Assalamualaikum dan hai semua...
MATA Nana masih melekat kukuh pada wajah Achik yang
tersengih. Dia perlukan kesahihan bukan sengihan! Kalau Achik ni adik dia nak
juga diluku kepalanya. Tapi, bukan Nana anak tunggal ke?
Nana berdehem sebelum memulakan bicara
secara seriuslah sangat. “Macam tak percaya aje Achik ni spesies playboy.” Jujur Nana meluahkan apa yang
dirasakan di dalam hatinya.
Achik tersengih seraya mengangkat dua
jari tangan kanannya. Jari telunjuk dan jari tengah. Peace! Aturan gigi atas dan bawah bahagian hadapannya yang putih
bak gigi Fazura dalam iklan Colgate Optic White ditayang kepada Nana.
“Achik mampu jadi prayboy aje... Itupun kadang-kadang leka juga. Tak berani nak cari
perempuan buat koleksi. Cukuplah tiga orang perempuan yang dekat rumah tu aje.
Itu pun kadang-kadang penat nak melayan karenah mereka.” Sentap!
Nana tersentap mendengar kata-kata
Achik. Tiba-tiba rasa nak Google dekat mana lombong paling dalam yang terdekat.
Kalau boleh area restoran ni pun tak
apa. Nak selam dalam lombong lepas tu tak nak timbul dah.
Nana hanya menelan air liur sambil cuba
mengukir senyuman yang paling ikhlas. Malangnya bibirnya berkomplot pula malam
ni. Jangan kata senyum, sengih, gigit, ketap dan semuanyalah. Tak mampu nak
buat apa-apa dah rasanya. Nak duduk sambil tu menanti harap-harap ada yang sudi
‘memanaskan’ telinganya di atas pentas karaoke.
Achik tersenyum melihat Nana yang
terdiam. Dia tahu kata-katanya menyentap kalbu Nana tapi nak buat macam mana,
itulah kenyataannya.
“Achik minta maaf kalau Achik guriskan
hati Nana.” Ucap Achik, ikhlas. Ikutkan hati ingin sahaja dia menggenggam
jemari runcing milik gadis di hadapannya ini. Oit! Tak halal lagi, tengok aje
tapi jangan lebih-lebih.
Nana mengukirkan segarit senyuman dalam
keadaan terpaksa. Dia tidak berani bertentang mata dengan Achik.
“Nana, maafkan Achik ya. Achik main-main
aje tadi. Percayalah, Achik tak pernah menilai Nana daripada masa silam Nana.
Semua orang ada masa silamnya sendiri yang berbeza-beza. Playgirl is your past but
praygirl is your future, insyaAllah.” Kata-katanya tidak semanis gula
apatah lagi madu tapi cukup untuk menenangkan jiwa.
Nana merenung ke arah Achik yang
kelihatan bersalah. Senyuman ikhlas dihadiahkan sebagai balasan untuk
kata-katanya yang begitu menenangkan jiwa Nana. Dalam diam hatinya mengaminkan
kata-kata Achik. Mudah-mudahan dia dapat menjadi seorang praygirl yang lebih baik pada masa akan datang.
“Tak, Achik tak salah pun. Nana aje yang
tersentap beria. Hmm... Kita tutup dulu soal topik masa silam. Nana nak tahu
kisah kita pada masa kini.” Ucap Nana.
Achik mengangguk bersetuju. “Haa,
sebelum tu orderlah dulu nak makan dan
minum apa. Nanti bercakap aje kerjanya, kering pula air liur Nana.”
“Hmmm... Nana nak jus tembikai dengan
nasi goreng kampung ajelah.” Nana memesan menu yang diinginkannya kepada Achik.
Achik hanya mengangguk seraya bangun berlalu ke dapur.
Baru sahaja ingin menyandarkan badannya
ke kerusi, dia terdengar bunyi mikrofon yang membingitkan telinga. Dia segera
berpaling melihat ke arah pentas karaoke. Heliza dan Fahmi! Sempat juga Heliza
tersenyum ke arah Nana sebelum mengambil mikrofon yang dihulur oleh Fahmi.
Ehem... Ada apa-apa ke yang dia tertinggal part
Heliza dan Fahmi ni?
Nana hanya memandang pelik ke arah
Heliza dan Fahmi. Kelihatan mesra bukan sahaja semacam tapi dah lima macam.
Berkerut-kerut dahi Nana melihat Heliza yang agak mesra berbual dengan Fahmi.
Memang sah! Dia tertinggal kereta api part
Heliza dan Fahmi.
“Assalamualaikum semua. Maaf, malam ni
Achik tak ada. Dia ada hal yang perlu diselesaikan. Jadi, malam ni Fahmi ganti
tempat Achik boleh tak?” Ucap Fahmi dengan menggunakan mikrofon.
Krik... krik...
eh, tiba-tiba pula cengkerik melintas. Ok, tipu! Sebenarnya sepi, tak ada
sesiapa pun yang sudi menjawab. Kesian kau, Fahmi! Eh, kejap-kejap, ada yang
jawab!
“Tak kisahlah. Tapi kenalkan dulu awek
cun sebelah kau tu. Dah ada buah hati tapi peram buat jeruk.” Sahut salah
seorang geng budak-budak muda yang duduk betul-betul di hadapan pentas karaoke.
Restoran ni memang port budak-budak
muda belia.
Heliza tersenyum malu. Ceh! Muka minta
novel melekap kat pipi adalah. Fahmi melihat ke arah Heliza seraya tersenyum.
Aduh, boleh masuk wad kecemasan si Nana ni dok memikirkan apalah sebenarnya
yang terjadi antara Heliza dan Fahmi.
“Dia kawan aku, namanya Heliza. Kawan
yang bagaimana tu biarlah rahsia dulu. Lagi satu, dia ni bukan jeruk untuk aku
peram.” Fahmi membalas.
“Blahlah!”
Geng budak-budak muda itu tadi membalas beramai-ramai. Aduh, meriah betul!
Nasib baik kebanyakan pengunjung restoran ni lima puluh tahun ke bawah. Kalau
tak, ada yang masuk hospital sebab kena serangan jantung.
“Ok, ok... Aku tak nak blah, aku nak nyanyi. Jadi, terimalah
dari kami, Dua Insan.” Gentle aje
gaya Fahmi bercakap. Mereka terus menumpukan perhatian pada skrin televisyen
yang memaparkan video berserta lirik apabila lagu sudah bermula.
Ramai yang memberi tepukan kepada mereka
usai bernyanyi. Nana turut menepuk tangan sambil tersenyum ke arah Heliza yang
melihat ke arahnya. Nana menaikkan ibu jarinya ke arah Heliza.
“Sedap juga suara Heliza tu, kan?”
Hampir sahaja Nana terlompat apabila tiba-tiba ada orang yang bercakap di
tepinya. Dia segera berpaling dan melihat Achik yang tersengih-sengih
melihatnya.
“Ya Allah, masa bila pula Achik ada
dekat situ. Bukan tadi Achik ada dekat dapur ke?” Soal Nana seraya membetul
kedudukannya agar dia betul-betul menghadap ke arah Achik.
“Dah lamalah juga. Sejak dari mula
mereka menyanyi tadi.” Selamba Achik menjawab lalu menghirup perlahan air milo
ais taburnya. Baru Nana perasan jus tembikai dan nasi goreng kampung yang
dipesannya tadi sudah ada di hadapan mata.
Nana turut menghirup perlahan airnya.
Nasi goreng kampung yang berada di hadapan dilihat tanpa ada selera. Tak
terniat pun malam ni pergi ke Restoran Fee Delima untuk makan. Dalam hati dia
sudah merangka pelbagai spesies soalan terhangat abad ini untuk disoal kepada
Achik. Tunggu masa aje untuk dilontarkan kepada Achik.
Dia melihat ke arah Achik. Mata mereka
yang bertaut membuatkan Nana segera melarikan anak matanya ke arah lain.
Dadanya yang bergetar mengalahkan duduk sebelah speaker membuatkan dia tidak senang duduk. Lesap terus semua soalan
yang sudah dirangka tadi.
“Hmm... Sementara masing-masing pun
belum pegang sudu dengan garfu, boleh tak Achik nak buka topik soal peribadi?”
Nyata Achik sudah memulakan langkah sebelum Nana. Nana hanya mengangguk.
“Dah hampir sebulan kita berkenalan tapi
Achik masih tak tahu umur Nana. Boleh Achik tau umur Nana berapa?” Soal Achik.
Nana mendongak untuk mengingati tarikh
lahirnya. Haa, ingat! Tolak lepas tu tambah dapatlah dua puluh tujuh.
“Nana dua puluh tujuh. Achik?”
Achik tersenyum. “Kira Achik adiklah ni.
Hmm... great.” Balas Achik membuatkan
kening Nana hampir bercantum.
“Maksud Achik, Achik lagi muda daripada
Nana?” Nana dah cuak. Karang tak pasal-pasal orang buat gosip yang Achik ni
‘anak ikan’ dia. Tapi ada ke wartawan yang tidak bertauliah yang nak gosipkan
mereka ni?
Achik mengangguk menimbulkan persoalan
di benak Nana. Muda sangat ke Achik ni?
“Muda setahun aje. Baru bulan lepas
masuk dua puluh enam.” Jawab Achik sambil tersengih-sengih. Nana menghela nafas
lega. Tak adalah muda mana. Setakat setahun tu pejam mata ajelah.
“Nana, Achik nak tanya soalan antara
hidup dan mati ni. Jadi, Achik harap sangat yang Nana mampu memberikan jawapan
setulus hati Nana. Dan kalau boleh, jangan menghampakan Achik.”
Nana menggigit bibir. Ok, dia sudah
kembali kepada Nana yang asal. Yang suka gigit bibir. Nak sangat bibir tu jadi
macam Angelina Jolie! Lambat-lambat Nana mengangguk jua.
Achik menghela nafas sedalam-dalamnya
sebelum membuka mulut. “Nana sudi terima lamaran Achik?”
Soalan membawa ‘kemautan’ yang tidak
terduga. Tragik kisahnya kalau nak dicoretkan. Mahu sepuluh muka surat tak
habis kalau nak kisahkan bagaimana mautnya soalan itu buat Nana.
Nana merenung ke arah Achik. Tiada
senyuman mahupun sengihan. Wajah itu serius mengharapkan jawapan yang tulus
dari Nana. Ok, nampak matangnya di situ walaupun muda dari Nana. Eleh, setahun
aje pun!
“Takkan praygirl berpisah dengan prayboynya.
Nana...” Nana berhenti sekerat jalan membuatkan Achik kian tertanya-tanya. Ingin
dipaksa nanti elok-elok aje Nana tu nak terima, terus berpatah balik jadi playgirl. Melepas!
Nana tersenyum ke arah Achik. “Terima
Achik seadanya. Tapi, walaupun Nana pun dah tak ada ayah macam Achik, tapi Nana
masih ada mak. Dua puluh tujuh tahun Nana membesar dengan mak Nana.” Jawab Nana
menimbulkan perasaan lega di hati Achik.
Achik tersenyum. “Achik faham apa yang
Nana cuba sampaikan. Kalau tak ada aral melintang, Achik akan cuba berjumpa
dengan mak Nana minggu depan.” Teruja Achik memberitahu.
Nana menghirup jus tembikainya. Dia
melihat ke arah Achik. Jelas terpancar riak kegembiraan lelaki itu untuk
menambah seorang lagi heroin dalam hatinya. Nanalah heroinnya. InsyaAllah, coming soon.
“Hmm... Achik, kalau esok boleh tak?”
Perlahan suara Nana mengutarakan cadangan. Yalah, dia sudah tidak sabar untuk
balik menjenguk mak di kampung. Tambahan pula maknya jatuh tempoh hari.
Achik yang baru sahaja ingin menghirup
milo ais taburnya tidak jadi untuk berbuat demikian. Dia memandang ke arah Nana
dengan mata yang tidak berkelip. Nana sudah gelisah.
Gerenti Achik akan cop aku gelojoh lepas
ni! Nana bermonolog di dalam hati. Dia tertunduk, tidak berani melawan ‘panahan
asmara’ Achik yang tepat mengenai wajahnya.
Achik menggaru kepalanya yang tidak
gatal seraya tersengih. “Achik rasa esok Achik free. Boleh aje kut.” Jawab Achik sambil tersengih.
Nana tersenyum senang mendengar
kata-kata Achik. Dia mengangguk berkali-kali. Mereka menadah tangan membaca doa
sebelum makan sebelum masing-masing mencapai sudu dan garfu.
Nana asyik tersenyum. Mak, Nana datang!
ANGIN malam yang mendamaikan menyapa lembut wajah
Achik. Tiada bintang yang memagari bulan malam ni. Jangan katakan bintang
sahaja, bulan juga tiada entah ke mana perginya.
“Nah!” Fahmi menghulurkan muk berisi air
milo panas kepada Achik.
Achik mengambil muk yang dihulur oleh
Fahmi lantas meletakkannya ke atas pangkin di sisinya. Dia kembali mendongak
memandang ke arah langit yang hitam. Pekat dan gelap tanpa sebarang sinaran.
“Kau dah sedia nak jumpa bakal mak
mentua?” Soal Fahmi mematikan suasana sunyi. Sunyi dekat belakang restoran aje.
Dekat depan meriah lagi. Almaklum, Kuala Lumpur. Tak kenal erti apa itu ‘mati’.
Achik tersenyum nipis seraya menoleh
melihat ke arah Fahmi yang sedang menghirup perlahan airnya. Dia terdiam
seketika walaupun hakikatnya memang dari tadi dia diam sahaja. Tapi diamnya
kali ini adalah untuk memikirkan jawapan yang patut diberi buat soalan Fahmi.
“InsyaAllah, sudah. Walaupun semua ni
mengejut, nak atau tak nak aku kenalah bersedia juga. Lagipun kalau tak
sekarang, suatu hari nanti pasti aku akan bersemuka juga dengan muka bakal mak
mentua. Kalau tak nak bersemuka baik aku bawa lari Nana ke sempadan.” Itu yang
terbaik rasanya.
Fahmi tertawa kecil. Ada benarnya juga
kata-kata Achik. Kalau tak bersedia pun, kena bersedia juga. Lagipun kalau nak
kahwin, bukannya hanya perlu ada pengantin perempuan, pengantin lelaki dan tok
kadi aje.
“Haa, kau pula sejak bila declare dengan si Heliza tu. Tak ada
angin, tak ada ombak, tiba-tiba aje muncul berdua. Korang buat hubungan dalam
senyap ke?” Achik bersuara lagi.
Fahmi tersengih-sengih apabila soal dia
dan Heliza dibentangkan oleh Achik. Muk di tangannya diletakkan ke atas
pangkin. Sengihan berganti dengan senyuman. Fahmi melihat ke arah dapur
restoran yang terang benderang.
“Tak semua benda boleh kongsi, bro.”
Achik tertawa mendengar kata-kata Fahmi.
Achik menggelengkan kepalanya. Milo panas yang berada di dalam muknya dicicip
sedikit demi sedikit.
Itukah
dia kekasih yang pernah berjanji...
Lagu Akulah Kekasihmu nyanyian AXL’S yang
tiba-tiba berdendang membuatkan Achik segera mengeluarkan telefon bimbitnya
yang berada di dalam poket. Muk diletakkan kembali ke atas pangkin.
Skrin telefonnya yang berkelip-kelip
dipandang dahulu untuk membaca nama gerangan yang menelefonnya sebelum menekan
butang hijau. Adik! Segera dia menekan butang hijau sebelum melekapkan telefon
ke telinga.
“Assalamualaikum, adik. Ada apa adik
telefon abang ni? Keluar ajelah. Gaya macam jauh sangat rumah kita.” Sapa Achik
sekali pakej dengan membebel kepada Aqira.
Aqira di rumah sudah mencebik mendengar
suara garau abangnya yang membebel.
“Waalaikummussalam. Adik nak nasi goreng
sotong. Laparlah...” Tanpa mempedulikan bebelan Achik, Aqira mengadu dan
memesan. Mengadu lapar, memesan nasi. Pun kira pakej juga ni.
Achik menggelengkan kepalanya mendengar
suara manja adiknya di hujung talian. “Ngada-ngada. Suruh ajelah ibu masak. Tak
pun stok mee segera kegemaran adik tukan banyak. Masak ajelah.” Balas Achik.
Aqira sudah memuncungkan bibirnya tanda
tidak puas hati. Ada ke orang tengah lapar boleh pula dikatanya ngada-ngada.
“Ibu dah tidurlah, malas nak ganggu. Masak
mee segera? Abang nak adik botak ke? Tiap-tiap hari makan mee segera.” Aqira
tidak berputus asa memujuk sang abang. Harap-harapnya cairlah. Tak cari banyak,
sikit pun jadilah.
“Gedik tau adik ni. Yalah... tapi pukul
satu pagi nanti baru abang balik. Sanggup ke tunggu? Ni baru pukul sebelas setengah.” Achik menelek jam tangannya.
Aqira sudah tersengih-sengih. “Boleh
aje. Youtube kan ada. Layan ajelah dulu. Daaa...” Aqira terus memutuskan talian
tanpa memberi salam. Achik menggelengkan kepalanya seraya menekan butang merah.
Sabar ajelah dengan adik sorang!
“Sang adik kerinduan pada sang abang ke?”
Soal Fahmi.
Achik segera menyimpan kembali telefon
bimbitnya ke dalam poket. Dia mencebik ke arah Fahmi.
“Muka aku ni nak dirindukan Aqira tu? Lebih
baik dia rindukan komputer dia. Tak habis-habis menghadap komputer. Macamlah
komputer tu boleh bagi dia makan. Lepas tu bila kebulur mulalah cari abang dia.
Nak itulah, nak inilah.” Balas Achik.
Fahmi ketawa mendengar bebelan rakannya
itu. Dalam diam dia mengagumi sifat penyayang yang ada pada Achik. Walaupun kadang-kadang
selamba badak tak toleh kiri kanan dok kutuk kakak dengan adik dia tapi dia
tetap sayangkan mereka dan ikut apa diinginkan oleh kakak dan adiknya.
Bukan sahaja pada adik beradiknya, pada
ibunya pun jua begitu. Malah, lebih lagi. Untunglah siapa yang memiliki Achik
suatu hari nanti.
“Dahlah, beb. Aku masuk dalam dululah. Kau
jangan lama sangat dekat sini. Heliza tak tidur malam nanti sebab mimpi kau
yang rindukan dia. Kesian...” Sempat juga Achik mengusik Fahmi sebelum berlalu
masuk sambil membawa muknya.
Fahmi hanya ketawa kecil mendengar
usikan Achik. Tak terkesan pun di hatinya. Setakat usik mengusik, dah jadi
perkara biasa antara mereka berdua.
Heliza... Tiba-tiba nama tersebut
melintas hati Fahmi. Tak bagi signal,
main masuk aje. Hai, dah jangkit ‘penyakit’ mabuk cinta dengan Achik ke, Fahmi?
Aishhh... Dekat disayang jauh dikenang.
TERKEDIP-KEDIP mata Achik merenung siling biliknya. Jarum
jam yang pendek sudah menunjuk ke angka dua tapi matanya masih tidak mampu
untuk dipejam. Dia beralih pula mengiring ke kanan. Tak kena rasanya, jadi dia
berpaling pula menghadap dinding, pun tak kena. Sudahnya dia kembali
terlentang.
Sebuah keluhan dilepaskan dari celah
bibirnya. Perasaannya kini bercampur-baur, antara takut dan malu. Takut kerana
esok dia akan pulang ke kampung Nana untuk bersemuka dengan mak Nana. Malu untuk
memberitahu ibunya kisah cinta antara dia dan Nana.
Malah, dia juga masih belum memberitahu
ibunya tentang hajatnya esok. Risau pun ada. Risau ibunya marah kerana
pandai-pandai buat keputusan tanpa memberitahu ibu. Walaupun dia sudah besar
dan mampu membuat keputusan sendiri tapi ibu tetap perlu diutama.
Kalau nak kahwin perlukan restu seorang
ibu. Mana boleh main kahwin aje.
“Ahh! Mata...!!! Tolonglah tidur. Esok
tak pasal-pasal jadi panda depan Nana dengan mak Nana. Lagi malu!” Bebel Achik
sendirian sambil menonyoh matanya.
Dia terus menutup mata dan berharap agar
dia mampu tidur dengan nyenyak. Satu saat, dua saat, tiga saat... Krohhhh...
Restu seorang ibu itu amat berharga.
Bagusnya achik...ibu perlu diutamakan dulu..;)
ReplyDeletetanpa ibu siapalah anak.. :)
Delete