Thursday 27 March 2014

Cerpen : Diari

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...




Aku membuang pandang ke arah tasik buatan manusia di hadapanku. Aku menghela nafas yang panjang sebelum menjatuhkan pandangan ke arah beg plastik di sisi aku. Lantas, beg plastik tersebut aku capai. Sebuah diari berwarna putih aku keluarkan dari beg plastik itu.

Entah mengapa aku begitu tertarik untuk membeli diari tersebut di kedai buku tadi pun aku tidak pasti. Namun, serasa ada sesuatu yang ingin aku coretkan ke dalamnya untuk meluahkan rasa yang terkurung di dalam hati kecilku.

Muka surat pertama aku buka. Pen yang turut aku beli bersama dicapai jua. Penutupnya dibuka sebelum aku mencoretkan kata-kata yang terlintas di sanubariku.

Indahnya saat itu,
Saat dia masih bersamaku,
Saat dia bergelak ketawa bersamaku,
Saat dia masih ada di samping aku,
Namun...
Aku perlu tahu akan satu hakikat,
Allah lebih sayangkan dia berbanding sayangnya aku kepadanya.

Perasaan sebak menggigit tangkai hatiku. Serta-merta bayangan wajahnya menerpa mindaku tika ini. Dia bukanlah insan yang sempurna namun kehadirannya cukup untuk mengindahkan hari-hariku.

Abang, adik rindukan abang. Perlahan aku merintih tanpa ada yang mendengar walau berpuluh-puluh insan yang berulang-alik di hadapanku. Hanya antara aku dan DIA sahaja yang mengetahui isi hatiku.

Aku mendongak kembali membuang pandang ke arah tasik. Tubir mata aku terasa panas dek air mata. Perlahan-lahan aku memejamkan mata. Biarlah air mata itu mengalir jika itu sahaja cara yang dapat aku guna untuk mengabadikan rindu terhadap abang.

Mata-mata yang melihat tidak aku peduli. Biarlah, aku menangis bukan kerana mereka. Beberapa saat setelah itu, aku kembali membuka mata. Pantas jemari ingin mencoret lagi isi hati.

Muka surat yang kedua aku selak pula.

Kau muncul umpama pelangi,
Tiada cahaya menerangi namun kilauan warnamu,
Cukup indah memukau kalbuku.
Namun...
Kau muncul tidak lama,
Sekadar sesaat dua sebelum menghilang,
Meski aku rindu dan meski aku cinta,
Siapalah aku untuk menghalang pemergianmu,
Hanya doa mampu aku titipkan sepanjang masa.

Air mata mengalir lagi! Kali ini tidak aku biarkan ia lama mengalir. Pantas sahaja jemari aku yang runcing ini menyeka. Sungguh, hebat rindu itu mencengkam jiwaku. Abang, sungguh adik merinduimu di sini.

Minda aku ligat memainkan memori berbelas tahun yang lalu. Saat aku masih belum kenal erti cabaran dunia. Tika aku menghadapi saat-saat getir, hilang tempat bermanja, abang hadir memberikan semangat.

-

“Abang, kenapa mereka masukkan ibu dengan ayah dalam tanah? Kalau ibu dengan ayah bangun nanti macam mana ibu dengan ayah nak keluar?” seorang anak kecil yang tidak mengerti apa-apa menyoal abangnya.

Si abang yang masih bersedih hanya memandang sayu ke arah si adik. Pantas tubuh genit itu dibawa ke dalam pelukan. Diusap dan dibelai rambut si adik.

“Abang, adik tanya ni,” si adik mahukan sebuah jawapan.

“Ibu dengan ayah dah mati. Diorang takkan bangun,” perlahan namun cukup kuat di ruang pendengaran si adik.

Si adik bagai terkaku dalam pelukan abangnya. Urat sarafnya seakan-akan kejang tak mampu digerakkan. Bola matanya ligat berlari meneliti setiap wajah yang melihat adegan mereka dua beradik. Masing-masing menitiskan air mata melihat mereka.

“Abang tipu...”

Si abang tergeleng-geleng seraya mengeratkan lagi pelukannya. Esakannya tidak berbunyi namun air matanya mengalir seiring saat yang kian berlalu.

-

Aah, itulah saat yang paling getir buat aku. Tanpa abang mustahil aku mampu kuat seperti sekarang. Tanpa abang mustahil aku mampu berdiri segah begini. Semuanya kerana abang. Abang adalah tempat aku bergantung. Tanpa ‘tali’ itu, putuslah aku di pertengahan jalan.

Namun kini, ‘tali’ itu sudah tiada. Abang sudah pergi menyahut seruan Ilahi.

Kala nafas terakhir dihembus,
Berpisahlah nyawa dari jasad.

Kala kain putih membaluti tubuh,
Itulah pakaian terakhirnya.

Kala keranda diusung ke tanah perkuburan,
Hanya itu saat yang aku punya untuk melihatnya.

Kala jasadnya ditelan bumi,
Aku perlu pasrah dan redha dengan takdir.

Memang ini takdir aku. Insan yang aku sayang pergi seorang demi seorang. Namun, aku tidak pernah lupa kata-kata abang sewaktu aku demam sebelum peperiksaan SPM.

“Allah takkan menguji hamba-Nya melebihi batas iman seseorang itu.”

Kata-kata itu aku pegang sehingga hari ini. Saat aku diuji, ligat aku mencari ayat hikmah itu di balik mindaku untuk meniupkan semangat buat diri ini yang serba lemah.

Aku memandang ke arah tasik. Cahaya mentari yang terpantul di atas permukaan air membuatkan aku terpukau. Subhanallah, alam ciptaan-Mu sungguh indah dan sungguh mengagumkan. Aku sebagai hamba yang kerdil hanya mampu melihat. Untuk melakukannya sungguh luar dari batasanku.

Cahaya mentari itu umpama abang. Manakala permukaan tasik itu ialah aku. Saat cahaya terkena ke arah aku, aku memantulkan semula cahaya tersebut ke arahnya. Kami saling melengkapi. Saat aku jatuh, abang bangunkan aku. Begitu jua saat abang jatuh. Aku akan cuba untuk membangunkannya semula.

Aku perlukan semangat abang untuk terus hidup. Oleh itu, abang perlu tabah demi melihat aku tabah. Jarang aku lihat abang berduka. Jika ada pun, sukar sekali air mata lelakinya dilihat mengalir di hadapannya.

Dia seorang lelaki yang mahal! Segalanya istimewa! Jika di pandangan kasar aku, dia sudah cukup istimewa apatah lagi di mata bidadari.

Sungguh,
Jika Syurga itu punya bidadara,
Kakandalah yang pantas menjadi ketuanya,
Kakandalah yang pantas menjadi bidadara,
Bidadara yang menemani sang bidadari.
Sungguh,
Dirimu yang layak,
Duhai kakanda cinta hatiku.
Kakanda,
Adindamu di sini tak usahmu lupakan,
Meskipun di sana sudah ada bidadari yang jelita,
Benar ingin adinda khabarkan,
Adinda tidak serupawan bidadari,
Namun adinda cintakan kakanda,
Kakanda tiada galang ganti di dunia fana ini.


Aku pejamkan mata lagi membiarkan angin petang membadai wajahku. Kesuk-kesik dedaun seakan membisikkan sesuatu. Entah apa, tidaklah aku tahu. Itu semua rahsia alam.

“Sampaikan salam... buat semua... salam terakhir, salam teristimewa... kepada kau yang tersayang...”

Alunan suara Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad membuatkan tangan aku ligat mengorek beg tangan. Telefon bimbit berwarna turqoise aku cari di balik barang-barang yang berhimpit di dalam beg tangan.

Jumpa! Anita, rakan serumah aku yang menelefon rupanya. Aku pantas menekan butang hijau.

“Assalamualaikum, Ita,” aku menghulurkan salam buat rakan aku itu.

“Waalaikummussalam. Haa, Ar dekat mana? Ar tahu tak dah berapa lama Ar keluar? Ita bosanlah duduk rumah melangut sorang-sorang,” belum apa-apa lagi Anita sudah menerjah aku dengan pelbagai soalan.

“Baru hari ni aku merasa nak keluar lama-lama. Bagilah chance dekat kawan kau ni. Habis tu, Zira dengan Uda mana?”

“Diorang tak ada. Alah, diorang tu kan kaki dating. Masing-masing dah ada pakwe mana reti nak layan kawan-kawan dah.”

Aku tersenyum sumbing mendengar bebelan Anita di corong telefon. Anita, Anita... aku menggeleng perlahan.

“Kau bosan, kan? Pergilah cari pakwe lepas tu boleh pergi dating. Tak adalah bosan dah,” sengaja aku mengenakan Anita.

“Eee... kau pun tahukan yang aku ni anti dengan lelaki dekat kolej kita tu. Dahlah, ingatkan call kau dapat hilang bosan, rupa-rupanya lagi bosan. Dahlah, aku letak dulu. Bye!”

Tittt... talian terus terputus. Anita merajuk pula dengan aku. Hmm... biarlah dia. Pulang nanti tahulah aku memujuknya. Sekarang, aku nak pujuk hati yang sedang dihambat rindu. Aku pejamkan mata lagi membiarkan memori lalu berlayar di minda.

-

“Abang tak bosan ke dok menghadap muka adik tiap-tiap hari? Tak teringin ke nak ada makwe macam kawan-kawan abang yang lain tu?” sambil menyelesaikan soalan Matematik, sambil itu mulutnya ligat bersoal kepada si abang.

Si abang yang baru sahaja ingin membuka buku latihan Sains Tingkatan Lima tidak jadi berbuat demikian. Tubuhnya dipusing untuk melihat ke arah si adik.

“Adik abang, takkanlah abang nak bosan pula menghadap muka yang sama. Lagipun muka siapa lagi yang abang nak hadap kalau bukan muka adik. Kenapa? Adik tak nak tengok muka abang dah?” duga si abang.

“Bukan macam tu maksud adik. Yalah, adik tengok kawan-kawan abang siap bawa makwe keliling kampung naik motor. Abang tak teringin ke?” sambil berbicara, tangannya capai pula buku rujukan Matematik UPSR.

“Itu orang lain, dik. Bagi abang, nak bercinta tunggu nanti bila dah berjaya. Tak usah kata motor kapcai, motor kuasa tinggi yang abang akan tunggang dengan makwe abang. Tapi, mula-mula kena bawa adik dulu. Nanti adik cemburu pula.”

Si adik mencebik. “Tak inginlah nak cemburu-cemburu ni.”

“Oh, dia tak cemburu rupa-rupanya...” giat si abang sambil terangguk-angguk seraya perlahan-lahan berdiri dan menghampiri si adik.

Si adik sekadar mencebik lagi langsung mengangkat kedua-dua belah bahunya. Dia tekun mencari jawapan bagi soalan yang sedang dijawabnya.

“Adik abang tak cemburu!” teriak si abang seraya mencuit pinggang adiknya.

“Adik cemburu!” kuat teriakan abang, kuat lagi teriakan si adik. Melantun jatuh ke atas lantai pensil yang sedang dipegang gara-gara terkejut. Tulang belakangnya yang tadi terasa bengkok serta-merta menjadi lurus.

“Haa, mengaku pun yang dia cemburu,” usik si abang sambil tersengih-sengih.

“Eee... abang main kotor. Tak aci!” pemadam di atas meja pantas dicapai dan dibaling ke arah abangnya. Namun, abangnya sempat mengelak.

“Aci kena pergi India dulu baru boleh jumpa aci,” usik abangnya lagi sambil tersengih.

“Eeeeeeeee....” si adik pantas berdiri dan mengejar si abang yang sudah berlari. Maka, berlakulah adegan kejar-mengejar di ruang belajar pada hari itu. Melupakan seketika pada stres belajar.

-

Aku  tertawa kecil. Sungguh indah saat itu. Sungguh, hati ini benar-benar rindu usikan abang yang tidak pernah jemu mengusik aku. Yang tidak pernah jemu menghilangkan stres aku setiap hari. Sungguh, abang memang abang yang terbaik di dunia.

Diari yang aku tutup seketika di atas riba dibuka kembali. Jemari ini pantas mencoretkan lagi isi hati ke dalamnya.

Senyummu,
Mengigaukan malam-malamku.
Tawamu,
Menyimbah petrol rindu ke dalam api cinta.
Usikanmu,
Umpama bayang mengekori hari-hariku.
Tangisanmu,
Mimpi ngeri dalam lenaku.
Bicaramu,
Melemahkan jiwa kalbuku.
Belaianmu,
Tak pernah luput di fikiranku.

Sungguh benar... kasih abang tiada galang gantinya. Hadirlah beribu abang sekalipun dalam hidup aku, tiada abang yang mampu menandingi abang kandungku. Dialah tawaku, dialah air mataku. Dialah juga ibu bapaku.

Namun... apalah ertinya kasih aku hanya sebagai seorang adik sedangkan kasih-Nya lebih bermakna. Apalah ertinya cinta aku sedangkan cinta-Nya lebih bermakna.

Entah suratan atau kebetulan, abang pergi menghadap Sang Pencipta pada tarikh yang sama dengan tarikh kematian ibu dan ayahku. Tarikh yang mengubah takdir seluruh hidup aku. Tarikh yang mengubah aku menjadi seorang insan yang sebatang kara.

Air mata aku gugur lagi. Biarlah. Bukan setiap saat air mata ini gugur. Namun, gugurnya bukan menghantar pesanan tidak redha dengan takdir-Nya. Air mata ini sekadar peneman rindu yang bertandang mengetuk pintu hati.

Aku redha. Ya. Aku hanya hamba kerdil. Aku sedar akan kenyataan itu. Jadi, buat apa aku perlu menafikan setiap takdir-Nya. Aku masih punya hati dan hati itu masih belum kering. Pelbagai perasaan masih sudi mengetuk pintunya. Sebak, rindu, cinta, kasih, dan bermacam lagi.

Lantas aku seka air mata yang menitis dengan hujung lengan baju kurung cotton yang aku pakai. Aku menatap diari di atas ribaku. Banyak isi hati kecilku yang ingin aku coretkan ke atasnya.

Antaranya...

Biarkan aku menangis,
Tidak meratapi dan tidak menafi,
Sekadar melepas perasaan.

Salahkah?


Saat-saat terakhir aku bersama-sama abang terlayar di ruang minda.

-

“Haziq, Haziq tolong mak ucu boleh tak?”

Haziq yang sedang membasuh pulut kuning untuk menjamu tetamu majlis tahlil malam itu berpaling melihat mak ucu. Tangan dibasuh sebelum menapak ke arah mak ucu.

“Boleh aje mak ucu. Mak ucu nak Haziq tolong apa?”

“Kami dekat dapur ni nak memasak. Entah macam mana gas pula boleh habis. Ni mak ucu nak minta tolong Haziq pergi belikan gas sekejap dekat pekan tu. Boleh kan, Haziq?”

“Eh, boleh aje mak ucu.”

“Haa, tunggu sekejap mak ucu nak pergi ambil duit sekejap. Tunggu, ya.”

“Yalah,” jawab abang sambil mengangguk. Dia mengintai mencari kelibat adik kesayangannya. Apabila kelibat yang dicari berjaya ditangkap, lebar bibirnya tersenyum.

“Adik... ooo... adik!” seru Haziq.

“Wardah!” Wardah yang sedang memotong bawang berpaling apabila terdengar namanya diseru. Dia melihat Haziq melambai memanggilnya.

Bawang di atas papan pemotong ditinggalkan seketika. Dia bangun dan melangkah menghampiri Haziq di muka pintu dapur.

“Ada apa abang panggil adik ni?”

“Abang nak pergi beli gas. Nak ikut tak?”

Wardah membuat muka malas. “Tak naklah. Lagipun pergi beli gas aje pun. Dekat dapur ni banyak lagi kerja abang, oi. Tu, bawang dekat atas meja siapa yang nak kupas kalau bukan adik.”

“Yalah, abang saja aje tanya. Tak apa-apalah, kalau macam tu, jagalah diri tu elok-elok.”

Wardah membuat muka pelik.

“Wardah nak potong bawang aje pun, abang. Takkan itupun nak kena sampaikan pesanan khidmat masyarakat?”

Haziq tersengih. “Saja aje. Mana tahu kut jadi apa-apa.”

Masing-masing terdiam apabila mak ucu datang. Wang kertas berjumlah tiga puluh ringgit dan kunci kereta pak ucu bertukar tangan. Haziq diberi kebenaran untuk menggunakan kereta pak ucu.

Sebelum pergi, sempat jua Haziq memberikan senyuman termanis buat adiknya. Wardah turut tersenyum. Dia kembali menghadap bawang di atas meja. Perlahan-lahan dikupas sambil mindanya melayang entah ke mana. Memikirkan soal hari itu yang sudah genap dua belas tahun kedua orang tuanya meninggal.

Sedang asyik mengupas bawang, tiba-tiba...

“Auch!” pantas Wardah membuka jarinya yang terluka ke bibir. Dibasahkan dengan air liur. Tindakan drastik!

“Eh, Wardah! Haa, itulah... berangan lagi waktu buat kerja. Tengok, kan dah tercedera jari itu.”

Wardah hanya tersengih. Jantungnya berdegup, dadanya berdenyut pantas. Hatinya berasa benar-benar tidak enak. Pantas ingatannya mengingat saat abangnya menyampaikan ‘pesanan khidmat masyarakat’ tadi. Adakah?

“Ayah...! Mak...!” suara Taufiq, anak sulung mak ucu berteriak dari jauh sudah kedengaran.

“Haa, Fiq... kamu ni dah kenapa?”

Taufiq yang tercungap-cungap di muka pintu dapur disambut oleh mak ucu dengan riak risau.

“Mak... abang Haziq...” ujar Taufiq dalam nada nafasnya yang tercungap-cungap.

Wardah yang terdengar nama abangnya disebut pantas menghampiri Taufiq. Kerja-kerja dapur di atas meja langsung ditinggalnya. Begitu juga yang lain.

“Kenapa dengan abang Wardah?” soal Wardah dalam nada risau.

“Abang Haziq kemalangan dekat depan sana.”

Dup! Terasa jantung Wardah seakan direntap kasar oleh tangan ghaib di dalam badannya. Kakinya terasa lemah untuk berdiri. Dia pantas berpaut pada pintu dapur. Tubuhnya didakap oleh ahli keluarganya yang lain dari arah belakang.

“Macam mana keadaan dia?” soal mak ucu dengan mata yang berkaca.

Taufiq hanya menggeleng. Mereka semua terus berlalu keluar dan menuju ke tempat  Haziq kemalangan. Sesampai di sana, jasad Haziq sudah pun dikeluarkan dari kereta. Pantas dan cekap bantuan yang diberikan oleh orang kampung tersebut.

Perlahan-lahan Wardah melangkah ke arah jasad abangnya sambil dibantu oleh sepupu perempuannya. Masih bernyawa mahupun sebaliknya, tidak dia ketahui. Dia melutut di hadapan jasad abangnya. Baju-T berwarna ungu terang yang dipakai Haziq basah dek cecair berwarna merah.

Perlahan Wardah meletakkan kepala ke dada Haziq. “Abang... abang nak tinggalkan adik juga ke?” perlahan suara Wardah berbisik.

“Ya Allah, kalau aku tahu nak jadi macam ni... tak ada aku suruh budak ni pergi beli tadi. Ya Allah...” terdengar di cuping telinga Wardah suara mak ucu yang penuh dengan kekesalan.

“Mah, sabarlah Mah. Ini semua takdir,” terdengar pula suara pak ucu cuba untuk menenangkan isterinya.

Salwa, salah seorang sepupu Wardah yang bekerja sebagai seorang doktor pantas memainkan peranannya. Denyutan nadi dicari di pergelangan tangan Haziq. Jarinya pula diletakkan di hadapan lubang hidung Haziq untuk melihat berlakunya pernafasan. Namun...

“Wardah, Allah lebih sayangkan abang Wardah...” dengan hati yang berat, Salwa terpaksa membisikkan kebenaran yang perit itu kepada Wardah.

Wardah memejamkan matanya. Sendu berlagu di atas dada Haziq yang sudah terbujur kaku. Nyawanya sudah terpisah meninggalkan jasad. Wardah memeluk jasad Haziq meski tahu Haziq tidak akan membalasnya. Cecair merah di baju Haziq bercampur dengan air mata Wardah.

-

Salam terakhir...
Itulah saat terakhir aku menerima senyum darimu,
Itulah saat terakhir aku melihat wajahmu,
Setelah itu?
Kau pergi meninggalkan aku sendiri,
Meninggalkan aku sendiri menghadapi dunia,
Walau perit mana pun kenyataan itu,
Aku tetap perlu menelannya jua,
Kerna,
Itulah kenyataan,
Yang hidup pasti akan mati,
Aku jua akan mati,
Cuma masa entah bila,
Kini masamu,
Nanti masaku.

Aku memandang sepi ke arah tasik buatan manusia di hadapanku. Tanpa diduga dan tidak terduga, itulah saat terakhir aku menyapa senyuman abang. Senyuman abang begitu manis, begitu berharga.

Aku pasti akan rindukan senyuman itu!

Aku pantas bangun dan kemas barang-barang aku. Pen aku selitkan di sebalik diari lantas diari tersebut aku masukkan ke dalam beg tangan. Beg plastik kedai buku yang aku beli tadi, aku humban ke dalam tong sampah.

Selendang yang terlilit di kepala aku kemaskan walau tanpa melihat cermin. Aku pantas bangun. Aku ingin pulang setelah puas. Aku sudah puas meluah rasa di sini. Di sini, di hadapan tasik. Tasik ini pada hari ini menjadi saksi rindu aku.

Abang, dikau begitu berharga buatku. Dikau begitu bermakna buatku. Kerana dikau... abangku. Al-fatihah untukmu, abang.

Aku terus berjalan pulang. Tidak manis rasanya apabila pulang terlalu lewat. Burung juga aku lihat sudah mencari jalan pulang, masakan aku masih mahu ‘bertenggek’ di sini? Biarlah, isi hati yang selebihnya aku abadikan dalam diari yang aku beli.


Diari luahan rindu seorang adik kepada arwah abangnya...

4 comments:

  1. Pedih mata ! :'( Fit, mata jiah berair baca cerpen nie. :'(

    Cerita yg sangat menyentuh jiwa.Jiah plk yg rasa sakitnya. mhmmm.. congratezz dear.. :)

    ReplyDelete
  2. Sdih sgt...nangis dh ni...

    ReplyDelete