Saturday, 24 August 2013

Balasan Untuk Segalanya

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

*Just a cerpen*

Cerita ini tiada sebuah permulaan. Segalanya hanya bermula di saat-saat akhir. Fitri sendiri hilang akal untuk mencipta permulaannya. Fitri sudah cuba untuk menjadi seorang yang jahat untuk menerangkan permulaannya namun Fitri gagal. Maaf untuk anda semua sebelum anda memulakan bacaan.





Buat kali terakhir Arjuna menatap wajah arwah ibunya yang sudah dikafankan. Sebak menyerbu di dada tatkala Hazmin, sepupunya menepuk bahunya untuk memberikannya semangat yang hanya tinggal secebis ini. Jahat sangatkah dirinya sehingga sehebat ini balasan yang DIA berikan buatnya?

“Arj, banyak bersabar ya. Allah lebih sayangkan ibu kau. Aku tahu kau kuat, Arj.” Bisik Hazmin di cuping telinganya.

Arjuna kehilangan kata-kata. Terkaku kakinya tatkala melihat wajah ibunya perlahan-lahan ditutup dengan kain kafan. Berat hati ini untuk melepaskan ibunya pergi. Namun, siapalah dia yang kerdil berbanding DIA Yang Maha Esa.

“Sudah-sudahlah tu, Arj. Redhakanlah pemergian ibumu. Tenangkanlah perjalanannya. Pak Long pun sedih, Arj. Tapi kita tak boleh nak buat apa. Sudah takdir tertulis untuk ibumu pergi dahulu.” Giliran pak longnya pula untuk menenangkan dirinya.

Arjuna meraup wajahnya berkali-kali. Terasa baru sedar dari mimpi yang panjang. Segera dia beristighfar di dalam hati. Matanya melilau ke arah segenap rumah tinggalan arwah ibunya.

Matanya berhenti tepat di wajah adik bongsunya. Bagai ditampar. Itulah yang dia rasakan tatkala tajam mata Afwan menikam tubuhnya. Terasa ingin sahaja dia merayu dan melutut di kaki adiknya. Namun, adakah adiknya akan menerima maafnya?

Arjuna mendekati jenazah Rahimah, ibunya. Cuba untuk membantu ahli keluarganya mengangkat jenazah namun tangannya ditepis kuat oleh Afwan. Wajah Arjuna ditikam dengan panahan anak mata Afwan.

“Wan, kenapa ni?” Soal pak long yang cemas melihat kedua-dua beradik itu yang saling tidak bertegur sapa sedari tadi.

“Abang Arj jangan pernah berani-berani nak sentuh ibu. Tangan abang Arj terlalu kotor untuk menyentuh ibu.” Ujar Afwan dalam nada geram.

Bagai ditendang. Itulah perasaan Arjuna di tika itu. Hatinya tercarik dengan kata-kata yang ditutur oleh Afwan buatnya. Besar. Ya, besar sungguh kesalahannya sehingga adiknya itu membencinya. Ya, dia memang tidak layak untuk menyentuh Rahimah!

“Wan... Kau...” Tak sempat untuk Hazmin menyampuk, Afwan sudah segera memotong.

“Cepat angkat jenazah arwah. Aku tak nak kaki botol ni sentuh ibu aku.” Bagai hilang nyawanya apabila adiknya sendiri begitu membencinya.

Arjuna yang tidak mahu keadaan bertambah rumit hanya mampu menekur di tempat dia berdiri. Segala tenaganya sebagai seorang lelaki hilang begitu sahaja. Satu persatu bayangan ketika dia berada dalam keadaan mabuk menjelma di mindanya.

Salah, dosa, haram. Tidak pernah sekalipun tiga perkataan itu menjelma di mindanya tatkala dia meneguk rakus air kencing syaitan yang haram itu. Taubat. Masih adakah kesempatan untuk hamba yang jahil lagi banyak dosa sepertinya bertaubat menyerah diri pada Yang Esa?

Hazmin dan pak long hanya mampu memandang ke arah Arjuna yang kehilangan segalanya. Ingin dibantu jejaka itu namun hati Afwan juga perlu dijaga.

Sempat jua Afwan memberikan pandangan tajam ke arah abangnya sambil turut membantu mengusung jenazah ibunya. Arjuna hanya mampu tertunduk. Tidak dia berdaya untuk melihat jenazah ibunya dibawa pergi tanpa mengucapkan kata selamat tinggal.

#*#*#*#

Bintang-bintang yang berkerlipan di dada langit dilihat penuh asyik. Terasa bagai ada yang mengusap lembut belakangnya seperti biasa. Bagai terngiang-ngiang di cuping telinganya suara lembut ibunya.

Namun apa yang dibalas segala usapan lembut ibunya itu? Hanya sebuah tamparan dan tendangan yang diberi sehingga wanita tabah itu terkulai lemah di atas lantai. Apa salah wanita itu? Hati Arjuna sahaja yang mampu memberikan jawapan.

“Abang fikir dengan termenung tengok langit tu arwah ibu akan kembali ke dunia ke, bang?” Sinis sahaja suara Afwan di belakangnya.

Arjuna segera berpaling ke belakang. Dia memberikan sebuah senyuman kepada adiknya namun jelingan yang dibalasnya. Walaupun pedih hati ini namun tiada apa yang mampu dia lakukan.

Cukuplah dulu dia menderhakai seorang ibu yang melahirkannya ke dunia ini. Tidak ingin dia menyakiti adiknya pula. Biarlah dia pula yang merasai pedihnya disakiti.

“Ibu takkan pulang ke sini namun ibu tetap berada di hati abang.” Perlahan Arjuna menuturkannya.

Sinis Afwan memandang ke arah abangnya.

“Hati abang? Abang ada hati. Oh, baru Wan tahu yang abang Wan ni ada hati! Ingatkan tahu sakitkan hati orang aje.” Afwan terus-terusan menyakitkan hati Arjuna.

Arjuna tetap tersenyum walaupun pahit dan tawar rasanya.

“Abang sedar salah abang, dik. Abang salah dulu. Abang sedar yang abang tak layak jadi anak ibu.” Arjuna berbicara sambil tertunduk.

Afwan memandang abangnya dengan pandangan tajam bagai tidak berpuas hati.

“Senangnya abang cakap. Hey, abang! Kau sedar yang sepanjang kau ada dekat sini, kau tak pernah sekalipun menyenangkan ibu. Kerja kau menyusahkan, menyakitkan ibu! Kau memang tak ada hati perut. Aku takkan biarkan perkara itu berulang pada aku!” Afwan sudah naik angin.

Arjuna tetap memandang ke arah wajah adiknya. Biarlah Afwan menengkingnya, kurang ajar padanya, dia sudah tidak kisah. Malah, dia akan berasa lega kerana sekurang-kurangnya Afwan telah membalas semula perbuatannya yang dahulu.

Namun, balasan dari-Nya lebih hebat dari apa yang Afwan berikan.

“Abang dah insaf, dik.”

Afwan menendang kerusi yang berhampiran dengannya.

“Kau fikir dengan keinsafan kau tu ibu akan kembali ke?! Haa! Jawablah!” Afwan mulai berang. Entah kenapa sukar sekali untuk Afwan mengawal dirinya apabila berhadapan dengan lelaki yang bergelar abangnya ini.

Arjuna mengeluh. Sukar sekali untuk dia menggapai sebuah kemaafan dari Afwan. Apa yang perlu dia lakukan agar Afwan menerima maafnya. Tapi, bila pula dia ada memohon maaf pada Afwan?

Tanpa Arjuna sedari, air matanya lebat menuruni pipinya. Air mata lelakinya tumpah buat kali pertama.

“Cengeng! Apa kau fikir kau tu budak kecil ke nak cengeng bagai. Tak perlu nak berlakonlah!” Hilang segala gelaran abang dan adik di bibir Afwan. Hanya ada kau dan aku.

Tanpa mereka sedari, pak long iaitu ayah saudara mereka melihat adegan mereka sejak dari mula. Bukan pak long tidak ingin meleraikan cuma dia tidak mahu masuk campur urusan dalam urusan dua orang jejaka itu.

Mereka sudah matang dan sudah mampu untuk berfikir bagaimana caranya untuk meluahkan perasaan. Terutama sekali perasaan marah. Itulah pendapat pak long.

Afwan meraup kasar rambutnya sebelum menapak masuk ke dalam rumah. Panas hatinya melihat wajah Arjuna. Pak longnya yang berdiri muka pintu hanya dilihat sekali imbas.

Pak long menggelengkan kepalanya. Dia keluar untuk bersemuka dengan anak buahnya.

“Arj... Arj tak apa-apa?” Soal pak long seraya menepuk bahu Arjuna yang masih tertunduk membiarkan mutiara kaca membasahi pipinya.

Arjuna tersenyum tawar ke arah bapa saudaranya itu. Arjuna menggelengkan kepalanya, menjawab soalan pak long.

“Setiap hamba Allah itu ada kesempatannya untuk bertaubat selagi roh tidak ditarik dan selagi matahari masih lagi terbit di timur.” Ujar pak long seraya melabuhkan punggung di sebelah Arjuna.

Arjuna kehilangan segala kata-kata. Sedari tadi, hanya senyuman yang mampu diberi sebagai balasan.

“Pak long masuk dulu, Arj. Arj pun jangan lama-lama sangat dekat luar ni. Tak elok.” Kata pak long lalu melangkah masuk ke dalam rumah.

Arjuna menghantar langkah pak longnya hanya melalui ekor mata. Dia kembali mendongak, melihat ke arah dada langit yang indah dengan butiran-butiran bintang yang menyinar.

Tiba-tiba hatinya berasa tidak enak. Kelilingnya dipandang. Tiada apa-apa. Hanya ada pohon mangga yang merendang termasuklah pasu-pasu bunga yang indah dengan bunga-bungaan segar.

‘Anak ibu...’ Bagai terdengar di telinganya akan suara seseorang. Lagi sekali kelilingnya dipandang. Kelibat seseorang yang berada di bawah pohon mangga berjaya ditangkap oleh matanya. Matanya dikecilkan, cuba untuk melihat gerangannya.

Tersentak. Itulah perasaannya apabila melihat seakan bayang ibunya tersenyum ke arahnya sambil melambaikan tangan kepadanya. Liurnya ditelan berkali-kali. Takut dan gementar. Itulah perasaannya kini.

‘Kenapa anak ibu bersedih ni?’ Suara itu kedengaran lagi. Arjuna sudah tidak tentu arah.

“Ibu!” Jeritnya seraya berdiri. Kelibat seseorang di bawah pohon mangga itu perlahan mendekatinya.

“Oi! Kalau ya pun banyak sangat dosa dengan ibu tak payahlah abang nak jerit-jerit dekat luar tu panggil ibu. Ibu takkan balik pun!” Ujar Afwan.

Arjuna tersentak dan berpaling ke arah Afwan di muka pintu. Afwan memandang tajam ke arah Arjuna.

Arjuna berpaling semula ke arah pohon mangga tersebut untuk mencari kelibat tadi namun, tiada. Hanya ada dedaun pohon mangga yang bergerak perlahan dek angin sepoi-sepoi bahasa.

“Arjuna, masuk. Tak elok lama sangat dekat luar tu.” Mak longnya pula menyuruhnya untuk masuk.

Lemah langkah Arjuna menuju ke muka pintu. Sempat jua dia berpaling ke belakang, cuba untuk mencari kelibat tadi namun, tiada.

#*#*#*#

6 bulan kemudian...

Arjuna memandang ke arah setiausahanya yang menerangkan jadualnya untuk hari ini namun tiada satu pun yang mampu untuk dia masukkan ke dalam kepala. Berdenyut-denyut kepalanya bagai ada batu yang menghempap di atas kepalanya.

Tangannya merayap di atas kepala sambil memicit perlahan. Samar-samar sahaja pandangannya. Berkali-kali dia memejamkan matanya sampaikan setiausahanya memandang pelik ke arah Arjuna.

“Encik Arjuna, Encik tak apa-apa ke? Saya lihat Encik Arjuna dari tadi asyik picit kepala sahaja.” Ujar setiausahanya, prihatin.

Arjuna tersenyum walaupun payah. Dia menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Tak apa. Saya ok just tolong batalkan semua meeting hari ni. Saya tak berapa sihat.” Jelas Arjuna dengan tangannya yang masih lagi merayap di kepalanya.

Setiausahanya mengangguk. “Hmm... Baiklah. Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu ya, Encik Arjuna.”

Arjuna menghantar kelibat setiausahanya keluar dengan ekor mata. Dia menyandarkan badannya pada kerusi setelah setiausahanya keluar. Dia memejamkan kepala seketika. Terasa ingin sahaja air matanya mengalir dek sakit kepala yang kian teruk.

#*#*#*#

“Psstt... Deeba, lamanya kau dalam bilik bos tadi.” Ujar Hani, rakan Deeba.

Deeba memandang ke arah rakannya yang kalut melihat ke arah bilik Arjuna yang tertutup rapat. Entah apa yang dia lihat pun, entahlah.

“Lama apanya pula. Macam biasalah, aku beritahu dia jadual dia hari ni. Tapikan Hani, bos kita tu macam tengah sakitlah. Aku tengok muka pucat sangat lepas tu waktu aku cakap tadi pun tangan dia asyik picit kepala dia sahaja.” Balas Deeba.

Hani mencerlungkan matanya ke arah Deeba. Berita sensasi baginya untuk setiap perkara soal Arjuna, bosnya. Lengan Deeba ditarik untuk mengikutnya.

“Sakit? Encik Arjuna sakit? Sakit apa?” Pelbagai soalan diluahkan buat Deeba.

Deeba membuat muka ke arah sahabatnya itu.

“Manalah aku tahu. Kau nak tahu pergilah tanya dekat dia sendiri.” Deeba sudah berasa malas apabila soal bosnya itu dibentangkan oleh Hani. Lagipun dia bukannya kaki gosip seperti Hani.

“Hmm... Itu mesti balasan untuk dosa-dosa dia. Yalah, macam tak ada air lain sampai air kencing syaitan pun nak diminumnya.” Bagai melepaskan geram Hani berbicara.

Deeba mengerutkan dahinya sambil memandang ke arah Hani. “Eh, Hani! Aku bukannya tak suka tapi kalau dah masuk bab kutuk-kutuk mengutuk ni aku minta maaflah, lebih baik kau pergi sambung kerja kau. Aku pun banyak kerja ni.” Lembut sahaja Deeba menyampaikan mesej di dalam bicaranya.

“Yang kau ni dok nak bela sangat bos tu kenapa? Dah memang betul dia tu kaki botol. Padanlah muka dia.” Deeba dibebel oleh Hani. Malas nak ambil pusing, kerja yang banyak diteruskan oleh Deeba.

“Jangan nak nilai orang aje. Awak sedar tak, orang yang awak kutuk tu bos awak? Tak berkat awak kerja tapi awak mengutuk orang yang menggaji awak meskipun rezeki itu milik Allah.” Tiba-tiba sebuah suara dari arah belakang menyampuk.

Hani segera berpaling ke belakang. Wajah ketua bahagian kewangan iaitu Hazmin menjadi tatapan matanya.

Hani hanya mampu tertunduk. Hazmin melangkah meninggalkan dua orang pekerja Arjuna. Walaupun panas hatinya mendengar sepupunya dikutuk tapi apa yang mampu dia buat.

“Huh! Semua orang nak bela bos kita tu.” Perlahan Hani mengguman seraya kakinya melangkah pergi meninggalkan Deeba seorang diri.

“Hmm... Apa nak jadilah dunia sekarang.” Gumam Deeba sambil anak matanya melihat lenggok Hani menuju ke mejanya di hujung sana.

#*#*#*#

Hazmin melangkah masuk ke dalam bilik Arjuna setelah mengetuk pintu bilik itu. Wajah pucat Arjuna menjadi tatapan matanya sebaik sahaja dia masuk ke dalam pejabat sepupunya itu. Cemas Hazmin mendekati Arjuna.

“Eh, Arj! Kenapa pucat semacam aje muka kau ni? Kau tak sihat ke?” Bertubi-tubi Hazmin menyoal seraya meletakkan tangannya ke dahi Arjuna. Badannya tidak panas namun wajahnya amat pucat.

“Entahlah, Haz. Rasa macam nak mati aje sekarang ni. Sakit kepala, berdenyut-denyut dari tadi.” Luah Arjuna kepada Hazmin.

“Eh, teruk ni! Jom aku bawa kau pergi hospital.” Ujar Hazmin seraya menarik tangan Arjuna agar mengikutinya.

Arjuna menggeleng lalu menarik tangannya.

“Arj, janganlah macam ni. Risau aku tengok kau macam ni. Dah, jangan nak geleng-geleng. Ikut aje apa aku cakap. Kau kena pergi hospital, check kesihatan kau tu.” Ujar Hazmin dengan wajah yang risau.

“Tak payahlah, Haz. Susahkan kau pula nanti.” Arjuna berkeras tidak mahu pergi ke hospital.

“Tak ada susahnya. Demi sepupu aku, tak ada apa yang aku susah. Cepat sebelum aku buat adegan romantik dukung kau ke hospital pula.” Sempat jua Hazmin berlawak.

Walaupun kepala Arjuna bagai ingin pecah, namun tawa tetap pecah di bibirnya. Perlahan dia bangun dan menapak sambil dipimpin oleh Hazmin. Pekerja-pekerjanya yang melihat Arjuna dipimpin oleh Hazmin berbisik sesama mereka.

“Deeba, bos awak pulang awal hari ni. Saya perlu bawa dia ke hospital. Apa-apa nanti telefon saja saya.” Sempat jua Hazmin meninggalkan pesan kepada Deeba, setiausaha Arjuna.

Deeba hanya mampu mengangguk. Dia simpati melihat wajah bosnya yang nyata menahan sakit yang teramat kerana wajahnya lebih pucat jika ingin dibandingkan dengan keadaan semasa dia berbicara dengan Arjuna tadi.

Hani memandang ke arah Deeba. Deeba segera berpaling ke arah lain kerana dia sudah dapat mengagak apa yang akan keluar dari celah bibir Hani. Kalau tak gosip pasti kutuk, kalau tak kutuk pasti gosip. Disebabkan Hani itu kawannya sahaja dia tidak mahu untuk berterus-terang bahawa dia tidak suka akan perangai Hani.

#*#*#*#

Wajah doktor yang memeriksa Arjuna di hadapannya dipandang lama. Arjuna yang diperiksa tapi Hazmin yang gugup untuk mendengar keputusan hasil pemeriksaan.

“Doktor, macam mana dengan sepupu saya?” Soal Hazmin yang tidak sabar untuk mengetahui hasil pemeriksaan.

“Encik Hazmin, sepupu awak perlu ditahan untuk beberapa hari untuk pemeriksaan lebih lanjut.” Jelas Doktor Rusyidi. Hazmin mengetahui namanya melalui tag nama yang dipakai pada kotnya.

Dahi Hazmin berkerut. Dia memandang ke arah Arjuna yang baring di atas katil dan ke arah Doktor Rusyidi bergilir-gilir. Hatinya berasa tidak enak mendengar khabar yang dibawa oleh doktor itu.

“Perlu ditahan? Teruk sangat ke penyakit sepupu saya, doktor?” Soal Hazmin lagi.

“Kita hanya akan ketahui sama ada penyakit yang dihidapi oleh sepupu awak teruk mahupun tidak setelah pihak saya mendapat hasil pemeriksaan yang lebih teliti. Cuma apa yang dapat saya katakan, penyakit yang dihadapi oleh sepupu awak mungkin penyakit yang berbahaya.” Jawab doktor itu sambil tersenyum ke arah pemuda di hadapannya.

Hazmin tertunduk. Kerana dia rapat dengan Arjuna, setiap rasa sakit yang dihadapi oleh Arjuna pasti dia juga akan merasai perkara yang sama.

Hazmin melihat ke arah Arjuna yang terlelap. Adakah itu balasannya? Adakah itu pengakhirannya? Adakah itu akibatnya? Segala persoalan bermain di minda Hazmin. Bukannya dia tidak tahu perangai Arjuna ketika arwah ibunya masih lagi hidup namun dia gagal untuk menegah perbuatan Arjuna.

Bukannya dia tidak pernah menasihati sepupunya itu namun segalanya bagai mencurah air ke daun keladi cuma. Adakah ini balasan Yang Maha Esa berikan untuk membalas setiap perbuatannya dahulu? Hanya takdir yang mampu menjawabnya.

#*#*#*#

Barah otak tahap 4. Bagai ada peluru yang menembus hati Hazmin tatkala Arjuna disahkan menghidap barah otak. Tahap 4 pula tu. Keadaan Arjuna jua kian lemah semakin hari. Semakin hari jua semakin banyak air mata seorang lelaki mengalir.

Mengalir kerana keinsafan peristiwa lampau.

“Arj... Arjuna.” Perlahan Hazmin menggerakkan sepupunya yang lena. Tangan Arjuna ditepuk berkali-kali untuk menyedarkannya.

Perlahan mata Arjuna terbuka. Sebuah senyuman diberikan buat sepupunya itu.

“Afwan mana?” Setiap detik waktu yang berlalu, itulah soalan yang sering meniti di bibirnya.

Hazmin tersentak buat kesekian kalinya. Sudah penat bibirnya memberikan jawapan buat soalan itu. Sukar Afwan untuk memaafkan kau, Arj. Ingin sahaja Hazmin berkata begitu. Namun, dia tidak sanggup untuk mencalarkan hati kecil sepupunya itu.

“Dia akan datang tapi bukan dalam masa terdekat.” Jawab Hazmin.

Arjuna memalingkan wajahnya dari terus memandang ke arah Hazmin. Hati kecilnya hancur apabila tidak sekalipun adiknya itu melawatnya di hospital. Adakah Afwan tidak dikhabarkan mengenainya? Atau, Afwan sudah tidak sudi untuk melihat dia yang pernah menghancurkan hati seorang ibu?

“Bila? Apabila jenazah aku sudah dimamah bumi baru dia ingin menjenguk aku?” Sayu suara Arjuna menuturkannya.

Hazmin terkedu. Hatinya sebak mendengarkan kata-kata yang meniti di bibir Arjuna.

“Arj, apa kau cakap ni? Tak baik kau cakap macam tu. InsyaAllah nanti pasti Afwan akan datang lawat kau dekat sini.” Hazmin cuba untuk menenangkan Arjuna.

Arjuna menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Afwan seorang yang lembut hati tapi apabila dia berdendam, sukar sekali untuk api dendam itu dipadamkan di hatinya. Aku kenal adik aku, Haz. Dia adik aku, bukannya orang lain.” Ujar Arjuna.

Hazmin tertunduk, tiada kudrat untuk membalas kata-kata Arjuna. Masing-masing terdiam melayan perasaan masing-masing.

Keluhan panjang nafas Arjuna mematikan suasana sepi antara mereka.

“Haz, kalau kata aku pergi dulu, aku mohon seribu kemaafan dari kau. Aku manusia hina yang telah membuat banyak kesalahan. Kau mohonkan jua kemaafan buat aku kepada keluarga kita. Aku tak mampu nak berikan apa-apa selain sebuah kemaafan.” Air mata Arjuna mengalir seiring dengan setiap bicaranya.

“Kau cakap apa ni?! Aku tak suka! Kau tetap akan ada di sisi aku. Aku janji takkan biarkan kau keseorangan menghadapi saat-saat getir.” Lantang suara Hazmin membalas kata-kata Arjuna.

Arjuna menghela nafas perlahan. “Kita manusia, Haz. Manusia tak mampu lihat takdir hidupnya. Kita tak tahu bila kita dimatikan meskipun kita tahu saat kita dilahirkan.”

Hazmin meraut kasar rambutnya.

“Sudah! Aku nak keluar. Lepas waktu Zuhur nanti aku datang balik. Jaga diri, berehat.” Itu sahaja yang diucapkan oleh Hazmin dan terus berlalu meninggalkan Arjuna. Hatinya tidak cukup kuat untuk mendengar segala kata-kata Arjuna.

Hazmin terduduk di atas kerusi tempat menunggu. Wajahnya ditekup dengan kedua belah tangan.

‘Ya Allah, KAU tabahkanlah hati sepupuku dan KAU berikanlah dia kesempatan untuk bersua muka dengan adiknya sebelum takdir KAU berkata dia harus pergi buat selamanya. Ya Allah, kuatkanlah hatinya.’ Hazmin berdoa di dalam hati.

Hazmin segera beredar apabila menyedari jam sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Dia ingin menuju ke surau untuk menunaikan perintah-Nya.

#*#*#*#

“Wan, sampai bila kau nak keraskan hati kau tu? Kau tahu yang abang kau sekarang ni berada dalam keadaan kritikal. Benci macam mana sekalipun, dia tetap abang kau, Wan.” Ujar Hazmin kepada Afwan melalui corong telefon.

“Kritikal? Eloklah, biar dia mati pun tak apa. Memang sesuai pun balasan untuk segala apa yang dia buat pada aku dengan ibu aku.” Balas Afwan.

Hazmin tersentak. Tak sangka sampai begitu sekali Afwan membenci Arjuna. Sangkanya Afwan hanya membenci Arjuna namun hatinya masih lembut tapi segala sangkaannya meleset.

“Wan! Kau sedar tak yang kritikal tu abang kau, bukannya orang lain. Dia selalu tunggu kau untuk lawat dia, Wan. Aku tak sanggup tengok dia menangis sebab kau tak sudi jenguk dia lagi. Tolonglah Wan, ketepikan kisah lampau.” Hazmin cuba untuk melembutkan hati jejaka itu.

Telinganya menangkap suara Afwan mengeluh.

“Ahh, tengoklah dulu kalau aku sudi aku pergilah jenguk dia.” Tanpa mengucap salam, Afwan terus memutuskan talian.

Hazmin terkejut dengan perubahan mendadak Afwan. Ternyata benarlah apa yang dikata oleh Arjuna. Hati Afwan memang lembut tapi sekali dia berdendam, sukar sekali api dendam itu untuk dipadamkan.

#*#*#*#

Afwan bermundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Hatinya berasa tidak enak setelah berbicara dengan Hazmin tadi. Sedari tadi jua jantungnya tidak berhenti berdegup laju.

“Tak boleh jadi!” Gumam Afwan sendiri dan terus berlari masuk ke dalam biliknya. Beg dompet dan kunci keretanya dicapai di atas meja.

Dalam diam hatinya turut mendoakan agar abangnya, Arjuna, berada dalam keadaan yang sihat dan mampu bertahan sehingga dia hadir di sisi Arjuna. Arjuna tiada sesiapa kecuali dirinya dan keluarga sebelah Rahimah, ibunya. Keluarga sebelah arwah ayahnya pula tiada sesiapa.

Proton Saga FL miliknya dipandu laju untuk segera sampai ke hospital untuk berada di sisi Arjuna. Kamera AES yang berjaya menangkap gambarnya kerana memandu secara melebihi had kelajuan sudah tidak dia peduli.

Saman boleh dibayar dengan wang namun wang tidak mampu membayar nyawa orang yang dia sayang.

#*#*#*#

Hazmin panik apabila melihat beberapa orang doktor mengerumuni kamar wad Arjuna sebaik sahaja dia sampai di hadapan wad Arjuna.

“Apa yang terjadi ini, doktor? Kenapa dengan sepupu saya?” Soal Hazmin kepada salah seorang doktor yang berada di situ.

“Sepupu awak berada dalam keadaan yang amat kritikal. Ketumbuhan di dalam kepalanya telah pecah.” Jelas doktor itu yang turut cemas.

“Allahuakbar... Ya Allah...” Hazmin terduduk di atas kerusi. Lemah segala urat sarafnya tatkala mendengar bicara doktor itu.

Dadanya berdegup kencang. Hanya satu yang bermain di mindanya, sempatkah Arjuna bertentang mata dengan Afwan?

Hazmin tertunduk tatkala kamar wad Arjuna yang tadi hanya beberapa orang doktor mengerumuninya kini jumlahnya telah bertambah termasuklah jururawat. Hatinya galau melihat situasi tersebut.

Tiba-tiba bahunya disentuh oleh seseorang. Dia mendongak untuk melihat gerangan yang menyentuh bahunya. Afwan! Wajah Afwan yang kusut, tidak terurus menjadi tatapan matanya.

“A... Abang ma... macam mana?” Tersekat-sekat Afwan menyoal mengenai abangnya kepada Hazmin.

Hazmin tertunduk kembali sebelum menghela nafas.

“Dia berada dalam keadaan amat kritikal. Ketumbuhan dalam otak dia pecah. Kau pergilah jumpa dia, Wan. Sebelum terlambat...” Jelas Hazmin dan kembali terduduk.

Afwan tidak menunggu, terus sahaja dia berbicara dengan salah seorang doktor dan meminta izin untuk bersua muka dengan Arjuna. Dia bernasib baik kerana doktor memberinya izin untuk bertemu dengan Arjuna.

Dia melangkah mendekati Arjuna. Serta-merta perasaan sebak menyerbu dadanya apabila dia melihat Arjuna terbaring lemah. Tangan kanan Arjuna dicapai. Doktor yang tadinya berkumpul di dalam wad perlahan-lahan keluar memberi kesempatan Afwan untuk berduaan dengan abangnya.

Doktor Rusyidi menepuk bahu Afwan. “Ambillah kesempatan ini. Ini mungkin kesempatan yang terakhir. Jangan sia-siakan.” Bisik Doktor Rusyidi di cuping telinga Afwan sebelum berlalu keluar.

Perlahan-lahan mata Arjuna yang tadinya pejam, terbuka sedikit. Ada segarit senyuman yang terbentuk di bibirnya apabila melihat Afwan berada di hadapannya.

“Af... Afwan. Afwan ada depan abang?” Tersekat-sekat suara Arjuna menyoal kepada Afwan.

Satu persatu mutiara kaca mengalir dari celah tubir mata Afwan. Afwan menggenggam erat tangan Arjuna. Arjuna membalas genggaman adiknya.

“Ya... Ya, adik abang ni. Abang kena kuat. Afwan teringin nak lalui kehidupan bersama abang. Afwan teringin nak jadi seperti dulu.” Afwan menyesal. Menyesal kerana tidak berada di sisi Arjuna sejak dari mula Arjuna menderita sakit.

Arjuna menggagahkan bibirnya untuk tersenyum.

“Tak... sempat, Wan. Tak sempat... untuk semua tu. A... Abang tak... mungkin bertahan.” Walaupun payah namun Arjuna tetap jua ingin meneruskan bicaranya.

Air mata di pipi Afwan kian lebat. Tangan abangnya dicium berkali-kali termasuklah dahinya. Dahi Arjuna dicium agak lama. Genggaman tangannya pula kian erat. Dia tidak mahu kehilangan abangnya pula

Kenapa? Kenapa hatinya terlampau keras sebelum ini! Kini, dia sendiri yang menyesal. Ikut kata hati, diri yang binasa.

Dada Arjuna berombak. Afwan cemas melihat keadaan Arjuna.

“Abang. Kenapa ni bang?” Soal Afwan lurus dengan nada cemas.

Hazmin yang tiba-tiba masuk ke dalam kamar wad Arjuna terus menerpa ke arah Arjuna. Melalui keadaan Arjuna yang dilihat melalui mata kasarnya, dia sudah dapat mengagak apa yang bakal terjadi.

Hazmin tunduk ke cuping telinga Arjuna. Ucap kalimah syahadah dibisikkan ke telinga Arjuna. Walaupun sukar, Arjuna tetap cuba untuk mengikut setiap apa yang dibisikkan oleh Hazmin.

Air mata Afwan mengalir kian deras. Perlahan-lahan genggaman tangan Arjuna terlepas dari genggaman Afwan.

Afwan terjelepuk ke atas lantai. Dia berada dalam keadaan yang masih tidak percaya bahawa dia kini bukan sahaja kehilangan kasih sayang seorang ayah dan ibu tapi jua kasih sayang seorang abang.

Meskipun abangnya bukanlah orang yang baik namun dia tahu bahawa masih ada secebis perasaan kasih sayang di dada abang yang kini sudahpun dijemput Ilahi untuknya. Kalau tidak masakan abangnya merindui dan ingin melihatnya di saat-saat akhir.

“Wan, banyakkan bersabar. Allah lebih sayang akan abang kau.” Kata-kata yang diucap Hazmin hanya bagai angin yang berlalu.

Hazmin dan Afwan kini perlu terima sebuah hakikat yang pahit sepahit hempedu bahawa Arjuna sudah tidak bernafas lagi di muka bumi ini.

#*#*#*#

Selesai talkin dibaca, seorang demi seorang saudara Afwan termasuklah Afwan sendiri menyiramkan air mawar dan menaburkan kuntuman-kuntuman bunga yang telah dileraikan dari tangkainya ke atas pusara. Afwan ialah orang pertama menyiram air mawar.

Sebak di dada ditahan. Dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di hadapan saudara maranya. Biarlah kesedihan itu bersembunyi di celah hati. Biarlah irama tangis berlagu di dalam jiwanya.

Hazmin merupakan orang yang terakhir menaburkan bunga. Sebak dadanya tidak mampu ditahan seperti Afwan. Di situ jua air matanya mengalir buat kesekian kalinya. Bukanlah meratapi pemergian Arjuna, cuma tidak sangka sekelip mata sahabat sepermainannya pergi buat selamanya.

Seorang demi seorang pergi meninggalkan pusara arwah Arjuna kecuali Afwan. Tanah yang basah disirami air mawar disentuh oleh tangannya. Dia berpaling ke sebelah kanannya. Pusara yang sudah elok diletakkan kepok dan nisan dipandang.

Tepat di sebelah kanan pusara Arjuna, di situ terletaknya pusara arwah Rahimah, ibunya.

“Wan, sudahlah. Jom kita balik. Arwah sudah selamat berada di alam barzakh, kita yang masih bernafas ini tetap perlu meneruskan kehidupan seperti biasa. Suatu hari nanti kita pasti akan menyusuli arwah.” Ujar Hazmin yang berpatah balik apabila melihat Afwan masih berada di pusara Arjuna.

Afwan tertunduk.

‘Abang, Afwan balik dulu. Afwan janji Afwan akan selalu mengirimkan doa buat kesejahteraan abang di ‘sana’.’ Afwan ‘berbicara’ dengan Arjuna di dalam hatinya.

Perlahan dia bangun dan menapak bersama Hazmin meninggalkan pusara arwah Arjuna dan Rahimah.

~Setiap yang hidup itu pasti akan merasa mati.~


~Ibu itu seorang manusia, manusia yang biasa namun mereka seorang yang amat hebat kerana mampu melahirkan dan mendidik seorang anak.~



Di kesempatan ini, saya, Nur Fitri ingin menghulurkan sepuluh jari sebagai tanda maaf. Saya bukanlah manusia yang sempurna yang tidak pernah melakukan kesalahan. Cuma, segalanya mungkin berlaku di luar kesedaran. Ampunkan saya jika saya ada silap dengan readers sekalian. Saya hanya manusia biasa. :')

6 comments:

  1. Fit knpe sedey sgt cerita ni..turun air mata uni bila baca cerita ni..rasa ajal dkt dgn uni :'(

    ReplyDelete
  2. Fit best.sedih.mengalir airmata n tahniah atas cerpen yg brjaya menyentuh hati pembaca.

    ReplyDelete
  3. Cerpen yg menyentuh hati.... sedihnya.....

    ReplyDelete