Sunday 9 November 2014

Cinta Yang Tak Ke Mana (cerpen)

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Cerpen ni panjang giler. Jadi, aku tak salah readers kalau ada yang frust nak baca. Hehehe... 

Enjoy your reading. J

Pinjam muka Masahiro Inoue. Hehehe...

Aku duduk diam termenung di atas sofa. Televisyen yang terpasang tanpa suara aku renung. Sekejap muncul muka Jong Kook, lepas tu muka Kwang Soo, lepas tu muka Ji Hyo pula. Ahh, godaan betul!

Abang aku ni pun satu, dah tahu diri tu macam tikus, ada hati nak baik sendiri televisyen. Hasilnya, langsung tak ada suara. Kononnya nak betulkan suara Tv2 yang sekejap tinggi, sekejap rendah suaranya tanpa dapat dikawal.

Sekarang ni, aku sakit hati sebab aku nak layan Running Man pun macam ke laut. Layan tanpa suara. Setakat tengok diorang lari ke sana sini memang tak best kalau tak ada suara. Sari kata memang ada tapi tak syok tak dengar diorang bercakap. Ini semua salah abang! Dasar jurutera tak bertauliah.

“Amboi, panjangnya muncung adik!” tegur abang seraya melabuhkan punggungnya di sebelah aku.

“Mana tak panjangnya, abang tengoklah apa yang abang dah buat. Kalau abang tak ngada-ngada nak betulkan televisyen hari tu, tak ada jadi macam ni. Tak ada mood jadinya adik nak tengok Running Man.”

Aku menjawab kata-kata abang. Abang pula aku lihat hanya tersengih. Aiskirm Malaysia berperisa asam boy di tangannya menarik perhatian aku. Tak bagi salam sebab memang tak payah nak bagi salam, aku terus merampas aiskrim tersebut dari tangan abang. Disumbat ke dalam mulut dan hisap. Nikmat!

“Oi! Dahlah marah-marah abang, lepas tu suka hati pula dia cilok aiskrim abang. Kalau nak pergi beli sendirilah.”

Abang cuba mengambil semula aiskrim di tangan aku. Tapi, aku menghalang dengan mencubit-cubit tangan abang. Penat kena cubit dengan aku, akhirnya abang mengalah. Giliran muncung abang pula panjang sedepa.

“Eloklah kalau tak ada mood nak tengok Running Man. Bolehlah adik fokus terhadap pelajaran. Ini tidak, asal Sabtu dengan Ahad aje, tercongok depan televisyen nak tengok Running Man. Nasib baik ayah tak langgan Astro. Kalau tak, tak tahulah...”

Aku hanya buat-buat tak dengar dan terus menonton Running Man tanpa suara. Baca ajelah sari kata yang disediakan. Aiskrim Malaysia aku hisap dan gigit sampai tak sedar dah habis.

Dengan selamba aku tayang plastik aiskrim yang sudah kosong di hadapan abang. “Dah habis.”

Bulat mata abang memang plastik aiskrim tersebut.

“Eeee... dasar perut penuh dengan ascaris lumbricoides!”

Dengar aje perkataan ‘ascaris’ tu, aku dah jadi loya. Terbayang di ruang minda beribu-ribu ascaris lumbricoides duduk ‘menginap’ di dalam usus. Asalnya seekor menjadi beribu-ribu.

“Ukkk...”

Aku pantas menekup mulut dengan tapak tangan. Abang di sebelah sudah tertawa kuat. Aku menjeling abang sekilas sebelum bangun. Aku berlari menuju ke arah tandas di dapur. Kakak yang baru keluar dari tandas terpinga-pinga melihat aku yang kelam-kabut.

“Eh, kau dah kenapa muntah-muntah, dik?”

Kakak di luar menyoal dalam nada risau. Siapa tak risau apabila adiknya tiba-tiba sahaja muntah. Demam tidak, pening pun tidak, tiba-tiba sahaja muntah.

Ha ha ha...

Terdengar suara abang tertawa. Sah, dia seronok dapat sakat adik dia yang memang geli dengan benda-benda macam ascaris tu. Aku di dalam tandas masih lagi berusaha mengeluarkan isi perut. Aiskrim yang baru aku makan tadi pun, tak sempat hadam dah keluar balik.

“Mana tak muntahnya, kak. Budak tu baru sebut nama ascaris dah geli-geleman.”

Kemudian, terdengar lagi suara abang. Punyalah kuat suara abang aku gelak. Tenggelam suara aku yang tengah asyik mengeluarkan isi perut. Ibu, loya lagi!

Tak nak dilayankan sangat loya tu, cepat-cepat aku berkumur. Aku capai botol Listerine di atas rak. Dibuka penutupnya dan dituang ke dalam penutup. Aku kumur berkali-kali sebab bau muntah tu menguasai ruang sistem penghadaman yang pertama aku ini.

Aku terus keluar dari tandas. Sasaran pertama aku sebaik keluar dari tandas ialah abang. Tanpa menunggu lebih lama, aku terus mendapatkan abang. Macam nak gila aku mencubit tubuh abang.

Abang pula boleh lagi tertawa. Lagak aku sedang menggeletek tubuhnya. Cis, tak ada deria sakit kena cubit betul abang aku ni!

“Oi, lebamlah badan abang yang sasa ni!”

Akhirnya abang menolak tangan aku dari terus mencubit tubuhnya. Aku lihat abang ‘menangis’. Bukan kerana sedih tapi kerana terlalu asyik ketawa. Seronoklah tu sebab dapat buli aku.

“Biar lebam. Lagi banyak lebam lagi hensem. Berganda hensemnya daripada Joong Ki.”

Aku kembali mencubit tubuh abang. Tapi abang berusaha menepis jari-jemari kontot aku daripada singgah ke tubuhnya. Jenuh juga aku mengerah kudrat untuk berlawan dengan abang.

Yalah, seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang genit nak lawan dengan lelaki yang berusia dua puluh tahun. Dahlah badan abang aku ni pun memang boleh tahan. Nak kata berotot tahap sampai macam otot Aaron Aziz tu memanglah tak. Tapi tenaga memang tahap malam ni aku kena urut tangan dengan minyak hangat.

“Sudah! Apalah adik dengan abang ni. Ingat dapur ni tempat lawan gusti ke apa? Nak sambung gusti pergi ke depan. Kakak nak masak makan malam. Kejap lagi ibu dengan ayah balik.”

Aku dan abang terus beralih tempat untuk berlawan gusti ke ruang tamu. Sambil tu tangan aku masih ligat mencubit abang. Abang pula tak sudah-sudah tertawa. Bertambah sakit hati aku dibuatnya.

“Haiiiiyaaaaaakkkk...”

Aku mencapai bantal kusyen dan baling tepat ke muka abang. Abang menyeringai. Aku pula tersengih kemenangan. Akhirnya aku mampu mematikan suis ketawa abang yang menyakitkan hati.

“Owh, adik nak balas dendam sebab abang ketawalah sekarang ni? Okey, tak apa... just wait and see... what will I do with you.”

Abang tersengih jahat dan berlalu ke biliknya. Aku pula masih menanti di ruang tamu. Apalah rancangan jahat abang aku ni.

“Yaaaaa....”

Abang keluar dari bilik siap memakai tali di kepala. Tali tersebut berwarna merah jambu. Dan fahamlah aku apa maknanya merah jambu tu. Maknanya, abang nak...

Ha ha... abang... ha ha... jangan... lah... ha ha... geletek!”

Aku yang tak sempat melarikan diri menjadi sasaran balas dendam abang. Kaki aku ditangkapnya dan pantas abang menggeletek tapak kaki aku. Sekarang aku rasa macam nak terkencing sebab serius geli gila!

“Abang! Stop!”

Aku jerit sekuat hati. Abang berhenti menggeletek tapak kaki aku. Aku pantas duduk bersila untuk mengelak digeletek lagi. Aku menarik nafas untuk membetulkan aturan pernafasan. Senak perut aku dibuatnya sebab banyak sangat ketawa.

Aku tengok abang dan abang tengok aku. Perlahan abang mengorak senyuman di bibirnya. Aku pula hanya membalas dengan muncung yang panjang.

“Adik merajuk comel sangat...”

Nak pujuk akulah tu. Maaf, pujukan abang tidak akan adik layan.

Aku menoleh memandang ke arah kaca televisyen. Terpapar wajah Jae Suk yang sedang tersengih di ruang kaca televisyen. Tiba-tiba rasa macam nak sekeh kepala Jae Suk tu.

“Comel... macam muka Shin Min Ah.”

Makin panjang muncung aku. Aku tak faham kenapa abang suka sangat dengan heroin My Girlfriend Is Gumiho tu. Aku lagi comellah dari dia.

“Ala tomey-tomey...”

Bila abang dah keluar aura bajek comel dia, aku memang tak boleh nak melawan lagi. Tanpa dipaksa, bibir aku menguntumkan sebuah senyuman buat abang.

“Haa, macam tulah adik abang. Comel selamanya!”

Aku menumbuk bahu abang. Abang aku ngada-ngada! Tiba-tiba...



AKU menggalas beg sandang ke bahu. Buku dan fail di atas meja aku ambil. Kerusi aku tolak ke dalam meja. Namun, baru sahaja kaki ingin melangkah, tiba-tiba terdengar ada yang menyeru nama aku.

“Qalwa, tunggu sekejap.”

Aku berpaling ke belakang dan melihat Dufa menghampiri aku. Aku tersenyum ke arah Dufa. Dufa ialah rakan sekelas aku. Namun, aku dan dia tidak serapat seperti aku dengan Tiani, BFF aku.

“Owh, Dufa rupa-rupanya... ada apa Dufa panggil Qalwa ni?”

“Hmm... sebenarnya waktu Dufa turun tadi Dufa terserempak dengan Ilzam.”

Terdengar nama Ilzam disebut, membuat aku jadi tidak keruan. Ilzam, lelaki yang aku minati sejak dari aku tingkatan dua. Tapi, aku tak pernah meluahkan perasaan aku pada Ilzam. Sebabnya ialah aku malu. Lagipun, aku takut kelak nanti aku akan hilang fokus terhadap pelajaran. Terlalu asyik bermain cinta monyet.

“Apa yang dia nak?” soal aku sedikit tertanya-tanya.

Aku lihat Dufa tersenyum. Namun, senyumannya seakan menyimpan sesuatu yang tidak aku ketahui. Nak meneka pun aku bukannya jenis yang reti baca senyuman orang.

“Dia nak jumpa dengan Qalwa sekejap dekat tepi sungai. Dia kata dia terus tunggu Qalwa dekat sana.”

Jantung aku berdegup agak kencang. Ilzam nak jumpa dengan aku? Ya ALLAH, betul ke apa yang aku dengar? Ops, kawal hati... jangan fikir bukan-bukan. Mungkin ada hal yang ingin Ilzam bincangkan dengan aku.

Sementelah aku dan Ilzam memegang jawatan penting dalam Lembaga Pengawas Sekolah. Dia ialah Penolong Ketua Pengawas 2 manakala aku ialah Exco Disiplin. Tapi, aku bingung seketika. Jika benar Ilzam ingin bertemu dengan aku kerana hal pengawas, mengapa perlu sampai ke tepi sungai. Dekat sekolah aje tak boleh ke?

“Err... kalau Qalwa tak nak tak boleh ke? Lagipun, hari dah nak petang dah ni. Qalwa takut nanti ada yang tersalah sangka. Berjumpa dekat tepi sungai pula tu.”

“Dufa temankan Qalwa, tak ada yang perlu Qalwa risaukan.”

“Tapi, Dufa...

“Pergi ajelah...”

Suara Dufa kedengaran seperti memaksa. Aku sedikit tersentak.

“Errr... maksud Dufa, tak baik kalau Qalwa buat Ilzam tertunggu-tunggu. Ada hal penting katanya.”

Tak tahu nak jawab apa, aku sekadar mengangguk. Namun, hati aku masih tertanya-tanya. Mengapa Ilzam nak bertemu dengan aku di tepi sungai? Tak ada tempat yang strategik sikit ke?

Aku melangkah keluar dari kelas 5 Sains Boleh. Suis kipas yang terpasang aku matikan. Hari ini aku balik lambat kerana ada kelas tambahan bagi subjek Kimia. Aku terus menuju ke tempat letak basikal. Dufa turut mengekori aku kerana dia juga berbasikal ke sekolah seperti aku.

“Ilzam tak cakap ke hal apa yang penting sangat tu?”

Aku menyoal Dufa sambil meletakkan buku dan fail ke dalam raga basikal. Dufa di sebelah kiri aku hanya menggeleng. Aku mengangguk seraya mengangkat sedikit kain sekolah aku sebelum duduk di atas seat basikal. Ops, aku pakai seluar dekat dalam ya!

Aku membiarkan Dufa di hadapan aku. Terik mentari yang menggigit kulit aku begitu terasa. Namun, aku sudah biasa kerana tiap-tiap hari aku berbasikal ke sekolah. Lagipun, jarak antara rumah aku dengan sekolah tidaklah jauh mana.

Hampir lima belas minit aku mengayuh basikal, akhirnya kami sampai di tepi sungai. Aku lihat Dufa turun dari atas basikalnya. Tapi, aku masih ragu-ragu. Aku lihat ke arah sungai. Kelihatan beberapa orang budak lelaki sedang bermandi-manda.

“Kenapa tak turun lagi ni?” soal Dufa.

“Errr...”

“Tak payah risau, Ilzam ada dekat hujung sana.”

Dufa menghalakan jari telunjuknya ke hujung sana. Aku menelan liur yang terasa kesat. Aku jarang pergi ke sana. Kalau pergi pun, pasti dengan abang dan kakak. Lagipun, di situ adalah port untuk remaja yang belum berkahwin untuk berdating.

“Sana?”

“Ha’ah. Kenapa?”

Aku tersenyum sumbing lantas perlahan-lahan turun dari atas basikal. Ya ALLAH, hanya pada-MU aku berserah. Aku lihat Dufa seakan-akan tersenyum puas apabila melihat aku melangkah ke arahnya.

Matanya yang bersinar-sinar itu menimbulkan perasaan ragu di hati aku. Dengan dada yang berkencang hebat, aku mengikut langkah Dufa. Namun, baru beberapa langkah aku menapak, baru aku teringat soal buku dan fail di dalam raga basikal.

“Eh, Dufa! Buku dengan fail aku dalam raga basikal. Nanti kalau ada orang curi macam mana?”

“Ala, tak adanya budak nak curi buku kau tu.”

“Tapi...”

Aku melihat ke arahnya sambil membuat muka minta simpati. Siapa tak risau kalau barang dicuri?

“Adik... ooo... adik!”

Dufa menyeru beberapa orang budak lelaki yang sedang mandi sungai. Tak adalah budak mana pun, dah tingkatan tiga semuanya. Kenal sangat aku dengan muka budak-budak tu. Junior di sekolah aku.

“Owh, kak Dufa... ada apa kak?” soal salah seorang daripada mereka.

“Tolong jaga barang-barang kami ni boleh tak? Kami ada hal sekejap. Kak Qalwa korang ni risaukan barang dia. Takut hilang katanya.”

“Tak ada hallah, kak. Betul tak kawan-kawan?”

“Betul!”

Serentak semua menjawab seolah-olah sudah berpakat. Aku hanya mampu tersenyum senget. Dufa berpaling melihat ke arah aku. Dia mengangkat sebelah keningnya ke arah aku.

“Macam mana? Percayalah budak-budak tu baik. Lagipun takkan kau tak kenal si Uwa tu. Dia kan selalu tolong kau dekat bilik pengawas?”

Aku tersenyum seraya mengangguk. Ya, aku kenal dengan Uwa. Uwa ialah ketua bagi pengawas tingkatan tiga. Dia mewakili seluruh pengawas tingkatan tiga.

Dufa meneruskan langkahnya yang terhenti tadi. Aku turut mengekorinya. Tiba di tempat yang berbatu besar, aku memegang tangannya. Takut kalau-kalau aku tergelincir dan masuk ke dalam sungai.

Dari jauh aku sudah melihat kelibat seorang lelaki yang membelakangi kami. Dari gayanya sahaja aku sudah boleh mengagak. Dia ialah Ilzam. Ilzam Saidi bin Izman Lufti. Penolong Ketua Pengawas 2 yang berkarisma yang menjadi pujaan semua pelajar perempuan. Aku adalah antara peminatnya jua.

“Assalamualaikum, Ilz,” seru Dufa mengamit Ilzam.

Ilzam terus berpaling dan menambahkan lagi debaran ke dada aku. Matanya tepat pula memanah ke arah aku. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan. Tangan aku dah sejuk. Macam melampau pula reaksi aku.

Tapi, memang beginilah aku apabila berhadapan dengan Ilzam. Berhadapan tanpa urusanlah. Kalau ada urusan tu memang aku abaikan segala perasaan aku terhadap dia. Be professional to become a professional.

“Waalaikummussalam. Owh, Dufa dengan Qalwa...” ujarnya sambil tersenyum manis yang telah membuatkan hati aku hilang arah.

“Pergilah. Dia ada hal dengan Qalwa. Dufa duduk dekat batu sana. Jangan risau, Dufa takkan biarkan Qalwa berdua-duaan dengan Ilzam,” kata Dufa yang berbisik kepada aku.

Tanpa menunggu kata-kata aku, Dufa terus aje berlalu. Aku tarik juga lengan bajunya tapi dia segera menarik dan terus berlalu. Aku kaku di tempat aku berdiri. Terasa lemah segala urat saraf aku.

“Kenapa berdiri aje dekat situ. Tak lenguh ke kaki tu? Duduklah.”

Suara Ilzam yang garau membuatkan aku rasa seperti ingin lari pulang ke rumah sekarang juga. Aku melabuhkan duduk di atas batu yang terletak kira-kira dua meter dari Ilzam.

Masing-masing sunyi. Hanya terdengar bunyi air sungai yang mengalir deras. Aku bermain dengan jari untuk menghilangkan rasa gugup. Teringin nak menjeling Ilzam di sebelah. Tapi, perasaan malu itu lebih menguasai berbanding keinginan.

“Tak nak tanya apa-apa ke?” Suara garau milik Ilzam memecah sunyi dari terus bermaharajalela.

Aku menggigit bibir. Persoalan itu sudah bergayut di ruang minda. Tapi untuk mengeluarkan melalui lisan terasa begitu payah. Begitu malunya aku apabila berdua-duaan begini. Tapi, aku tahu Dufa berada di atas batu besar sana.

Lidah aku kelu. Bibir aku terkunci. Aku kehilangan kata-kata.

“Pemalu sangat rupanya Exco Disiplin pengawas ni.”

Terdengar Ilzam tertawa perlahan setelah itu. Aku pula sekadar terus tertunduk. Siapa yang tak malu apabila duduk bersebelahan dengan jejaka idaman Malaya?

“Errmm... sebenarnya tak ada penting sangat pun halnya. Saya cuma nak bertanyakan sesuatu pada awak. Saya harap awak taklah marah.”

Aku mendongak sedikit dan melihatnya dengan ekor mata sahaja. Dia sedang berbicara dengan aku tapi matanya merenung jauh ke rimba di seberang sungai. Gaya rambutnya yang punyai aura tersendiri benar-benar memikat hati aku.

Aku suka dengan rambut dia. Rare. Ramai budak junior cuba tiru gaya rambut dia tapi semuanya tak menjadi. Auranya tiada.

“Tanya apa?”

“Awak dah ada kekasih ke?”

Soalannya itu membuat aku tertawa kecil.

“Lawak ke?”

Menyedari aku terlepas laku, aku segera menggeleng. Tapi, aku tak mampu menahan bibir untuk mengorak senyuman. Kekasih? Siapalah yang mahu dengan aku. Aku bukannya secomel Heliza Helmi.

“Siapa yang nak dengan saya, Ilz. Lagipun, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk saya bermain dengan cinta. Saya takut nanti keputusan SPM saya menghampakan. Saya tak nak itu terjadi setelah hampir sebelas tahun saya bersekolah.

“Selepas habis SPM, saya tak ada peluang nak menebus kesalahan lampau. Jadi, saya perlu melakukan yang terbaik sewaktu SPM nanti. Keputusannya mempengaruhi masa hadapan saya. Saya tak nak gara-gara cinta, masa hadapan saya musnah.”

Tanpa gugup, aku meluahkan pendapat aku mengenai cinta di zaman persekolahan. Aku sendiri pun tak mengerti bagaimana begitu lancar aku mengeluarkan kata-kata. Walhal tadi aku begitu gugup untuk berhadapan dengannya.

“Saya suka dengan buah fikiran awak. Cinta mempengaruhi masa hadapan. Apatah lagi cinta di zaman persekolahan.”

Aku hanya mengangguk. Tiba-tiba aku tertanya-tanya tentang Dufa. Apalah yang dibuatnya si gadis yang ringan tulang itu di sana. Dufa memang ringan tulang. Dalam kelas, pantang sungguh dia melihat habuk. Pantas sahaja tangannya mencapai penyapu.

Aku menoleh untuk mencari Dufa. Tapi, apa yang aku lihat hanyalah batu serta pepohon yang sunyi. Aku melilau mencari gerangan Dufa, tapi tiada. Sunyi...

Aku mula menggelebah dan terus berdiri. Ilzam yang terkejut melihat aku berdiri turut sama berdiri.

“Kenapa ni Qalwa?” soalnya apabila melihat wajah cuak aku. Mahu tak cuak, Dufa meninggalkan aku berdua-duaan dengan Ilzam. Apa pula kata mereka yang melihat nanti.

“Dufa... Dufa tak ada. Tadi dia ada dekat situ. Mana Dufa ni, awak?” Dalam kalut aku bertanya kepada Ilzam.

“Sabarlah dulu. Mungkin Dufa pergi ke tandas atau beli keropok lekor?”

Dengan gaya yang cool Ilzam berkata. Sambil itu matanya melihat ke arah gerai keropok lekor yang hanya nampak hujung kanopinya. Aku tengok halkumnya bergerak menandakan dia sedang menelan liurnya.

Aku tahu dia lapar. Yalah, Ilzam ialah antara orang yang paling sibuk menjelang SPM tidak lama lagi. Sibuk dia menguruskan segala perihal pengawas bersama-sama exco yang lain. Aku juga sibuk tapi tidaklah sesibuk Ilzam yang mempunyai jawatan yang lebih tinggi daripada aku.

Kami perlu memberi amanah buat pengawas tingkatan empat. Tahun ini adalah tahun terakhir kami, jadi bermacam-macam persediaan yang perlu kami lakukan sebelum meninggalkan sekolah. Tempat kami akan diganti dengan pengawas tingkatan empat tahun ini.

“Awak lapar ke?”

Aku menyoalnya lagi apabila melihat halkumnya bergerak-gerak lagi. Sudahlah bau keropok lekor panas merebak ke seluruh kawasan tepian sungai ini.

Ilzam tersengih ke arah aku. “Lapar giler sebab saya tak sempat makan tengah hari tadi. Ada mesyuarat mengejut antara Ketua Pengawas, Penolong Ketua Pengawas dengan cikgu disiplin tengah hari tadi.”

“Qalwa pun lapar juga ni. Apa kata kita pergi beli keropok lekor tu nak? Sambil-sambil tu bolehlah cari Dufa.”

Rakus Ilzam mengangguk. Lapar benar nampaknya jejaka idaman Malaya ini. Kami berjalan ke arah tangga yang tidak jauh dari tempat kami berdiri. Kami terus menuju ke arah gerai menjual keropok lekor sebaik sahaja sampai di puncak tangga.

“Bagi saya keropok lekor tiga ringgit,” ujar Ilzam pada mak cik yang menjual keropok lekor tersebut. Dia menyeluk poket seluarnya untuk mengeluarkan beg duitnya.

Aku turut mengeluarkan duit dari dalam poket. Baru sahaja aku ingin bersuara untuk memesan keropok lekor, Ilzam mencelah pula.

“Kita kongsi aje keropok lekor tu. Hari ni saya belanja.”

Aku terkedu seketika. Ilzam belanja aku?

“Saya tak nak berhutang apa-apa dengan awak,” naif aku berbicara.

Ilzam tersenyum. “Saya ikhlas. Anggaplah saya beri hadiah pada hari istimewa awak.”

Aku terdiam dan terkaku. Hari istimewa? Hari ni hari apa ek sampai dia gelarkan hari ni hari istimewa aku? Walaupun aku agak blur tapi aku tetap mengangguk. Perut aku sudah menyanyi lagu ghazal apabila melihat mak cik tersebut mengangkat keropok lekor dari kuali.

“Terima kasih, mak cik,” ucap Ilzam sambil tersenyum ke arah mak cik tersebut.

“Sama-sama.”

Keropok lekor di tangan mak cik itu bertukar dengan wang di tangan Ilzam. Jelas wajah mak cik itu terpancar sinar syukur. Syukur kerana ada orang membeli keropok lekornya. Sebelum berlalu, aku tersenyum ke arah mak cik itu. Senyuman aku dibalasnya.

Tiba-tiba aku teringat lirik lagu Najwa Mahiaddin...

Kacak luar
Kacak dalam
Kacak dengar sini
Kalau saya senyum
Awak mesti senyum sekali
Kalau kita senyum
Semua orang berjangkit
Bila semua orang senyum
Dunia tiada penyakit

Mudah-mudahan rezeki mak cik itu murah hari ini semurah senyumannya. Senyuman itu pengubat duka. Senyuman itu penawar jiwa. Senyumlah kerana senyum itu satu sedekah. J

Aku dan Ilzam memilih untuk duduk di bawah pondok. Kami tidak berdua di situ. Sebaliknya, ada sepasang suami isteri bersama-sama anak kecilnya yang aku agak berusia dua atau tiga tahun. Anak kecilnya seorang perempuan.

“Assalamualaikum,” ucap Ilzam, ramah kepada pasangan suami isteri tersebut.

“Waalaikummussalam,” serentak mereka menjawab.

Mereka saling berbalas senyuman. Aku turut melemparkan senyuman ke arah mereka. Bukan kerana tidak mahu dikatakan sombong tapi kerana aku gembira. Gembira melihat bentuk senyuman yang indah.

“Comel anak akak dengan abang.”

Ilzam memuji anak mereka sambil mencuit pipinya. Anak mereka yang malu-malu terus mendapatkan ibunya. Dia membenamkan wajahnya ke lutut ibunya. Ilzam tersenyum. Aku pula bertambah kagum melihat Penolong Ketua Pengawas 2 ini.

“Terima kasih, dik.”

“Sama-sama.”

“Maaflah kalau abang nak tanya, adik dua orang ni bercinta ke?”

Aku yang sedang mengunyah keropok lekor tiba-tiba terasa tercekik. Cepat-cepat aku mengambil air di dalam beg. Nasib baiklah sebelum kelas tambahan tadi aku terfikir untuk membeli sebotol air mineral. Kalau tidak, alamatnya minum air sungailah aku.

“Ish, abang ni!”

Si isteri mencubit manja lengan si suami. Ilzam pula sudah tersenyum malu aku lihat. Aku? Hanya mampu tertunduk. Aduh, kalau aku bercinta dengan Ilzam memang aku ialah orang yang paling bertuah!

“Maaflah, suami akak ni memang macam ni. Busybody.”

“Abang ni bukan apa. Abang tengok adik-adik ni muda lagi, budak sekolah pula tu. Dah tentu-tentunya belum kahwin, kan? Bukannya apa, cuma tak manis dipandanglah. Berkahwin tidak tapi keluar berdua-duaan mengalahkan pasangan suami isteri.”

Pedih menyucuk-nyucuk rasanya hati aku sekarang ini. Tiba-tiba aku rasa macam nak benamkan muka ke dalam sungai. Rasa macam nak menangis pun ada ni. Rasa macam nak keluarkan kuasa magik dengan harapan Dufa akan muncul.

Aku melihat ke arah Ilzam. Lelaki itu masih boleh tersenyum manis selepas dihentam oleh abang tersebut.

“Saya minta maaf kalau kami menimbulkan perasaan tidak enak di hati abang. Tapi kami tak buat apa-apa. Saya yang ingin berjumpa dengan dia atas beberapa sebab. Lagipun, orang bercinta biasanya nakkan privacy, bang.

“Kalau betul saya nak buat benda tak elok dengan dia, dah lama kami masuk dalam semak. Jangan kata abang, pihak berkuasa pun mungkin tak dapat lihat kami. Tapi saya tahu, ALLAH itu Maha Melihat.”

Jawapan Ilzam ditambah pula dengan nadanya yang selamba membuatkan hati aku bergetar.

“Tak bercinta tapi tahu pula orang bercinta ni nakkan privacy...”

Nada suara si suami kedengaran sinis. Sedikit sebanyak mengundang perasaan tak enak di hati aku. Aku rasa bukan hanya aku. Isterinya juga kelihatan gelisah melihat reaksi kami berdua.

“Abang... sudahlah. Jangan tuduh mereka melulu.”

“Bukan melulu tapi kenyataan. Biasanya macam itulah. Konon tak ada apa tapi menjawab pandai. Mengalahkan ahli falsafah.”

Ilzam aku lihat tetap tersenyum. Perut aku yang tadi bergema lagu ghazal sudah diam. Selera aku putus di tengah jalan.

“Saya pengawas di sekolah, bang. Pengawas ni tugasnya sama seperti pihak berkuasa. Dialah polis, dialah tentera, dialah bomba dan dialah ahli pencegah maksiat. Sekarang, menjadi trend untuk pelajar sekolah bercinta. Mereka tak pilih tempat macam yang kami duduk sekarang ni. Kalau mereka nak, tu... dekat dalam semak tu tempat mereka.”

Aku lihat si suami itu terdiam. Manakala si isteri pula tersenyum sumbing sambil melihat ke arah Ilzam. Lambat-lambat si suami mengangguk.

“Maaflah kalau abang salah sangka. Tapi, satu nasihat abang. Janganlah keluar berdua-duaan macam ni. Masyarakat kita mulutnya suka dijaja ke merata tempat. Terutama perkara-perkara yang buruk. Silap hari bulan, dik... kena tangkap basah. Rosak masa depan!”

Aku masih terkaku di sebelah Ilzam. Kami dipisahkan dengan plastik keropok lekor dan beg Ilzam. Meskipun hati terasa sakit dek kata-kata si suami itu tapi aku bangga dengannya. Dia berani menegur kami yang disangkanya pasangan couple. Zaman sekarang, ramai yang hanya melihat dan mencerca tapi tidak berani menegur.

“Insya-ALLAH, bang. Kami takkan keluar berdua lagi. Tapi, sebenarnya kami ni bertiga bang. Entah macam mana kawan kami hilang. Agaknya dia ke tandas.”

Aku lihat si suami itu terangguk-angguk. Tiba-tiba anaknya di atas riba si isteri merengek.

“Abang balik dululah. Ni, anak abang dah merengek. Letihlah tu.”

Ilzam mengangguk seraya menghulur tangannya ke arah si suami. Aku pula menghulurkan tangan ke arah si isteri yang sedang mendukung anaknya.

“Abang dah balik ni, korang pergilah cari tempat lain. Nanti tak pasal-pasal korang jadi mangsa umpatan masyarakat.” Sempat juga si suami memberikan nasihat. Ilzam sekadar mengangguk sambil tersenyum.

“Akak balik dulu, ya,” ujar si isteri kepada aku. Aku tersenyum dan sempat mencuit pipi anak daranya.

“Assalamualaikum.” Serentak mereka memberi salam.

“Waalaikummussalam.”

Apabila mereka sudah berlalu, Ilzam terus menyandang kembali begnya. Plastik berisi keropok lekor diikatnya cermat.

“Mungkin dah tiba masanya,” bicara Ilzam sambil tersenyum melihat aku.

Dahi aku berkerut. “Masa apa maksud awak?”

Ilzam tidak membalas sebaliknya sekadar tersenyum. Dia tersenyum sambil mengorak langkah. Aku yang tidak mengerti apa-apa sekadar membuntuti langkah Ilzam. Kami menuju ke arah tempat aku dan Dufa meletakkan basikal tadi.

Dari kejauhan aku sudah boleh lihat belon berwarna-warni. Aku tidak nampak gerangan yang memegang belon. Hanya kaki yang aku lihat. Aku cuba mencari basikal aku tapi tidak aku temui.

Aku dan Ilzam berhenti kira-kira tiga meter daripada belon-belon tersebut. Aku menoleh melihat Ilzam dan dia tersenyum sahaja. Ahh, Ilzam memang pemurah dalam memberikan senyuman.

Suprise from us. Selamat hari jadi!” teriaknya tiba-tiba mengejutkan aku.

Diikuti pula dengan teriakan si pemegang belon. Terbeliak biji mata aku melihat gerangan mereka. Salah seorangnya ialah abang aku yang sewel yang paling aku sayangi. Manakala di sebelah kanannya pula ialah kakak. Pemegang-pemegang belon pula ialah Dufa, Tiani dan rakan-rakan pengawas. Termasuklah Uwa dan rakan-rakannya.

Tanpa sedar, air mata aku mengalir. Aku menekup mulut yang ternganga. Ini memang surprise! Aku terus mendekati abang dan tumbuk bahu dia.

“Apa ni? Sikit-sikit nak tumbuk abang. Gembira tumbuk abang, sedih pun nak tumbuk abang. Ni yang rasa macam nak terjun dalam sungai ni.”

Abang buat-buat seperti ingin berlari terjun ke dalam sungai. Aku cepat-cepat menarik lengannya. Nak terjun sungai bukan sekarang masanya, bang oi! Ayat itu sekadar bergema di dalam hati.

Aku beralih ke arah kakak pula. Kakak tersenyum manis ke arah aku.

Happy sweet seventeen, my dear,” ucap kakak membuatkan hati aku dihambat rasa terharu. Aku terus memeluk tubuh kakak.

“ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan Qalwa Hirfani, ALLAH selamatkan kamu...”

Aku melihat ke arah belakang kakak. Aku melihat ibu dan ayah menatang sebiji kek yang dihias cantik tapi tidak berlilin. Pasang lilin buat rugi duit sebab baru lima saat dinyalakan gerenti terpadam. Angin agak kuat petang ni.

Aku yang terharu terus menekup mulut dengan tapak tangan. Aku menyambut pisau potong kek yang dihulur oleh ayah.

“Kita nyanyi sama-sama,” kata abang.

Serentak mereka bernyanyi...

“Selamat hari jadi, selamat hari jadi, selamat hari jadi Qalwa Hirfani, selamat hari jadi...”

Usai mereka bernyanyi, aku terus memotong kek tersebut. Serentak mereka menepuk tangan menggamatkan suasana. Aku menyuapkan sedikit kek ke dalam mulut ibu, ayah, kakak, dan abang. Tiani dan Dufa yang membuat muka turut aku suapkan dengan kek.

“Saya tak nak suap ke?”

Semua terdiam dan memandang ke arah Ilzam di belakang aku. Abang dan kakak dan tersenyum-senyum dah. Tiani dan Dufa pula tersengih mengalahkan kambing. Ibu dan ayah dah tayang muka tak percaya.

Berani betul dia buat permintaan merepek macam tu depan ibu dengan ayah aku.


“ADIK suka dengan dia ke?” Soalan maut yang terbit di bibir abang membuatkan aku tidak jadi untuk menyuap kek ke dalam mulut. Aku meletakkan kembali sudu ke dalam pinggan yang berisi kek.

“Suka buat masa sekarang tak memberi apa-apa makna bagi adik. Adik nak tumpukan perhatian pada SPM dulu. Lepas tu nak sambung belajar pula. Rasa macam tak ada masa nak fikir soal suka dan cinta ni.”

Abang terangguk-angguk. Kek di dalam pinggannya disuapkan ke mulutnya.

“Tapi abang suka kalau adik dengan dia. Abang tengok dia tu ada ciri-ciri lelaki yang ibu dan ayah minat. Tengoklah, dari tadi ibu dengan ayah asyik menempel dekat dia.”

Aku melihat ke arah sana. Benar kata abang, ibu dan ayah asyik menempel dengan Ilzam. Lagipun, Ilzam pandai mengambil hati ibu dan ayah.

“Kenapa cepat sangat buat surprise? Hari jadi adik, kan esok?” Aku menyoal abang.

Yalah, aku diberi kejutan hari jadi awal sehari. Betapa ekspresnya mereka. Sedangkan aku masih berada di alam kemanisan gadis berusia enam belas tahun. Tapi, tinggal hanya beberapa jam sebelum aku menginjak ke usia tujuh belas tahun.

“Lupalah tu. Esokkan adik ada seminar kemasukan ke universiti dekat UiTM? Ilzam kata kemungkinan adik akan balik malam. Jadi, daripada buat waktu semua tengah penat malam esok, lebih baik kita awalkan sehari. Sekurang-kurangnya sempat juga orang tu ‘berdating’ dengan Ilzam.”

Pipi aku terasa hangat apabila abang menyebut perkataan ‘dating’. Entah-entah hanya aku yang perasan dengan penuh perasaan. Sedangkan Ilzam hanya rileks dan tak ada perasaan pun. Aku yang terhegeh-hegeh dekat dia.

“Abang, adik tak layaklah untuk dia. Lagipun, dia pandai. Adik pula dah cukup bertuahlah keputusan PMR lepas untuk masuk ke kelas sains. Kalau tak, adik rasa adik mungkin ambil sastera atau prinsip akaun.”

Abang meletakkan pinggan kek ke sebelahnya.

“Adik, jangan merendah diri sangat. Layak atau tidak itu bukan kerja kita. Lagipun, jodoh adalah ketentuan ALLAH. Jodoh tak mengira orang tu bijak, kurang bijak, kaya mahupun miskin.

“Kan orang selalu kata, cinta itu buta. Tapi, jangan sampai cinta itu membutakan kita. Kita juga perlu celik untuk menilai cinta. Menilai yang mana permata dan yang mana kaca. Apa-apa pun, sebelum adik mengenal cinta sesama manusia, adik perlu kenal erti cinta kepada-NYA.”

Aku terdiam seketika. Benar, jodoh itu bukan kerja kita. Jika dikatakan jodoh kita dengan A, maka A la yang akan menjadi teman sepanjang hayat. Jika B, maka B la yang akan menjadi teman sepanjang hayat.

Aku melihat ke arah abang dan tersenyum. Abang. Aku bersyukur kerana dikurniakan seorang abang seperti abang aku sekarang. Hidup aku yang suram menjadi cerah dengan bantuan cahaya dari abang.

“Apa-apa pun, usah dirisaukan dahulu soal cinta dan jodoh. Jodoh itu boleh menunggu tapi masa tidak menunggu. Manfaatkan masa adik masih berdarah remaja ini untuk memenuhkan dada dengan ilmu. Ilmu itu jambatan kejayaan.”

Aku menganguk tanda mengerti maksud kata-kata yang diucap oleh abang. Aku perlu memanfaatkan usia remaja yang datang hanya sekali. Aku perlu berusaha kuat di usia ini agar aku mampu mencapai kepuasan kelak pada masa hadapan.

“Qalwa!”

Dufa yang duduk berbual-bual dengan Tiani, Uwa, dan rakan-rakan Uwa menyeru nama aku. Aku menoleh melihat ke arah mereka. Bukan main seronok mereka dapat makan kek sambil berendam di dalam air. Trend terbaru ke apa makan dalam air?

“Pergilah duduk dengan kawan-kawan adik. Asyik berkepit dengan abang aje.”

Abang mengarah aku agar pergi ke arah mereka. Lambat-lambat aku bangun dan menuju ke arah mereka. Pinggan polisterina aku yang masih berisi kek aku bawa sekali. Perlahan-lahan aku menuruni tangga kerana tangga agak licin dan basah.

“Ada apa panggil Qalwa ni?” Aku menyoal mereka.

“Ala, tak boleh ke kami panggil birthday girl? Sesekali nak juga kami lepak dengan akak-akak cun. Yalah, dekat sekolah bukan main sibuk. Perdana Menteri pun boleh letak jawatan sebab tak sesibuk akak-akak semua.”

Uwa yang memang jenis kuat bercakap menjawab soalan aku. Aku tertawa kecil mendengar kata-kata Uwa. Benar, aku agak sibuk di sekolah. Menguruskan hal pengawas lagi, nak pergi kelas tambahan lagi, nak tolong cikgu lagi. Memang betullah kata Uwa tu. Perdana Menteri pun letak sebab aku lagi sibuk dari PM.

Tang mana yang cunnya, Uwa? Kalau kak Dufa dengan kak Tiani korang ni yalah cun. Akak ni tak adalah cantik mana pun...” ujar aku merendah diri.

“Kecantikan luaran tidak penting kerana suatu hari nanti kita akan kehilangan kesemua kecantikan tersebut. Tapi, kecantikan dalaman adalah kecantikan yang asli. Cantik di dalam, maka cantik di luar.”

Suara yang garau itu membuatkan dada aku tiba-tiba berdebar. Aku lihat Dufa dan Tiani sudah tersengih kambing biri-biri. Uwa dan rakan-rakan dia pula tersenyum mengusik. Salah seorang dari mereka membuat bentuk hati ke arah aku. Arrgghh... jahat betullah mereka ni!

“Kenapa tak dimakan kek tu?” soal Ilzam seraya melabuhkan punggungnya ke atas batu yang tidak jauh dari aku.

“Alamak, macam kacau daunlah pula kami ni, kan? Jadi, kengkawan... selam!”

Serentak Uwa dan rakan-rakannya menyelam ke dalam sungai. Sungainya tidaklah dalam mana. Boleh nampak bayang mereka dari tempat aku duduk. Sedar-sedar aje mereka dah sampai ke hujung sebelah sana.

“Kita pun macam kacau daun jugalah ni, ek? Jomlah, aku nak bedal sampai habis kek birthday girl,” ujar Dufa seraya mengangkat punggungnya.

Tiani turut bangun untuk mengikut langkah Dufa. Namun, sempat lagi dia mengenyitkan sebelah matanya ke arah aku. Nantilah kau, Tiani... Dufa... kalau aku dapat korang memang aku sekeh-sekeh kepala korang sampai benjol.

“Selamat hari jadi...” ucap Ilzam kepada aku.

Tak tahu apa yang patut aku balas, sudahnya aku sekadar mengangguk. Aku tertunduk memandang pinggan polisterina yang berisi kek. Tak tahulah bila nak habisnya kek ni. Tadi, nak makan boleh pula berbual dengan abang. Sekarang, dah dengan Ilzam pula. Perut aku dah lapar ni!

“Saya dah tahu.”

Aku melihat ke arah Ilzam. Dia tahu? Tahu apa pula ni?

Ilzam yang tadinya melihat ke arah sungai, menoleh melihat aku.

“Saya tahu Qalwa sukakan saya sejak dari tingkatan dua.”

Rasa macam salah satu wayar dalam otak aku tercabut apabila mendengar kata-kata Ilzam. Ilzam tahu? Ya ALLAH, malunya aku... tiba-tiba rasa macam nak cabut lari. Tapi, kaki aku menolak arahan yang diberi oleh otak. Statik tak bergerak walau otak suruh bangun.

“Ma... macam... mana Ilz... tahu?”

Keluar dah penyakit gagap aku ni.

“Tak ada orang yang nervous dan tak tentu arah bila tengok saya. Tak ada orang sentiasa buat muka sombong dengan saya. Walhal malu dan bukannya sombong. Tak ada orang yang menjeling saya dan sentiasa mencari di mana saya... kecuali awak. Cara awak menyembunyikan perasaan awak tu lucu dan comel.”

Aku rasa macam nak sumbat aje semua kek ke dalam mulut. Lepas tu tutup muka dengan pinggan polisterina ni. Malu tahap balik rumah sekarang juga.

“Errr... obvious sangat ke gerak-geri saya tu?” Aku menyoal.

“Jadi, maknanya betullah awak suka saya?”

Erkk...

Oh, otak... kenapa soalan itu juga yang ‘kau’ suruh mulut aku ajukan. Tengok, tak pasal-pasal aku terperangkap. Kan dah rasa macam nak buat betul-betul tutup muka dengan pinggan polisterina.

“Kata orang, bertepuk sebelah tangan itu sakit.”

Aku tertunduk. Ya, memang sakit. Sakit bagai ditusuk pedang samurai. Siapa yang tak sakit apatah lagi tiap-tiap hari melihat jejaka idaman kita berdamping dengan perempuan lain. Walaupun sekadar untuk menyelesaikan beberapa tugasan.

“Dan sekarang, rasa sakit itu sudah hilang dari hati saya. Terima kasih. Harap-harap saya ada jodoh dengan Qalwa.”

Aku terus membisu. Meskipun aku bukanlah pelajar aliran sastera, tapi madah Ilzam mampu dicerna oleh minda aku. Benarkah maksudnya? Adakah selama ini dia juga seperti aku? Cuma, dia berharap pada aku manakala aku berharap padanya. Saling mengharap.

Ilzam terus bangun selepas tu.

“Dah pukul 5.30. Saya belum solat Asar lagi. Saya balik dulu, ya. Assalamualaikum.”

Waalaikummussalam. Aku hanya menjawab salam yang dihulurnya di dalam hati. Langkah Ilzam yang kian jauh aku perhati. Kisah aku apabila diteliti semula ibarat membaca sebuah novel cinta. Tanpa sedar rupa-rupanya saling mengharap. Huh! Klise la kau, Qalwa.

“Adik, jom balik. Matahari dah jauh ke barat dah ni. Yang lain pun balik juga. Nanti risau pula mak-mak korang.”

Suara kakak yang lantang mematikan lamunan aku. Aku terus bangkit sambil menatang pinggan polisterina. Dibawa ke hulur dan hilir, tapi sikit aje yang aku makan. Aku terus menuju ke arah abang yang sedang mengemas meja.

Abang, adik sayang abang selamanya. Adik sayang semua ahli keluarga kita. Tanpa kalian siapalah adik.

“Termenung pula dia. Tak pernah tengok abang mengemas meja ke?” Teguran abang memecah lamunan aku.

Aku tersenyum ke arah abang seraya menghulur pinggan polisterina aku ke arah abang. Abang meletakkan kek tersebut ke dalam bekas dan pinggan polisterina dibuang ke dalam plastik sampah.

“Balik ni teman abang dating dengan Shin Min Ah, ek?” Sempat lagi abang aku ni.

“Tak nak!”

“Alaaaa...”

“Uwekkk...” Aku menjelir lidah ke arah abang. Abang hanya mencebikkan bibirnya.

Sebelum balik, abang membuang plastik sampah yang sarat ke dalam tong sampah. Aku dan abang beriringan pulang ke rumah sambil abang menolak basikal aku. Kakak mendahului kami kerana kakak menaiki kereta bersama-sama ibu dan ayah.

Biarlah rasa itu terhimpun di dada aku. Biarlah aku membiarkan rasa itu terus menghuni jiwa aku. Biarlah hanya hati aku yang menyimpan rahsia perasaan aku. Akan aku luahkan apabila saat itu tiba.

Kini, yang perlu aku utamakan ialah belajar. SPM penentu masa hadapan aku. SPM penentu sama ada aku mampu menggapai impian yang selama ini tertanam di suatu sudut di hati aku. SPM, tolonglah berbaik dengan saya ya.

Boleh pula aku ni?!

~TAMAT~

2 comments:

  1. donee ! panjang cerpen dia tapi best ! enjoy je jiah baca.. nice ! sekali lgi, nama2 dlm cerpen fit mmg jiah sukaa.. lain dri yg lain. hehe.

    ReplyDelete