tetap boleh berniaga sambil belajar. Malah, ibu dan abang juga sudi membantu aku menguruskan Cutie Online Shop. Mereka sanggup bersengkang mata membantu aku menyiapkan pesanan pelanggan. Comel, kan kami?

Abang pun dah tak macam dulu. Dia dah terbuka hati nak kongsi ilmu jiwang dia dengan aku. Adalah dalam dua tiga cerpen bergenre romantik yang aku buat. Itupun aku kongsi dengan geng-geng blog aku aje.

Juli. Kawan yang setia memberi pendapat kepada aku itu dalam usaha menuju menara gading. Dia tengah berusaha untuk membuka sebuah klinik pergigian. Jadi, lepas ni kalau aku sakit gigi pergi aje klinik dia. Pujuk-pujuk dapat rawatan percuma. Jimat duit aku.

“Cik Cinta, tadi wakil dari kilang kain hantar kain felt. Kesemua warna yang kita minta semua ada. Cuma warna ungu lembut mereka akan hantar esok. Habis stok.”

Aku mengangguk mendengar penjelasan salah seorang pekerja aku. Pekerja di Cutie Craft Shop. Alhamdulillah. Berkat ilmu yang aku pelajari serta berkat restu seorang ibu, aku berjaya sehingga ke tahap ini. Aku mampu mengembangkan sayap Cutie Online Shop.

“Tak mengapa. Haa, kak... pesanan untuk majlis perkahwinan Syima dah siap ke belum?”

“Sudah hampir siap. Tinggal rantai kunci warna merah hati aje belum siap. Yang lain semua dah selesai. Dah siap nanti saya akan pos. Cik Cinta tak perlu risau.”

Dia tersenyum ke arah aku. Aku membalasnya seraya tertunduk memandang meja. Kertas yang berisi maklumat pelanggan aku semak buat kesekian kalinya. Manalah kut-kut ada yang terlepas pandang.

“Amboi, tauke tu buat kerja tak tengok kiri kanan dah!” tiba-tiba ada suara sumbang yang menerjah lubang telinga aku. Kenal sangat suara tu!

“Amboi, Doktor Juli tu! Masuk tak reti nak bagi salam ke?” ambil! Pulang paku buah keras.

“Yalah, yalah... assalamualaikum!”

“Waalaikummussalam.”

“Sibuk ke?”

“Tak adalah sibuk sangat. Kau ni rajin pula nak menghadap muka aku hari ni. Selalu sibuk mengalahkan Perdana Menteri. Maklumlah, orang tu doktor. Kita ni tukang niaga cabuk aje.”

Pap! Tak pasal-pasal aku kena sekeh dengan Juli. Dia ni makin lama makin pakar bab sekeh-menyekeh kepala orang. Kepala yang jadi mangsanya pula ialah kepala aku. Nasiblah kepala!

“Cabuk apa ke bendanya kau ni! Dah punya dahsyat sampai macam ni, ada ke patut dia kata cabuk. Aku cepuk baru tau.”

“Dahsyat ke?” aku sengih dekat Juli.

“Dahsyatlah ni! Siap ada kedai sendiri, pekerja sendiri. Wah, silap hari bulan boleh jadi jutawan muda kawan aku yang seorang ni,” ujar Juli sambil menepuk-nepuk bahu aku.

“Alhamdulillah. Rezeki... haa, kau datang sini ni mesti ada apa-apa. Selalu susah betul nak nampak muka kau. Hari ni tiba-tiba aje mencemar duli dekat kedai aku.”

Juli tersenyum lebar tiba-tiba. Dia menarik sebuah kerusi plastik dan diletakkan di tepi aku. Dia duduk di atas kerusi tersebut. Wajahnya kelihatan begitu ceria. Aku pun tiba-tiba jadi teruja.

“Alhamdulillah, Cinta... aku dah jumpa tempat yang sesuai untuk aku bina klinik aku. Harganya pun berpatutan. Tak murah dan tak mahal.”

“Alhamdulillah...” aku menadah tangan dan meraup wajah aku.

“Tahniah, Juli...” ucap aku dan terus mendakap tubuh Juli. Aku tumpang bahagia untuk Juli. Dia sudah berusaha dan syukur, usahanya berbalas.

“Dua orang mak cik muda ni dah kenapa dok berpeluk-peluk ni?” suara yang amat aku kenali menerjah ruang pendengaranku.

Aku meleraikan pelukan dan menoleh melihat ke arah sisi. Wajah abang yang masih toya seperti dulu tersengih-sengih ke arah aku. Dah lama dia kerja, baru sekarang aku tahu. Rupa-rupanya abang aku editor untuk majalah di sebuah syarikat buku. Patutlah gaji dia tiap-tiap bulan boleh tahan.

“Mak cik muda dikatanya aku? Ada juga yang merasa makan penumbuk aku petang ni.”

Marah benar Juli dengan abang aku. Tapi aku tahu, marah Juli tak ke mana. Kena pula kalau dia marah pada abang. Abang aku yang dulu bukanlah yang sekarang. Dia dah pandai bergurau. Kalau dulu lebih baik bergurau dengan tunggul kayu daripada bergurau dengan abang.

“Entah abang ni. Ada ke dikatanya anak ibu ni mak cik.”

Ibu yang datang dari belakang terus memeluk bahu aku. Aku tersengih ke arah abang.

“Yalah, yalah... anak daralah katakan.”

Abang terus berlalu masuk ke dalam pejabat aku. Pejabat aku tu dah macam rumah kedua buat kami. Mana tidaknya, asalkan bosan semua datang melepak dengan aku di pejabat.

“Err... mak cik, Juli kena balik dululah.”

“Aik, baru sampai kau dah nak balik? Takkan marah dengan abang aku punya pasal kut.”

Aku lihat Juli sudah bangun. Dia menghulur tangan ke arah ibu untuk bersalam.

“Aku datang nak bagitau tentang tempat tu aje. Lagipun mak aku suruh aku balik awal.”

Usai bersalam dengan ibu, dia bersalam pula dengan aku. Aku angguk ajelah mendengar kata-kata dia.

“Balik dulu, Cinta... mak cik. Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam,” serentak aku dan ibu menjawab salam Juli.

Aku dan ibu menghantar kelibat Juli ke luar dengan ekor mata. Tak ada masa pula nak bentang karpet merah. Tiba-tiba ibu memeluk bahu aku.

“Kalau ayah ada, mesti ayah bangga dengan adik.”

Aku menoleh memandang ibu. Wajah ibu kelihatan agak suram meskipun dihiasi dengan senyuman. Aku faham perasaan ibu terhadap ayah. Ayahkan cinta pertama ibu. Lagipun, aku selalu baca novel. Kata penulis novel, cinta pertama payah diluputkan dari hati.

“Hmm... nak buat macam mana ibu. Takdir Allah melebihi segalanya. Kita hanya mampu redha. Lagipun, abang kan ada.”

Aku lihat dahi ibu berkerut.

“Apa kena mengena pula dengan abang kamu?”

“Yalah, abang boleh jadi klon cinta pertama ibu. Lagipun abang memang saling tak tumpah dengan ayah. Perangai aje yang tak capai tahap seratus peratus sama dengan ayah. Ayah tak toya macam abang.”

Ibu tertawa mendengar kata-kata aku.

“Macam-macam kamu ni, dik. Klonlah, toyalah. Dah, jom kita makan. Jangan-jangan habis dah kuih seri muka abang kamu makan. Abang kamu tu kalau makan tak ingat dunia dah.”

Aku tertawa kecil. Aku dan ibu beriringan masuk ke dalam pejabat aku. Kerja-kerja di atas kaunter aku biarkan dahulu. Aku menjeling ke arah ibu. Ibu oh ibu, tanpamu siapalah aku.


~TAMAT~

~*~*~*~*~*~*~*`~*~*~*~*~*~*~

Dah lama menyepi dari menulis cerpen, akhirnya muncul juga. Muahaha... sebenarnya tujuan asal cerpen ni ditulis adalah untuk dihantar pada sebuah pertandingan menulis cerpen. Tup tup... tak cukup syarat. So, dari terperuk dalam 'hutan' a.k.a komputer, lebih baik bagi korang baca. Ya dok? So, apa pendapat korang? Boring, Best atau Boleh la? ;)

No comments:

Post a Comment