Monday 29 April 2013

Tak Tahu Nak Cakap Apa 1

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Nah, hambik cerpen baru dari Fitri! Baru?? Errr.. Sebenarnya dah hampir 2 minggu dalam WS. Dok tunggu gak kalau2 muncul dalam P2u tapi macam tak ada respon jekkk. So, Fitri post kat sini jelah ek. So,

Happy Reading! =)




~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Fiha, kau kena tolong aku Fiha!” Zalika yang tidak sempat memberi salam terus masuk ke dalam biliknya dengan tergesa-gesa dan terus menyerbu Fiha yang sedang menelaah buku.

“Tolong apa pula kau ni? Dahlah masuk pun tak reti nak bagi salam terus aje Fiha, Fiha. Aku tahulah nama aku ni sedap didengar lagi sedap untuk disebut.” Fiha sudah mula dengan merepek kerepek dia.

Buku yang tadinya dibaca ditutup rapat. Nak baca? Huh! Nampak aje muka Zalika yang tak berapa nak cun kalau nak dibandingkan dengan Hanis Zalikha si blogger cun ni terus hilang mood nak membaca apatah lagi nak menelaah. Eh, bukan membaca dengan menelaah tu sama aje ke?

“Eleh, nama aku pun sedap juga didengar dan disebut. Ingat nama kau sorang aje yang sedap lagi enak? Blueekk..” Zalika menjelir lidahnya ke arah Fiha. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan meja Fiha.

“Yalah, yalah, nama kau pun sedap lagi enak. Haa, apa ke halnya kau cari aku ni? Aku nak baca buku pun tak ada mood nampak muka kau tahu!” Fiha membuat muka serius seperti ingin marah Zalika.

“Ala, janganlah marah. Aku tahulah muka aku ni ada ubat buat kau berhenti belajar tapi sekarang ni memang kau kena berhenti kejap. Kau kena tolong aku!” Zalika mengoncang tangan Fiha sampai kerusi tempat Iman duduk pun bergoyang sekali dibuatnya.

“Tolong apa pula?!”

“Tolong aku. Aku dah jatuh cinta dengan sorang senior kita ni tapi aku tak tahu nak cakap apa dekat dia sebab setiap kali aku nampak muka dia mesti aku jadi blank, jadi blur. Last-lastnya, dia blah aje tak tunggu aku. Aku minat giler arr kat dia. Dahlah hensem, comel pula tu.” Ujar Zalika dalam keterujaan tahap naik roller-coaster tak turun dah.

Fiha mengerutkan dahi licinnya.

“Kau jatuh cinta? Beb, kau ni biar betul! Setahu akulah, kan. Kau adalah manusia yang paling anti bab cintan cintun ni. Tapi, sekarang kau cakap dekat aku yang kau suka dekat senior kita. Eh, kejap, senior kita? Siapa? Jangan cakap kau suka dekat abang poyo bajet hensem kononnya tapi tak sedar rambut dah sebiji macam ayam kampung dekat rumah opah aku.”

Fiha yang tadinya duduk di atas kerusi berubah tempat pula ke sebelah Zalika di atas katil. Lengan Zalika dipegang dan wajah kawannya itu ditatap penuh perasaan pelik tak berpenghujung sampai ke hutan simpan negeri Pahang pun belum tentu jumpa penamatnya.

Zalika membalas pandangan Fiha dengan sebuah jelingan yang berapi. Kalau matanya boleh mengeluarkan apilah tapi sekarang ni tahap tembus ke hati yang dalam ajelah.

“Aku ni pun manusia juga, ok. Setakat cintan cintun tu perkara biasalah. Everybody must have love feel. Eh, apa ke bendanya yang aku meraban ni.” Zalika menggaru kepalanya yang ditutupi oleh tudung bawal.

“Yalah. Aku tahu kau pun manusia biasa yang tahu apa itu cinta. Tapi, soalan aku kau tak jawab lagi. Kau suka dekat abang poyo bajet hensem tu ke?” Fiah terpaksa mengulangi soalannya tadi.

“Abang poyo tu? Nauzubillah... Merana hidup aku beb kalau aku suka dekat dia. Err, dahlah poyo, perasan pula kononnya dia ada paling ramai peminat antara kawan-kawan dia. Kut muka tu hensem tak apalah juga. Ni setakat dia sendiri perasan dia tu hensem, baik tak payah.” Zalika membuat muka menyampahnya.

“Habis tu siapa? Cepatlah cerita!”

Fiha yang sudah tidak larat untuk mendengar mukadimah panjang lebar Zalika memaksanya untuk terus ke point yang sepatutnya.

“Abang Ridzuan Al-Azim.” Ujar Zalika sambil tersenyum sehingga ke telinga.

Fiha mengerutkan dahinya. Berubah riak wajahnya.

 “Abang Rid? Eh, kau ni biar betul! Kau tahu tak yang abang Rid tu sebenarnya bukan orang baik-baik.” Ujar Fiha dalam nada yang tidak dapat Zalika tafsirkan. Nak kata marah bukan, nak kata suka pun bukan. Habis tu apa ek?

“Bukan orang baik-baik apa pula yang kau merepek ni? Aku tengok abang Ridzuan tu ok aje. Smart, hensem, bergaya. Dahlah baik hati pula tu.” Zalika mengerutkan dahinya. Abang Rid tak baik? Merepek! Sikit punyalah maco plus nice macam tu pun boleh dikatakan orang yang tak baik?

“Kau tak tahu kisah dia so jangan nak banyak cakap!” Marah Fiha tiba-tiba dan terus berlalu keluar dari biliknya. Zalika hanya memandang pelik ke arah pintu yang sudah bertutup. Kenapa dengan Fiha?

Seribu satu soalan bermain di benaknya. Bagaimana abang Rid yang baik, yang sukar untuk melihat dia merayau-rayau dan wajahnya sering dapat dilihat di surau dikatakan tidak baik?

Perasaan cinta itu normal bagi insan bergelar manusia...
*****

Zalika merenung siling putih. Kata-kata Fiha tadi terngiang di telinganya. Sukar rasanya untuk dia mempercayai apa yang telah dikatakan oleh Fiha. Ridzuan bukan orang yang baik? That’s impossible!

Fiha yang sudah tidur di katil sebelah ditatap lama. Bukannya dia tidak ingin mempercayai sahabat baik sendiri tapi rupa dan kelakuan Ridzuan langsung tidak sama seperti apa yang dikatakan oleh Fiha.

Zalika menggeleng sendiri.

Dia teringat kembali peristiwa petang tadi di mana dengan beraninya dia pergi bersemuka dengan Ridzuan. Gaya sahaja berani tapi apabila sudah bersemuka, kelu seribu bahasa terus!

“Assalamualaikum abang Rid.” Ujar Zalika sebaik sahaja dia berjaya menghampiri Ridzuan setelah kawan-kawannya pergi dari situ.

“Waalaikummussalam. Eh, Ika! Ika buat apa dekat sini?”Soal Ridzuan sambil tersenyum manis ke arah Zalika di hadapannya.

Telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Wajah Zalika kembali menjadi tatapan matanya.

“Hmmm... Ika, Ika...” Zalika tertunduk malu. Dia malu untuk melihat wajah manis Ridzuan yang dihiasi dengan senyuman.

Ridzuan masih menunggu sambil tersenyum.

“Ika sebenarnya....” Belum sempat untuk dia menyambung ayat, ada seorang lelaki tiba-tiba menjerit nama Ridzuan.

“Ridzuan!! Jomlah cepat. Kata nak main bola, aku takut nanti ada orang lain pula main dekat situ.”

“Ok, kejap tau.” Balas Ridzuan.

“Ika, maaf abang ek. Abang dah janjilah dengan kawan abang. Lain kali kita jumpa lagi ya. Assalamualaikum.” Ridzuan menggalas beg sandang dan terus berlalu.

“Waalaikummussalam.” Jawab Zalika perlahan.

Ridzuan yang berlari anak untuk mendapatkan kawannya dilihat. Dia tersenyum ke arah Ridzuan apabila Ridzuan berpusing melihatnya sambil tersenyum dan terus berlalu.

Hampa hatinya apabila perasaannya terhadap Ridzuan tidak dapat diluahkan. Dahlah otak pula buat hal tetiba blank, banyak yang mengganggu pun ya. Haish, sabar ajelah.

Satu kata dari hati itu lebih bermakna dari seribu bahasa...
*****

Zalika terpisat apabila dirasakan ada cahaya yang memancar tepat mengenai wajahnya. Jam loceng di atas meja kecilnya dicapai dan dilihat jarumnya. Terkejut dirasakan apabila jam sudah pun menunjukkan pukul 7.55 pagi.

Dia bangun dari pembaringan. Dilihatnya katil Fiha sudah kosong dan elok berkemas. Dia berasa pelik kerana selalunya Fiha pasti akan menggerakkannya jika dia tidak bangun untuk solat Subuh tapi mengapa tidak hari ni?

Nasib baiklah hari ini dia tiada kuliah. Jadi dapatlah dia bermalasan sedikit. Tapi dia sudah berjanji untuk bertemu dengan Prof. Daleila kerana ada perkara yang ingin dia bincangkan soal assignment yang diberi.

 Perlahan-lahan dia bangun dari katilnya. Cadar dan bantal dikemaskan. Tuala yang tersangkut dicapai. Baldi berisi sabun dan pelbagai lagi alat mandiannya juga dicapai. Dia menutup rambutnya dengan tuala. Setelah selipar dipakai, dia menapak pergi ke tandas untuk mandi.

Selesai mandi, dia menapak kembali ke biliknya. Baju kurung bercorak polka dot menjadi pilihannya untuk disarungkan ke tubuhnya. Tudung sarung berwarna hitam putih disarungkan setelah selesai baju dipakai. Bedak ditempek nipis ke wajahnya. Lip balm turut tidak dilupakan untuk mengelak bibirnya kering.

Setelah menyarungkan kasut ke kakinya, dia menapak perlahan untuk menuju ke kafe’. Perut yang kosong jangan dibiarkan takut akan memudaratkan kesihatan.

Akalnya berfikir di sepanjang jalan soal perubahan mendadak pada kawan baiknya, Fiha. Fiha berubah kerana dia kata dia sukakan Ridzuan. Tapi, kenapa? Takkanlah Fiha juga sukakan Ridzuan kerana Fiha pernah berkata yang dia sukakan orang lain tapi orang itu tidak ada di universiti ini.

Si dia Fiha belajar di luar negara katanya. Habis tu mengapa Fiha berubah?

Menu nasi lemak bersama sambal sotong kering dan air milo suam menjadi pilihan Zalika hari ni. Selesai membuat pembayaran di kaunter, dia berlalu untuk mencari tempat kosong. Tempat sudah penuh.

Zalika mengeluh kecil. Takkanlah dia nak makan berdiri?

“Ika! Ika! Sinilah.” Seseorang melambai Zalika dari jauh.

Zalika pergi lebih dekat untuk melihat gerangan yang melambai. Tersenyum lebar apabila dia melihat Ridzuan yang melambai ke arahnya. Ridzuan turut tersenyum ke arahnya.

“Duduklah.” Jemput Ridzuan.

“Tak ada orang ke?”

“Tak ada. Abang sorang-sorang aje. Kawan-kawan abang semua ada hal pagi-pagi ni.”

Zalika terangguk-angguk mendengar penjelasan Ridzuan. Dia sebenarnya risau untuk duduk berduaan dengan Ridzuan kerana takut nanti orang akan berfikir yang bukan-bukan. Tapi, apabila mengenangkan dia bukannya berada di tempat yang boleh mendatang curiga pada orang lain, dia terus sahaja duduk.

Zalika membaca doa sebelum makan. “Makan abang Rid?”

Ridzuan yang ralit memandang telefon bimbitnya mendongak untuk melihat Zalika.

“Makan, makan. Abang dah makan dah. Sebenarnya abang dah nak bangun dah tapi kesian pula nanti Ika tak ada kawan.” Ujar Ridzuan sambil tersenyum.

“Kalau abang Rid ada hal penting tak apalah. Pergi aje, Ika tak apa-apa.” Dalam diam Zalika berharap agar Ridzuan tidak meninggalkan dia seorang.

“Eh, tak apalah. Lagipun hal abang tu tak berapa penting sangat pun. Dahlah, asyik bercakap aje nanti tak makan pula Ika. Makanlah, jangan segan dengan abang.”

Dalam diam Ridzuan merenung gadis comel bernama Zalika di hadapannya. Terasa lain perasaannya tatkala matanya menatap mata berwarna coklat milik gadis itu. Rasa seperti perasaan sayang yang lain maknanya mencengkam jiwanya setiap kali Zalika berada di hadapannya.

Apakah makna bagi semua apa yang hamba rasakan ini, Ya ALLAH. Dalam diam Ridzuan memohon petunjuk agar ditunjukkan makna bagi segala apa yang dia rasa.

Telefon bimbit kesayangan menjadi cover setiap kali dia hampir kantoi dengan Zalika. I ‘lap’ you so so so much, oh my fon. Ridzuan tersengih sendiri tanpa disedari oleh Zalika yang sedang makan.

“Abang Rid ada urusan apa sebenarnya?” Soal Zalika dan menghirup air milonya.

Zalika berasa pelik apabila melihat Ridzuan tersengih seorang diri.

“Abang Rid.. ooo... abang Rid.” Zalika melayangkan tangannya di hadapan Ridzuan.

Ridzuan tersentak. Dia memegang belakang leher. Pipinya kemerahan apabila tanpa dapat disangka kali ni lovely luvly fon dia tidak dapat membantu untuk menyorokkan sengihannya.

“Hmm.. Ika tanya abang apa tadi?” Soal Ridzuan. Pipinya masih lagi kemerahan.

Zalika ketawa kecil melihat gelagat Ridzuan yang tidak tentu arah dengan pipinya yang merah bak buah delima. Comel gitu!

“Ika tanya, abang ada urusan apa lepas ni?” Zalika mengulangi semula soalannya tadi.

“Owh.. abang kena jumpa dengan Prof. Daleila. Ada masalah sikit dengan Prof. Kenapa?”

Ridzuan masih lagi tersipu malu apabila terkantoi kerana tersengih sorang-sorang di hadapan Zalika. Pipinya tak perlu dijelaskan lagi. Masih kemerahan seperti buah delima melekat di pipinya.

Zalika apalagi, berbakul-bakul sampai satu lori pun tak muat dia dok puji betapa comelnya abang Rid ‘dia’ tengah malu. Tidak pula dia tahu yang selama ini Ridzuan Al-Azim pemalu orangnya. Siap ada ‘blusher’ semula jadi lagi tu.

“Eh, samalah pula. Ika pun nak pergi jumpa dengan Prof. Daleila juga lepas ni. Ada hal dengan assignment yang Prof. Daleila bagi hari tu.”

Kebetulan yang menguntungkan Ridzuan! Dia perlu mengambil kesempatan yang ada ini untuk ‘beramah mesra’ lebih sedikit dengan Zalika. Tidak lebih dan tidak kurangnya juga dengan Zalika. Dia juga perlu mengambil waktu yang ada ini untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati.

“Jomlah, abang Rid. Ika pun dah habis makan, nanti lagi lambat takut nanti Prof. Daleila ada hal pula.” Ajak Zalika seraya mencapai tas tangannya.

Ridzuan hanya mengangguk dan mencapai beg sandangnya. Serentak mereka berdua bangun. Ridzuan tersenyum dan memberi keutamaan kepada Zalika untuk jalan terlebih dahulu.

Makin mekar bunga di dalam taman hatinya. Senyuman tak lekang di bibir mereka.

Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang cemburu akan keakraban antara mereka berdua sedang memandang tajam ke arah mereka. Hati yang berbarakan cemburu dan marah kian membakar hati si pengintip.

Dia jadi tidak penasaran apabila melihat perginya Ridzuan dan Zalika dari kafe’. Dia jadi bengang melihat Zalika yang dirasakan bagai mengacau ‘linenya’ untuk mengambil Ridzuan. Bisikan-bisikan syaitan yang dilaknat mulai bermain di deria pendengarannya. Hati yang penuh dengan perasaan cemburu membuatkan dia jadi buta. Buta dengan apa yang dilihatnya kini.

Syaitan itu makhluk yang gemar menghasut perkara yang tidak baik. Untuk mengelakkannya, jadikanlah ayat suci sebagai peneman, sebagai penyuci hati yang penuh kotoran kesan calitan dosa...
*****

“Hmm... abang nak cakap sikit boleh tak dengan Ika? Tapi, abang tak nak cakap dekat sini, kita keluar ek, petang nanti.” Ujar Ridzuan sebaik sahaja mereka keluar dari bilik Prof. Daleila.

Zalika memandang ke arah Ridzuan. Terselit perasaan curiga di hatinya apabila dia diajak keluar oleh Ridzuan. Dia risau, dia takut jika orang akan memperkatakan apa-apa soal dia dan Ridzuan.

“Ika tak perlu risau, kita tak keluar berdua, kita keluar dengan kawan abang sekali. Kawan abang tu lelaki tapi tak payah risau, dia sporting dan baik orangnya.” Ridzuan yang dapat membaca riak Zalika segera menjelaskan perkara yang sebenar.

Zalika menarik nafas lega apabila mendengar penjelasan Ridzuan. Tidak kisahlah walaupun kawan Ridzuan itu lelaki mahupun perempuan yang pastinya dia tidak mahu keluar berduaan sebegini lagi.

“Ok, pukul 5.00 petang ek. Sempat jugalah Ika nak solat Asar.”

Ridzuan tersenyum. “Ok, no hal aje demi Zalika abang tersayang.” Ridzuan mengenyitkan sebelah matanya ke arah Zalika.

Jantung Zalika bagai tidak mahu bekerja lagi. Terasa bagai terhenti degupan jantungnya tatkala ayat itu meluncur laju di bibir Ridzuan.

‘Zalika abang tersayang? Apa maksud dia?’ Pelbagai soalan bermain di benaknya.

“Ika pergi dululah. Petang nanti Ika call abang bila Ika dah siap.” Ujar Zalika.

“Ika ada nombor abang tak?” Soal Ridzuan kepada Zalika.

“Tak ada.”

“Ok, nah ambil nombor abang. Nanti call la tau.” Ujar Ridzuan seraya menghulur sekeping kad nama kepada Zalika.

“Hmm.. Terima kasih. Oklah, Ika pergi dululah. Assalamualaikum.” Zalika menyambut kad nama tersebut dan terus berlalu setelah memberi salam.

Ridzuan hanya tersenyum sambil menjawab salam Zalika di dalam hati. Degupan jantungnya ketika itu bagai baru habis bersenam satu padang rasanya. Laju bagai tidak terkejar dibuatnya.

 Dia tidak memerlukan solat Istikharah kerana hatinya sudah cukup pasti yang dia punya chemistry terhadap Zalika. Setiap langkah kaki Zalika ke arahnya sudah cukup untuk membuktikan segalanya.

Perasaan yang tidak pernah dia rasai ketika bertentang mata dengan seorang wanita kini dapat dia rasai ketika melihat Zalika. Setiap gerak geri Zalika bergerak seiring dengan degupan jantungnya yang tidak terkawal rentaknya.

Dia bukanlah ingin menyatakan bahawa solat Istikharah sekadar sesuatu yang tidak penting. Penting sebenarnya untuk memohon petunjuk dari-Nya tapi Ridzuan benar-benar yakin dengan tanda-tanda yang telah dikurniakan kepadanya yang menyatakan bahawa Zalika itu bakal jodohnya. Ya, dia yakin!

“Rid!!!” Jeritan seorang lelaki mengejutkan lamunannya.

“Haa, Fiz, kenapa?” Soal Ridzuan kepada Hafiz, kawan baiknya.

“Dari tadi aku dok panggil kau tapi kau buat dek aje. Ingatkan ngingau berjalan tadi sebab tak sedar pun aku tengok kau ni.” Bebel Hafiz sambil membuat muka geramnya.

Hehehe.. Sorrylah, aku tak perasan, dahlah, jom.” Ridzuan terus memeluk leher Hafiz dan menyuruh Hafiz untuk mengikutinya.

‘Kawan kau tengah dilamun rindu dan sayang!’ Bisik hati Ridzuan.

Dari rindu timbul sayang, dari sayang timbul cinta...
*****

Ridzuan membawa Hafiz ke taman. Dia memerlukan pendapat kawannya itu untuk temu janji antara dia dan Zalika petang nanti.

“Tapi, masalahnya sekarang ialah aku tak tahu nak cakap apa! Aku tak tahu dari mana patut aku mulakan dulu. Dari sini ke dari sana? Aku buntu!” Kata Ridzuan kepada Hafiz lalu memicit kepalanya.

Weyh bro, rilekslah. Janganlah stres sangat. Aku ada satu penyelesaian bagi masalah kau.” Hafiz menjongketkan sebelah keningnya kepada Ridzuan.

Ridzuan mulai berasa teruja. “Haa, cepatlah cerita dengan aku apa penyelesaiannya? Cepatlah!” Gesa Ridzuan.

“Hish, kabutlah kau ni.”

Ridzuan hanya mampu untuk tersengih.

“Ok, pertama sekali, kau kena rileks. Jangan cuak sangat sampai macam ni sekali waktu depan Zalika. Lepas tu kau kena pastikan kau dalam keadaan yang selesa, yang smart, yang paling penting dalam keadaan yang menyenangkan hati dia. Tapi tak payahlah sampai kau sembur minyak wangi macam tong minyak wangi tertumpah.”

“Seterusnya, pastikan kau sentiasa tersenyum kerana senyuman seorang lelaki mampu mencairkan hati seorang wanita. Dan last sekali, jangan lupa untuk berdoa memohon agar misi kau nak ‘mencuri’ hati Zalika berjaya.” Hafiz tersenyum ke arah Ridzuan yang kelihatan teruja tidak sudah lagi.

“Beb, kau ada pengalaman ngorat anak dara ke?” Soal Ridzuan kepada Hafiz.

Hafiz mengerutkan dahinya. “Kau nampak muka aku ni spesies kuat mengayat ke?”

“Adalah sikit.” Ridzuan tersengih. Hafiz menendang kaki Ridzuan kerana geram.

“Aku dapat tips ni dari abang ipar akulah. Dia tu jenis kuat mengayat kakak aku waktu diorang belum kahwin.”

“Sekarang ni dia kuat mengayat lagi tak?” Soal Ridzuan, nakal.

“Kau ni, kan, macamlah aku tak faham ayat kau tu. Kalau ada yang kena humban masuk dalam tasik petang nanti jangan tanya kenapa. Dia mengayat dengan dengan kakak aku ajelah. Gila apa nak kena ‘makan’ parang pergi mengayat anak dara orang lain.” Dalam marah dan geram pun, soalan Ridzuan tetap Hafiz jawab.

“Alolo, janganlah marah. Nanti kalau marah, kena jual sekilo RM10. Berat kau 61 kilogram, kan? So, dapatlah aku RM610. Hmm.. Cukuplah untuk aku buat duit mas kahwin aku dengan Zalika nanti.”

Hafiz mula buat muka nak ‘lipat’ orang dan dimasukkan ke dalam luggage dan terus dieksport ke negara Afrika.

“Kau jangan sampai aku betul-betul buat something tak berapa baik dekat kau. Aniayai aje kau nanti, Rid!” Hafiz ingin menendang lagi sekali kaki Ridzuan tapi lebih laju membuka langkah melarikan diri.

“Kalau kau rasa kau tu anak lelaki, mehlah sini kejar aku! Kalau rasa kau bukan golongan manusia jantina tengah-tengahlah.” Jerit Ridzuan tanpa mempedulikan beberapa orang yang mulai berbisik melihat adegan ‘ngada-ngidu’ antara Ridzuan dan Hafiz.

Hafiz apalagi, lelaki itu pantang dicabar! Terus dicapai begnya dan berlari mengejar Ridzuan yang sudah agak jauh ke hadapan. Kalau lelaki dengan perempuan kan sweet buat drama Malaywood. Tapi buat suami isteri ajelah. Yang belum kahwin tu tak payahlah gatal nak cuba buat drama Kabhi Kushi Kabhi Gham tengah-tengah taman tu. Ini lelaki apa barang, bro!

“Kau ingat kau tu terror! Aku ni bekas juara atlit olahraga sekolah la!” Ujar Hafiz sambil berlari tanpa mempedulikan mata yang melihat mereka berdua.

Sahabat itu mampu menceriakan hati yang penuh awan kelabu...

Bersambung...

No comments:

Post a Comment