Friday 29 November 2013

Cerpan Muzikal - Berkasih Dalam Bercinta 10

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...


DALAM perjanjian yang telah dibuat, Nana perlu menaiki kereta Achik untuk pulang ke kampung. Jadi, Nana bawa motosikalnya ke rumah Achik dan tumpang buat dua hari. Mereka bergerak pulang ke kampung Nana dari rumah Achik.

Apa maknanya? Maknanya sebelum Achik jumpa mak Nana, Nana perlu berjumpa dengan ibu Achik. Nak atau tak nak, itu adalah sebahagian daripada perjanjian mereka. Reda ajelah.

Nana tidak masuk ke dalam kawasan rumah Achik walaupun pagar rumahnya sudah terbuka. Dia berdiri di sebelah motornya. Nasib baiklah mentari pagi masih belum panas. Tak adalah terbakar kulit. Lagipun orang kata mentari pagi ni ada vitamin C.

“Eh, kak Nana! Kenapa tercegat aje dekat luar tu. Meh la masuk. Abang tengah bersiap.” Tegur Aqira yang tiba-tiba muncul di muka pintu.

Nana menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Aqira sebelum mengangguk. Nana bawa beg kecil aje. Nak buat apa besar-besar, dekat kampung banyak baju dia. Nana melangkah masuk ke dalam setelah mencapai begnya di dalam raga motor.

“Laa, kenapa biarkan aje motor tu dekat luar. Bawalah masuk sekali. Rakyat Malaysia sekarang ni walau muka sesuci bak embun pagi pun belum tentunya baik. Buatnya kena curi aniaya aje nanti.” Ujar Aqira apabila melihat Nana berlenggang sambil membawa begnya.

Nana tersengih. “Tak apalah, nanti kak Nana bawa masuk. Lagipun...” Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Aqira sudah menyampuk.

“Ish, kak Nana ni! Kalau kak Nana tak nak bawa masuk biar adik yang bawa masuk.” Aqira yang geram dengan Nana yang malu-malu anak harimau terus menyarung selipar dan melangkah keluar. Tongkat yang menampung motor Nana ditolak ke atas dan terus mengheret motor Nana masuk ke dalam perkarangan rumahnya.

Nana hanya mampu melihat dengan muka yang tersangatlah blur. Kaki pula macam ada gam gajah dekat bawah tapak sandal yang dia pakai ini. Sumpah dia segan! Rasa macam nak lari masuk laut Selat Melaka pun ada.

“Jom, jom, jom... Tak payah nak segan-segan sangat. Semua yang ada dalam rumah ni makan nasi aje kalau lapar. Tak adanya kami nak makan kak Nana.” Selamba sahaja Aqira menarik lengan Nana agar mengikutinya.

Nana pun tak mampu nak buat apa-apa. Reda ajelah kena tarik. Dia menggigit bibirnya apabila dipaksa duduk ke atas sofa di ruang tamu rumah Achik dan keluarganya ini. Aqira pula duduk di sebelahnya. Ralit dia memandang ke arah Nana membuatkan Nana menjadi seperti cacing kepanasan.

“Kak Nana ni comellah. Patutlah beria-ria abang nakkan akak. Nak tahu tak kak Nana, tiap-tiap hari abang dok nyanyi lagu Engkau Yang Ku Cinta. Siap adik pun boleh hafal tau lirik lagu tu. Bila tanya nyanyi untuk siapa, dia jawab nyanyi untuk kak Nana.” Ceria suara itu berceloteh.

Nana yang mendengar hanya tersenyum. Tak tahu nak cakap apa! Dia suka dengan adik Achik yang seorang ni. Nampak gaya macam takkan jadi kekok kalau dia bersama dengan Aqira. Terutama apabila dia mengeluarkan aura siapa itu Nana yang sebenarnya nanti. Ni kali kedua berjumpa, mungkin masih berasa kekok.

“Sering kau tanyakan cintaku di mana, sering kau menuntut ucapan asmara...” Aqira menyanyi tiba-tiba. Lagu apalagi kalau bukan lagu yang dia kata selalu Achik nyanyi sejak mengenali Nana.


“Bisinglah kau ni, adik!” Jerkah Achik dari belakang seraya menarik tocang Aqira. Aqira mendengus geram seraya menjegilkan matanya ke arah Achik yang melangkah ke arah sofa yang bertentangan dengan mereka berdua.

“Huh! Cemburulah tu sebab suara adik lagi sedap dari suara abang. Uwekkk...” Aqira menjelir lidah ke arah Achik yang melabuhkan punggung di hadapan mereka.

Achik hanya mencebik dengan muka yang tak bersalah. Dia memandang ke arah Nana yang kelihatan masih malu-malu. Nana pula sudah tertunduk. Malu!

“Ibu mana?” Soal Achik apabila baru dia menyedari ibunya tiada di situ.

Aqira hanya memuncungkan bibirnya ke arah belakang. Achik hanya mengangguk seraya bangun. Dia melihat ke arah Aqira dan Nana bersilih ganti.

“Jom pergi dapur. Ibu dah masak. Rugi tak rasa sebab ibu masak sedap.” Sempat Achik memuji masakan ibunya. Dia melihat ke arah Nana yang masih tertunduk. Agak-agak kalau turun lagi sikit kepala tu mahu sia-sia aje terhantuk dekat meja kopi.

“Ha’ah, betul tu kak Nana. Ibu masak memang sedap. Sampai jilat pinggan dengan jilat jari. Makan sekali gerenti nak lagi.” Ujar Aqira pula seraya mencapai lengan Nana untuk mengajak Nana ke dapur.

Dengan langkah yang gontai Nana mengekori langkah dua beradik ini ke dapur. Jantung tak payah nak cakap lagilah. Habis semua rentak lagu rock bercampur aduk menjadi satu irama yang gempak habis.

Sebaik sahaja kakinya mencecah lantai dapur rumah milik Achik dan keluarganya ini, dia melihat kelibat seorang wanita yang sedang berdiri membelakangi mereka. Mungkin itulah ibu Achik. Tubuhnya sedang-sedang sahaja, tidaklah terlalu gemuk dan tidak juga terlalu kurus. Eh, itu pun nak kisah ke?!

“Assalamualaikum, ibu.” Sapa Achik seraya memeluk bahu ibunya. Nana hanya melihat adegan dua beranak itu. Aqira pula terus melabuhkan punggung ke atas kerusi di meja makan. Kerusi di sebelahnya ditarik dan menggamit Nana agar duduk di situ.

“Waalaikummussalam. Eh, abang! Haa, mana bakal menantu ibunya. Tadi kata nak pergi sama-sama.” Lembut suara itu menyapa ruang pendengaran Nana.

Achik tertawa kecil. “Dah lama dah sampai, ibu. Itulah ibu, asyik sangat buat kerja dekat dapur ni.” Balas Achik seraya mencubit perlahan pipi ibunya.

“Laa, ya ke? Tak sedar pula ibu. Patutlah dengar macam suara adik bersembang. Ingatkan dia bersembang dengan abang. Tak adalah ibu ke depan tadi.” Terdengar bunyi sudu berlaga dengan teko menandakan wanita yang bergelar ibu Achik itu sedang membancuh air.

Achik terus menarik tangan ibunya membuatkan ibunya terpaksa meninggalkan dahulu kerja membancuh air. Ibu Achik yang tadinya membelakangi Nana dan Aqira kini sudah berpaling. Nana tersenyum ke arah ibu Achik. Dia lantas bangun dan mendekati ibu Achik.

Tangannya dihulur kepada ibu Achik. Ibu Achik yang masih berdiam membuatkan hati Nana tidak tenang. Dia mengucup lembut tangan milik wanita separuh abad itu. Dia menoleh melihat ke arah Achik apabila melihat wanita yang bergelar ibu Achik ini galak merenungnya tanpa sebarang kata.

Tanpa diduga Nana, wanita itu terus menarik tubuhnya ke dalam pelukan. Nana yang terpaku dengan tindakan ibu Achik hanya mendiamkan diri, cuma tangannya bergerak membalas pelukan wanita itu.

“Cantiknya bakal menantu ibu ni.” Puji ibu Achik seteleh merungkaikan pelukannya. Wajah Nana yang bertempek bedak disentuh dengan jemari tuanya.

Nana hanya tersenyum malu apabila dipuji sebegitu. Achik yang berdiri di sebelah ibunya pula hanya tersengih-sengih. Achik mengenyitkan matanya ke arah Nana tanpa pengetahuan ibunya.

“Sebab itulah abang gila bayang, ibu.” Sampuk Aqira yang duduk di meja makan.

Perasaan malu yang bersarang di hati Nana meningkat lagi lima puluh peratus. Pipinya sudah memerah dek pujian dua beranak itu. Ibu Achik hanya tertawa kecil. Dia lantas memeluk lengan Nana dan beriringan melangkah ke arah meja makan.

“Ya Allah, air ibu.” Sampai sahaja di meja makan barulah ibu Achik teringat bahawa air masih belum siap dibancuh.

“Tak apa, ibu. Biar Achik yang buat. Ibu duduk aje. Nana janganlah segan, buat macam rumah sendiri. Makan banyak sikit sebab nanti nak jalan bukannya dekat.” Sempat Achik memberi sesi ‘ceramah’ kepada Nana.

Aqira tersenyum penuh makna sambil melihat ke arah Nana. Nana hanya menggigit bibir tanpa menoleh melihat sesiapa. Malu!!!


DENGAN kelajuan sederhana, kereta Honda City yang dipandu oleh Achik menyusuri lebuh raya Utara-Selatan. Nana di tempat penumpang hanya mendiamkan diri. Lagu yang diputarkan oleh juruhebah radio sahaja yang menggamatkan suasana di dalam kereta.

Sesekali Achik mengerling ke arah Nana yang diam tidak berkutik di sebelahnya. Dia tersenyum sambil tangannya ligat mengemudi stereng keretanya. Jemarinya mengetuk stereng kereta sambil sesekali mulutnya terkumat-kamit mengikut rentak lagu yang berkumandang di corong radio kereta Achik.

Tiba-tiba dahi Nana berkerut. Dia menggigit bibirnya sekuat-kuatnya. Achik yang pelik melihat reaksi Nana yang tiba-tiba itu terus menyoal.

“Kenapa ni, Nana? Nana tak sihat ke? Nana ok ke tak?” Bertubi-tubi soalan dilontar buat Nana. Nadanya kedengaran begitu cemas mengalahkan Nana tu sakit nak bersalin aje.

Nana tersenyum dalam payah ke arah Achik. “Nana nak berurusan dengan ladies la rasanya. Agak-agak jauh lagi tak R&R dari sini?” Balas Nana malu-malu.

Achik menghela nafas lega. Ingatkan apalah tadi. Dia kembali tenang sambil menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah lebuhraya yang agak lengang.

“Achik rasa paling dekat pun lebih kurang seratus meter dari sini. Tu, R&R Tapah.” Jawab Achik sambil memuncungkan bibirnya ke arah papan tanda yang menunjukkan jarak R&R Tapah dari kawasan tempat yang mereka lalui ini.

Nana hanya mengangguk sambil cuba menahan perutnya yang sudah senak. Itulah akibatnya kalau perut dah kenyang tapi sumbat lagi. Alah, itupun sebab nak jaga hati bakal mak mentua. Kasihan pula penat-penat ibu Achik memasak tapi tidak dijamah. Orang sudah pelawa, terima sajalah kerana rezeki jangan ditolak.

Sampai sahaja di R&R Tapah, terkocoh-kocoh Nana keluar dan terus mencari tandas. Achik hanya tertawa kecil melihat gelagat Nana. Dia pantas memakirkan keretanya di bawah pokok yang agak rendang.

Dia keluar dari kereta setelah mematikan enjin. Dia menapak ke arah sebuah pondok kayu yang tersedia di kawasan R&R tersebut. Punggungnya dilabuhkan ke atas lantai pondok tersebut. Oleh kerana ini pertama kali dia singgah di R&R Tapah, jadi agak jakunlah juga.

Sekejap toleh kiri, sekejap toleh kanan. Tak disangka yang R&R Tapah ini agak besar. Macam-macam kedai ada di sini. Ada Baskin Robbin, ada Dunkin Donuts, ada KFC. Eh, KFC!

Fikiran Achik melayang mengingati peristiwa yang terjadi kira-kira sebulan yang lalu. Dia tersenyum sendiri apabila teringat bibit-bibit permulaan perkenalan antara dia dan Nana. Part yang paling tak boleh blah adalah sewaktu dia dan Nana berbalas pantun setelah kenyang pelahap burger KFC.

‘Alhamdulillah, gendang gendut tali kecapi, perut kenyang suka hati.’ ~ Achik

‘Alhamdulillah juga. Ikan keli buat lubang, Nana pun dah kenyang.’ ~ Nana

‘Gadis manis namanya Nana, lepas ni nak pergi mana?’ ~ Achik

‘Jiran sebelah nama Mak Mah, nak balik rumah.’ ~ Nana

‘Buat roti kena ada doh, jumpa lagi kalau ada jodoh.’ ~ Achik

Masih terbayang di ruangan mata Achik bagaimana wajah Nana yang berubah rona di saat itu. Mahu aje dicubit-cubitnya pipi Nana. Waktu tu Nana masih tidak bertudung. Rambutnya masih lagi dibiarkan lepas ke paras bahu. Kemas disemat di belakang telinga.

“Achik!” Suara Nana yang menegurnya membuatkan lamunannya terhenti. Dia meraup wajahnya sebelum berpaling melihat ke arah Nana yang turut melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Apa yang Achik menungkan tu? Dari tadi Nana panggil Achik tau.” Nana memandang ke arah Achik.

Achik hanya tersenyum seraya menggeleng. Dia melihat Nana mengelap wajahnya yang dibasahi peluh dengan tisu. Penatlah tu ‘melabur’ tadi. Nana yang menyedari renungan Achik terus berhenti mengelap wajahnya. Tisu yang digunakan digenggam di dalam tangan.

“Tak nak gerak lagi ke?” Soal Achik.

Nana menoleh melihat ke arah Achik. “Rehatlah dulu. Hmm... Dengar lagu nak?” Cadang Nana.

Achik mengetap bibir sambil terangguk-angguk. “Achik layan aje. Lagu apa yang best?”

Nana segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg tangan. Skrin telefon bimbitnya dilihat sebelum tangannya ligat menekan butang yang berada pada papan kekunci telefon bimbitnya itu. Dia tersenyum apabila dapat mencari apa yang dicarinya.

Dia menunjukkan skrin telefon bimbitnya ke arah Achik. Achik mengecilkan matanya untuk melihat apa yang tertera pada skrin telefon Nana.

“Bakawali?” Soal Achik sambil menjongketkan keningnya.

Nana mengangguk, teruja. “Nana suka lagu ni. Rentak dia, lirik dia. Penuh dengan nasihat terutama untuk orang yang bercinta. Dan lagi satu, Nana suka bunga bakawali atau nama lainnya, bunga harum sundal malam. Mak Nana ada tanam bunga dekat kampung.”

“Bila malam, Nana keluar tengok bunga ni dengan mak Nana waktu kecil-kecil dulu. Wangi dan cantik bunganya. Tapi namanya yang sundal malam tu selalu buat Nana takut. Kan dulu ada cerita Pontianak Harum Sundal Malam. Hehe...” Tersengih-sengih Nana menceritakan soal bunga bakawali.

Achik tertawa kecil mendengar kata-kata Nana. “Ada lagi ke bunga ni dekat rumah mak Nana?” Soal Achik. Yalah, manalah tahu kut-kut dapat dia tengok bunga tu malam ni.

Nana menggeleng. “Tak ada dah. Yalah, sepuluh tahun yang lalu punya bunga. Takkanlah dok nak bela bunga tu aje. Mak Nana ni spesies tak suka bunga yang sama dok depan rumah dia sampai sepuluh tahun tak berganti. Jadinya, bunga tu akan ‘direcycle’ dengan bunga yang lain. Bunga yang dia tak nak dia bagi dekat jiran tak pun mak saudara Nana.” Lebar Nana bercerita.

Achik mengangguk. Daripada apa yang diceritakan oleh Nana tahulah dia yang mak Nana ni jenis yang sukakan bunga. Haha... Mak Datin Bunga.

Nana menekan butang play. Masing-masing diam dan menghayati bait-bait lirik lagu yang berentak zapin itu. Lagu dulu juga yang sedap telinga mendengar!


“Nak gerak dah ke?” Soal Achik sebaik sahaja Siti Nordiana dan Syura mengundur diri.

“Hmm... Jomlah. Nanti cepat sampai.” Balas Nana seraya menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg tangannya kembali. Mereka terus mengangkat punggung dan bergerak menuju ke kereta Achik.

Dengan lafaz basmallah, Achik menghidupkan enjin setelah memakai tali pinggang keselamatan. Brek tangan diturunkan sebelum tangannya bergerak mengemudi kereta. Nana di sebelah turut mengenakan tali pinggang keselamatan.

“Mak Nana tu garang tak?” Soal Achik kepada Nana sewaktu keretanya sudah berada di atas lebuhraya.

Nana menoleh melihat ke arah Achik. “Garang tu taklah, cuma mak Nana ni jenis yang tegas. Mak Nana ni jenis yang penyayang. Tapi, kalau dia kata tak suka, terus terang dia kata tak suka.” Nana menjelaskan tentang sifat maknya kepada Achik.

Achik terangguk-angguk mendengar penjelasan Nana. Wajahnya kelihatan tenang dan cool tapi dalam hati rasa macam... macam... tak tahulah macam mana. Tapi jantungnya dah berdegup kencang tak menahan. Yalah, buat pertama kalinya dia akan menghadap bakal mak mentua. Sesiapa pun pasti akan berdebar.

“Tapi Achik tak perlu risau, Nana yakin mak Nana pasti akan sukakan Achik.” Ujar Nana setelah agak lama mendiamkan diri sambil tersenyum ke arah Achik.

“Kenapa pula?” Soal Achik.

Nana tersenyum lebar. “Sebab Achik berani jumpa dan berterus-terang tentang niat Achik untuk melamar Nana dengan mak Nana.” Jawab Nana, ceria.

Achik hanya tersenyum. Kerana cinta halal itu lebih indah. Desis hati Achik.


SEBAIK sahaja kereta Achik terparkir di hadapan rumah Nana, Nana terus berlari keluar dan memanggil nama maknya. Teruja dan tidak sabar untuk melihat keadaan maknya. Achik hanya menggeleng melihat telatah Nana.

Achik turut keluar dalam keadaan yang teragak-agak. Matanya meliar memandang sekitar rumah mak Nana. Cantik dan kemas. Sana sini bunga. Jadi benarlah tekaannya, mak Nana sukakan bunga.

“Ya, ya... Kejap! Haisshhh... Siapa pula yang datang tengah hari merembang macam ni. Aku nak masak pun payah.” Terdengar suara mak Nana membebel. Nana sudah terkekeh-kekeh ketawa mendengar bebelan maknya itu. Sudah lama telinganya tidak mendengar suara itu membebel.

Mak Nana yang berdiri di muka pintu depan tercengang-cengang apabila melihat seorang gadis berdiri di hadapan anak tangga sambil tersenyum. Seorang lelaki yang berdiri di sebelah sebuah kereta juga turut tersenyum ke arahnya.

“Anak ni siapa?” Soal Mak Datin Bunga sambil matanya bersilih ganti melihat ke arah Nana dan Achik.

“Mak!!! Takkan anak sendiri pun dah tak kenal. Ni Nanalah.” Ujar Nana seraya kakinya melangkah mendaki satu persatu tangga di hadapan rumahnya.

Mak Datin Bunga memandang ke arah Nana dari atas ke bawah. Seperti tidak percaya bahawa gadis yang manis bertudung di hadapannya ini ialah anak tunggalnya sendiri. Mulutnya ternganga dengan perubahan yang ada pada Nana.

“Nana? Ya Allah, anak aku ke ni?” Soalnya sambil memegang kedua-dua belah bahu Nana.

Nana hanya tersenyum seraya mengangguk berkali-kali. Dia pantas memeluk maknya. Walaupun masih terkejut, Mak Datin Bunga tetap jua membalas pelukan Nana. Matanya terhala ke arah Achik yang masih tidak berganjak dari sebelah kereta.

Achik sudah menelan air liur melihat mata Mak Datin Bunga yang tajam menikam wajahnya. Walau bagaimanapun, dia tetap menghadiahkan segarit senyuman yang kelihatan begitu kekok.

Bakal mentua vs bakal menantu!

4 comments:

  1. besttttttttt smbg lgi tauuuuuu,nk bca respon ibu nana plk suka k tak kt acikkkk....

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha... ok, ok.. tapi bukan hari ni.. hehe... terima kasih sudi baca :)

      Delete
  2. Best...hehhehe...pandai achik cover line...;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih... hehe.. Achik memang pandai bab2 tu.. ;)

      Delete