Monday 20 October 2014

Ceritera Sahabat (cerpen)

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...


Aku merenung ke luar dinding kaca. Hujan masih turun membasahi lantai bumi. Namun, tidak selebat seperti tiga puluh saat yang lalu. Tiba-tiba ada seorang lelaki muda melintasi hadapan dinding kaca kafe' ini. Rambutnya basah dan serabai. Menandakan dia baru sahaja meredah hujan.

Aku melarikan pandangan ke hadapan. Kosong. Hanya ada kerusi yang menemani meja. Namun, lima saat kemudian, kerusi tersebut diduduki oleh seseorang. Lelaki itu! Lelaki yang berambut basah dan serabai. Aku melihat rambutnya. Hitam dan pekat. Penuh dengan keaslian lelaki Asia. Hmm...

Dia mengibas-ngibas rambutnya. Kelihatan titik-titik air dari rambutnya jatuh ke atas meja. Seketika kemudian dia menyeluk kocek seluar jeans miliknya. Sebuah telefon bimbit canggih berjenama Samsung dikeluarkan dari poketnya. Jenama telefon bimbitnya jelas dapat aku lihat. Jarak antara kerusinya dengan kerusi aku tidaklah jauh mana.

Kemudian aku teliti pula cara pemakaiannya. Hmm... penuh dengan aura kemewahan meski hanya bersarungkan baju-T kosong berwarna ungu tua yang dipadankan dengan seluar jeans berwarna hitam. Kasut yang tersarung di kakinya juga bukanlah kasut yang mampu dibeli oleh aku.

Aku menghela nafas dan kembali merenung ke luar jendela kaca.

Aku memang begini. Sesiapa yang mempunyai aura yang mampu menarik perhatian aku pasti akan aku teliti dari atas sampai ke bawah. Tidak kiralah dia seorang lelaki mahupun seorang perempuan. Aku suka melihat cara orang lain berpakaian kerana aku bukanlah seorang yang fashionable.

Macam sekarang, aku hanya menyarung baju-T lengan panjang labuh ke bawah punggung dan dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam. Tudung pula hanyalah tudung bawal berwarna krim. Simple tanpa sebarang aura. Aku tak ada aura. Aura fashionable.

"Fashion is not something that exists in dresses only. Fashion is in the sky, in the street, fashion has to do with ideas, the way we live, what is happening." - Coco Chanel

Long black iced coffee di hadapan aku disedut perlahan-lahan. Aku memang pelik dan suka cari penyakit. Sejuk walau seperti di kutub Utara sekalipun, aku tetap akan minum minuman berais jika aku mahu. Hanya mencari minuman panas jika terasa benar-benar perlu.

Dalam tak sedar, tiba-tiba aku dibawa arus nostalgia. Mengimbau ke zaman ketika nenek masih ada.

-

"Kamu tak elok minum kopi selalu. Nanti dah elok-elok putih tiba jadi hitam pula nanti. Lari habis semua laki tak nak dekat kamu," kata nenek ketika aku menuang air kopi ke dalam cawan buat kali yang ketiga.

Aku tertawa kecil.

"Tak pernah lagi Jiji dengar orang jadi hitam kalau minum kopi. Kalau Dayang Senandung tu yalah memang dah hitam kulitnya," balas aku lantas menghirup perlahan-lahan kopi suam di dalam cawan.

Nenek hanya menggeleng.

"Itulah kamu. Nenek cakap aje mesti nak menjawab. Tu, dah masuk cawan ke berapa dah kamu minum tu?"

"Tiga, nek."

Nenek menggeleng lagi.

"Kamu kalau tiba-tiba kulit tu jadi hitam nanti jangan nak meraung dekat nenek. Jangan cakap nenek tak cakap awal-awal."

Nenek memberi amaran awal dan aku hanya mengangguk. Nenek menggeleng lagi. Penat agaknya melayan cucunya yang keras kepala tahap kalah batu. Tapi tak mengapa. Batu pun kalau terkena air, perlahan-lahan akan terhakis.

-

Aku tersenyum sumbing seorang diri. Arwah nenek membesarkan sejak aku menjenguk dunia. Ayah aku meninggal ketika aku di dalam rahim ibu. Kata nenek, ayah meninggal akibat dihempap kayu balak di kilang di tempat kerjanya. Ibu pula meninggal sewaktu melahirkan aku. Hanya gambar menjadi pengubat rindu aku terhadap mereka.

Gelas berisi long black iced coffee aku letakkan kembali ke atas meja. Aku memandang ke hadapan dan mata aku bertentangan dengan pemuda itu. Dia mengoyak senyuman yang manis kepada aku. Namun, bibir aku terkaku dan membeku. Tidak pasti mahu membalas dengan senyuman yang bagaimana. Akhirnya, aku hanya menganggukkan kepala sedikit.

Aku terus menghalakan pandangan ke arah lain. Malu pula apabila dilihat sebegitu oleh seorang pemuda yang tidak aku kenali. Hmm... yang aku dok renung dia dari atas sampai ke bawah tadi tak pula aku malu.

"Wherever you go, whatever you do, I will be right here waiting for you..." lagu Right Here Waiting For You nyanyian Richard Marx berkumandang dari dalam beg silang di atas riba aku.

Aku yang tidak mahu si pemanggil tertunggu-tunggu terus mencari telefon bimbit di dalam beg silang. Setelah telefon bimbit dijumpai, aku segera menekan butang hijau. Sempat juga aku meneliti gerangan si pemanggil. Ratina, rakan serumah sewa aku yang menelefon.

"Assalamualaikum..." tak sempat aku ingin menyambung kata-kata, Ratina terus mencelah dengan suaranya yang cemas.

"Jiji, kau kena balik cepat, Jiji! Utih sakit, Jiji. Aku tak tahu nak buat apa. Dari tadi aku tengok dia tak dapat nak bernafas betul-betul. Aku tak tahu nak buat apa, Ji!" tanpa menjawab salam yang aku hulur, Ratina terus berkata-kata.

Aku tertegak di atas kerusi yang aku duduk. Utih sakit? Aku terus bergegas bangun sambil telefon masih terlekap di telinga aku.

"Kau telefon ambulans, Ti. Telefon cepat!"

Aku turut cemas jadinya. Mahunya aku tidak cemas apabila mendengar khabar Utih sakit. Utih juga rakan serumah sewa dengan aku. Aku sewa bertiga dengan Ratina dan Utih, Futikha. Utih memang mempunyai penyakit yang kronik, iaitu asma. Asmanya berada pada tahap yang kronik. Nak jalani rawatan di hospital, Utih pula bukanlah seorang yang berkemampuan. Jadi, dia hanya bergantung harap pada ubat farmasi.

Setelah membayar bil di kaunter, aku bergegas keluar dari Fuhaply Zone Cafe'. Aku menuju ke arah kereta aku yang terparkir benar-benar di hadapan dinding kaca di tempat aku duduk tadi. Hujan yang masih rintik-rintik tidak aku pedulikan. Sebelum beredar dari tempat parkir, sempat jua aku melihat sepintas lalu ke dalam kafe' tersebut.

Lelaki tadi memandang aku tanpa lepas. Wajahnya kelihatan tertanya-tanya. Namun, aku tidak mahu berfikir panjang soal lelaki itu. Hanya seperkara yang terlintas di fikiran aku tika ini, Utih yang sedang sakit.


SELANG DUA PULUH MINIT KEMUDIAN, aku tiba di perkarangan hospital. Allah itu Maha Mengetahui yang aku mahu cepat. Baru sahaja aku masuk ke dalam tempat parkir kereta hospital yang sudah penuh, sudah ada tempat kosong.

Aku pantas keluar dari kereta dan terus menuju ke bahagian kecemasan. Aku berlegar di ruang kecemasan mencari kelibat Ratina. Namun, kelibatnya tidak aku temui. Aku menuju ke ruang pertanyaan. Baru sahaja aku ingin membuka mulut bertanyakan mengenai Utih, tiba-tiba aku ternampak kelibat Ratina yang baru turun dari sebuah ambulans yang baru masuk ke perkarangan hospital.

Aku terus berlari menuju ke arahnya. Wajahnya dibasahi air mata. Aku melihat Utih baring di atas stroller yang ditolak oleh dua orang kakitangan hospital. Dia dipakaikan topeng oksigen. Dadanya berombak perlahan. Sejenak dada aku diserbu perasaan sebak. Utih...

"Jiji, aku takut kalau kita akan kehilangan Utih," dalam sendu Ratina berbicara menambahkan lagi sebak ke dalam dada aku.

Aku menarik bahu Ratina ke dalam pelukanku. Perlahan-lahan bahunya aku gosok.

"Sama-sama kita doakan Utih mudah-mudahan dia tak apa-apa. Jom, kita tunggu dia dekat dalam."

Berpasang-pasang mata yang melihat drama kami tidak aku pedulikan. Biarlah apa yang ingin mereka katakan. Mereka tidak tahu bahawa yang ditolak ke dalam wad kecemasan tadi ialah sahabat kami. Jalinan persahabatan yang tidak akan pernah ada penghujungnya.

-

"Hai, nama saya Futikha atau korang boleh panggil saya Utih. Hmm... sebelum saya terus perkenalkan diri saya, saya nak cakap awal-awal tentang penyakit saya. Saya ada asma, jadi saya harap korang faham saya. Asma ni manja sikit. Hehe..."

Aku saling berpandangan dengan Ratina. Macam 'lurus' aje budak ni. Tapi okey juga. Sekurang-kurangnya dia dah bagitau awal-awal yang dia ada asma. Tak adalah nanti terkejut badak kami ni tak tahu nak buat apa kalau tiba-tiba dia sesak nafas.

Malam itu aku research tentang asma dari pak cik Google. Antara yang menarik perhatian aku ialah laman Sinar Harian yang memaparkan tentang asma. Katanya...

"Asma, adalah penyakit paru-paru kronik yang disebabkan keradangan di saluran udara paru-paru. Apabila terdedah kepada bahan yang boleh mencetuskan keradangan, dinding saluran udara ke paru-paru menjadi tebal dan membuatkan saluran ini menjadi semput.

Implikasinya, akan membuatkan pesakit asma mengalami gejala seperti batuk, berdesit (nafas berbunyi seperti wisel), susah bernafas dan dada rasa ketat (seperti ditekan)."

Oh, barulah aku tahu apa bendanya asma tu. Kalau tak, aku asyik ingat yang asma tu sesak nafas dan tak boleh bernafas. Macam hidung tu dah penuh dengan mucus.

"Oi, kau buat apa tu Jiji?" soal Ratina yang datang dari arah belakang sambil bawa muk berisi air panas.

"Aku tengah buat research pasal asma ni. Risau juga aku sebab si budak Utih tu ada asma. Nanti kalau apa-apa jadi tak adalah aku kalut sangat. Sekurang-kurangnya tahulah aku sikit-sikit pasal asma."

Ratina hanya mengangguk. Dia mencicip sedikit demi sedikit air di dalam muknya. Matanya melihat ke arah skrin komputer aku.

"Budak tu tengah buat apa?" tanya aku pada Ratina.

"Dia duduk dalam bilik dari tadi. Apa yang dibuatnya pun taklah aku tahu," jawab Ratina selamba.

Aku pula yang tiba-tiba jadi risau. Dalam fikiran aku dah terbayang macam mana Utih waktu asma. Ya Allah, takut pula aku jadinya. Lagi takut kalau dia sorang-sorang. Nanti buatnya dia 'kejung' dalam bilik tu, siapa yang tahu?

Aku terus bangun dan menuju ke hadapan bilik Utih. Ratina hanya memandang aku tanpa mengerlipkan matanya. Aku mengetuk pintu bilik Utih. Tanpa menunggu lama, Utih terus aje terpacak di hadapan mata aku.

"Ya, ada apa Jiji?" soalnya.

"Awak tak apa-apa, kan?" aku menyoalnya kembali.

Dia menggeleng dengan riak wajahnya yang kelihatan seperti pelik. Aku menghela nafas lega. Aku memang cepat melatah dan selalu berfikiran negatif. Risau pun satu.

"Sebenarnya Jiji tu risaukan Utih. Dia takut kalau-kalau terjadi apa-apa pada Utih. Yalah, Utih kan ada asma. Nak tahu tak, dia siap buat research pasal asma lagi tu."

Kata-kata Ratina yang tiba-tiba mencelah membuatkan riak wajah Utih bertukar menjadi terharu. Utih yang agak straight to the point memang tak mampu menyembunyikan riak wajahnya.

"Terima kasih sebab sudi ambil berat pasal Utih. Utih rasa bertuah sangat sebab dapat housemate macam Jiji dengan Ratina," dengan penuh keikhlasan Utih berbicara.

Aku hanya tersenyum sambil memandang ke arah Utih yang comel menyarungkan pijama dengan gambar teddy bear. Cute in a matured style. Huh?

-

Sudah dua hari aku dan Ratina berkampung di hospital. Dua hari juga kami minta cuti dari majikan di tempat kerja untuk menemani Utih yang kian lemah dek penyakitnya yang kian kritikal. Doktor kata, peluangnya untuk sembuh amat tipis. Lemah lutut aku saat diberitahu oleh doktor perihal Utih.

Tangan Utih yang sedikit pucat aku lapkan dengan kain basah. Utih mempunyai nasib yang hampir sama dengan aku. Dia kehilangan kedua-dua orang tuanya sewaktu kecil. Cuma bezanya dia dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Utih juga anak tunggal seperti aku. Bergantung pada diri sendiri untuk meneruskan hidup.

"Utih..." terdengar suara Ratina memanggil nama Utih.

Aku pantas melihat ke arah wajah Utih. Matanya terbuka sedikit sebelum tertutup kembali. Kemudian, matanya kembali terbuka namun hanya separuh. Dalam keadaannya yang lemah, dia masih mampu menghadiahkan kami sekuntum senyuman. Namun, senyumannya tidak selebar seperti biasa.

"Jiji... Tina..." perlahan sungguh suaranya. Aku yang duduk di sebelahnya juga hampir tidak mampu mendengarnya.

Ratina aku lihat tidak mampu untuk menahan perasaannya. Perlahan-lahan mutiara jernih mengalir dari kelopak matanya. Aku pula sedaya upaya menahan sebak. Aku pernah terbaca, namun aku lupa di mana...

'Jika kita sedih, mereka pasti akan lebih sedih. Jadi, kita harus kuat agar mereka menjadi lebih kuat.' Lebih kurang begitulah ayatnya.

"Maaf... U... Utih dah... susah... Jiji... dengan... Tina..."

Bersusah-payah aku lihat Utih cuba untuk bertutur. Aku hanya tersenyum ke arah Utih sambil menggenggam tangannya.

"Utih, kita kan kawan. Utih tak pernah menyusahkan kami. Memang dah jadi tanggungjawab kami untuk bantu Utih. Jiji tak sanggup nak tengok kawan Jiji sakit. Utih kena kuat."

Tangan Utih yang kesejukan perlahan-lahan membalas genggaman aku. Dia tersenyum lagi. Utih memang seorang yang pemurah dalam memberikan senyuman. Senyuman tak pernah lekang dari bibirnya. Walau ketika senang mahupun susah, ketika sihat mahupun sakit, Utih tetap akan tersenyum.

"Utih, semalam Hafomi ada datang melawat Utih. Dia kirim salam pada Utih. Katanya dia tak dapat nak datang hari ni. Hari ni dia kena pergi Kedah sebab ada hal di sana. Dia minta maaf juga pada Utih. Minta maaf atas sebab apa, tak pula dia bagitau apa-apa pada Jiji."

Aku menyampaikan khabar mengenai Hafomi pada Utih. Hafomi, teman tapi mesra Utih di tempat kerja. Meski Utih seringkali menafikan hubungan istimewa antara dia dan Hafomi tapi aku tahu bunga-bunga cinta berkembang mekar dalam hati Utih buat Hafomi.

Perlahan-lahan senyuman Utih mengendur. Dia menutup matanya. Riak wajahnya memancarkan kesedihan dalam kekecewaan. Aku agak ini pasti berkaitan dengan Hafomi. Namun, segala-galanya hanya Utih yang tahu.

Ratina aku lihat sedang mengesat air mata di pipinya. Dia terus menggenggam tangan Utih di sebelah kiri. Aku dan Ratina mempunyai persamaan dalam perasaan. Kami sayang Utih seperti kami sayang diri kami sendiri. Begitu juga aku yang sayang Ratina dan Utih. Sayang atas dasar persahabatan.

"Utih gaduh ke dengan Hafomi?" soal aku apabila melihat terlalu lama Utih mendiamkan diri.

Utih menggeleng perlahan sambil matanya tetap terpejam rapat.

"Utih nak tahu tak... Jiji dengan Tina sayang Utih sangat-sangat. Kalau Utih sakit, kami pun turut sakit. Utih adalah penguat semangat Jiji. Jiji sayang Utih sejak dari kali pertama kita berkenalan. Selamanya Utih sahabat Jiji. Sahabat dunia dan akhirat."

Aku keluarkan apa yang selama ini tersembunyi di sudut hati aku. Ya, aku sayang Utih. Sayang yang aku sendiri tidak temui di manakah penghujungnya. Tangannya aku usap perlahan. Sebak yang menguasai hati aku kurungkan di dalam jiwa agar tidak keluar melalui air mata. Aku tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Utih yang sudah cukup lemah.

Utih membuka matanya perlahan-lahan. Dia tersenyum manis dengan air mata yang mulai bertakung di tubir matanya. Kami saling bertatapan selama hampir setengah minit sebelum air matanya mengalir dalam senyumannya yang masih terukir.

"Tina pun sayang Utih. Tina tak nak kehilangan Utih."

Ratina. Dia memang sensitif dan jiwanya cukup mudah tersentuh!

"U... Utih pun... sa... sa... yangkan... korang... kalau Utih... tak... ada... baca... kan... Fatihah..."

Mata aku terasa berat. Tubir mata aku sudah dipenuhi air mata. Aku masih menahannya dari jatuh di hadapan Utih. Aku tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Utih. Tidak mahu!

"Utih... kenapa cakap macam tu?" dalam sendu Ratina bertanya.

"Utih... tak tahu... bila... Utih... pergi..."

Aku terus meleraikan genggaman tangan aku. Utih melihat ke arah aku. Aku tersenyum ke arahnya seraya bangun. Beg silang di tepi katil Utih aku capai dan silangkan ke badan.

"Jiji nak keluar sekejap. Nak pergi beli air. Utih nak bubur tak? Kalau nak Jiji boleh tolong belikan."

Perlahan Utih menggeleng. Aku tersenyum ke arahnya sebelum terus berlalu keluar dari Wad Cempaka Jelita yang menempatkan pesakit perempuan yang agak kritikal. Aku tidak terus ke kafe' hospital, sebaliknya menuju ke arah balkoni yang agak sunyi.

Di situ aku meluahkan perasaan sebak aku. Berjejeran air mata membasahi daerah pipi tanpa sebarang suara. Dada yang terasa senak, aku pegang. Makin lebat air mata aku mengalir turun. Ya Allah, hebat sungguh dugaan yang Engkau turunkan kepada sahabatku, Futikha.

Beberapa minit kemudian, aku masih di situ, di balkoni yang sunyi. Air mata sudah kering di pipi, namun sebak yang menghujani hati aku masih tidak surut. Aku mengalunkan istighfar di dalam hati agar aku tidak terus tenggelam dalam dunia sebak.

Aku mengeluarkan paket tisu lembap. Aku tarik sehelai dan basahkan muka dengan tisu tersebut. Wajah aku terasa lebih segar berbanding tadi. Aku berpusing untuk keluar dari bahagian balkoni tersebut. Tapi, mata aku terlihat kelibat seorang lelaki yang memakai tongkat di bawah lengannya. Sebelah kakinya berbalut.

Aku melihat gerangannya. Aku sedikit tersentak. Aku kenal lelaki itu. Lelaki yang aku lihat di Fuhaply Zone Cafe'. Tapi, tempoh hari aku lihat kakinya tidak berbalut dan elok sahaja dia berjalan. Tapi, hari ini... ahh, kalau dah namanya takdir!

Dia melihat ke arah aku. Kelihatan bibirnya terkumat-kamit seakan-akan ingin membicarakan sesuatu. Tapi, aku tidak melayan dan terus berlalu keluar dari balkoni. Aku terus menuju ke arah kafe' hospital yang terletak di tingkat bawah blok sebelah.


SUDAH SEJAM AKU DAN RATINA MENUNGGU, namun kami masih tidak tahu apa yang terjadi pada Utih di sebalik langsir berwarna biru itu. Ratina di sebelah aku pula sudah seperti cacing kepanasan. Sekejap-sekejap dia cuba mencuri pandang ke arah di sebalik langsir tersebut.

Tadi, sedang asyik kami berbual bersama-sama Utih, tiba-tiba dia sesak nafas. Tanpa bertangguh, aku terus menjerit menggamit kehadiran doktor dan jururawat. Dan, sampai sekarang kami tidak tahu keadaan Utih. Aku tak putus-putus berdoa mudah-mudahan Utih hanya sesak nafas biasa-biasa. Yalah, Utih kan ada asma.

"Jiji, aku risaukan Utih, Ji. Aku nak tengok dia."

Aku menoleh melihat ke arah Ratina. Matanya berkaca-kaca, namun air matanya tidak mengalir.

"Sa..." tak sempat untuk aku menghabiskan ayat aku, sudah ada suara lain yang mencelah.

"Ratina, Qirazi, macam mana keadaan Futikha?" dengan nafas yang tidak teratur, Hafomi menyoal kami. Entah dari mana Hafomi pun aku tak perasan.

Aku hanya menggeleng sebagai jawapan kepada soalan Hafomi. Dia terduduk di atas kerusi yang terletak selang dua buah kerusi daripada kerusi yang aku duduk. Aku melihat ke arah Hafomi dari sudut sisi. Dia kelihatan benar-benar serabut dan gelisah.

"Haf bergaduh ke dengan Utih?" aku bertanyakan soalan yang sekian lama terperap dalam minda aku.

Hafomi memusingkan kepalanya untuk melihat ke arah aku. Dia menghela nafas perlahan sebelum tertunduk sedikit.

"Haf tak bergaduh pun dengan dia. Cuma, dia tolak lamaran Haf. Haf ikhlas nak jadikan dia sebagai isteri Haf. Tapi, berkali-kali dia menolak dengan alasan yang dia tak nak menyusahkan Haf dengan penyakit dia. Tapi, Haf tak berputus asa."

Hafomi mendiamkan diri seketika sebelum kembali menyambung bicaranya.

"Haf sayangkan dia, Ji. Haf sayang dia dan kerana itulah Haf nak dia jadi isteri Haf. Tapi, dia tetap dengan pendirian dia. Dia tak nak menyusahkan Haf. Haf tahu yang dia sayangkan Haf juga. Cuma dia tak nak menzahirkannya. Dia tak nak Haf berharap kasih daripadanya."

Aku terdiam mendengar luahan hati Hafomi. Bait-bait yang terluah dari bibirnya kedengaran benar-benar ikhlas. Utih ialah insan yang bertuah jika dia memiliki Hafomi. Namun, jika takdir mengatakan apa yang aku bayangkan tidak akan terjadi, maka hanya redha adalah jalan yang terbaik.

Lima minit kemudian, langsir berwarna biru itu diselak dari dalam. Kami bertiga terus bangun dan menghampiri katil Utih. Namun, apa yang aku saksikan ini benar-benar membuatkan hati aku terkilan.

Tubuh Utih dibalut dengan selimut dari atas kepala sehingga ke hujung kakinya. Ratina yang lemah sudah tersungkur ke atas lantai Wad Cempaka Jelita. Hafomi pula aku lihat sudah terkaku dengan mata yang berkaca. Matanya merenung kain selimut yang membaluti tubuh Utih.

"Kami hanya melakukan apa yang kami terdaya, tapi ajal maut segalanya di tangan Allah," ucap Doktor Warlia, doktor yang merawat Utih sambil dia menepuk-nepuk bahu aku.

Aku cepat-cepat memegang besi penghujung katil Utih kerana lutut aku terasa benar-benar lemah. Setelah hampir lima tahun aku mengenali Utih, hari ni aku telah berpisah dengan Utih. Berpisah yang tidak akan bertemu lagi.

"Utih..." perlahan suara aku memanggil namanya meskipun aku tahu dia tidak akan menjawab panggilanku.


AIR MAWAR disiram di atas pusara Utih. Aku serahkan pula jag yang berisi air mawar kepada Ratina di sebelah aku. Dia yang setia ditemani dengan tisu untuk mengelap air matanya, menyambut huluranku.

Aku beralih ke belakang untuk memberi ruang kepada Ratina. Aku melihat ke arah hujung sebelah pintu masuk tanah perkuburan Islam ini. Di sana juga terdapat kematian. Aku merenung mereka yang lalu-lalang di sana dan aku melihat seorang lelaki duduk di atas kerusi plastik. Tangannya memegang sepasang tongkat.

Entah macam mana, daripada membelakangi aku, tiba-tiba lelaki itu berpusing dan matanya tepat menikam mata aku. Lelaki itu lagi! Orang kata kalau selalu berjumpa dengan lelaki yang pernah sekali kita jumpa, maka dia ialah jodoh kita.

Tapi, itu kata orang! Bukan kata takdir.

Aku kembali melihat ke arah pusara Utih. Hafomi sedang menyiram air mawar ke atas pusara Utih. Lelaki itu benar-benar sedih dengan pemergian Utih. Aku seringkali melihat dia termenung sejak dari semasa di hospital semalam sehingga ke hari ini.

"Utih pernah pesan, dia suruh kita sedekahkan dia al-Fatihah bila dia meninggal," kata Ratina mengingatkan aku pada permintaan Utih sebelum dia meninggal dunia.

Aku mengangguk mengiakan. Aku tak pernah lupa permintaannya itu. Sejak dari semalam sehingga ke hari ini, aku tak henti-henti sedekah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran buatnya. Mudah-mudahan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Seorang demi seorang melangkahkan kaki meninggalkan kawasan tanah perkuburan. Tinggal hanya aku dan Ratina. Hafomi turut pulang kerana dia tak dapat berlama kerana ada hal keluarga. Biarlah lelaki itu pulang. Mudah-mudahan dia juga redha dengan pemergian Utih.

"Tina, dahlah tu. Yang pergi tetap akan pergi, yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan. Kita perlu tabah hadapi semua ini. Ini adalah sebahagian daripada kitaran hidup makhluk-Nya yang bernyawa. Yang hidup pasti akan mati."

Setelah dipujuk, akhirnya Ratina ingin juga beredar dari pusara Utih. Namun, dalam perjalanan, kami ditahan oleh lelaki itu. Aku memandang ke arahnya dengan dahi yang berkerut. Aku kenal dengan dia ke?

"Saya ada hal dengan Star Shine."

Aku terkedu seketika. Dia tahu nama pena aku? Tapi, dari mana?

~ Tamat ~

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Agak-agak ada tak yang teringin nak belasah aku sebab aku biarkan ending dia tergantung macam tu aje? :P

Wassalam. Tata. Thanks sudi baca Fitri merepek.

7 comments:

  1. Mmg pun rasa nak belasah...ngeeee ��������

    Sambunb la lg....pleaseeeeeeee....������

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe... meh sini belasah cek...

      *nantikan di entry yang akan datang* :P

      Delete
  2. Fit !!!!!!!!!!!!!! ada yang nak kena belasah nihhh !! nak sambungan pleasee ! jalan cerita dah menarik sgt2 dh. kalah cerpen2 Jie... tp geramnyaa kite dengan budak nieee... >.< pastikan ada sambungannya... ASAP ! :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. sila baca komen fit di atas.. hehe.. meh sini belasah fit.. fit tunggu jiah datang!!! :P

      Delete
    2. huuu... okey.. akan ku tunggu entry yg akan datang... ;)

      Delete
  3. Mmg minta belasah ending camni. Huhuhu silalah sambung lagi

    ReplyDelete
  4. hehehe.... wait for my next entry yaaa... ;)

    ReplyDelete