Tuesday, 25 March 2014

Cerpen : Dalam Diam

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

*Just a short story that full of cliché*



Aku melihatnya dari jauh. Setiap gerak langkahnya aku perhati sekadar dari jauh. Sesekali aku melihat dia membetul uniform sekolah yang tersarung di tubuhnya. Secara tidak sengaja, pandangan kami bertaut. Aku pantas melarikan pandangan.

Dada aku berdebar hebat. Tapak tangan aku sudah tidak ubah rasanya seperti direndam ke dalam ais. Sejuk!

“Ai, aku nampak dia,” ujar Lily di sebelah aku.

Aku sekadar menayang muka kosong. Tak punya hati untuk membalas. Dalam masa yang sama, aku berasa malu yang teramat. Sejak dari tingkatan tiga aku menaruh hati pada dia sedangkan dia... tidak pula aku tahu.

Sudahlah sekadar bertepuk sebelah tangan, kemudian tergedik-gedik pula. Aku malu pada dia. Malah, tanpa aku sedar juga mungkin dia sudah tahu soal perasaan aku terhadap dia. Hal ini demikian kerana, aku pernah terkantoi. Ini semua gara-gara Awin! Kalau bukan dia yang membuka mulut pasti aku tak rasa malu macam ni.

Tatkala aku dan Lily sampai di hadapan pagar Blok IQ, dia dan rakan-rakan dia melintasi kami. Bertambah kencang pula debaran di dada ni. Ahh, segalanya menyesakkan!

Aku melihat Lily tersengih-sengih sambil melihat ke arah aku. Aku yang faham maksud di sebalik sengihannya itu tidak mempedulikannya. Sekadar tersenyum sumbing ke arah dia.

“Karangan yang mak Ija suruh buat tu kau dah siap ke?” soal aku mengubah topik.

“Dah,” ringkas jawapan yang diberi oleh Lily.

Masing-masing terdiam setelah itu. Kami sama-sama melihat pelbagai telatah pelajar sekolah. Ada yang berbual bagai tidak berpijak di bumi yang nyata. Ada yang terlalu asyik membetulkan tudung, baju dan macam-macam lagilah.

Tidak lama selepas itu, Wati datang menghampiri kami. Apa yang peliknya, dia bersendirian. Ke mana perginya ‘couple’ kesayangan dia, Cik Heliza?

“Mana Ija?” serentak aku dan Lily mengajukan soalan yang sama kepada Wati.

“Dia kena culik,” dengan wajah yang serius tapi jelas kelihatan tipunya di situ, Wati membalas.

Hek eleh, Wati! Kau tak mampu nak menipulah, Wati. Dengan muka macam tu kau ingat kita orang percaya sangat ke? Cakaplah betul-betul, Ija mana?” dengan penuh perasaan tidak puas hati aku membidas penipuan Wati.

Wati masih dengan wajah seriusnya. “Betul! Ija kena culik.”

Aku lihat Lily terkekeh-kekeh ketawa. Huk aloh, budak seorang ni! Muka tak boleh nak jadi penipu tapi masih nak menipu juga. Ada juga yang kena humban masuk dalam lombong ni.

Aku buat muka budusss. Lantak kaulah, Wati. Yang penting kau bahagia sudah.

Kring!

Sampai loceng menandakan waktu rehat sudah habis pun kelibat Ija masih tidak terlihat dek pandangan kasar aku. Tak lain dan tak bukan sangatlah yang Cik yang seorang tu pergi ‘melabur’ dalam ‘bank’.

Sebelum kaki aku melangkah naik ke tingkat dua Blok IQ, sempat jua aku pandang ke arah kiri dan kanan. Berharap dia ada untuk aku lihat. Tapi, segalanya hampa kerana batang hidungnya langsung tidak aku lihat.

Masuk dalam kelas aku yang paling havoc tu, aku terus menuju ke tempat duduk aku iaitu di sebelah Lily. Letak aje punggung aku ke atas kerusi plastik tersebut, terus aku mencapai botol air di atas meja. Diteguk rakus untuk menghilangkan rasa dahaga yang aku tahan sejak awal rehat tadi.

Tidak lama kemudian, kelibat Cikgu Biologi kami pun kelihatan. Seluruh kelas 4Sc1 memulakan sesi pembelajaran selepas rehat. Hu hu hu... belajar biar sampai ke menara gading.


SEDAR tak sedar jam sudah pukul 1.50 petang. Sedang elok aku selesai mengemas barang, loceng menandakan waktu persekolahan tamat pun nyaring berbunyi. Segera aku menyandang beg galasku. Bagai lipas kudung aku memasukkan kerusi ke bawah meja. He he he... teruja nak balik!

Usai mengucap terima kasih kepada guru, berpusu-pusu pelajar 4Sc1 keluar dari kelas.

“Jom, Lily,” ajak aku.

Setiap kali pulang, aku akan pulang dengan Lily. Dahulu aku berjalan dengan Awin. Tapi, sejak budak Cina-Melayu tu pindah masuk SBP, aku berjalan pula dengan Lily. Jika dengan Awin aku bagai itik pulang petang tapi dengan Lily, macam jet turbo laju dia.

Aku rasa macam ada dekat atas highway musim Raya Puasa aje sekarang. Mana tidaknya, bersesak-sesak. Macam-macam bau, tak mampu untuk aku huraikan macam mana ‘rupa’ bau tu. Silap hari bulan boleh pengsan aku.

Ketika aku dan Lily sedang melalui kawasan dewan terbuka, aku curi-curi pandang ke arah Blok HOTS. Dup! Benarkah apa yang aku sangkakan saat ini? Pandangan kami bertaut. Berkhayalkah aku? Aah, aku cepat-cepat menyedarkan diriku. Ligat aku melarikan bola mata ke arah lain.

“Kita nampak dia tengok kau, Ai,” aku fikirkan sekadar aku yang melihat. Tenyata, Lily juga melihat apa yang aku lihat. Maknanya aku tidak berkhayal tadi. Benarlah dia melihat ke arah aku.

Aah, kau dah melebih Ai! Kau dah melampau! Kau dah terlalu jauh!

“Tak ada maknanya dia tak tengok kitalah,” aku membidas kembali kata-kata Lily. Dalam hati, aku berasa sebak. Aduh, syaitan memang sengaja ingin memainkan perasaan aku!

Sebak kerana apa? Entah. Aku sendiri jua tidak pasti apakah sebabnya perasaan itu muncul di hati aku. Mungkin kerana aku seorang yang gemar merendahkan diri sendiri kut, membuatkan aku berasa sebak. Manakan tidak, aku yang gemuk ini menyukai seorang lelaki yang kacak. Bagai langit dan bumi bezanya!

“Kalau bukan tengok kau, dia nak tengok siapa lagi?” nyata Lily tidak menyerah kalah.

Kadang-kadang aku tak faham dengan Lily. Aku yang menyukai dia tapi Lily yang melebih. Tak. Lily tak melebih tapi dia suka melihat jika aku bercinta dengan dia. Kerana katanya, kami saling menyukai. Aah, sesak! Bagi aku, aku sekadar bertepuk sebelah tangan. Mustahil lelaki sekacak dia sukakan aku.

“Dia tengok kaulah kut,” balas aku kembali sambil kaki melangkah laju menghampiri pagar sekolah.

“Eeee... buat apa dia nak tengok aku!” keadaan aku dan Lily pada ketika ini tidak ubah seperti dalam pertandingan perbahasan. Saling berbahas.

Aku menjeling ke arah sisi. Aduh, jarak aku dan dia begitu hampir. Sejak bila pula dia berjalan di sebelah aku ni? Mengapa aku tidak perasan? Tidak keruan aku jadinya. Tapi, aku hanya berlagak biasa. Takut andai dia perasaan aku tidak keruan gara-garanya, dia akan cop aku gedik. Uishh, minta simpang jauh-jauh!

Aku balik dengan perasaan yang bercampur-baur. Antara perasaan gembira dengan sedih dan keliru. Aku benci perasaan ni!


BALIK aje rumah aku terus membersihkan diri terlebih dahulu. Usai menunaikan solat Zuhur, aku menghadap makanan tengah hari. Alhamdulillah. Bersyukur kerana aku dikurniakan seorang emak yang pakar bab memasak. Cakap aje nak makan apa, segalanya mampu dipenuhi.

Setelah berehat seketika dengan menonton televisyen, aku terus masuk ke dalam bilik. Entahlah, sejak aku menginjak ke alam remaja, bilik menjadi teman setia apatah lagi aku tiada adik beradik. Aku gemar mengurung diri sendiri di dalam bilik sambil melayan perasaan.

Aku merenung katil tingkat dua aku setelah merebahkan diri di tingkat bawah. Wajahnya menyapa minda aku. Dalam banyak-banyak lelaki yang pernah aku suka, dia yang paling serius. Dalam erti kata lainnya, aku sukar untuk meluputkan wajah itu dari mindaku.

“Aah!” aku meraup kasar wajah aku.

Aku sudah jauh ke Marikh! Sepatutnya gadis seusia aku harus memikirkan soal baik atau buruknya masa hadapan. Bukannya memikirkan soal lelaki yang tidak punya apa-apa hubungan dengan aku.

Aku perlu lupakan dia! Aku menekup wajahku dengan bantal dan sedar-sedar sahaja aku sudah hanyut dek arus lena.


AKU memandang sekeliling. Segala-galanya pelik di mata aku. Aku di mana sebenarnya ini? Aku membuka langkah tanpa arah tujuan. Sekejap aku pandang ke arah kanan, kemudian aku pandang ke arah kiri. Aah, aku di mana?

Tiba-tiba aku terpandang akan kelibat seseorang. Dari pengamatanku, kelibat tersebut adalah kelibat seorang manusia, lelaki. Dia membelakangi aku namun dari gaya belakang rambutnya, aku seperti dapat agak siapakah gerangannya.

Aku terkaku di belakang dia. Aku melihat dia seperti ingin berpusing ke arah aku. Namun, tak sempat untuk dia berpusing, tiba-tiba ada suara yang mencelah.

“Nur... Nur... bangun. Dah senja dah ni,” suara emak!

Namun, suara emak tidak langsung mematikan niat aku untuk melihat kelibat itu berpaling melihat ke arah aku. Ya, aku tahu siapa dia. Aku tahu itu dia. Ya, aku pasti!

“Nur!” suara itu lebih lantang daripada tadi.

Terpisat-pisat aku membuka mata. Segala bayangan yang bermain di minda bagai terhapus separuh daripada jalan ceritanya. Aku melihat ke arah emak yang sedang berdiri tegak di tepi katil aku.

“Dah, bangun cepat. Dah senja dah ni. Tak baik tidur waktu senja,” ujar emak seraya berlalu keluar dari bilik aku.

Aku pantas bangun. Mata yang masih terbuai dek rasa kantuk aku tenyeh dengan jari. Kelibat si dia di dalam mimpi tadi berputar di dalam mindaku. Dalam aku bertekad untuk lupakan dia, dia pula tiba-tiba muncul dalam mimpi aku.

Aah, aku benar-benar risau! Risau andai semua ini sebenarnya sebahagian daripada permainan syaitan untuk menghanyutkan aku. Yang paling aku takut, andai aku terpengaruh dengan permainan syaitan itu. Aku takut!

Menyedari aku sudah terlewat untuk Solat Asar, pantas aku bangun dan menuju ke bilik air. Basuh muka dan ambil wuduk untuk menunaikan Solat Asar.


KEESOKAN harinya, orang yang pertama tahu soal mimpi aku itu ialah Lily. Yup. Pada Lily aku mengadu semua soal perasaan yang bersarang di hati ini. Namun, aku sekadar meluahkan soal mimpi. Soal lain, aku rasa terlalu awal untuk aku luahkan pada dia.

Lily, aku lihat tersenyum lebar mendengar kata-kata aku. Dia memang begitu setiap kali aku berkata soal dia yang aku suka. Katanya kami padan. Tapi, mata aku masih tertutup untuk aku lihat di mana padannya kami. Yang aku lihat, insan kacak seperti dia tidak padan buat insan ‘secomel’ aku.

“Aku rasa korang memang ada jodohlah,” ujar Lily.

“Ya ke?” soal aku sambil tersenyum senget.

“Yalah. Dia pun aku tengok asyik tengok kau aje,” asyik tengok aku? Ha ha ha! Kenyataan Lily lawak! Masa bila pula dia asyik tengok aku?

“Tapi Aqilah lagi layak untuk dia,” aku membidas.

Ya, aku ada seorang rakan yang turut menyukai orang yang sama seperti aku. Perasaan sewaktu aku tahu yang Aqilah turut menyukai dia hanyalah cemburu. Memang! Aku cemburu! Aah, aku ni pun over. Belum bercinta dah cemburu. Walhal, aku sekadar suka dia aje pun. Bukannya bercinta apatah lagi berkahwin! Err...

“Tapi aku yakin kau dengan dia ada jodoh!” tengok tu! Haishhh, Lily ni. Dia ni ibarat kapal angkasa yang membawa aku ke Marikh. Membuatkan aku lupa untuk berpaling melihat ke Bumi.

Aku terus terdiam. Entah. Mulut aku terkunci untuk membalas kata-kata Lily. Meskipun aku sentiasa membidas kata-kata Lily, namun jauh di sudut hati aku turut berharap bahawa aku dan dia ada jodoh. Amboi! Gatal betul aku ni. Hoi, belajar dululah!

Hmm... biarlah dalam diam aku menyimpan harapan itu. Tiada siapa dapat meramal masa hadapan, kan? Siapa tahu, Lily terlebih makan garam sehingga masin mulutnya sehingga dia yang aku suka benar-benar menjadi jodoh aku suatu hari nanti. Siapa yang tahu, kan?

“Tapi aku yakin tak ada siapa nak dekat kita. Lagipun siapa yang nak dekat orang gemuk macam kita. Orang sekarang semua nak yang kurus-kurus aje,” setelah agak lama diam, aku kembali membuka mulut.

Aku tertunduk sedikit dengan ekspresi wajah yang setara dengan perasaan aku. Sedih dan kecewa.

“Ai, taste orang lain-lainlah. Kita gerenti mesti ada orang nak dekat kau,” Lily meniup kata-kata semangat untuk aku.

“Entahlah,” balas aku.

“Alah, mesti ada yang nak dekat kau punya. Percayalah.”

Dengan wajah yang confident Lily merenung aku. Aah, Lily kalau bab-bab bagi semangat dekat aku memang pass. Tapi, kalau aku nak bagi semangat dekat orang... memang taklah jawapannya. Aku pun tak ada semangat.

“Hmm... apa-apa ajelah,” dengan malas aku membalas.

Setelah itu, hanya kedengaran suara pelajar-pelajar yang berada di sekeliling kami. Kecoh berkata entah apa. Pelbagai bahasa bersatu menggegarkan telinga aku. Meskipun aku tidak faham apa yang mereka bualkan, namun dari gerak tubuh seperti dapat aku agak apa yang mereka bualkan.

Tidak tahu mahu memandang ke mana, aku mendongak memandang sekeliling. Pelajar lelaki India aku lihat duduk di atas pentas tapak perhimpunan. Memang itu habit mereka. Ralit memandang ke hadapan, tiba-tiba mata terhenti pada kelibat seseorang.

Ish! Tak faham betul aku ni. Apabila aku cuba mengeluarkan dia dari hati aku pasti dia akan muncul. Eee... geram! Pantas aku melarikan mata ke arah lain. Tapi, pantas juga aku kembali menoleh melihat ke arah dia. What the betullah mata ni! Korek macam Kassim Selamat nanti memang selamat kau, Ai.

Apabila dia duduk barulah kelibatnya hilang dari pandangan kasar aku. Haisshh... payah betullah kalau dok cinta kera, beruk, monyet, ungka dalam diam ni.


AKU kerling jam yang aku pakai di tangan kanan. Tinggal lagi sepuluh minit sahaja lagi sebelum waktu rehat habis. Jadi, sementara tunggu waktu rehat habis, aku and the gang melepak dahulu di hadapan pagar Blok IQ seperti biasa. Bermacam-macam topik hangat yang kami buka.

Daripada kisah Mizz Nina yang sudah berhijab sampailah ke kisah Ustaz Fatah yang tak guna tu. Ala, yang dalam drama Menjinak Ombak tulah. Yang pelakon utamanya, bini Playboy Itu Suami Aku tu. Ha ha ha... inilah dunia pelajar yang separa cemerlang.

Orang lain ada masa terluang fikirkan bagaimana caranya untuk mengatasi masalah tidak dapat jawab soalan Fizik. Ini tidak. Dok kisahkan dunia retis yang penuh dengan golongan-golongan yang sentiasa diulit kontroversi.

Sedang rancak berbual, tika itulah aku terlihat dia. Aah, kadang-kadang aku rasa dia adalah bayang-bayang aku. Mana ada aku, pasti ada dia. Rimas? Tidak. Bagaimana aku mahu rimas sedangkan hati aku berbunga-bunga. Haa! Ini pun masalah juga. Makin berbunga makin sukar untuk aku cuba melupakan dia.

Sudah berkali-kali aku tekad di dalam hati untuk melupakan dia. Tapi, hasilnya... sia-sia. Hal ini demikian kerana, makin kuat aku tekad untuk lupakan dia, makin dekat bayangan dia menghampiri aku.

“Aduh, lambat lagi ke pagar nak buka ni?” suara Wati yang merungut mematikan lamunan aku. Kelibat dia sudah lama berlalu rupa-rupanya.

Aku mengerling jam di tangan. Sudah tepat jam 11.10 pagi. Aku menoleh melihat pengawas yang menjaga pagar di kawasan blok ini. Aku buat muka tak puas hati dekat dia. Yalah, rehat dah habis tapi kenapa tak buka lagi pintu pagar tu?

“Bukalah pagar. Dah habis rehat dah,” giliran aku pula merungut kepada pengawas tersebut.

Sedang elok aje lecong pula berbunyi. Terus sahaja pengawas tersebut membuka pintu pagar. Berpusu-pusu pelajar yang kelasnya di Blok IQ naik ke tingkat atas. Orang yang pertama pastilah aku. Teruja nak belajarlah katakan. Konon!

Tapi... boleh ke aku serahkan seratus peratus tumpuan aku pada guru yang mengajar. Sedangkan hati aku sedang jauh dibuai si ‘monyet’ yang bawa cinta ke hati aku. Andai mampu aku hapuskan ‘monyet’ tersebut. Aman dunia aku.


AKU mengerling sekilas ke arah dewan terbuka apabila terasa seperti diri aku yang tembam ini diperhati oleh seseorang. Aah, dia lagi! Tak tunggu lama aku terus sahaja berjalan menuju ke pagar untuk pulang.

Mengapa? Mengapa? Mengapa? Jika inilah situasi yang perlu aku hadapi hampir setiap hari, bagaimana aku ingin melaksanakan tekad aku? Masakan dengan semudah memetik jari aku ingin menghapus tekad itu? Tidak mudah! Apatah lagi setiap hari wajahnya bermain di mataku.

Arrgghh! Kuat aku menjerit di dalam hati tanda marah dan geram. Tidak aku tujukan buat manusia di sekeliling aku tapi aku memarahi diri sendiri. Aku masih terlalu muda untuk melayari bahtera cinta.

Aku terus masuk ke dalam perut van dan terus menutup pintu van tersebut. Meskipun sudah hampir satu kilometer aku menjauhi perkarangan sekolah, namun hati masih tertinggal di sana. Tertinggal bersama bayangan si dia. Aah, gila!

Berhenti sahaja van di hadapan rumah, aku pantas turun setelah membuka pintu. Aku melangkah menghampiri pagar rumahku dengan langkah yang gontai. Semangat aku hilang!

Usai memberi salam, emak menyambut di muka pintu belakang.

“Dah balik dah anak mak?” itulah soalan yang kerap meniti di bibir wanita itu. Meskipun soalannya agak tidak logik kerana sudah lihat aku pulang namun masih bertanya tapi aku layankan sahaja.

“Hmm...”

Aku membawa langkah ke meja di ruang tengah. Beg yang digalas di bahu diletakkan di atas kerusi. Aku terus masuk ke dalam bilik untuk menyalin pakaian. Usai menyalin pakaian, aku terus makan tengah hari.

Setelah itu, aku membersihkan diri dan menunaikan perintah-Nya. Aku duduk bersimpuh di atas sejadah. Agak lama sambil termenung berharap agar dengan renungan mata aku yang tajam ini mampu menembus dinding bilikku.

Agak lama aku bermenung sebelum bangun dari atas sejadah. Selesai semuanya aku kemas, aku menuju ke bilik emak aku untuk mencari wanita itu. Ada sesuatu yang ingin aku luahkan padanya. Bagi aku, sebaik-baik peluah perasaan bagi kategori insan adalah ibu.

“Mak...” aku menyeru emak yang sedang berbaring di atas katil. Emak pantas berpaling ke arah aku.

“Ya. Kenapa?” soal emak.

Aku terus naik ke atas katil di sebelah emak. Aku memeluk tubuh emak. Kepala aku lentok manja ke atas lengannya.

“Mak...”

“Hmm...”

“Salah ke orang suka dekat seseorang?” Aku mendongak melihat ke arah emak.

“Tak salah pun. Asalkan jangan lalai dan sentiasa berebut dalam pelajaran. Jangan biarkan diri tenggelam dalam dunia cinta. Nak bercinta pun tak salah tapi macam yang mak cakap, asalkan jangan lupakan pelajaran sudahlah.”

“Hmmm...”

“Ni dah kenapa pula ni? Pakwe lari ke?” soal emak membuatkan aku rasa macam nak tumbuk muka sendiri.

“Pakwe? Orang mana ada pakwelah, mak. Tak ada siapa pun nak makwe macam orang ni. Tolonglah...” balas aku sambil buat muka ala-ala geli macam kena ulat bulu. Pakwe? Oh, tidak!

Mak tersengih sambil mengusap kepala aku. Aah, alangkah indahnya masa tak usah berlalu dan biarkan aku senantiasa berada di bawah jagaan emak aku selamanya. Tapi, mustahil! Masakan selamanya aku akan berada di bawah ketiak emak! Aku juga perlu keluar dari takuk ini untuk menghadapi cabaran dunia.

“Dah, pergi buat kerja sekolah. Sat lagi bapak kamu balik. Mak nak pergi buat makan petang. Nanti bising pula bapak kamu dok tanya tak ada benda nak makan petang ni. Dah, dah... pergi cepat buat kerja sekolah. Malam nanti boleh rehat aje.”

Seperti menghalau aje bunyinya. Namun, mahu ataupun tidak mahu aku pasrah ajelah. Lagipun kurang sejam sahaja lagi bapak akan balik dari tempat kerja. Dan memang jadi tabiat bapak untuk tanya soal makanan. Terutama sekali soal anak dia dah makan ke belum.

Agaknya bapak aku nak bagi aku makan sampai penimbang tu pecah gamaknya. Yalah, adalakalanya perut aku sudah terlebih sendat jua masih ditanya soal cukup atau tidak makannya. Tapi, tak mengapa. Sekurang-kurangnya aku tahu bapak aku ambil berat soal aku. Terima kasih, pak!

Dengan lafaz basmallah, aku memulakan kerja sekolah yang boleh tahan banyaknya. Kerja sekolah... selagi tak habis belajar selagi itulah ada kerja sekolah.

Tolonglah hati, aku mohon keluarkan dahulu dia dari hati meskipun aku tahu amat payah. Belajar dahulu baru bercinta!


HARI demi hari, bulan demi bulan kian berlalu. Serasa baru kelmarin aku mendapat keputusan PMR. Baru semalam aku menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat dan hari ini aku sudah perlu masuk ke dalam dewan. Dewan peperiksaan!

Debaran kian kencang mengoncang dada. Pelbagai zikir dan selawat sudah jenuh aku bisikkan untuk meredakan perasaan itu. Tidak cukup dengan itu, aku turut membaca Surah Al-Insyirah yang dijadikan amalan sebelum melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan.

Saat punggung aku dilabuhkan di atas kerusi di dalam dewan peperiksaan, perasaan aku jadi bercampur-baur. Di dalam dewan ini bakal menjadi saksi masa hadapan aku. Sama ada baik, mahupun sebaliknya.

Huh! Aku menghela nafas sebelum dalam diam aku membaca Ayat Seribu Dinar sebanyak tiga kali. Ini juga merupakan salah satu amalanku sejak dari dahulu sebelum memulakan peperiksaan.

Mudah-mudahan dengan izin-Nya, dewan ini bakal saksi masa hadapanku yang cerah. Amin!

Saat pengawas peperiksaan menyatakan bahawa sudah sampai masa untuk kami memulakan peperiksaan, tanpa bertangguh aku pantas menyelak helaian kertas di atas meja. Dengan lafaz basmallah, penutup pena aku buka lantas jawapan yang sudah bermain di fikiran aku coretkan di atas kertas tersebut.

SPM.


ALHAMDULILLAH, selesai sudah peperiksaan SPM.

“Merdeka! Merdeka!” tanpa mempedulikan pengawas peperiksaan yang menjaga dewan peperiksaan, beberapa orang rakan aku yang kepala otak gila-gila menjerit bagai orang histeria. Biarlah, mereka sedang menikmati erti merdeka.

Namun, bagi aku merdeka yang sebenar-benarnya adalah sewaktu selepas keputusan dikeluarkan. Sekarang masih belum merdeka. Hati masih gundah gulana memikirkan soal keputusan nanti.

Aku pantas keluar dari dewan peperiksaan menuju ke dewan terbuka. Beg yang aku letakkan di atas pentas aku capai sebelum pantas aku memasukkan pen ke dalamnya.

Semasa dalam perjalanan keluar dari dewan terbuka, tika itulah aku terdengar ada yang menyeru namaku.

“Ai... Ai... Airina!”

Aku pantas berpaling untuk melihat gerangan yang menyeru nama aku. Dup! Jantung aku seakan tidak berdenyut tatkala melihat dia melangkah merapati aku dengan senyuman manis di bibirnya. Diakah yang menyeru aku tadi?

“Ai...”

“Hmm...” aku tertunduk. Aah, segan!

“Uhuk uhuk uhuk...” terdengar ada suara sumbang yang menyampuk. Cis! Bertambah segan aku dibuatnya! Aku pantas mendongak.

Aku melihat Lily tersengih nakal sambil memandang ke arah kami. Aah, aku pun tak duga yang dia akan memanggil aku. Dan tak terduga juga yang akan terkantoi dengan Lily. Arrgghh! Malunya. Tapi, benarkah dia yang berada di hadapan aku ini?

Aku cuba mencubit tanganku. Auwww... pedih. Sah! Aku tak bermimpi dan memang benar dia di hadapan aku dan dia yang memanggil aku. Tapi, kenapa secara tiba-tiba?

Dia menghulurkan sekeping kertas yang berlipat empat. Teragak-agak aku mengambilnya. Setelah aku mengambilnya, dia terus berlalu dengan senyuman. Dia memang begitu. Senyum dan sentiasa tersenyum.

Aku membuka lipatan kertas yang dia beri.

Andai ku curah rasa hati...
Mungkin kini ku kan tenang...

Lirik lagu Aku Cinta Padamu nyanyian Siti Nurhaliza tertulis dalam lipatan kertas tersebut. Namun, lirik tersebut seakan tidak cukup. Perlukah aku menyambung? Aku mendongak mencari kelibatnya.

Nah! Dia berada di hujung pagar sambil memerhati aku. Aku sekadar tersenyum. Malu sebenarnya! Terus aku berlalu tanpa menoleh lagi. Dalam diam biarlah hati aku bernyanyi.

Mungkin kini ku kan tenang di sampingmu...

Aah, kau ni gatallah Nur Airina! Jadi, segala mimpi aku sebelum adalah benar. Segala rasa dalam diam aku berbalas. Namun, jika benar sudah jodoh, tak ke mana... dan, yang pasti... masin mulut kau, Lily!

~*~*~*~*~*~*~

Maaf atas kekurangan cerpen ni. Merepek aje lebih. Heee... don't know why but I love to write short story than novel. Ngeee... wait for my next short story ya! ;)

6 comments:

  1. Not bad dear. Dari byk2 fit dok tulis short story nie laa akn dpt byk pngalamn menulis. Nnti bleh wt novel yg btl2 terbaik. insya ALLAH. ^_^

    wish u luck ! <3

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe... doakan fit ek.. xei xei ^_^

      gud luck to u too :)

      Delete
    2. insyaAllah. smoga kita dpt apa yg kita impikan. Ameen ~ ^_^

      tengss ! :D

      Delete
  2. Alohaa , comelnya cerita ni . Macam cerita saya dulu , tapi masa tu saya form two and dia form five . Tapi ending dia taklah mcm cerita ni , ending dia sedih sikit . Tak tahu kemana dia sekarang . Btw , nice cerpen .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe... Zaman persekolahan ni macam-macam. Antaranya cerpen nilah, ngee... Memang akan dilalui oleh semua gadis di luar sana. Tak terkecuali budak yang tulis cerpen ni. Entah siapa entah budak tu. Btw, thanks. :)

      Delete