Asssalamualaikum dan hai semua...
Fitri repost cerpen ni. Fitri dah edit sikit. Tak banyak pun dan Fitri sekadar edit apa yang dirasakan tidak kena pada logik akal. Ayat pun adalah satu dua baris yang Fitri edit ikut kesesuaian mata yang membaca, minda yang menghadam. Fitri sayang cerpen ni lebih dari cerpen-cerpen Fitri yang lain. ♥
Balasan Untuk Segalanya versi sebelum ini --> BUS
Balasan Untuk Segalanya versi sebelum ini --> BUS
~*~*~*~*~
Buat kali terakhir Arjuna menatap wajah arwah ibunya yang sudah dikafankan. Sebak menyerbu di dada tatkala sepupunya, Hazmin, menepuk bahunya untuk memberikan semangat yang hanya tinggal secebis ini. Jahat sangatkah dirinya sehingga sehebat ini balasan yang DIA berikan buatnya?
“Arj, banyak bersabar ya. Allah lebih sayangkan ibu kau. Aku tahu kau kuat, Arj,” bisik Hazmin di cuping telinganya.
Arjuna kehilangan kata-kata. Terkaku kakinya tatkala melihat wajah ibunya perlahan-lahan ditutup dengan kain kafan. Berat hati ini untuk melepaskan ibunya pergi. Namun, siapalah dia yang kerdil berbanding DIA Yang Maha Esa.
“Sudah-sudahlah tu, Arj. Redhakan pemergian ibumu. Tenangkanlah perjalanannya. Pak Long pun sedih, Arj. Tapi kita tak boleh nak buat apa. Sudah takdir tertulis untuk ibumu pergi dahulu,” giliran pak longnya pula untuk menenangkan dirinya.
Arjuna meraup wajahnya berkali-kali. Terasa baru sedar dari mimpi yang panjang. Segera dia beristighfar di dalam hati. Matanya melilau ke arah segenap rumah tinggalan arwah ibunya.
Matanya berhenti tepat di wajah adik bongsunya. Bagai ditampar. Itulah yang dia rasakan tatkala tajam mata Afwan menikam tubuhnya. Terasa ingin sahaja dia merayu dan melutut di kaki adiknya. Namun, adakah adiknya akan menerima maafnya?
Arjuna mendekati jenazah Rahimah, ibunya. Cuba untuk membantu ahli keluarganya mengangkat jenazah namun tangannya ditepis kuat oleh Afwan. Wajah Arjuna ditikam dengan panahan anak mata Afwan.
“Wan, kenapa ni?” soal pak long yang cemas melihat kedua-dua beradik itu yang saling tidak bertegur sapa sedari tadi.
“Abang Arj jangan pernah berani-berani nak sentuh ibu. Tangan abang Arj terlalu kotor untuk menyentuh ibu,” ujar Afwan dalam nada geram.
Bagai ditendang. Itulah perasaan Arjuna di tika itu. Hatinya tercarik dengan kata-kata yang ditutur oleh Afwan buatnya. Besar. Ya, besar sungguh kesalahannya sehingga adiknya itu membencinya. Ya, dia memang tidak layak untuk menyentuh Rahimah!
“Wan, kau...” tak sempat untuk Hazmin menyampuk, Afwan sudah segera memotong.
“Cepat angkat jenazah arwah. Aku tak nak kaki botol ni sentuh ibu aku,” bagai hilang nyawanya apabila adiknya sendiri begitu membenci akan dirinya.
Arjuna yang tidak mahu keadaan bertambah rumit hanya mampu menekur di tempat dia berdiri. Segala tenaganya sebagai seorang lelaki hilang begitu sahaja. Satu persatu bayangan ketika dia berada dalam keadaan mabuk menjelma di mindanya.
Salah, dosa, haram. Tidak pernah sekalipun tiga perkataan itu menjelma di mindanya tatkala dia meneguk rakus air kencing syaitan yang haram itu. Taubat. Masih adakah kesempatan untuk hamba yang jahil lagi banyak dosa sepertinya bertaubat menyerah diri pada Yang Esa?
Hazmin dan pak long hanya mampu memandang ke arah Arjuna yang kehilangan segalanya. Ingin dibantu jejaka itu namun hati Afwan juga perlu dijaga.
Sempat jua Afwan memberikan pandangan tajam ke arah abangnya sambil turut membantu mengusung jenazah ibunya. Arjuna hanya mampu tertunduk. Tidak dia berdaya untuk melihat jenazah ibunya dibawa pergi tanpa mengucapkan kata selamat tinggal.
BINTANG-BINTANG yang berkerlipan di dada langit
dilihat penuh asyik. Terasa bagai ada yang mengusap lembut belakangnya seperti
biasa. Bagai terngiang-ngiang di cuping telinganya suara lembut ibunya.
Namun apa yang dibalas segala usapan lembut ibunya itu? Hanya sebuah tamparan dan tendangan yang diberi sehingga wanita tabah itu terkulai lemah di atas lantai. Apa salah wanita itu? Hati Arjuna sahaja yang mampu memberikan jawapan.
“Abang fikir dengan termenung tengok langit tu arwah ibu akan kembali ke dunia ke, bang?” sinis sahaja suara Afwan di belakangnya.
Arjuna segera berpaling ke belakang. Dia memberikan sebuah senyuman kepada adiknya namun jelingan yang dibalasnya. Walaupun pedih hati ini namun tiada apa yang mampu dia lakukan.
Cukuplah dulu dia menderhakai seorang ibu yang melahirkannya ke dunia ini. Tidak ingin dia menyakiti adiknya pula. Biarlah dia pula yang merasai pedihnya disakiti.
“Ibu takkan pulang ke sini namun ibu tetap berada di hati abang,” perlahan Arjuna menuturkannya.
Sinis Afwan memandang ke arah abangnya.
“Hati abang? Abang ada hati. Oh, baru Wan tahu yang abang Wan ni ada hati! Ingatkan tahu sakitkan hati orang aje,” Afwan terus-terusan menyakitkan hati Arjuna.
Arjuna tetap tersenyum walaupun pahit dan tawar rasanya.
“Abang sedar salah abang, dik. Abang salah dulu. Abang sedar yang abang tak layak jadi anak ibu,” Arjuna berbicara sambil tertunduk.
Afwan memandang abangnya dengan pandangan tajam bagai tidak berpuas hati.
“Senangnya abang cakap. Hey, abang! Kau sedar tak yang sepanjang kau ada dekat sini, kau tak pernah sekalipun menyenangkan ibu. Kerja kau menyusahkan, menyakitkan ibu! Kau memang tak ada hati perut. Aku takkan biarkan perkara itu berulang pada aku!” Afwan sudah naik angin.
Arjuna tetap memandang ke arah wajah adiknya. Biarlah Afwan menengkingnya, kurang ajar padanya, dia sudah tidak kisah. Malah, dia akan berasa lega kerana sekurang-kurangnya Afwan telah membalas semula perbuatannya yang dahulu.
Namun, balasan dari-Nya lebih hebat dari apa yang Afwan berikan.
“Abang dah insaf, dik.”
Afwan menendang kerusi yang berhampiran dengannya.
“Kau fikir dengan keinsafan kau tu ibu akan kembali ke? Haa! Jawablah!” Afwan mulai berang. Entah kenapa sukar sekali untuk Afwan mengawal dirinya apabila berhadapan dengan lelaki yang bergelar abangnya ini.
Arjuna mengeluh. Sukar sekali untuk dia menggapai sebuah kemaafan dari Afwan. Apa yang perlu dia lakukan agar Afwan menerima maafnya. Tapi, bila pula dia ada memohon maaf pada Afwan?
Tanpa Arjuna sedari, air matanya lebat menuruni pipinya. Air mata lelakinya tumpah buat kali pertama.
“Cengeng! Apa kau fikir kau tu budak kecil ke nak cengeng bagai. Tak perlu nak berlakonlah!” hilang segala gelaran abang dan adik di bibir Afwan. Hanya ada kau dan aku.
Tanpa mereka sedari, pak long iaitu ayah saudara mereka melihat adegan mereka sejak dari mula. Bukan pak long tidak ingin meleraikan cuma dia tidak mahu masuk campur urusan dalam urusan dua orang jejaka itu.
Mereka sudah matang dan sudah mampu untuk berfikir bagaimana caranya untuk meluahkan perasaan. Terutama sekali perasaan marah. Itulah pendapat pak long.
Afwan meraup kasar rambutnya sebelum menapak masuk ke dalam rumah. Panas hatinya melihat wajah Arjuna. Pak longnya yang berdiri muka pintu hanya dilihat sekali imbas.
Pak long menggelengkan kepalanya. Dia keluar untuk bersemuka dengan anak buahnya.
“Arj... Arj tak apa-apa?” soal pak long seraya menepuk bahu Arjuna yang masih tertunduk membiarkan mutiara kaca membasahi pipinya.
Arjuna tersenyum tawar ke arah bapa saudaranya itu. Arjuna menggelengkan kepalanya, menjawab soalan pak long.
“Setiap hamba Allah itu ada kesempatannya untuk bertaubat selagi roh tidak ditarik dan selagi matahari masih lagi terbit di timur,” ujar pak long seraya melabuhkan punggung di sebelah Arjuna.
Arjuna kehilangan segala kata-kata. Sedari tadi, hanya senyuman yang mampu diberi sebagai balasan.
“Pak long masuk dulu, Arj. Arj pun jangan lama-lama sangat dekat luar ni. Tak elok,” kata pak long lalu melangkah masuk ke dalam rumah.
Arjuna menghantar langkah pak longnya hanya melalui ekor mata. Dia kembali mendongak, melihat ke arah dada langit yang indah dengan butiran-butiran bintang yang menyinar.
Tiba-tiba hatinya berasa tidak enak. Kelilingnya dipandang. Tiada apa-apa. Hanya ada pohon mangga yang merendang termasuklah pasu-pasu bunga yang indah dengan bunga-bungaan segar.
‘Anak ibu...’
Bagai terdengar di telinganya akan suara seseorang. Lagi sekali kelilingnya dipandang. Kelibat seseorang yang berada di bawah pohon mangga berjaya ditangkap oleh matanya. Matanya dikecilkan, cuba untuk melihat gerangannya.
Tersentak. Itulah perasaannya apabila melihat seakan bayang ibunya tersenyum ke arahnya sambil melambaikan tangan kepadanya. Liurnya ditelan berkali-kali. Takut dan gementar. Itulah perasaannya kini.
‘Kenapa anak ibu bersedih ni?’
Suara itu kedengaran lagi. Arjuna sudah tidak tentu arah.
“Ibu!” jeritnya seraya berdiri. Kelibat seseorang di bawah pohon mangga itu perlahan mendekatinya.
“Oi! Kalau ya pun banyak sangat dosa dengan ibu tak payahlah abang nak jerit-jerit dekat luar tu panggil ibu. Ibu takkan balik pun!” ujar Afwan.
Arjuna tersentak dan berpaling ke arah Afwan di muka pintu. Afwan memandang tajam ke arah Arjuna.
Arjuna berpaling semula ke arah pohon mangga tersebut untuk mencari kelibat tadi namun, tiada. Hanya ada dedaun pohon mangga yang melambai perlahan dek angin sepoi-sepoi bahasa.
“Arjuna, masuk. Tak elok lama sangat dekat luar tu,” mak longnya pula menyuruhnya untuk masuk.
Lemah langkah Arjuna menuju ke muka pintu. Sempat jua dia berpaling ke belakang, cuba untuk mencari kelibat tadi namun, tiada.
ENAM BULAN KEMUDIAN...
Arjuna memandang ke arah setiausahanya yang menerangkan jadualnya untuk hari ini namun tiada satu pun yang mampu untuk dia masukkan ke dalam kepala. Berdenyut-denyut kepalanya bagai ada batu yang menghempap di atas kepalanya.
Tangannya merayap di atas kepala sambil memicit perlahan. Samar-samar sahaja pandangannya. Berkali-kali dia memejamkan matanya sampaikan setiausahanya memandang pelik ke arah Arjuna.
“Encik Arjuna, Encik tak apa-apa ke? Saya lihat Encik Arjuna dari tadi asyik picit kepala sahaja,” ujar setiausahanya, prihatin.
Arjuna tersenyum walaupun payah. Dia menggelengkan kepalanya berkali-kali.
“Tak apa. Saya ok just tolong batalkan semua meeting hari ni. Saya tak berapa sihat,” jelas Arjuna dengan tangannya yang masih lagi merayap di kepalanya.
Setiausahanya mengangguk. “Hmm... baiklah. Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu ya, Encik Arjuna.”
Arjuna menghantar kelibat setiausahanya keluar dengan ekor mata. Dia menyandarkan badannya pada kerusi setelah setiausahanya keluar. Dia memejamkan kepala seketika. Terasa ingin sahaja air matanya mengalir dek sakit kepala yang kian teruk.
“PSSTT... Deeba, lamanya kau dalam bilik bos tadi,”
ujar Hani, rakan Deeba.
Deeba memandang ke arah rakannya yang kalut melihat ke arah bilik Arjuna yang tertutup rapat. Entah apa yang dia lihat pun, entahlah.
“Lama apanya pula. Macam biasalah, aku beritahu dia jadual dia hari ni. Tapikan Hani, bos kita tu macam tengah sakitlah. Aku tengok muka pucat sangat lepas tu waktu aku cakap tadi pun tangan dia asyik picit kepala dia sahaja,” balas Deeba.
Hani mencerlungkan matanya ke arah Deeba. Berita sensasi baginya untuk setiap perkara soal Arjuna, bosnya. Lengan Deeba ditarik untuk mengikutnya.
“Sakit? Encik Arjuna sakit? Sakit apa?” pelbagai soalan diluahkan buat Deeba.
Deeba membuat muka ke arah sahabatnya itu.
“Entahlah. Aku pun tak dapat nak agak tapi sakit kepalalah. Aku tengok dia asyik picit kepala aje,” balas Deeba sekadar apa yang nyata pada pandangan kasarnya.
“Hmm... itu mesti balasan untuk dosa-dosa dia. Yalah, macam tak ada air lain sampai air kencing syaitan pun nak diminumnya,” bagai melepaskan geram Hani berbicara.
Deeba mengerutkan dahinya sambil memandang ke arah Hani. “Eh, Hani! Aku bukannya tak suka tapi kalau dah masuk bab kutuk-kutuk mengutuk ni aku minta maaflah, lebih baik kau pergi sambung kerja kau. Aku pun banyak kerja ni,” lembut sahaja Deeba menyampaikan mesej di dalam bicaranya.
“Yang kau ni dok nak bela sangat bos tu kenapa? Dah memang betul dia tu kaki botol. Padanlah muka dia,” Deeba dibebel oleh Hani. Malas nak ambil pusing, kerja yang banyak diteruskan oleh Deeba.
“Jangan nak nilai orang aje. Awak sedar tak, orang yang awak kutuk tu bos awak? Tak berkat awak kerja tapi awak mengutuk orang yang menggaji awak meskipun rezeki itu milik Allah,” tiba-tiba sebuah suara dari arah belakang menyampuk.
Hani segera berpaling ke belakang. Wajah ketua bahagian kewangan iaitu Hazmin menjadi tatapan matanya.
Hani hanya mampu tertunduk. Hazmin melangkah meninggalkan dua orang pekerja Arjuna. Walaupun panas hatinya mendengar sepupunya dikutuk tapi apa yang mampu dia buat.
“Huh! Semua orang nak bela bos kita tu,” perlahan Hani mengguman seraya kakinya melangkah pergi meninggalkan Deeba seorang diri.
“Hmm... apa nak jadilah dunia sekarang,” gumam Deeba sambil anak matanya melihat lenggok Hani menuju ke mejanya di hujung sana.
HAZMIN melangkah masuk ke dalam bilik Arjuna setelah
mengetuk pintu bilik itu. Wajah pucat Arjuna menjadi tatapan matanya sebaik
sahaja dia masuk ke dalam pejabat sepupunya itu. Cemas Hazmin mendekati Arjuna.
“Eh, Arj! Kenapa pucat semacam aje muka kau ni? Kau tak sihat ke?” bertubi-tubi Hazmin menyoal seraya meletakkan tangannya ke dahi Arjuna. Badannya tidak panas namun wajahnya amat pucat.
“Entahlah, Haz. Rasa macam nak mati aje sekarang ni. Sakit kepala, berdenyut-denyut dari tadi,” luah Arjuna kepada Hazmin.
“Eh, teruk ni! Jom aku bawa kau pergi hospital,” ujar Hazmin seraya menarik tangan Arjuna agar mengikutinya.
Arjuna menggeleng lalu menarik tangannya.
“Arj, janganlah macam ni. Risau aku tengok kau macam ni. Dah, jangan nak geleng-geleng. Ikut aje apa aku cakap. Kau kena pergi hospital, check kesihatan kau tu,” ujar Hazmin dengan wajah yang risau.
“Tak payahlah, Haz. Susahkan kau pula nanti,” Arjuna berkeras tidak mahu pergi ke hospital.
“Tak ada susahnya. Demi sepupu aku, tak ada apa yang aku susah. Cepat sebelum aku buat adegan romantik dukung kau ke hospital pula,” sempat jua Hazmin berlawak.
Arjuna tertawa kecil dalam pedih menahan perit. Perlahan dia bangun dan menapak sambil dipimpin oleh Hazmin. Pekerja-pekerjanya yang melihat Arjuna dipimpin oleh Hazmin berbisik sesama mereka.
“Deeba, bos awak pulang awal hari ni. Saya perlu bawa dia ke hospital. Apa-apa nanti telefon saja saya,” sempat jua Hazmin meninggalkan pesan kepada Deeba, setiausaha Arjuna.
Deeba hanya mampu mengangguk. Dia simpati melihat wajah bosnya yang nyata menahan sakit yang teramat kerana wajahnya lebih pucat jika ingin dibandingkan dengan keadaan semasa dia berbicara dengan Arjuna tadi.
Hani memandang ke arah Deeba. Deeba segera berpaling ke arah lain kerana dia sudah dapat mengagak apa yang akan keluar dari celah bibir Hani. Kalau tak gosip pasti kutuk, kalau tak kutuk pasti gosip. Disebabkan Hani itu kawannya sahaja dia tidak mahu untuk berterus-terang bahawa dia tidak suka akan perangai Hani.
WAJAH doktor yang memeriksa Arjuna di hadapannya
dipandang lama. Arjuna yang diperiksa tapi Hazmin yang gugup untuk mendengar
keputusan hasil pemeriksaan.
“Doktor, macam mana dengan sepupu saya?”
soal Hazmin yang tidak sabar untuk mengetahui hasil pemeriksaan.
“Encik Hazmin, sepupu awak perlu ditahan
untuk beberapa hari untuk pemeriksaan lebih lanjut,” jelas Doktor Rusyidi.
Hazmin mengetahui namanya melalui tag nama yang dipakai pada kotnya.
Dahi Hazmin berkerut. Dia memandang ke
arah Arjuna yang baring di atas katil dan ke arah Doktor Rusyidi
bergilir-gilir. Hatinya berasa tidak enak mendengar khabar yang dibawa oleh
doktor itu.
“Perlu ditahan? Teruk sangat ke penyakit
sepupu saya, doktor?” soal Hazmin lagi.
“Kita hanya akan ketahui sama ada
penyakit yang dihidapi oleh sepupu awak teruk mahupun tidak setelah pihak saya
mendapat hasil pemeriksaan yang lebih teliti. Cuma apa yang dapat saya katakan,
penyakit yang dihadapi oleh sepupu awak mungkin penyakit yang berbahaya,” jawab
doktor itu sambil tersenyum ke arah pemuda di hadapannya.
Hazmin tertunduk. Kerana dia rapat
dengan Arjuna, setiap rasa sakit yang dihadapi oleh Arjuna pasti dia juga akan
merasai perkara yang sama.
Hazmin melihat ke arah Arjuna yang
terlelap. Adakah itu balasannya? Adakah itu pengakhirannya? Adakah itu
akibatnya? Segala persoalan bermain di minda Hazmin. Bukannya dia tidak tahu
perangai Arjuna ketika arwah ibunya masih lagi hidup namun dia gagal untuk
menegah perbuatan Arjuna.
Bukannya dia tidak pernah menasihati
sepupunya itu namun segalanya bagai mencurah air ke daun keladi. Adakah ini
balasan Yang Maha Esa berikan untuk membalas setiap perbuatannya dahulu? Hanya
takdir yang mampu menjawabnya.
BARAH otak tahap 4. Bagai ada peluru yang menembus
hati Hazmin tatkala Arjuna disahkan menghidap barah otak. Tahap 4 pula tu.
Keadaan Arjuna jua kian lemah semakin hari. Semakin hari jua semakin banyak air
mata seorang lelaki mengalir.
Mengalir kerana keinsafan peristiwa
lampau.
“Arj... Arjuna,” perlahan Hazmin
menggerakkan sepupunya yang lena. Tangan Arjuna ditepuk berkali-kali untuk
menyedarkannya.
Perlahan mata Arjuna terbuka. Sebuah
senyuman diberikan buat sepupunya itu.
“Afwan mana?” setiap detik waktu yang
berlalu, itulah soalan yang sering meniti di bibirnya.
Hazmin tersentak buat kesekian kalinya.
Sudah penat bibirnya memberikan jawapan buat soalan itu. Sukar Afwan untuk
memaafkan kau, Arj. Ingin sahaja Hazmin berkata begitu. Namun, dia tidak
sanggup untuk mencalarkan hati kecil sepupunya itu.
“Dia akan datang tapi bukan dalam masa
terdekat,” jawab Hazmin.
Arjuna memalingkan wajahnya dari terus
memandang ke arah Hazmin. Hati kecilnya hancur apabila tidak sekalipun adiknya
itu melawatnya di hospital. Adakah Afwan tidak dikhabarkan mengenainya? Atau,
Afwan sudah tidak sudi untuk melihat dia yang pernah menghancurkan hati seorang
ibu?
“Bila? Apabila jenazah aku sudah dimamah
bumi baru dia ingin menjenguk aku?” sayu suara Arjuna menuturkannya.
Hazmin terkedu. Hatinya sebak
mendengarkan kata-kata yang meniti di bibir Arjuna.
“Arj, apa kau cakap ni? Tak baik kau
cakap macam tu. InsyaAllah nanti pasti Afwan akan datang lawat kau dekat sini,”
Hazmin cuba untuk menenangkan Arjuna.
Arjuna menggelengkan kepalanya
berkali-kali.
“Afwan seorang yang lembut hati tapi
apabila dia berdendam, sukar sekali untuk api dendam itu dipadamkan di hatinya.
Aku kenal adik aku, Haz. Dia adik aku, bukannya orang lain,” ujar Arjuna.
Hazmin tertunduk, tiada kudrat untuk
membalas kata-kata Arjuna. Masing-masing terdiam melayan perasaan
masing-masing.
Keluhan panjang nafas Arjuna mematikan
suasana sepi antara mereka.
“Haz, kalau kata aku pergi dulu, aku
mohon seribu kemaafan dari kau. Aku manusia hina yang telah membuat banyak
kesalahan. Kau mohonkan jua kemaafan buat aku kepada keluarga kita. Aku tak
mampu nak berikan apa-apa selain sebuah kemaafan.”
Air mata Arjuna mengalir seiring dengan
setiap bicaranya.
“Kau cakap apa ni? Aku tak suka! Kau
tetap akan ada di sisi aku. Aku janji takkan biarkan kau keseorangan menghadapi
saat-saat getir,” lantang suara Hazmin membalas kata-kata Arjuna.
Arjuna menghela nafas perlahan. “Kita
manusia, Haz. Manusia tak mampu lihat takdir hidupnya. Kita tak tahu bila kita
dimatikan meskipun kita tahu saat kita dilahirkan.”
Hazmin meraut kasar rambutnya.
“Sudah! Aku nak keluar. Lepas waktu
Zuhur nanti aku datang balik. Jaga diri, berehat,” itu sahaja yang diucapkan
oleh Hazmin dan terus berlalu meninggalkan Arjuna. Hatinya tidak cukup kuat
untuk mendengar segala kata-kata Arjuna.
Hazmin terduduk di atas kerusi tempat
menunggu. Wajahnya ditekup dengan kedua belah tangan.
‘Ya Allah, KAU tabahkanlah hati sepupuku
dan KAU berikanlah dia kesempatan untuk bersua muka dengan adiknya sebelum
takdir KAU berkata dia harus pergi buat selamanya. Ya Allah, kuatkanlah
hatinya.’ Hazmin berdoa di dalam hati.
Hazmin segera beredar apabila menyedari
jam sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Dia ingin menuju ke surau untuk
menunaikan perintah-Nya.
“WAN, sampai bila kau nak keraskan hati kau tu? Kau
tahu yang abang kau sekarang ni berada dalam keadaan kritikal. Benci macam mana
sekalipun, dia tetap abang kau, Wan,” ujar Hazmin kepada Afwan melalui corong
telefon.
“Kritikal? Eloklah, biar dia mati pun
tak apa. Memang sesuai pun balasan untuk segala apa yang dia buat pada aku
dengan ibu aku,” balas Afwan.
Hazmin tersentak. Tak sangka sampai
begitu sekali Afwan membenci Arjuna. Sangkanya Afwan hanya membenci Arjuna
namun hatinya masih lembut tapi segala sangkaannya meleset.
“Wan! Kau sedar tak yang kritikal tu
abang kau, bukannya orang lain. Dia selalu tunggu kau untuk lawat dia, Wan. Aku
tak sanggup tengok dia menangis sebab kau tak sudi jenguk dia lagi. Tolonglah
Wan, ketepikan kisah lampau,” Hazmin cuba untuk melembutkan hati jejaka itu.
Telinganya menangkap suara Afwan
mengeluh.
“Ahh, tengoklah dulu kalau aku sudi aku
pergilah jenguk dia,” tanpa mengucap salam, Afwan terus memutuskan talian.
Hazmin terkejut dengan perubahan
mendadak Afwan. Ternyata benarlah apa yang dikata oleh Arjuna. Hati Afwan
memang lembut tapi sekali dia berdendam, sukar sekali api dendam itu untuk
dipadamkan.
AFWAN bermundar-mandir di ruang tamu rumahnya.
Hatinya berasa tidak enak setelah berbicara dengan Hazmin tadi. Sedari tadi jua
jantungnya tidak berhenti berdegup laju.
“Tak boleh jadi!” gumam Afwan sendiri
dan terus berlari masuk ke dalam biliknya. Beg dompet dan kunci keretanya
dicapai di atas meja.
Dalam diam hatinya turut mendoakan agar
abangnya, Arjuna, berada dalam keadaan yang sihat dan mampu bertahan sehingga
dia hadir di sisi Arjuna. Arjuna tiada sesiapa kecuali dirinya dan keluarga
sebelah Rahimah, ibunya. Keluarga sebelah arwah ayahnya pula tiada sesiapa.
Proton Saga FL miliknya dipandu laju
untuk segera sampai ke hospital untuk berada di sisi Arjuna. Kamera AES yang
berjaya menangkap gambarnya kerana memandu secara melebihi had kelajuan sudah
tidak dia peduli.
Saman boleh dibayar dengan wang namun
wang tidak mampu membayar nyawa orang yang dia sayang.
HAZMIN panik apabila melihat beberapa orang doktor
mengerumuni kamar wad Arjuna sebaik sahaja dia sampai di hadapan wad Arjuna.
“Apa yang terjadi ini, doktor? Kenapa
dengan sepupu saya?” soal Hazmin kepada salah seorang doktor yang berada di
situ.
“Sepupu awak berada dalam keadaan yang
amat kritikal. Ketumbuhan di dalam kepalanya telah pecah,” jelas doktor itu
yang turut cemas.
“Allahuakbar... Ya Allah...” Hazmin
terduduk di atas kerusi. Lemah segala urat sarafnya tatkala mendengar bicara
doktor itu.
Dadanya berdegup kencang. Hanya satu
yang bermain di mindanya, sempatkah Arjuna bertentang mata dengan Afwan?
Hazmin tertunduk tatkala kamar wad
Arjuna yang tadi hanya beberapa orang doktor mengerumuninya kini jumlahnya
telah bertambah termasuklah jururawat. Hatinya galau melihat situasi tersebut.
Tiba-tiba bahunya disentuh oleh
seseorang. Dia mendongak untuk melihat gerangan yang menyentuh bahunya. Afwan!
Wajah Afwan yang kusut, tidak terurus menjadi tatapan matanya.
“A... abang ma... macam mana?” tersekat-sekat
Afwan menyoal mengenai abangnya kepada Hazmin.
Hazmin tertunduk kembali sebelum
menghela nafas.
“Dia berada dalam keadaan amat kritikal.
Ketumbuhan dalam otak dia pecah. Kau pergilah jumpa dia, Wan. Sebelum
terlambat...” jelas Hazmin dan kembali terduduk.
Afwan tidak menunggu, terus sahaja dia
berbicara dengan salah seorang doktor dan meminta izin untuk bersua muka dengan
Arjuna. Dia bernasib baik kerana doktor memberinya izin untuk bertemu dengan
Arjuna.
Dia melangkah mendekati Arjuna.
Serta-merta perasaan sebak menyerbu dadanya apabila dia melihat Arjuna
terbaring lemah. Tangan kanan Arjuna dicapai. Doktor yang tadinya berkumpul di
dalam wad perlahan-lahan keluar memberi kesempatan Afwan untuk berduaan dengan
abangnya.
Doktor Rusyidi menepuk bahu Afwan.
“Ambillah kesempatan ini. Ini mungkin kesempatan yang terakhir. Jangan
sia-siakan,” bisik Doktor Rusyidi di cuping telinga Afwan sebelum berlalu
keluar.
Perlahan-lahan mata Arjuna yang tadinya
pejam, terbuka sedikit. Ada segarit senyuman yang terbentuk di bibirnya apabila
melihat Afwan berada di hadapannya.
“Af... Afwan. Afwan ada depan abang?” tersekat-sekat
suara Arjuna menyoal kepada Afwan.
Satu persatu mutiara kaca mengalir dari
celah tubir mata Afwan. Afwan menggenggam erat tangan Arjuna. Arjuna membalas
genggaman adiknya.
“Ya... ya, adik abang ni. Abang kena kuat. Afwan teringin nak
lalui kehidupan bersama abang. Afwan teringin nak jadi seperti dulu,” Afwan
menyesal. Menyesal kerana tidak berada di sisi Arjuna sejak dari mula Arjuna
menderita sakit.
Arjuna menggagahkan bibirnya untuk
tersenyum.
“Tak... sempat, Wan. Tak sempat... untuk
semua tu. A... abang tak... mungkin bertahan,” walaupun payah namun Arjuna
tetap jua ingin meneruskan bicaranya.
Air mata di pipi Afwan kian lebat.
Tangan abangnya dicium berkali-kali termasuklah dahinya. Dahi Arjuna dicium
agak lama. Genggaman tangannya pula kian erat. Dia tidak mahu kehilangan
abangnya pula
Kenapa? Kenapa hatinya terlampau keras
sebelum ini! Kini, dia sendiri yang menyesal. Ikut kata hati, diri yang binasa.
Dada Arjuna berombak. Afwan cemas
melihat keadaan Arjuna.
“Abang. Kenapa ni bang?” soal Afwan
lurus dengan nada cemas.
Hazmin yang tiba-tiba masuk ke dalam
kamar wad Arjuna terus menerpa ke arah Arjuna. Melalui keadaan Arjuna yang
dilihat melalui mata kasarnya, dia sudah dapat mengagak apa yang bakal terjadi.
Hazmin tunduk ke cuping telinga Arjuna.
Ucap kalimah syahadah dibisikkan ke telinga Arjuna. Walaupun sukar, Arjuna
tetap cuba untuk mengikut setiap apa yang dibisikkan oleh Hazmin.
Air mata Afwan mengalir kian deras.
Perlahan-lahan genggaman tangan Arjuna terlepas dari genggaman Afwan.
Afwan terjelepuk ke atas lantai. Dia
berada dalam keadaan yang masih tidak percaya bahawa dia kini bukan sahaja kehilangan
kasih sayang seorang ayah dan ibu tapi jua kasih sayang seorang abang.
Meskipun abangnya bukanlah orang yang
baik namun dia tahu bahawa masih ada secebis perasaan kasih sayang di dada
abang yang kini sudahpun dijemput Ilahi untuknya. Kalau tidak masakan abangnya
merindui dan ingin melihatnya di saat-saat akhir.
“Wan, banyakkan bersabar. Allah lebih
sayang akan abang kau,” kata-kata yang diucap Hazmin hanya bagai angin yang
berlalu.
Hazmin dan Afwan kini perlu terima
sebuah hakikat yang pahit sepahit hempedu bahawa Arjuna sudah tidak bernafas
lagi di muka bumi ini.
SELESAI talkin dibaca, seorang demi seorang saudara
Afwan termasuklah Afwan sendiri menyiramkan air mawar dan menaburkan
kuntuman-kuntuman bunga yang telah dileraikan dari tangkainya ke atas pusara.
Afwan ialah orang pertama menyiram air mawar.
Sebak di dada ditahan. Dia tidak mahu
menunjukkan kesedihannya di hadapan saudara maranya. Biarlah kesedihan itu
bersembunyi di celah hati. Biarlah irama tangis berlagu di dalam jiwanya.
Hazmin merupakan orang yang terakhir
menaburkan bunga. Sebak dadanya tidak mampu ditahan seperti Afwan. Di situ jua
air matanya mengalir buat kesekian kalinya. Bukanlah meratapi pemergian Arjuna,
cuma tidak sangka sekelip mata sahabat sepermainannya pergi buat selamanya.
Seorang demi seorang pergi meninggalkan
pusara arwah Arjuna kecuali Afwan. Tanah yang basah disirami air mawar disentuh
oleh tangannya. Dia berpaling ke sebelah kanannya. Pusara yang sudah elok
diletakkan kepok dan nisan dipandang.
Tepat di sebelah kanan pusara Arjuna, di
situ terletaknya pusara arwah Rahimah, ibunya.
“Wan, sudahlah. Jom kita balik. Arwah
sudah selamat berada di alam barzakh, kita yang masih bernafas ini tetap perlu
meneruskan kehidupan seperti biasa. Suatu hari nanti kita pasti akan menyusuli
arwah,” ujar Hazmin yang berpatah balik apabila melihat Afwan masih berada di
pusara Arjuna.
Afwan tertunduk.
‘Abang, Afwan balik dulu. Afwan janji
Afwan akan selalu mengirimkan doa buat kesejahteraan abang di ‘sana’.’ Afwan
‘berbicara’ dengan Arjuna di dalam hatinya.
Perlahan dia bangun dan menapak bersama
Hazmin meninggalkan pusara arwah Arjuna dan Rahimah.
Setiap yang hidup itu pasti akan merasa
mati.
Ibu itu seorang manusia, manusia yang
biasa namun mereka seorang yang amat hebat kerana mampu melahirkan dan mendidik
seorang anak.
Terima kasih, Allah.
No comments:
Post a Comment