Assalamualaikum dan hai semua...
DALAM perjanjian yang telah dibuat, Nana perlu
menaiki kereta Achik untuk pulang ke kampung. Jadi, Nana bawa motosikalnya ke
rumah Achik dan tumpang buat dua hari. Mereka bergerak pulang ke kampung Nana
dari rumah Achik.
Apa maknanya? Maknanya sebelum Achik
jumpa mak Nana, Nana perlu berjumpa dengan ibu Achik. Nak atau tak nak, itu
adalah sebahagian daripada perjanjian mereka. Reda ajelah.
Nana tidak masuk ke dalam kawasan rumah
Achik walaupun pagar rumahnya sudah terbuka. Dia berdiri di sebelah motornya.
Nasib baiklah mentari pagi masih belum panas. Tak adalah terbakar kulit.
Lagipun orang kata mentari pagi ni ada vitamin C.
“Eh, kak Nana! Kenapa tercegat aje dekat
luar tu. Meh la masuk. Abang tengah
bersiap.” Tegur Aqira yang tiba-tiba muncul di muka pintu.
Nana menghadiahkan sekuntum senyuman
kepada Aqira sebelum mengangguk. Nana bawa beg kecil aje. Nak buat apa
besar-besar, dekat kampung banyak baju dia. Nana melangkah masuk ke dalam
setelah mencapai begnya di dalam raga motor.
“Laa, kenapa biarkan aje motor tu dekat
luar. Bawalah masuk sekali. Rakyat Malaysia sekarang ni walau muka sesuci bak
embun pagi pun belum tentunya baik. Buatnya kena curi aniaya aje nanti.” Ujar
Aqira apabila melihat Nana berlenggang sambil membawa begnya.
Nana tersengih. “Tak apalah, nanti kak
Nana bawa masuk. Lagipun...” Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Aqira
sudah menyampuk.
“Ish, kak Nana ni! Kalau kak Nana tak
nak bawa masuk biar adik yang bawa masuk.” Aqira yang geram dengan Nana yang
malu-malu anak harimau terus menyarung selipar dan melangkah keluar. Tongkat
yang menampung motor Nana ditolak ke atas dan terus mengheret motor Nana masuk
ke dalam perkarangan rumahnya.
Nana hanya mampu melihat dengan muka
yang tersangatlah blur. Kaki pula
macam ada gam gajah dekat bawah tapak sandal yang dia pakai ini. Sumpah dia
segan! Rasa macam nak lari masuk laut Selat Melaka pun ada.
“Jom, jom, jom... Tak payah nak
segan-segan sangat. Semua yang ada dalam rumah ni makan nasi aje kalau lapar.
Tak adanya kami nak makan kak Nana.” Selamba sahaja Aqira menarik lengan Nana
agar mengikutinya.
Nana pun tak mampu nak buat apa-apa.
Reda ajelah kena tarik. Dia menggigit bibirnya apabila dipaksa duduk ke atas
sofa di ruang tamu rumah Achik dan keluarganya ini. Aqira pula duduk di
sebelahnya. Ralit dia memandang ke arah Nana membuatkan Nana menjadi seperti
cacing kepanasan.
“Kak Nana ni comellah. Patutlah
beria-ria abang nakkan akak. Nak tahu tak kak Nana, tiap-tiap hari abang dok
nyanyi lagu Engkau Yang Ku Cinta. Siap adik pun boleh hafal tau lirik lagu tu.
Bila tanya nyanyi untuk siapa, dia jawab nyanyi untuk kak Nana.” Ceria suara
itu berceloteh.
Nana yang mendengar hanya tersenyum. Tak
tahu nak cakap apa! Dia suka dengan adik Achik yang seorang ni. Nampak gaya
macam takkan jadi kekok kalau dia bersama dengan Aqira. Terutama apabila dia
mengeluarkan aura siapa itu Nana yang sebenarnya nanti. Ni kali kedua berjumpa,
mungkin masih berasa kekok.
“Sering kau tanyakan cintaku di mana,
sering kau menuntut ucapan asmara...” Aqira menyanyi tiba-tiba. Lagu apalagi
kalau bukan lagu yang dia kata selalu Achik nyanyi sejak mengenali Nana.
“Bisinglah kau ni, adik!” Jerkah Achik
dari belakang seraya menarik tocang Aqira. Aqira mendengus geram seraya
menjegilkan matanya ke arah Achik yang melangkah ke arah sofa yang bertentangan
dengan mereka berdua.
“Huh! Cemburulah tu sebab suara adik
lagi sedap dari suara abang. Uwekkk...” Aqira menjelir lidah ke arah Achik yang
melabuhkan punggung di hadapan mereka.
Achik hanya mencebik dengan muka yang
tak bersalah. Dia memandang ke arah Nana yang kelihatan masih malu-malu. Nana pula
sudah tertunduk. Malu!
“Ibu mana?” Soal Achik apabila baru dia
menyedari ibunya tiada di situ.
Aqira hanya memuncungkan bibirnya ke
arah belakang. Achik hanya mengangguk seraya bangun. Dia melihat ke arah Aqira
dan Nana bersilih ganti.
“Jom pergi dapur. Ibu dah masak. Rugi
tak rasa sebab ibu masak sedap.” Sempat Achik memuji masakan ibunya. Dia
melihat ke arah Nana yang masih tertunduk. Agak-agak kalau turun lagi sikit
kepala tu mahu sia-sia aje terhantuk dekat meja kopi.
“Ha’ah, betul tu kak Nana. Ibu masak
memang sedap. Sampai jilat pinggan dengan jilat jari. Makan sekali gerenti nak
lagi.” Ujar Aqira pula seraya mencapai lengan Nana untuk mengajak Nana ke
dapur.
Dengan langkah yang gontai Nana
mengekori langkah dua beradik ini ke dapur. Jantung tak payah nak cakap
lagilah. Habis semua rentak lagu rock bercampur aduk menjadi satu irama yang
gempak habis.
Sebaik sahaja kakinya mencecah lantai
dapur rumah milik Achik dan keluarganya ini, dia melihat kelibat seorang wanita
yang sedang berdiri membelakangi mereka. Mungkin itulah ibu Achik. Tubuhnya
sedang-sedang sahaja, tidaklah terlalu gemuk dan tidak juga terlalu kurus. Eh,
itu pun nak kisah ke?!
“Assalamualaikum, ibu.” Sapa Achik
seraya memeluk bahu ibunya. Nana hanya melihat adegan dua beranak itu. Aqira pula
terus melabuhkan punggung ke atas kerusi di meja makan. Kerusi di sebelahnya
ditarik dan menggamit Nana agar duduk di situ.
“Waalaikummussalam. Eh, abang! Haa, mana
bakal menantu ibunya. Tadi kata nak pergi sama-sama.” Lembut suara itu menyapa
ruang pendengaran Nana.
Achik tertawa kecil. “Dah lama dah
sampai, ibu. Itulah ibu, asyik sangat buat kerja dekat dapur ni.” Balas Achik
seraya mencubit perlahan pipi ibunya.
“Laa, ya ke? Tak sedar pula ibu.
Patutlah dengar macam suara adik bersembang. Ingatkan dia bersembang dengan
abang. Tak adalah ibu ke depan tadi.” Terdengar bunyi sudu berlaga dengan teko
menandakan wanita yang bergelar ibu Achik itu sedang membancuh air.
Achik terus menarik tangan ibunya
membuatkan ibunya terpaksa meninggalkan dahulu kerja membancuh air. Ibu Achik
yang tadinya membelakangi Nana dan Aqira kini sudah berpaling. Nana tersenyum
ke arah ibu Achik. Dia lantas bangun dan mendekati ibu Achik.
Tangannya dihulur kepada ibu Achik. Ibu
Achik yang masih berdiam membuatkan hati Nana tidak tenang. Dia mengucup lembut
tangan milik wanita separuh abad itu. Dia menoleh melihat ke arah Achik apabila
melihat wanita yang bergelar ibu Achik ini galak merenungnya tanpa sebarang
kata.
Tanpa diduga Nana, wanita itu terus
menarik tubuhnya ke dalam pelukan. Nana yang terpaku dengan tindakan ibu Achik
hanya mendiamkan diri, cuma tangannya bergerak membalas pelukan wanita itu.
“Cantiknya bakal menantu ibu ni.” Puji
ibu Achik seteleh merungkaikan pelukannya. Wajah Nana yang bertempek bedak
disentuh dengan jemari tuanya.
Nana hanya tersenyum malu apabila dipuji
sebegitu. Achik yang berdiri di sebelah ibunya pula hanya tersengih-sengih.
Achik mengenyitkan matanya ke arah Nana tanpa pengetahuan ibunya.
“Sebab itulah abang gila bayang, ibu.”
Sampuk Aqira yang duduk di meja makan.
Perasaan malu yang bersarang di hati
Nana meningkat lagi lima puluh peratus. Pipinya sudah memerah dek pujian dua
beranak itu. Ibu Achik hanya tertawa kecil. Dia lantas memeluk lengan Nana dan
beriringan melangkah ke arah meja makan.
“Ya Allah, air ibu.” Sampai sahaja di
meja makan barulah ibu Achik teringat bahawa air masih belum siap dibancuh.
“Tak apa, ibu. Biar Achik yang buat. Ibu
duduk aje. Nana janganlah segan, buat macam rumah sendiri. Makan banyak sikit
sebab nanti nak jalan bukannya dekat.” Sempat Achik memberi sesi ‘ceramah’
kepada Nana.
Aqira tersenyum penuh makna sambil melihat ke arah Nana. Nana hanya menggigit bibir tanpa menoleh
melihat sesiapa. Malu!!!
DENGAN kelajuan sederhana, kereta Honda City yang
dipandu oleh Achik menyusuri lebuh raya Utara-Selatan. Nana di tempat penumpang
hanya mendiamkan diri. Lagu yang diputarkan oleh juruhebah radio sahaja yang
menggamatkan suasana di dalam kereta.
Sesekali Achik mengerling ke arah Nana
yang diam tidak berkutik di sebelahnya. Dia tersenyum sambil tangannya ligat
mengemudi stereng keretanya. Jemarinya mengetuk stereng kereta sambil sesekali
mulutnya terkumat-kamit mengikut rentak lagu yang berkumandang di corong radio
kereta Achik.
Tiba-tiba dahi Nana berkerut. Dia
menggigit bibirnya sekuat-kuatnya. Achik yang pelik melihat reaksi Nana yang
tiba-tiba itu terus menyoal.
“Kenapa ni, Nana? Nana tak sihat ke?
Nana ok ke tak?” Bertubi-tubi soalan dilontar buat Nana. Nadanya kedengaran
begitu cemas mengalahkan Nana tu sakit nak bersalin aje.
Nana tersenyum dalam payah ke arah
Achik. “Nana nak berurusan dengan ladies
la rasanya. Agak-agak jauh lagi tak R&R dari sini?” Balas Nana malu-malu.
Achik menghela nafas lega. Ingatkan
apalah tadi. Dia kembali tenang sambil menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah
lebuhraya yang agak lengang.
“Achik rasa paling dekat pun lebih
kurang seratus meter dari sini. Tu, R&R Tapah.” Jawab Achik sambil
memuncungkan bibirnya ke arah papan tanda yang menunjukkan jarak R&R Tapah
dari kawasan tempat yang mereka lalui ini.
Nana hanya mengangguk sambil cuba
menahan perutnya yang sudah senak. Itulah akibatnya kalau perut dah kenyang
tapi sumbat lagi. Alah, itupun sebab nak jaga hati bakal mak mentua. Kasihan
pula penat-penat ibu Achik memasak tapi tidak dijamah. Orang sudah pelawa,
terima sajalah kerana rezeki jangan ditolak.
Sampai sahaja di R&R Tapah,
terkocoh-kocoh Nana keluar dan terus mencari tandas. Achik hanya tertawa kecil
melihat gelagat Nana. Dia pantas memakirkan keretanya di bawah pokok yang agak
rendang.
Dia keluar dari kereta setelah mematikan
enjin. Dia menapak ke arah sebuah pondok kayu yang tersedia di kawasan R&R
tersebut. Punggungnya dilabuhkan ke atas lantai pondok tersebut. Oleh kerana
ini pertama kali dia singgah di R&R Tapah, jadi agak jakunlah juga.
Sekejap toleh kiri, sekejap toleh kanan.
Tak disangka yang R&R Tapah ini agak besar. Macam-macam kedai ada di sini.
Ada Baskin Robbin, ada Dunkin Donuts, ada KFC. Eh, KFC!
Fikiran Achik melayang mengingati
peristiwa yang terjadi kira-kira sebulan yang lalu. Dia tersenyum sendiri
apabila teringat bibit-bibit permulaan perkenalan antara dia dan Nana. Part yang paling tak boleh blah adalah sewaktu dia dan Nana
berbalas pantun setelah kenyang pelahap burger KFC.
‘Alhamdulillah, gendang gendut tali
kecapi, perut kenyang suka hati.’ ~ Achik
‘Alhamdulillah juga. Ikan keli buat
lubang, Nana pun dah kenyang.’ ~ Nana
‘Gadis manis namanya Nana, lepas ni nak
pergi mana?’ ~ Achik
‘Jiran sebelah nama Mak Mah, nak balik
rumah.’ ~ Nana
‘Buat roti kena ada doh, jumpa lagi
kalau ada jodoh.’ ~ Achik
Masih terbayang di ruangan mata Achik
bagaimana wajah Nana yang berubah rona di saat itu. Mahu aje dicubit-cubitnya
pipi Nana. Waktu tu Nana masih tidak bertudung. Rambutnya masih lagi dibiarkan
lepas ke paras bahu. Kemas disemat di belakang telinga.
“Achik!” Suara Nana yang menegurnya
membuatkan lamunannya terhenti. Dia meraup wajahnya sebelum berpaling melihat
ke arah Nana yang turut melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Apa yang Achik menungkan tu? Dari tadi
Nana panggil Achik tau.” Nana memandang ke arah Achik.
Achik hanya tersenyum seraya menggeleng.
Dia melihat Nana mengelap wajahnya yang dibasahi peluh dengan tisu. Penatlah tu
‘melabur’ tadi. Nana yang menyedari renungan Achik terus berhenti mengelap wajahnya.
Tisu yang digunakan digenggam di dalam tangan.
“Tak nak gerak lagi ke?” Soal Achik.
Nana menoleh melihat ke arah Achik.
“Rehatlah dulu. Hmm... Dengar lagu nak?” Cadang Nana.
Achik mengetap bibir sambil
terangguk-angguk. “Achik layan aje. Lagu apa yang best?”
Nana segera mengeluarkan telefon
bimbitnya dari dalam beg tangan. Skrin telefon bimbitnya dilihat sebelum
tangannya ligat menekan butang yang berada pada papan kekunci telefon bimbitnya
itu. Dia tersenyum apabila dapat mencari apa yang dicarinya.
Dia menunjukkan skrin telefon bimbitnya
ke arah Achik. Achik mengecilkan matanya untuk melihat apa yang tertera pada
skrin telefon Nana.
“Bakawali?” Soal Achik sambil
menjongketkan keningnya.
Nana mengangguk, teruja. “Nana suka lagu
ni. Rentak dia, lirik dia. Penuh dengan nasihat terutama untuk orang yang
bercinta. Dan lagi satu, Nana suka bunga bakawali atau nama lainnya, bunga
harum sundal malam. Mak Nana ada tanam bunga dekat kampung.”
“Bila malam, Nana keluar tengok bunga ni
dengan mak Nana waktu kecil-kecil dulu. Wangi dan cantik bunganya. Tapi namanya
yang sundal malam tu selalu buat Nana takut. Kan dulu ada cerita Pontianak
Harum Sundal Malam. Hehe...” Tersengih-sengih Nana menceritakan soal bunga
bakawali.
Achik tertawa kecil mendengar kata-kata
Nana. “Ada lagi ke bunga ni dekat rumah mak Nana?” Soal Achik. Yalah, manalah
tahu kut-kut dapat dia tengok bunga tu malam ni.
Nana menggeleng. “Tak ada dah. Yalah, sepuluh
tahun yang lalu punya bunga. Takkanlah dok nak bela bunga tu aje. Mak Nana ni
spesies tak suka bunga yang sama dok depan rumah dia sampai sepuluh tahun tak
berganti. Jadinya, bunga tu akan ‘direcycle’
dengan bunga yang lain. Bunga yang dia tak nak dia bagi dekat jiran tak pun mak
saudara Nana.” Lebar Nana bercerita.
Achik mengangguk. Daripada apa yang diceritakan
oleh Nana tahulah dia yang mak Nana ni jenis yang sukakan bunga. Haha... Mak
Datin Bunga.
Nana menekan butang play. Masing-masing diam dan menghayati bait-bait lirik lagu yang
berentak zapin itu. Lagu dulu juga yang sedap telinga mendengar!
“Nak gerak dah ke?” Soal Achik sebaik
sahaja Siti Nordiana dan Syura mengundur diri.
“Hmm... Jomlah. Nanti cepat sampai.”
Balas Nana seraya menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg tangannya kembali. Mereka
terus mengangkat punggung dan bergerak menuju ke kereta Achik.
Dengan lafaz basmallah, Achik
menghidupkan enjin setelah memakai tali pinggang keselamatan. Brek tangan
diturunkan sebelum tangannya bergerak mengemudi kereta. Nana di sebelah turut mengenakan tali pinggang keselamatan.
“Mak Nana tu garang tak?” Soal Achik
kepada Nana sewaktu keretanya sudah berada di atas lebuhraya.
Nana menoleh melihat ke arah Achik. “Garang
tu taklah, cuma mak Nana ni jenis yang tegas. Mak Nana ni jenis yang penyayang.
Tapi, kalau dia kata tak suka, terus terang dia kata tak suka.” Nana
menjelaskan tentang sifat maknya kepada Achik.
Achik terangguk-angguk mendengar
penjelasan Nana. Wajahnya kelihatan tenang dan cool tapi dalam hati rasa macam... macam... tak tahulah macam mana.
Tapi jantungnya dah berdegup kencang tak menahan. Yalah, buat pertama kalinya
dia akan menghadap bakal mak mentua. Sesiapa pun pasti akan berdebar.
“Tapi Achik tak perlu risau, Nana yakin
mak Nana pasti akan sukakan Achik.” Ujar Nana setelah agak lama mendiamkan diri
sambil tersenyum ke arah Achik.
“Kenapa pula?” Soal Achik.
Nana tersenyum lebar. “Sebab Achik berani
jumpa dan berterus-terang tentang niat Achik untuk melamar Nana dengan mak
Nana.” Jawab Nana, ceria.
Achik hanya tersenyum. Kerana cinta
halal itu lebih indah. Desis hati Achik.
SEBAIK sahaja kereta Achik terparkir di hadapan
rumah Nana, Nana terus berlari keluar dan memanggil nama maknya. Teruja dan
tidak sabar untuk melihat keadaan maknya. Achik hanya menggeleng melihat
telatah Nana.
Achik turut keluar dalam keadaan yang
teragak-agak. Matanya meliar memandang sekitar rumah mak Nana. Cantik dan kemas.
Sana sini bunga. Jadi benarlah tekaannya, mak Nana sukakan bunga.
“Ya, ya... Kejap! Haisshhh... Siapa pula
yang datang tengah hari merembang macam ni. Aku nak masak pun payah.” Terdengar
suara mak Nana membebel. Nana sudah terkekeh-kekeh ketawa mendengar bebelan
maknya itu. Sudah lama telinganya tidak mendengar suara itu membebel.
Mak Nana yang berdiri di muka pintu
depan tercengang-cengang apabila melihat seorang gadis berdiri di hadapan anak tangga sambil
tersenyum. Seorang lelaki yang berdiri di sebelah sebuah kereta juga turut
tersenyum ke arahnya.
“Anak ni siapa?” Soal Mak Datin Bunga
sambil matanya bersilih ganti melihat ke arah Nana dan Achik.
“Mak!!! Takkan anak sendiri pun dah tak
kenal. Ni Nanalah.” Ujar Nana seraya kakinya melangkah mendaki satu persatu
tangga di hadapan rumahnya.
Mak Datin Bunga memandang ke arah Nana
dari atas ke bawah. Seperti tidak percaya bahawa gadis yang manis bertudung di
hadapannya ini ialah anak tunggalnya sendiri. Mulutnya ternganga dengan
perubahan yang ada pada Nana.
“Nana? Ya Allah, anak aku ke ni?”
Soalnya sambil memegang kedua-dua belah bahu Nana.
Nana hanya tersenyum seraya mengangguk
berkali-kali. Dia pantas memeluk maknya. Walaupun masih terkejut, Mak Datin
Bunga tetap jua membalas pelukan Nana. Matanya terhala ke arah Achik yang masih
tidak berganjak dari sebelah kereta.
Achik sudah menelan air liur melihat
mata Mak Datin Bunga yang tajam menikam wajahnya. Walau bagaimanapun, dia tetap
menghadiahkan segarit senyuman yang kelihatan begitu kekok.
Bakal mentua vs bakal menantu!
besttttttttt smbg lgi tauuuuuu,nk bca respon ibu nana plk suka k tak kt acikkkk....
ReplyDeletehaha... ok, ok.. tapi bukan hari ni.. hehe... terima kasih sudi baca :)
DeleteBest...hehhehe...pandai achik cover line...;)
ReplyDeleteterima kasih... hehe.. Achik memang pandai bab2 tu.. ;)
Delete