Friday 7 March 2014

Cerpen : Ibu & Nurul Iman

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...


AKU mendongak memandang ke arah langit yang mendung. Kelabu melindungi sang mentari. Sesekali telinga aku menangkap bunyi sang guruh yang berdentum. Aku segera memegang tali beg galas aku yang sudah lusuh. Dalam kiraan satu, dua, tiga....

Aku segera berlari apabila melihat awan hujan seakan sudah berat dan tidak sabar untuk menumpahkan isinya. Kaki aku yang sesekali termasuk ke dalam becak tidak aku peduli. Biarlah kasut kotor, ia mampu dibasuh. Tapi, aku tidak mahu ditimpa hujan. Cukuplah sekali aku demam gara-gara lencun ditimpa air hujan yang lebat dahulu.

Tergesa-gesa aku membuka kasut di kaki aku lantas meletakkannya di atas tangga. Sedang elok kaki aku mencecah lantai rumah usang milik keluarga aku, hujan pun turun. Dari sekadar renyai-renyai, ia mengganas membasahi lantai rumah usang aku.

"Akak, cepat ambil baldi dengan periuk dekat dapur tu. Letak dekat tempat bocor. Ibu nak kejut adik kamu kejap. Jangan-jangan dah lencun budak tu."

Suara ibu yang datang dari arah biliknya membuatkan aku tidak mampu untuk aku duduk seketika untuk melepaskan lelah. Pantas aku mengorak langkah ke dapur setelah beg sekolah aku letakkan di tepi pintu. Dua buah periuk berserta baldi aku capai. Aku letakkan periuk dan baldi di bawah atap rumah aku yang bocor termasuklah di dalam bilik.

Ting! Ting!

Air hujan menitis di dalam periuk yang aku letak. Secara tiba-tiba aku berasa seram sejuk. Seluruh bulu roma aku meremang. Aduh, janganlah demam! Tapi, tadi aku tidak terkena pun titisan hujan. Harap-harapnya tidaklah. Aku tidak mahu menyusahkan ibu.

Cukuplah wanita tabah itu susah membesarkan aku dan adik aku. Dialah ibu, dialah ayah. Aku hanya sempat merasai kasih seorang ayah sekadar untuk lima tahun. Tapi, aku kira masih beruntung berbanding adik aku. Dia langsung tidak pernah menatap wajah ayah apatah lagi merasai kasih ayah kerana ayah meninggal sehari selepas kelahirannya ke dunia ini.

Aku yakin, kehidupan aku sekeluarga pasti lebih baik jika ayah ada di sisi. Walaupun tidak sebaik orang lain namun pasti tidak seperti sekarang. Kehidupan aku hari ini sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Adakalanya aku langsung tidak makan dan aku mengambil jalan alternatif berpuasa sunat.

Soal aku, aku tidak kisah. Tapi, soal adik aku. Aku kasihankan dia. Dia sentiasa lemah. Lemah kerana kekurangan zat. Aku tahu ibu tidak mampu menyediakan makanan yang enak-enak buat aku dan adik. Soal ibu juga membuatkan aku tidak senang duduk. Sudah berkali-kali aku menyatakan hasrat aku untuk berhenti sekolah kerana tidak mahu ibu terbeban tapi ibu tidak mahu. Katanya biarlah kami bersusah ketika ini demi mencari kesenangan pada masa akan datang.

Aku merenung luar rumah yang sudah basah ditimpa titisan air hujan. Segalanya basah...

"Apa yang akak menungkan tu? Pergilah buka baju sekolah tu, mandi lepas tu kita makan. Hari ni kita makan sedap sikit."

Suara ibu mematikan lamunanku. Aku berpaling melihat ke arah ibu yang sedang memeluk bahu adikku, Nurul Iman. Nurul Iman terlalu kurus. Jika tidak mengenali Nurul Iman, orang pasti akan berkata bahawa adik aku itu masih bersekolah rendah andai dia bersekolah. Walhal, umurnya adalah tiga belas tahun. 

Ibu. Wanita itu tidak pernah mengeluh walau sesaat malah wajahnya sentiasa dihiasi oleh sekuntum senyuman.

Ibu membaringkan adikku ke atas lantai yang sudah dilapikkan dengan sehelai selimut. Nurul Iman seakan tidak sedar akan rintik-rintik hujan yang sedang membasahi bumi sebaliknya leka melayan mimpi di alam lena. Pasti dia keletihan membantu ibu pagi tadi di kebun kecil di belakang rumah.

Aku melihat ibu menepuk-nepuk Nurul Iman meskipun adik aku itu sudahpun tidur. Aku pula segera mengangkat beg sekolah aku. Aku berlalu masuk ke dalam bilik. Dalam keadaan hujan sebegini, tidaklah aku mampu untuk mandi. Aku sekadar menukar uniform sekolah kepada T-shirt yang sudah koyak pada bahagian lehernya.

Rumah aku yang serba daif ini tidak mempunyai banyak bilik seperti rumah orang lain. Hanya ada satu bilik yang menjadi tempat aku, ibu dan Nurul Iman tidur, menukar pakaian dan merehatkan badan yang keletihan.

Aku segera keluar dari bilik setelah selesai menyalin pakaian. Ibu, aku lihat sudah tiada di sisi Nurul Iman yang masih asyik dibuai mimpi. Aku menapak ke arah Nurul Iman dan berlutut di sisinya. Perlahan-lahan aku menunduk mencium dahi dan pipi Nurul Iman.

Sebak lebat menghujani sanubari aku seperti hujan di luar rumah aku kini tatkala bibir aku mendarat di pipi Nurul Iman.

"Akak janji akak akan bantu adik dan ibu suatu hari nanti. Akak janji akak akan keluarkan kita semua dari kepompong kemiskinan. Akak janji akak akan sayang adik dan ibu sampai akak mati."

Perlahan aku berbisik ke telinga Nurul Iman. Dia dengar mahupun tidak, tidaklah aku tahu. Tapi sekurang-kurangnya aku sudah membisikkan janji yang akan cuba untuk aku tunaikan suatu hari nanti. Secara tiba-tiba, air mata aku mengalir dan jatuh ke pipinya. Segera aku kesat dan lagi sekali aku kucup pipinya.

"Lamanya akak salin baju," ujar ibu dari arah dapur yang fikir bahawa aku masih belum selesai menyalin baju.

Air mata di tubir mata segera aku kesat. Aku bangun dan menapak meninggalkan adik yang masih dibuai mimpi. Masuk sahaja ke dapur, aku lihat ibu sudah bersimpuh di atas lantai menghadap rezeki kami pada hari ini. Aku terus melabuhkan punggung di hadapan ibu setelah membasuh tangan di sinki yang sudah hampir roboh.

Usai membaca doa sebelum makan, aku terus makan namun tidak terdaya untuk aku mengunyah nasi di dalam mulut aku. Selera aku mati tiba-tiba. Senyap-senyap aku mencuri pandang ke arah ibu. Nasi di dalam pinggan ibu amat sikit berbanding dengan aku. Malah, ikan sardin tersebut juga diambilnya setelah dibelah empat.

"Ibu, kenyang ke ibu makan banyak tu?" terpacul soalan tersebut di bibir aku.

Ibu mendongak dan tersenyum ke arah aku. Nasi di dalam mulutnya dikunyah dahulu lantas ditelan barulah soalan aku dibalasnya.

"Ibu tak kenyang pun tak mengapa. Asalkan anak-anak ibu kenyang. Akak perlukan tenaga nak buat kerja sekolah."

Aku memandang simpati ke arah ibu. Ibu! Pengorbanan ibu terlalu besar buat akak. Tak mungkin dapat akak balas jasa ibu seperti mana yang ibu lakukan kepada akak sekarang. Tak mungkin akak dapat lakukan yang sama.

"Dah. Cepat makan, lepas tu cepat-cepat siapkan kerja sekolah. Malam ni tak payah susah-susah buat depan lilin."

Ibu menghulurkan aku mangkuk berisi sardin tapi aku menolaknya. Tidak adil buatku andai aku makan sehingga kenyang sedangkan ibu... Ya Allah, hanya-Mu yang mampu membalas jasa ibuku.

Usai makan, aku basuh pula pinggan yang aku guna. Ibu menegah agar aku meninggalkan sahaja pinggan tersebut di dalam sinki. Tapi, perlukah aku menambah bebannya sedangkan bebannya kini juga aku rasa seperti tidak tertanggung?

Ketika aku sedang melangkah untuk mengambil beg sekolah di dalam bilik, aku terdengar esakan suara Nurul Iman. Tidak mampu untuk meneruskan langkah ke bilik, aku menuju ke arah Nurul Iman. Dia menangis sambil mulutnya terkumat-kamit. Mengigau barangkali.

"Adik... adik... adik mengigau ni adik."

Pipinya aku tampar lembut seraya mengesat air mata yang mengalir di wajahnya. Ngeri sangatkah mimpinya sehingga dia menangis?

"Akak..." Nurul Iman bersuara namun matanya masih terpejam. Air mata masih lagi mengalir.

"Adik, akak dekat sini. Bangun, dik. Adik mengigau ni. Adik..." aku masih berusaha mengejutnya dari terus dikejar mimpi ngeri, mungkin.

Melihat matanya masih terpejam, sekali aku menampar-nampar pipinya tapi tidak kuat. Sekadar tampar untuk mengejutnya sahaja, bukan tujuan untuk menyakitkannya.

Beberapa saat kemudian, bulat mata Nurul Iman terbuka memandang tepat ke arah aku. Aku tersenyum ke arahnya.

"Adik mengigau," ucap aku seraya menggosok dahinya yang sedikit basah dek peluh.

"Akak..." rengeknya seraya terus bangun dan mendakap tubuh aku. Pada mulanya aku agak terkejut namun perlahan-lahan aku membalas dakapannya.

"Adik, adik mimpi apa sampai menangis ni? Hmmm..." kepalanya aku usap perlahan.

"Adik mimpi akak nak tinggalkan adik. Adik tak nak akak pergi," balasnya seraya mengeratkan lagi pelukannya.

"Tak, akak tak tinggalkan adik. Dah, tak payah tidur dah. Pergi basuh muka lepas tu makan," ujarku sambil tangan aku masih lagi memeluk tubuh kurusnya.

Kepalanya aku usap lembut sebelum meleraikan pelukannya. Aku tersenyum memandang ke wajahnya yang basah dek air mata.

"Bangun, ya..."

Dia mengangguk lantas menenyeh matanya. Aku segera bangun untuk mengambil beg sekolah di dalam bilik. Aku ingin membuat kerja sekolah sementara hari masih siang. Meskipun agak tidak terang dek hujan di luar sana, tapi tidak segelap di malam hari. Hari ini kerja sekolah aku tidak banyak mana. Jadi, harapnya sempatlah aku siapkan sebelum malam mendatang.

Aku belajar demi satu perkara. Aku ingin mengeluarkan keluarga aku dari terus terperuk dalam kepompong kemiskinan yang melemaskan ini.


DALAM tak sedar, air mata aku menitis membasahi pipi tatkala terdengar merdu suara Mamat mendendangkan lagu Untukmu Ibu. Setiap lekuk wajah ibu yang manis dengan senyuman bermain-main di mindaku. Wajah itu sudah lama tidak aku tatap. Sekadar gambar menjadi pelepas rindu untuk menatap wajahnya.

Sudah tiga tahun ibu pergi meninggalkan aku dan Iman. Ibu. Tatkala hidup aku kian selesa, dia pula perlu pergi atas kehendak takdir. Hanya seketika ibu merasai keselesaan hidup di rumah aku yang tidak lagi daif seperti dahulu. Malah, rumah aku kini tidak lagi jauh di luar bandar seperti sebelum ini. Walaupun tidak sebesar mahligai namun cukup muat untuk aku sekeluarga hidup di dalamnya.

Selain itu, aku juga berjaya mengejar cita-cita aku. Aku kini bergelar seorang penulis di salah sebuah majalah hiburan terkenal serta blogger separuh masa. Alhamdulillah, berkat kejayaan aku, aku dan Iman kini hidup tanpa perlu memikirkan lagi soal atap rumah yang bocor, soal makan yang tidak cukup dan soal wang yang sentiasa kekurangan di dalam dompet.

"Akak, menangis lagi?" Iman dari arah dapur yang sedang membawa dua buah muk datang menegur aku di ruang tamu.

Aku tersenyum tawar seraya mengesat air mata di pipi. Aku tidak menangis kerana tidak reda dengan pemergian ibu tapi aku terkilan kerana ibu tidak sempat merasai hidup selesa seperti yang aku dan Iman rasa kini.

"Akak... janganlah menangis lagi. Kalau akak tak kuat dan asyik nangis macam ni, adik pun tak mampu untuk berdiri kuat. Tolong ya, akak. Jangan menangis lagi."

Iman aku lihat seperti mahu menangis.

"Adik, akak minta maaf. Akak tak sengaja. Akak terlalu rindukan ibu. Andai ibu masih ada, pasti ibu sedang berehat bersama-sama kita sekarang. Pasti ibu sedang sibuk menyiapkan hidangan petang buat kita. Ibu tiada galang gantinya, dik. Ibu satu-satunya ratu di hati akak."

Aku menyentuh tangan Iman yang berada di birai sofa. Wajahnya kelihatan muram.

"Hmmm... sudah takdir, kak. Kita sebagai manusia yang hina lagi kerdil hanya mampu menerima segala apa yang sudah tertulis di Luh Mahfuz. Tak layak untuk mempertikaikannya, kak," Iman memberikan aku kata-kata semangat.

Benar, gadis yang sudah mencecah usia 25 tahun ini lebih matang dari segi kata-kata dan dari segi hati berbanding dengan aku. Entah di mana silapnya pada diriku ini, sejak pemergian ibu, segala semangat aku bagai terbang di langit dan tidak mahu menjengah ke lantai bumi lagi.

Semangat yang aku ada kini pun, sekadar dipinjam dari Iman. Iman yang bersinar-sinar di mata hatiku. Tanpa Nurul Iman, sunyilah hari-hari aku.

"Akak, usia akak sekarang sudah patut berumah tangga. Akak usahlah fikir soal adik. Insya-Allah, adik mampu jaga diri adik."

Bohonglah aku andai aku kata aku tidak mahu berumah tangga. Namun, aku ingin mendahulukan Iman. Soal aku, biarlah dahulu. Dan gara-gara itu, aku telah menimbulkan perasaan bersalah di hati Iman. Acapkali adik aku itu meminta agar aku segera mencari jodoh dan usah pedulikan soalnya. Tapi, sebagai seorang kakak, aku tidak mampu untuk mempedulikannya.

Aku sekadar diam. Tiada kata-kata yang mampu aku karangkan sebagai balasan buat kata-kata Iman.

"Adik tengok Eddie Nazrin tu pun hensem juga. Dan dari pemerhatian adik, dah beberapa kali dia cuba mengorat akak. Sampai bila akak nak biar dia tertunggu-tunggu?"

Eddie Nazrin, jejaka yang berasal dari Negeri Di Bawah Bayu itu memiliki rupa paras yang manis. Aku dan dia bekerja di bawah satu bumbung hanya berbeza bahagian sahaja. Beza umur aku dan dia hanya jauh dari segi hari dan bulan.

"Terima ajelah dia, kak. Adik yakin dia mampu jadi zauj akak. Jika tidak, masakan dia bersungguh-sungguh sampai datang ke rumah semata-mata untuk menyatakan perasaan dia. Dia baik, kak. Adik tak dapat kesan langsung di manakah kecacatannya. Dia cukup sempurna untuk menjadi suami akak."

Aku mengetap bibir. Akal aku kematian kata-kata. Lidah aku kelu saat ini. Benarkah Eddie Nazrin cukup sempurna untuk menjadi suamiku? Benarkah dia mampu menerima aku sebagai teman hidupnya? Ahh, persoalan aku itu pada hati Eddie Nazrin dan jua hatiku. Adakah aku telah merasai kesempurnaan Eddie Nazrin untuk menjadi suamiku?

"Percaya pada takdir, percaya pada jodoh."

Iman menepuk-nepuk tanganku. Ahh, aku keliru saat ini. Mungkin ini adalah satu petunjuk. Petunjuk bahawa aku perlu bersujud pada-Nya memohon agar ditunjukkan padaku apakah benar jodohku ialah Eddie Nazrin.

Pic kredit to Fb Lufkasih September

Genap sudah empat tahun ibu pergi meninggalkan aku dan Iman. Hari ini, aku akan menjadi seorang isteri berwalikan hakim sementelah aku sudah tiada ayah. Malah, keluarga sebelah ayah juga tidaklah aku tahu sama ada masih hidup mahupun sudah meninggal.

Dengan sekali lafaz sahaja, aku sah menjadi hak milik Eddie Nazrin. Bukan sahaja aku, malah juga adik aku, Iman. Iman turut diijab kabulkan dengan lelaki pilihannya merangkap rakan di tempat kerjaku. Tak pernah aku sangka rupanya dalam diam, Wazri Adeef menyimpan perasaan terhadap Iman. Jumpanya sekadar beberapa kali namun katanya, perasaan suka yang merasuk hatinya membuat dia bertindak terus menyunting Iman.

Alhamdulillah, soal Iman sudah aku selesaikan. Dia juga sudah selamat menjadi hak milik Wazri Adeef. Jadi, Wazri Adeef perlu menyara seluruh keperluan Iman. Bukan lagi aku.

Ibu, walau indahnya dunia akak sekarang, namun keindahan seakan suram. Suram dek ketiadaan ibu. Mustahil buat akak untuk melupakan ibu sedangkan akak membesar menjadi orang yang berjaya kerana ibu. Tanpa ibu tidak mungkin akak akan berada di sini sekarang.

Ibu dan Nurul Iman adalah permata hati akak. Tanpa kalian siapalah Nurul Ifti. Kasih dan sayang akak buat kalian tetap membara membakar hati akak.

"Ifti, jom saya bawa awak berkenalan dengan saudara-mara saya," teguran Eddie mematikan lamunanku.

Aku sekadar tersenyum ke arahnya lantas mengangguk. Tangannya yang terhulur buatku, pantas aku sambut. kami beriringan melangkah menjauhi tempat letak kasut di Masjid Al-Hidayah.

Kasih ibu dan Nurul Iman tetap mekar mewangi di hatiku.


~Tamat~

No comments:

Post a Comment