Monday, 20 July 2015

Pelita Di Pagi Raya [Cerpen Raya]

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Pejam celik, pejam celik, kita sudah pun melangkah ke bulan yang
 mulia dan bulan kelahiran budak comel ni mengikut kalendar Hijrah. =P
Bulan apalagi kalau bukan bulan SYAWAL!
Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk menghirup udara
di pagi Syawal yang mulia. ^_^
Banyak ke korang dapat duit raya?
Fitri dapat takat tahap duit raya orang tua-tua.
Hehehe....

Apa-apa pun,

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Enjoy your reading, ya...



Baju kurung berwarna ungu muda yang sudah siap bergosok aku capai dari dalam almari. Hari ini, hari yang paling aku nantikan sejak tiga bulan yang lepas. Hari untuk mengisi perut dengan segala macam jenis kuih-muih dan makanan tradisional yang adakalanya jarang sekali dihidangkan pada hari biasa.

“Adik, tak siap-siap lagi ke? Cepatlah sikit, banyak lagi kerja dekat dapur ni.”

Pekikan suara merdu kakak aku mematikan lamunan aku. Ini yang paling aku malas setiap kali tibanya hari raya. Segala macam jenis kerja dapur, semuanya diserahkan kepada orang perempuan.

Orang lelaki tahunya bangun pagi, baju dah siap gosok, makan dah siap hidang, pergi masjid untuk solat sunat Aidilfitri lepas tu balik terus keluar beraya. Yang perempuan jugalah yang tercungap-cungap dekat dapur tak cukup tangan buat kerja.

Tapi, tak adalah semua lelaki macam tu. Tapi, figura yang paling jelas tahap kemalasannya ialah abang aku. Cukup susah nak tengok dia tolong kerja-kerja rumah walaupun tolong kemas tempat makan. Jangan kata nak mengemas, tolong pusing-pusingkan lemang atas api pun bukan main liat lagi dia nak buat.

Kalau buat pun, separuh jalan aje, lepas tu terus dia tinggalkan aje lemang atas api. Abah jugalah yang pusing-pusingkan lemang tu. Memang patut betul kalau dinyanyikan lagu Yuna yang bertajuk Lelaki tu untuk abang.

Cepat-cepat aku menukar baju dan sarungkan sahaja tudung ‘ekspres’ ke kepala. Nak buat kerja dapur dulu, macam tak seronok aje nanti beraya rumah orang dengan tudung bau kuah kacang campur rendang tok.

Sambil menuju ke dapur tu, sempat aku memasang telinga mendengar takbir raya yang sedang berkumandang di kaca televisyen. Aku kecil-kecil dulu kalau takbir raya dekat televisyen memang melangut menengoknya. Sambil tu bibir terkumat-kamit mengikut. Tapi, budak-budak sekarang takbir raya pun tak ada perasaan. Yang ingat nak main permainan dalam gajet.

Masuk aje ke dalam dapur, tanpa menunggu arahan daripada kakak, aku terus sahaja mengambil dua buah mangkuk dan dibawa ke tepi periuk kuah lontong. Buka sahaja penutup periuk, semerbak bau kuah lontong sehingga mampu meluruhkan semua bulu hidung aku. Mantaplah kuah lontong buatan nenek!

“Kamu jangan nak ngada-ngada, nak main mercun bola ke mercum bom ke, pergi masjid dulu. Ini dengan baju raya dah nak pergi main mercun. Bahaya tahu tak main mercun tu! Nenek tak naklah nanti cucu nenek masuk surat khabar, pagi raya hilang jari.”

Terdengar suara nenek sedang menegur tiga orang sepupu aku di belakang rumah. Budak-budak inilah! Cari pasal lagi pagi-pagi raya, kan dah kena sekali dengan nenek. Tak sabar-sabar nak main dengan ‘pemotong jari’ sangat. Pemotong jari itu adalah mercun, ya.

Kenapalah setiap kali Aidilfitri, ada sahaja kes jari putus akibat bermain mercun. Aku tengok raya lain tak ada pun kes-kes putus jari macam raya puasa ni.

“Adik, nanti kalau dah hantar kuah lontong ni, tolong akak potong lagi lemang tu ya,” ujar kakak sambil mencedok rendang tok.

“Dah habis ke lemang dekat depan? Gila pelahap semua pagi-pagi raya ni.”

“Ish, mulut tu!” kakak menaikkan senduk yang dipegangnya seperti ingin memukul aku.

Aku tersengih ke arah kakak. “Maaflah, terlancang pula pagi raya ni.”

Kakak menggelengkan kepalanya dan kembali menghadap periuk rendang tok. Aku pun segera memenuhkan mangkuk dengan kuah lontong. Dengan cermat aku mengangkat kedua-dua mangkuk berisi kuah lontong dan bawanya ke luar di pangkin.

“Nurul, tolong ambilkan sudu dengan gelas lagi... tak cukup,” ujar Pak Ndak semasa aku sedang meletakkan kuah lontong.

“Baik, bos!”

“Macam tulah baru anak buah Pak Ndak. Nanti Pak Ndak bagi duit raya lebih untuk Nurul,” ujar Pak Ndak dan aku sekadar tersengih.

“Apa ni Pak Ndak, dari tadi Yani dok tercongok dekat sini tolong susun kuih dalam balang, tak ada pula Pak Ndak nak bagi duit raya lebih,” rungut Yani di meja makan yang sedang menyusun kuih batang buruk ke dalam balang kaca.

“Alah, tak nampak pula anak buah Pak Ndak yang kemetot tu ada dekat situ. Tengoklah dulu, nanti kalau ada duit lebih Pak Ndak bagi lebih, ya,” ujar Pak Ndak membuatkan aku dan abang Haziq yang duduk di atas buaian sambil mengunyah kerepek bawang tertawa.

“Pak Ndak!”

Pak Ndak sekadar tersengih. Pak Ndak aku ni bujang terlajak. Umur dah pertengahan 40-an tapi masih belum berkahwin. Bila nenek atau sesiapa sahaja bertanya soal bila Pak Ndak hendak berkahwin. Pak Ndak hanya akan tersenyum mengusik dan berkata...

“Kalau nak tolong carikan jodoh untuk saya pun, saya tak kisah...’

Kesudahannya, walau dicari pun tak juga Pak Ndak berkahwin. Nak kata Pak Ndak ni cerewet aku tak rasa Pak Ndak ni cerewet orangnya. Cuma mungkin jodohnya masih belum tiba. Lagipun, jodoh itukan salah satu rahsia takdir?

Aku masuk kembali ke dalam rumah dan terus menuju ke dapur. Terus sahaja aku mencapai beberapa batang sudu dan lima biji gelas. Tanpa menunggu lama, aku menghantar sudu dengan gelas ke luar.

Masuk balik dalam rumah, aku lihat abang tengah terkial-kial nak potong buluh lemang. Aku tersenyum sinis melihat abang. Akhirnya nak juga abang keluarkan peluh dia yang mahal gila tu untuk buat kerja. Ingatkan tahu nak berWeChat dengan kekasih hati dia aje.

“Tak payah nak senyum sangat, meh sini tolong abang masukkan lemang ni dalam pinggan,” ujar abang apabila terpandangkan aku.

“Eh, tadi adik tak ada, boleh aje abang buka lemang tu. Apasal tiba-tiba aje nak minta tolong. Buat sendirilah. Abang tu dahlah payah nak buat kerja.”

Abang menjegilkan matanya ke arah aku.

“Hello, cik adik! Pagi raya ni jangan nak buat spoil boleh tak. Tolong ajelah, dapat pahala tahu tak.”

“Ala, just do by yourself laa. Abang juga selalu speaking dengan adik, you have to do everything by yourself, so that you will know what is your potential. Don’t you remember?

“Banyak bunyi la kau ni, dik!”

Aku tertawa kecil.

“Hai anak ibu dua orang ni... tak raya cari gaduh, hari raya pun cari gaduh. Masa bila kamu berdua berbaik pun ibu tak tahu. Asyik nak bergaduh... aje. Cubalah beralah sikit,” ibu yang sedari tadi memasang telinga mendengar pertelingkahan kami berdua menyelit.

“Adiklah kena beralah.”

“Eh, eh... jangan nak memandai, abang yang dah tua bangkalah kena beralah dengan adik,” aku yang memang tak reti nak mengalah dengan abang terus membalas kata-kata abang. Aku memang tak boleh kalau tak menjawab.

Aku memang kaki menjawab. Kadang-kadang dengan ibu pun aku menjawab tapi tak adalah menjawab sampai ke tahap yang dahsyat sehingga membuatkan ibu kecil hati. Menjawab setakat tahan telinga ibu membebel ajelah.

Tiba-tiba kakak datang dan terus duduk di hadapan abang. Lemang yang sudah keluar dari buluh diambilnya dan dipotong kecil-kecil. Lemang yang sudah dipotong itu diletakkannya ke dalam pinggan.

Aku dan abang pula hanya kaku serta memerhati setiap gerak geri kakak yang bisu tanpa suara. Ibu pula sekadar tersenyum penuh makna dan terus berlalu naik ke tingkat atas. Kakak aku yang seorang ni kalau dia membisu memang seram sikit.

Diam itu tandanya kakak marah! Habislah, pagi raya aku dengan abang dah buat kakak naik darah. Sebaik sahaja kakak berlalu ke luar untuk menghantar lemang, aku terus memandang ke arah abang. Begitu juga dengan abang, memandang ke arah aku.

“Habislah... pagi raya lagi kita dah buat kakak mengamuk,” ujar aku kepada abang.

“Apa pula kita, adiklah. Abang minta tolong sikit, menjawabnya berjela-jela.”

“Eeee... tak nak langsung mengalah!”

“Eh, cik adik... cuba cerita sikit kronologi tentang potong lemang tadi. Siapa yang cari pasal dulu? Adik, kan? Abang suruh adik letak lemang tu dalam pinggan aje pun. Itupun malas lepas tu macam-macam aje alasan dia.”

Aku buat muka macam nak tumbuk orang. Kalau tak mengenangkan yang depan aku ni ialah abang aku memang dah lama dah aku ketuk dengan batang lemang tu. Menyakitkan jiwa dengan ayat tak nak kalah dia tu!

“Apa yang cucu nenek dua orang ni buat, dari luar lagi nenek dengar suara orang bertengkar. Kenapa dicemarkan keindahan pagi raya dengan pertelingkahan yang berpunca dari perkara yang kecil, yang mampu diselesaikan tanpa orang ketiga? Tak sayang ke dekat nenek, asyik bergaduh sesama sendiri...”

Alamak, sekali nenek terdengar pula aku bergaduh dengan abang. Dahlah nenek aku ni jenis suka pakai ayat bunga-bunga kalau nak menegur. Tersentap jauh ke dalam hati walaupun nenek bercakap tu dengan riak wajah yang tenang setenang air tasik.

“Bukan macam tu, nek... adik cuma geram dengan abang ni. Banyak songeh!” aku mencuit lengan abang di sebelah aku dengan siku.

Abang menoleh sambil matanya terjojol menandakan dia geram. “Mana ada, nek. Naufal minta tolong dia untuk letakkan lemang dalam pinggan, tapi macam-macam yang dia ungkit. Padahal bukannya susah pun nak tolong letak lemang tu. Saja nak cari gaduh dengan Naufal pagi-pagi raya yang indah ni, nek.”

Aku lihat nenek tergeleng-geleng. “Naufal... Nurul... jangan dua-dua asyik nak jadi api. Kalau dua-dua nak jadi api, siapa nak jadi air? Kamu berdua percaya, kan kuasa air yang mampu memadamkan api?”

Aku melihat ke arah abang dan abang melihat ke arah aku. Kemudian, kami sama-sama menoleh melihat nenek. Aku mengangguk dan begitu juga abang.

“Api mampu membakar seluruh kawasan sedangkan kamu tahu tak, kadangkala yang bakar itu bermula dari api yang kecil. Umpama api dari puntung rokok yang kecil. Kecil-kecil api puntung rokok, jangan dipandang ringan. Jika tidak dipadam dan keadaan cuaca panas terik, dalam masa yang singkat api yang kecil itu mampu menjadi besar.

“Jangan jadikan perkara yang kecil sebagai penyebab untuk saling bertelingkah. Yang kecil itu mampu dipadamkan dengan cara yang mudah. Cuma satu sahaja caranya, jadi air. Ingat Naufal, Nurul... air mampu memadamkan api. Tapi, sebaiknya api itu dipadamkan selagi api tersebut masih belum merebak.”

Pesanan dengan nada suara lembut nenek benar-benar meresap ke dalam hati aku. Aku menggigit bibir untuk menutup perasaan bersalah terhadap abang. Aku terasa seperti ada yang mencuit lengan aku. Aku menoleh dan melihat abang tersengih.

“Maaflah sebab abang asyik cari gaduh dengan adik. Abang tak mampu nak jadi air dan abang pun tak mampu nak berjanji yang abang takkan cari gaduh dengan adik lagi. Tapi, sekurang-kurangnya kita perlu berusaha, kan... untuk jadi air.”

Abang tersenyum ke arah aku setelah itu dan aku turut tersenyum ke arah abang. Aku menghulurkan tangan kanan ke arah abang dan salam aku disambut oleh abang. Aku tunduk meletakkan dahi ke tangan abang.

“Adik pun tak janji yang adik takkan cari gaduh dengan abang, tapi adik pun akan berusaha untuk menjadi air. Kita usaha sama-sama kerana air yang dicincang tidak akan putus,” ujar aku sambil melihat ke arah mata abang. Barulah ada hubungan hati ke hati dan keikhlasan pun dapat disampaikan sekiranya mata saling bertentang. Tak begitu?

“Alhamdulillah, cucu-cucu nenek semuanya baik belaka.” Nenek terus menarik aku dan abang ke dalam pelukannya. Aku membalas erat pelukan nenek. Terasa usapan lembut tangan nenek di belakang aku.

“Amboi, nenek dan cucu kesayangannya dah kenapa di dapur ni? Buat drama Pulanglah ke apa?” sapa Pak Ndak yang masuk ke dapur sambil membawa mangkuk yang sudah kosong. Dengan segera aku dan abang melepaskan pelukan. Nenek pula sekadar tersenyum ke arah Pak Ndak.

“Ish, Pak Ndak ni spoil la. Belum tamat lagi ni, terpaksa cut,” ujar abang.

“Oh, ya ke? Kalau macam tu Pak Ndak keluar baliklah...” Pak Ndak mengundur konon-kononnya mahu keluar dari dapur.

“Macam-macamlah kamu ni. Haa, ada apa Ndak masuk dapur ni?” soal nenek kepada Pak Ndak.

Pak Ndak tersengih. “Ini, rendang tok dah habis. Ingat nak suruh Nureen ambilkan tapi kesian pula tengok dia dok ke hulu ke hilir dari pagi tadi siapkan juadah. Itu yang Ndak datang ke dapur sendiri untuk ambil rendang ni.”

“Kalau macam tu, Nurul pergi ambilkan rendang tok dalam periuk tu. Ndak dengan Naufal pergilah tunggu dekat luar. Nenek nak naik atas sekejap ambil telekung,” ujar nenek seraya mengambil pinggan di tangan Pak Ndak dan menghulurkan pinggan tersebut kepada aku.

Aku terus mengambil pinggan tersebut dan menuju ke arah periuk bersaiz sederhana besar berisi rendang tok di atas meja. Sebaik sahaja aku membuka penutup periuk, semerbak bau harum rempah rendang tok mencucuk-cucuk hidung aku.

“Naufal, makan cukup untuk isi perut aje tau. Lagi sepuluh minit kita gerak pergi surau, solat sunat raya,” sempat jua nenek berpesan kepada abang sebelum naik ke tingkat atas.

“Baiklah, nek,” laung abang dari ruang tamu.

“Haa, Nurul... makan cepat nanti boleh kita pergi surau sama-sama.”

Aku menoleh melihat ke arah nenek yang sedang mendaki satu-persatu anak tangga dengan langkah yang cermat. “Errrr... maaflah nek, Nurul cuti hari ni. Jadi, tak dapat nak solat sunat.”

Nenek hanya mengangguk dan terus berlalu. Aku pula kembali mencedok rendang tok ke dalam mangkuk. Usai mencedok, aku terus membawanya ke luar ke arah pangkin. Aku lihat Mak Usu dan Mak Teh sedang asyik berbual sambil menunjukkan kain baju kurung masing-masing. Tak lain tak bukanlah tu bercerita pasal baju raya. Abah pula aku lihat ralit bercerita dengan Pak Long.

Aku ambil pinggan kosong dan letakkan tiga ketul lemang jagung dan seketul lemang tepung. Di tepinya pula aku letakkan tiga ketul daging rendang tok dan sedikit kuah kacang ke atas seketul lemang jagung. Aku mengambil tempat di sebelah abang Haziq yang tengah mengunyah kerepek ubi ungu di atas buaian.

Selepas membaca doa sebelum makan, tak toleh dah kiri mahupun kanan, aku terus makan. Terangkatlah lemang jagung dan rendang tok buatan nenek ni! Kata ibu, rendang tok nenek paling sedap di Perak, di Malaysia dan di seluruh dunia. Proses untuk menjadi yang paling sedap itulah yang paling rumit.

Rempah-rempah perlu digoreng dahulu kemudian dikisar dan macam-macam lagilah prosesnya. Makan masa jugalah nak siapkan hidangan istimewa orang Perak ini. Tapi tak mengapa, hasilnya juga istimewa.

Sedang elok aku selesai menjamu selera, keadaan sudahpun sunyi-sepi. Nenek, semua ibu dan ayah saudara aku dan anak-anak mereka sudah ke surau termasuklah abang Haziq yang tak tinggal kerepeknya. Yang tinggal hanyalah aku, kakak, Yani dan kak Ojie yang perlu menjaga anak kecilnya.

“Adik, kalau dah habis makan cepat kemas ni. Nanti mereka balik susah pula kita nak mengemas. Yani, isi balik bekas kuih yang kosong tu lepas tu tolong lapkan meja tu sikit. Comot meja dengan kuah kacang, kuah lontongnya.”

“Baiklah, bos!” serentak aku dan Yani menjawab.

Aku mengutip pinggan dan gelas kosong untuk dibasuh. Kalau tidak dibasuh takut nanti ada yang makan atas daun pisang pula. Semasa berlalu untuk ke dapur, sempat aku lihat kak Ojie sedang mengacah anak kecilnya, Muhammad Ramadhan. Namanya sama seperti bulan yang menyaksikan kelahiran cicit pertama nenek.

Sampai sahaja di dapur, aku terus meletakkan pinggan dan gelas ke dalam sinki. Lengan baju kurung aku lipat sehingga ke paras siku. Aku lalukan seketika pinggan-pinggan tersebut di bawah air setelah membuang sisa makanan ke dalam tong sampah. Aku capai span pembersih pinggan dan sental satu-persatu pinggan dan gelas.

Usai membilas pinggan dan gelas yang sudah disental dengan sabun, aku susun pula di atas kain pelekat yang sudah tidak digunakan di atas lantai. Aku mengalihkan periuk untuk meletakkan pinggan tapi tak aku sangka di bawah periuk tersebut ada mangkuk. Berdenting bunyi mangkuk apabila berlaga dengan periuk.

“Adik, buat perlahan-lahan. Pecah nanti siapa nak ganti?” ujar kakak yang sedang membancuh sejag air teh.

Aku tersengih ke arah kakak dan kembali menyusun pinggan dan gelas. Usai menyusun semua pinggan dan gelas, aku lap sedikit hujung sinki yang basah. Apabila melihat semua kerja aku sudah selesai, aku terus membuka lipatan lengan baju kurung aku.

Aku melihat kakak sedang ralit mengelap gelas. Aku rasa mungkin inilah masanya untuk aku bercakap dari hati ke hati di pagi raya dengan kakak. Aku membetulkan suara dengan berdeham perlahan seraya membuka langkah ke arah kakak.

“Kak...”

“Hmmm...”

“Akak marah lagi ke dekat adik dengan abang pasal tadi?”

Akak berhenti mengelap gelas dan menoleh melihat ke arah aku. Ada senyuman manis menghiasi bibir kakak. Senyuman itulah yang menjadi igauan abang Fauzi, tunang kakak yang sudah berjanji untuk menghalalkan hubungan mereka sebulan selepas raya nanti.

“Kenapa pula akak nak marah lama-lama dekat adik-adik akak? Lagipun bukannya baru hari ni akak kenal adik-adik akak ni. Perangai kamu berdua tu dah kemas tersimpan dalam poket baju kurung akak ni. Bergaduhnya setengah jam, berbaiknya lima minit aje.”

Aku sekadar tersengih. Kemudian, akak menyambung semula mengelap gelas. Aku menggigit bibir sambil melihat setiap tingkah kakak. Kakak yang menyedari aku melihat ke arahnya, menoleh kembali ke arah aku.

“Kenapa?”

Aku terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan akak. Akak yang pada mulanya terpinga-pinga tetap menyambut huluran tangan aku.

“Akak, adik betul-betul minta maaf. Adik tahu adik bukannya baik pun. Kerjanya asyik nak buat ibu, abah, akak dengan abang geram aje. Tapi, sempena hari lebaran yang mulia ini, adik mohon mudah-mudahan segala kesilapan adik dari hujung rambut hingga ke hujung kaki tidak disimpan dalam hati akak.”

“Biasalah dik, manusia ni memang selalu buat silap. Tapi, tanggungjawab seorang hamba-Nya juga ialah kita perlu memaafkan mereka yang meminta maaf pada kita. Jika tidak dimaafkan, perasaan marah tu mampu menjadi racun kepada jiwa. Rosaklah jiwa akak.”

Aku tersenyum ke arah akak. Baru nak beromantik dengan kakak, tiba-tiba Yani muncul dari belakang akak.

“Yani pun nak minta maaf juga.”

Akak berpusing melihat Yani. Yani turut bersalaman dengan kakak.

“Insya-Allah kakak maafkan segala kesalahan adik-adik akak.”

“Tapi, kak...” sambung Yani yang membuatkan kami serentak memandang ke arah Yani.

“Yani nak minta maaf lagi sebab Yani nak duit raya lebih tahun ni,” tersengih lebar Yani selepas itu. Sambil tu boleh pula dia kipas-kipas hujung selendang dia dengan muka konon comel sangat.

“Cis, ada udang sebalik batu rupa-rupanya budak kemetot ni!”

Terus masam muka Yani apabila kakak memanggilnya kemetot.

“Eee... janganlah panggil Yani kemetot, tinggi Yani dah naik satu sentimeter tau. Dah seratus lima puluh satu dah tinggi Yani,” ujar Yani dalam nada merajuk.

“Yalah, yalah... akak tak panggil kemetot dah. Dah, pergi ke depan tengok takut-takut ada tetamu ke. Budak-budak kecil sekarang ni bangun awal pagi raya. Pergi tunggu dekat depan. Haa, adik... pergi tukar tudung tu cepat. Nanti kalau lambat tinggallah kau, dik.”

“Okey, bos!”

Aku terus ke bilik tetamu di tingkat bawah, bilik di mana ibu memang dah cop sejak awal-awal lagi. Ibu malas nak naik atas, sakit lutut katanya dok naik turun tangga. Masuk aje dalam bilik, aku terus menukar tudung ‘ekspres’ dengan selendang berwarna sedondon dengan baju kurung aku.

Tudung ni istimewa sebab Pak Ndak yang belanja minggu lepas. Aku ni memanglah kaki kipas pak cik saudara bujang terlajak kesayangan aku tu. Tapi, bukannya selalu pun aku dapat merasa Pak Ndak belanja. Jadi, bila dah dapat peluang apa salahnya, kan?

Selesai melilit selendang di kepala, aku calit sedikit krim BB sebagai lapisan pertama dan kemudian tempek sedikit bedak berwarna natural. Kemudian, aku oleskan sedikit gincu berwarna hot pink tapi tidak terlalu pekat kerana nipis sahaja aku oles. Kalau tebal nanti takut orang tak tahu yang aku ni Nurul Manisah ke Nicki Minaj.

Keluar sahaja dari bilik, ruang tamu sudah meriah dengan kepulangan saudara-mara dan nenek dari surau. Yang pertama aku nampak ialah abang Haziq. Masih dengan kerepek tapi kali ni kerepek ubi pedas. Anak bongsu Mak Long aku ni memang hantu kerepek. Satu balang kerepek tu sehari aje kalau bagi abang Haziq.

Yang pertama yang aku cari ialah ibu dan abah. Aku terus bersalaman dengan mereka.

“Ibu, abah... adik bukanlah anak yang baik dan adik tak mampu berjanji untuk menjadi yang terbaik, tapi adik boleh berjanji satu perkara. Adik akan cuba untuk membuatkan ibu dan abah bangga dari pelbagai segi. Tapi, adik perlukan keajaiban doa seorang ibu dan abah.”

“Insya-Allah, adik... doa kami sentiasa mengiringi setiap langkah kaki adik walau ke mana adik melangkah. Percayalah adik mampu berjaya tapi adik perlu berusaha gigih. Jangan berhenti jika sudah melakukan sesuatu. Mungkin saat kita berhenti itu adalah saat yang tidak jauh untuk kita menemui jalan kejayaan.”

Pesanan panjang dari seorang abah membuatkan hati aku sebak. Aku terus memeluk tubuh ibu dan abah. Hasilnya, pipi aku menjadi tempat persinggahan bibir mereka. Aku tersenyum dan mencari pula kelibat nenek. Aku lihat nenek tidak menang tangan melayan adik-adik saudara aku. Jadi, aku pergi dulu ke arah Pak Ndak.

“Pak Ndak! Selamat Hari Raya! Maafkan segala kesalahan zahir dan batin Nurul, Pak Ndak,” aku terus sahaja ‘menyerang’ Pak Ndak dan menghulurkan tangan ke arah Pak Ndak.

“Selamat Hari Raya juga, Nurul. Amboi, manis betul anak saudara Pak Ndak yang seorang ni! Terutama tudung tu. Siapalah yang belikan tudung tu, ya?”

“Adalah seorang tu, Pak Ndak. Dia belikan.”

Pak Ndak hanya menggelengkan kepalanya.

“Duit raya mana Pak Ndak?”

“Haish, tak sabar-sabar!”

Aku tersengih melihat Pak Ndak yang menyelok kocek baju Melayunya. Tiba-tiba Pak Ndak keluarkan duit syiling bernilai 50sen. Aku membuat muka menyampah.

“Apa ni, Pak Ndak... 50sen nak beli gula-gula pun tak lepas dah zaman sekarang ni, Pak Ndak.”

“Owh, tak lepas, ya... nanti sekejap,” Pak Ndak seluk kembali kocek baju Melayunya dan Pak Ndak mengeluarkan sampul duit raya berwarna hijau.

“Nah, ini duit raya untuk Nurul. Belanja ke jalan yang benar, tau.”

“Baik, bos...”

Aku terus beralih ke arah nenek apabila melihat kakak berada di sebelah nenek. Abang Haziq dengan kerepek dalam mulutnya pula tolong menangkap gambar kakak dan nenek.

“Selamat Hari Raya, nek...” ujar kakak dan abang Haziq serentak.

Selepas kakak, giliran aku pula untuk bersalam dengan nenek. Sempat jugalah nenek berpesan pada aku. Pesanannya sama jangan bergaduh dengan abang hanya kerana perkara kecil. Cubalah jadi air! Kemudian, aku mencium kedua-dua belah pipi nenek dan terus mengeluarkan telefon pintar dari dalam poket baju kurung aku.

“Nek, selfie jom!”

Nenek pula dengan sportingnya layan sahaja perangai tiga suku aku. Siap buat peace lagi tu. Memang terbaiklah, nenek! Selepas itu, aku salam seorang demi seorang saudara-mara aku. Adik-adik saudara aku semua pakat menyerbu aku minta duit raya tapi aku cakap aku tak kerja lagi. Semua tayang muka kecewa.

Tapi, hanya seorang sahaja yang aku bagi duit raya. Siapa lagi kalau bukan si kecil Muhammad Ramadhan. Bulat sahaja matanya apabila aku meletakkan sampul duit raya ke dalam tangannya. Apabila pipinya aku gomol, dia merengek dan aku cepat-cepat melarikan diri sebab takut dia nangis. Nanti tak pasal-pasal kak Ojie kena pujuk dia pula.

Mak Cik Nurul sayang Ramadhan ketat-ketat!

“Sesi fotografi, cepat ke sini! Cepat!” ujar Pak Ngah yang menanti di halaman rumah sambil di lehernya tersangkut kamera Canon.

“Haishh, sabarlah kalau ya pun. Mak ni bukannya muda macam kamu nak cepat semua benda,” ujar nenek membuatkan Pak Ngah tersengih.

Pak Usu menyusun kami mengikut usia. Yang muda-mudi semua berdiri di belakang manakala nenek, ibu dan ayah saudara duduk di atas kerusi. Adik-adik saudara aku pula semua bersila di atas tikar. Tapi, sesat seorang yang dah ‘berusia’ duduk bersila atas tikar.

“Papa, kenapa Yani kena bersila pula? Dahlah duduk dengan budak-budak yang tak habis teruja dengan duit raya pula tu. Tak acilah, kak Nureen dengan Nurul dapat berdiri.”

“Kamu pendek, kena duduk. Nanti berdiri nampak mata aje,” senda Pak Usu sambil tersengih.

“Papa!”

Suasana menjadi meriah apabila semua tertawa melihat gelagat Pak Usu anak-beranak. Pak Ngah hanya tersenyum melihat muncung Yani yang panjang sedepa. Mak Usu pula mengusik dengan mencuit pinggang Yani. Apalagi, bertambah panjang muncungnya.

“Dah... dah... semua ambil tempat cepat. Cepat kita selesaikan sesi fotografi, cepat kita boleh pergi melawat kubur atuk. Lepas tu boleh beraya. Banyak rumah nak pergi ni,” arah Pak Ngah membuatkan Pak Usu segera mengambil tempat di sisi Mak Usu.

Say kimchiiii!!!” gurau abang Hadif, suami kak Ojie.

“Amboi, mentang-mentanglah dia bulan madu dekat Korea tahun lepas, sampai nak makan kimchi aje ingatnya,” balas ibu.

Abang Hadif sekadar tersengih. Tanpa sedar, Pak Ngah sudahpun mengambil gambar kami tapi secara candid. Kemudian, kami ambil secara formal pula, tegak macam nak ambil gambar pasport.

Free style!”

Apalagi, semua pakat buat peace tak ketinggalan juga nenek. Yang budak-budak kecil yang bersila tu semua dok pakat menunjuk sampul duit raya kecuali Yani la. Kesian dia, dah nak masuk dua puluh satu tahun pun masih dikira budak kecil. Nak buat macam mana, tubuhnya memang genit.

Selesai bergambar, nenek, Pak Long, ibu, Mak Usu, Mak Ngah, dan Pak Ndak pergi ke tanah perkuburan untuk melawat kubur arwah atuk. Kami yang lain akan menyusul kemudian kerana banyak perkara perlu diselesaikan. Tiba-tiba pula Ramadhan merengek dan nak tak nak kak Ojie tak boleh ke mana-mana.

Sambil aku mengemas meja, aku merenung nasib aku di hari kemudian kelak. Aku takut seandainya aku meninggal nanti, aku terus dilupakan oleh kaum keluarga. Sekadar datang pada pagi raya kerana mereka tidak mahu dikatakan asyik beraya dan lupa pada yang telah tiada.

Ya ALLAH, aku berharap perkara begitu tidak terjadi pada aku...

“Nurul, cepat sikit kemas tu. Nanti kita nak pergi kubur atuk,” arah akak membuatkan aku terus melakukan kerja yang terhenti seketika tadi.

Syawal yang mulia, Ramadan yang indah, aku berharap mudah-mudahan aku masih mampu bertemu dengan mu pada tahun hadapan. Yalah, bukan hanya jodoh tapi ajal maut juga adalah rahsia takdir.

Terima kasih ALLAH kerana aku mampu merasai keindahan Ramadan dan kemuliaan Syawal pada tahun ini. Moga bertemu lagi tahun hadapan...

~Tamat~

No comments:

Post a Comment