Tuesday 14 January 2014

Cerpen : Langit Yang Suram

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

P/s : Cerpen ni tiada cover. Tak sempat nak buat. Hehe... hmm... adakah ini e-novel dan e-cerpen yang terakhir sebelum kembali menjadi 'PM'?? Hmm...
Sorry, cerpen ni tak best.

~*~*~*~*~*~*~

Novel yang aku baca diletakkan ke tepi dahulu. Hilang pula mood aku nak baca novel ni bila nampak muka dia. Muka siapa? Muka ‘hantu’! Ikutkan hatiku, sudah lama wajahnya aku humban ke dalam longkang di tepi rumah. Lebih layak mukanya di situ berbanding di dalam rumah ni.

Panas tau tak bila dia ada dalam rumah ni!

“Oi, kau jangan nak tunjuk alim kau depan aku boleh tak? Sakit mata aku tengok kau!” Tengkingku ke arah adikku, Nur Zhafira. Adik? Oh, tolonglah! Tak sudi aku nak mengaku dia tu adik aku sebenarnya.

Zhafira memandang sayu ke arahku. Eh, fikir aku hairan sangat ke dengan muka dia tu?!

“Kenapa kak Fina benci sangat dengan Fira? Fira tak buat apa-apa pun.” Eleh, apa dia fikir aku cair ke lepas dia buat ayat sayu-sayuan dengan aku. Eh, sekali aku kata aku benci, tak mungkin ia akan berubah!

Aku memandang tajam ke arah Zhafira. Ikutkan hati sudah lama aku menghalaunya keluar dari rumah ni. Cuma aku fikir yang rumah ni bukan rumah aku aje aku berdiam diri. Mentang-mentang papa dengan mama asyik bela dia, aku ni ibarat tunggul aje. Dahlah tunggul, segala yang aku buat ada aje yang tak kenanya.

“Hey, suka hati akulah nak benci kau ke apa ke! Kau memang tak buat apa-apa tapi kau dah rampas papa dengan mama tahu tak. Patutnya kau mampus aje waktu mama lahirkan kau dulu!” Aku menghamburkan rasa geram kepadanya.

Zhafira tertunduk. Terenjut-enjut bahunya kerana menangis. Aduh, drama air mata pula dia!

“Apa ni?! Fina ni dah melampaulah. Dahlah teruk dekat sekolah, dekat rumah pun teruk juga. Mama tak kira, malam ni Fina kena tidur dalam stor. Selagi mama tak datang buka pintu pagi esok jangan harap Fina boleh keluar!” Tanpaku duga mama menyergahku dari belakang Zhafira.

Aku yang terpinga-pinga hanya melihat mama membela Zhafira. Itulah nasib aku. Apabila Zhafira menjadi tempat aku melepaskan geram pasti aku yang terkena semula. Hukuman mama tiada yang lain selain mengurung aku di dalam stor yang sudah diibaratkan sebagai bilik keduaku.

Air mataku mengalir di pipi setelah kelibat mama dan Zhafira hilang dari pandangan mataku. Apa salah aku? Hendak dikatakan yang aku ni bukan anak papa dan mama mustahil kerana aku berbintikan sama seperti Zhafira.

Tapi, layanan terhadapku berbeza seratus peratus daripada layanan yang diberi kepada Zhafira. Asal saja aku menyoal kenapa aku diperlakukan sebegitu, mama hanya menjawab, aku anak yang tidak berguna. Di sekolah sentiasa berada di tempat yang tercorot. Sudah nasib aku namun, mama tidak mahu memahami.



AKU menarik selimut yang menutupi sebahagian kakiku sehingga ke dada. Sejuk tak terkata. Tambahan pula, aku tidur di atas lantai tanpa berlapik kecuali bantal dan selimut. Aku menggigil sendiri menahan kesejukan yang menggigit tulang.

Aku mengiring ke kiri dan ke kanan. Segalanya tidak kena. Aku memejamkan dan mencelikkan mata berkali-kali namun tetap sukar untukku dibawa oleh arus mimpi ke alam lena.

Achum!

Aku bersin. Habuk yang banyak di stor ini membuatkan hidungku berasa gatal. Air mataku mengalir apabila terbayang di ruang mata bagaimana mama melayan Zhafira dengan lembut berbanding denganku.

Setiap malam mama datang ke kamarnya semata-mata untuk menghantar segelas susu panas bersama biskut coklat. Aku yang menunggu untuk mama menghantar ke bilikku hanya seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Sia-sia sahaja!

“Aku ni anak mama ke?” Omelku sendiri dengan air mata yang kian lebat membasahi pipiku.

Aku mengiring ke sebelah kanan. Aku menutup rapat mataku sambil berdoa agar ini semua hanyalah mimpi dan keesokan harinya tika aku bangun, mama datang memeluk erat tubuhku sambil mengusap lembut rambutku sambil membisikkan kata-kata sayang ke cuping telingaku. Namun, mampukah itu semua menjadi kenyataan?



PAGI yang dinanti tiba jua. Aku teruja apabila mendengar pintu stor tempatku dikurung dibuka dari luar. Berdebar dada ibarat ini menanti untuk pintu tersebut terkuak.

Apabila pintu terbuka, aku kembali menyedarkan diriku. Aku tak patut bermimpi di siang hari. Pembantu rumah di rumahku, Sutina yang membuka pintu tadi. Senyuman yang tadinya mekar di bibirku perlahan mengendur.

“Na, puan sudah benarkan Na keluar. Puan suruh Na pergi sekolah jalan kaki hari ini.” Ujar Sutina yang membuat aku bertambah kecewa. Segala apa yang aku impikan hanya tinggal mimpi.

Aku mengangguk perlahan membalas kata-kata Sutina dan terus membawa bantal dan selimut naik ke bilik. Dengan langkah longlai aku mendaki anak tangga untuk naik ke tingkat dua. Aku terserempak dengan mama di penghujung tangga namun mama tidak sedikit pun melihat ke arahku.

Ya Allah, pedihnya hati kecilku. Air mata yang bertakung di tubir mata ku tahan.

Masuk sahaja ke dalam bilikku, aku terus menangis sepuas hati. Namun, tangan dan kakiku masih ligat bersiap untuk ke sekolah. Aku tidak mahu terlewat ke sekolah. Selesai menyarung baju uniform lengkap sekolah, aku terus menggalas beg sekolahku.

Aku menuruni tangga rumahku sambil berlari. Mama, papa dan Zhafira yang sedang bersarapan tidakku toleh walau seinci. Aku terus masuk ke dapur untuk minum segelas air kosong.

“Na, bibik udah bekalkan mee goreng buat Na. Jangan kasi tahu sama puan, ya.” Bisik Sutina tiba-tiba di telingaku.

Sutina menghadiahkan aku sebuah senyuman sambil menghulurkan sebuah bekas berisi mee goreng. Aku tersenyum kembali ke arahnya.

“Laa, susahkan bibik pula.” Balasku. Hulurannya tetapku sambut. Rezeki tak mungkinku tolak.

“Ish, nggak dong. Ambil aja... Buat makan waktu rehat. Tapi satu aja, jangan kasi tahu sama puan.” Bisiknya lagi gaya James Bond ke telingaku.

“Baiklah. Terima kasih, bibik.” Ucapku padanya.

Bibik tersenyum lebar sambil menaikkan ibu jari tangan kanannya. Aku hanya ketawa kecil melihat gelagat Sutina. Dalam hati, sebak tak terkata. Tugas seorang ibu yang sepatutnya menjaga makan seorang anak kini diambil alih oleh seorang pembantu rumah.

Aku segera memassukkan bekal yang diberi oleh Sutina ke dalam beg sekolahku. Aku menonong keluar dari dapur dan terus ke ruang tamu sebelum keluar melalui pintu utama setelah bersalam dengan Sutina.

Semasa aku ingin melangkah keluar, suara mama menerjah ke ruang pendengaranku.

“Macam tulah anak derhaka. Mama dengan papa pun dia buat-buat tak nampak. Orang lain berebut-rebut nak minta restu sebelum keluar ke sekolah, dia menonong aje macam mama dengan papa dia ni kayu.” Pedih kata-kata mama yang dihadam oleh otakku.

Aku berpatah kembali ke ruang makan dengan wajah yang ditebalkan. Aku menghulurkan tangan kepada mama. Lambat-lambat mama menyambut huluran salamku. Sudahlah sambut salamku acuh tak acuh, salam pun setakat di hujung jari. Ya Allah, hati kecilku terasa diramas sehingga hancur oleh jari-jemari mama.

Aku bersalam pula dengan papa. Papa menyambut huluran salamku. Tidak seperti mama, papa mencium pula dahiku. Terasa hangat kasih sayang papa masih mengalir di tubuhku ini meskipun tak sehangat kasihnya buat Zhafira.

Zhafira menghulurkan tangan ke arahku namun aku tidak mahu menyambutnya. Bukan ingin berlaku kurang ajar namun hatiku ego untuk menerima segala apa dari insan bernama Zhafira. Persepsi aku tentang dirinya tetap tidak berubah. Dia perampas kasih sayang mama dan papa dariku!

“Wah, kurang ajar anak awak, bang! Hey, Fira tu nak salam dengan kau aje pun! Dasar kurang ajar!” Jerit mama apabila melihat aku tidak menyambut huluran tangan Zhafira dan aku terus berlalu begitu sahaja.

Anak kurang ajar? Kurang ajarkah aku membenci seorang adik yang telah membuat aku dianak tirikan oleh mama sendiri? Salahkah aku tidak menyambut salam seorang adik? Hatiku terdetik setiap persoalan yang tiada jawapannya.

Aku terus berlari keluar dari perkarangan rumah. Sakitnya hati ini sehingga terasa sesak segalanya. Air mataku mengalir seiring langkahku menuju ke sekolah. Dari berjalan perlahan kini aku berlari apabila jam sudah menunjukkan pukul 6:55 pagi.

Tepat jam 7:05 pagi, aku sampai di hadapan pagar sekolah. Pada waktu itu jugalah aku terlihat kereta mama melintasi aku. Aku melihat sebuah drama yang amat memedihkan hatiku apabila mama mencium dahi Zhafira. Ya Allah, teringinnya aku merasai nikmat ciuman seorang mama.

“Tak nak masuk ke, cik adik? Kami dah nak tutup pagar dah ni.” Kata Fadhil, pengawas yang bertugas menjaga pagar sekolah, seraya mematikan lamunanku.

Aku segera melangkah masuk ke dalam sekolah sebelum pagar ditutup.

“Akak, akak! Kak Fina!” Suara Zhafira di belakangku yang menyeru namaku tidakku peduli malah langkahku diperlaju lagi sehingga aku tiba di barisan kelasku.

Bahu Fatiha dan Izzlyen ku sentuh. Mereka berdua berpaling ke belakang. Aku memberikan senyuman buat mereka. Mereka membalas senyumanku.

“Penat aje rupa kau. Kena denda dengan mama kau lagi ke?” Soal Izzlyen. Mereka berdua adalah orang yang tahu akan apa yang terjadi pada diriku. Hanya mereka kerana merekalah yang paling rapat denganku.

Senyumanku tadi yang manis bertukar menjadi tawar. Aku mengangguk lemah membalas pertanyaan mereka. Aku tertunduk.

“Sabarlah, Fina. Aku tahu kau kuat.” Ucap Fatiha seraya memelukku.

Aku menahan air mata agar tidak tertumpah di hadapan mereka. Lagipun malulah aku, sudah berumur 16 tahun tapi masih cengeng seperti anak kecil di khalayak ramai.



“MAMA kau dah gila ke?!” Ujar Izzlyen separuh jerit. Dia menjerit kerana mendengar cerita soal mama yang mengurungku semalaman.

“Mama aku tak gila, Lyen. Mama nak ajar aku supaya menjadi anak yang berguna.” Balasku. Aku memang bencikan Zhafira namun aku sayangkan mama. Walaupun mama membuatku seperti tiada hati namun mama tak gila.

Izzlyen mengeluh perlahan.

“Aku minta maaf, Fina. Aku tak sengaja nak gelar mama kau gila. Lagipun yalah, mama kau tu dah melampau. Buat kau macam kau ni tak ada hati. Kalau akulah, dah lama aku cabut lari dari rumah tu.” Izzlyen memeluk bahuku.

“Lyen! Kau jangan nak ajar Fina buat benda bukan-bukan. Fina, jangan nak dengar sangat cakap kawan kita ni.” Fatiha menyampuk. Fatiha menepuk perlahan bahu Izzlyen gara-gara geram.

Aku tertawa kecil melihat gelagat kawan baikku ini. Tanpa mereka pasti sunyi hidupku.

“Tiha, Lyen, terima kasih kerana sudi berada di sisi aku tika aku susah. Aku hanya ada korang. Lagi satu, walaupun aku adalah pelajar yang tercorot dalam kelas kita tapi aku masih waras untuk berfikir yang mana satu patut aku buat dan yang tak patut aku buat.” Tidak terlintas di hatiku untuk berkata sinis kepada kawan baikku ini.

Mereka berdua hanya tersengih.

“Ok, ok... Sorry ya, sayang. Hmm... Apa-apa pun Fina dah bagitau ke dekat mama Fina yang hari Sabtu ni kita ada kem motivasi?” Kata Fatiha yang mengingatkan aku soal kem pada hari Sabtu ini.

Aku terlupa untuk memberitahu mama. Ya Allah, habislah aku. Pasti mama akan marah aku lagi. Dan pastinya tiada siapa pun yang sudi membelaku. Papa juga tidak mampu berbuat apa-apa.

“Aku lupalah nak bagitau mama aku. Macam mana ni, korang? Aku takut nanti bukannya dikurungnya aku dalam stor tu, silap hari bulan beg-beg aku sekali kena humban dalam stor tu.” Beginilah aku jika berada dalam keadaan cemas. Seperti cacing kepanasan.

“Sabar Fina, sabar.” Tiha menyabarkanku sambil mengusap lembut lenganku.

“Tak apalah, biarlah kami beritahu mama kau. Manalah tahu nanti kalau kami yang beritahu, mama kau tak marah ke.” Sampuk Izzlyen.

Aku memandang ke arah mereka silih berganti. Aku menghadiahkan mereka sebuah senyuman yang kosong. Tanpa sebarang keikhlasan.

“Entahlah, Lyen, Tiha. Macamlah korang tak kenal mama aku tu.” Aku tertunduk memandang ke bawah. Hatiku terasa bagai digilis apabila terkenangkan kembali saat-saat aku ‘dipijak’ oleh mama seperti aku tidak punya hati.

“Tak cuba lagi mana nak tahu. Petang ni kami pergi rumah kau. Ok tak, Lyen?” Sampuk Fatiha.

Izzlyen mengangguk tanda setuju dengan cadangan Fatiha. Aku hanya mampu tersenyum hambar. Aku tahu mereka ingin membantuku tapi... Adakah mama tidak akan memarahiku selepas itu? Adakah mama akan menolongku mengemas beg untuk dibawa untuk kem Sabtu nanti?

Hmm... Mungkin tidak jawapannya.



“ASSALAMUALAIKUM...” Terdengar suara orang memberi salam dari arah luar. Aku yang sedang menggosok baju sekolah untuk dipakai pada keesokan harinya terus menutup suis seterika dan mencapai tudung di tepi pintu sebelum berlalu turun.

Aku menyarung tudung ke kepalaku. Bibik Sutina yang ingin membuka pintu ku tahan. Biar aku yang membuka pintu kerana aku tahu Fatiha dan Izzlyen yang memberi salam di luar sana.

“Waalaikummussalam. Eh, korang!” Dah agak dah.

Aku membuka pintu pagar dan mempelawa mereka untuk masuk ke dalam rumahku. Rumahku? Layakkah rumah yang menjadi saksi aku dianak tiri oleh mama ini digelar sebagai rumahku?

“Mama kau mana?” Soal Fatiha dengan nada berbisik. Tahu sangatlah yang dia turut gerun untuk berhadapan dengan mama.

“Mama aku ada dekat atas. Sekejap aku panggil mama. Korang duduklah dulu.” Ucapku. Mereka melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu.

“Bik, tolong buatkan air untuk kawan-kawan Fina.” Aku meminta kepada Sutina yang tercegat di tepi dapur sebelum berlalu naik ke tingkat atas.

Dengan lafaz basmallah aku membuka pintu bilik mama. Hatiku pilu apabila melihat mama duduk berdua bersama Zhafira di hadapan komputer sambil membantunya membuat kerja sekolah. Agaknya bilalah aku dapat merasai pengalaman seperti itu?

“Nak apa?” Serius suara mama menyoalku yang masih tercegat di hadapan pintu.

“Kawan... Kawan Fina datang. Mereka ada hal nak cakap dengan mama. Hal sekolah.” Jawabku tergagap-gagap. Wajah mama serius memandangku manakala Zhafira pula tersenyum ke arahku.

Kenapa hati berasa senyuman yang diberinya ialah senyuman menyindirku? Ahh, segala soal Zhafira tiada yang baik di mataku. Dia memang jahat! Perampas kasih sayang!

“Huh! Mengganggu betul!” Rengus mama namun wanita itu tetap bangun. Sempat jua dia berpesan pada Zhafira agar meneruskan kerja dan bertanya jika tidak tahu. Aku hanya mampu menahan rasa di hadapan pintu sambil tertunduk.

Aku mengekori langkah mama yang menuruni tangga. Mama memang cantik walaupun sekadar menyarung T-shirt kosong berwarna ungu bersama palazzo. Namun, mengapa mama tidak melayanku dengan ‘cantik’ secantik dirinya? Adakah aku terlampau ‘buruk’ untuk berdamping dengan si ‘cantik’.

“Assalamualaikum, aunty.” Ucap Fatiha dan Izzlyen serentak sebaik sahaja mama melangkah ke ruang tamu.

“Waalaikummussalam. Hal sekolah apa yang penting sangat tu sampai terganggu masa Zhafira nak belajar?” Sinis suara mama berbicara kepada Fatiha dan Izzlyen.

Fatiha dan Izzlyen saling berpandangan. Aku pula? Aku hanya mampu tertunduk memandang lantai. Aku malu kerana mama seakan tidak suka dengan kehadiran rakan-rakanku itu sebagai tetamu.

“Aaa... Hmm... Kami... sebenarnya nak bincang soal... kem. Sabtu ni Fina ada kem. Semua pelajar tingkatan 4 wajib hadir.” Balas Fatiha menjawab soalan yang diajukan oleh mama.

Aku melihat mama mengangguk dengan hujung ekor mataku. “Kem apa tu?” Soal mama lagi.

“Kem meluah perasaan hati yang dianjurkan oleh pihak panitia Agama Islam di sekolah kami. Kem ini percuma tanpa sebarang bayaran, aunty. Aunty tak perlu susah-susah nak keluar duit untuk Safina.” Izzlyen pula menjawab. Sempat jua dia menyelitkan kata-kata berbaur sindiran.

Fatiha mencuit pinggang Izzlyen sambil mencerlungkan matanya ke arah Izzlyen. Izzlyen hanya buat muka annoying seraya mencapai cawan air teh yang dihidang untuknya.

Mama pula membulatkan matanya ke arah Izzlyen sambil berpeluk tubuh. Darah gemuruhku tiba lagi apabila mama memandangku tajam. Aku rasa seperti ingin lari masuk ke bilikku tapi takut nanti kesian pula Fatiha dan Izzlyen terpaksa berhadapan dengan mamaku sendiri.

“Ehem... Jimat duit aunty, kan? It’s ok. Aunty bagi lagipun selesa sikit tak payah nak menghadap muka budak tercorot. Aunty ajar Zhafira belajar lagi bagus.” Sinis suara mama menampar gegendang telingaku.

“Kalau dah habis hal nanti, pagar dekat depan tu aje. Assalamualaikum.” Ujar mama sambil menghalakan jarinya ke arah luar rumah.

Aku melihat wajah Fatiha dan Izzlyen kelihatan seperti cuak. Aku pula terasa bagai ingin menyorok di bawah selimut gara-gara malu dengan mereka. Mama pula terus berlalu naik semula.

“Aku minta maaf sebab...” Aku tidak mampu meneruskan kata-kataku. Pandanganku tertumpu ke arah Fatiha dan Izzlyen dan memandangku.

“Kami faham. Apa-apa pun kami minta maaf juga sebab tak mampu nak tolong kau keluar dari lembah derita kau ni.” Balas Fatiha seraya datang kepadaku dan memeluk bahuku.

Izzlyen turut memelukku. Aku terharu kerana memiliki seorang sahabat yang memahami seperti mereka. Tanpa mereka tak mungkin aku kuat menghadapi karenah mama yang nyata benci akan diriku.

“Sudah takdir aku.” Balasku.



DUA hari pelajar tingkatan empat berkampung di sekolah, kini tibalah saat-saat yang paling menyentuh hati. Sebuah slot yang diberi nama Kasih Erat Sayang Penyatu Hati. Slot ini memerlukan undangan ibu bapa untuk bersama-sama anak. Tapi aku, keseorangan tanpa papa apatah lagi mama.

Motivator jemputan menyuruh semua pelajar tingkatan empat untuk menutup mata dengan sehelai kain berwarna hitam.

“Hidupmu bermula dari seketul daging yang tidak bernyawa. Kedua-dua ibu dan ayahmu gembira menanti kelahiranmu yang cukup indah bagi mereka.” Kata-kata motivator tersebut benar-benar menyentuh hatiku. Aku menahan sebak sendiri.

“Saat tangisanmu memecah sunyi dinihari, ibu dan ayahmu mengucap syukur tak terperi ke hadrat Ilahi. Bergetar suara ayahmu saat azan dan iqamat dilaungkan ke telingamu. Kata-kata syukur meniti tanpa henti di hati mereka. Tapi, adakah jasa mereka telahmu balas sama rata dengan jasa mereka?” Air mata yang ku tahan mengalir ke pipiku. Sebak menguasai diri.

“Hey, anak muda! Tak sedarkah dikau yang dikau banyak menyusahkan kedua-dua ibu dan bapamu terutama ibumu. Sejak dari dalam kandungan ibumu, dikau telah menendang, menyepak ibumu. Tak rasa bersalahkah duhai anak muda?!” Lantang suara motivator tersebut membuatkan dadaku bergetar.

“Mereka permata. Mereka permata, sayang-sayangku... Tanpa mereka tak mungkin dirimu dapat hidup di dunia yang fana ini. Hargailah mereka... Kalian... bla... bla... bla...” Kata-kata motivator tersebut tiada satu pun yang tembus ke telingaku setelah itu.

Benakku terbayang wajah mama dan papa. ‘Hargailah mereka...’ Bagaimana aku ingin menghargai mereka sedangkan diriku jua tidak pernah dihargai oleh mereka. Akukah yang jahat... atau... mereka?

Ya Allah, aku hanya mampu memohon pada-Mu agar kedua-dua orang tuaku sentiasa berada di bawah lindungan-Mu. Biarlah aku tidak dihargai asalkan aku menghargai jasa mereka. Ya... Hargailah jasa mereka walaupun aku tidak dihargai.



AKU merenung ke luar tingkap. Novel yang ku baca diletakkan ke tepi. Moodku terbang dibawa angin yang berlalu. Hatiku galau tika ini. Galau memikirkan soal masa hadapanku. Sampai bila aku perlu begini.

Mama tak pernah sekali pun duduk denganku seperti mama duduk dengan Zhafira untuk berbincang soal masa hadapan adikku. Cerah atau gelap masa hadapannya dibincang bersama-sama. Tapi aku, hanya mampu berfikir sendiri. Tapi itu tidak bermakna aku sudah berputus asa.

Aku tetap dengan perancangan masa hadapanku cuma aku takut untuk merealisasikannya. Tiada siapa sudi memberikan aku semangat. Sutina? Lebih baik dia memberikan semangat kepada dirinya sendiri untuk memasak dan mengemas rumah dengan jayanya.

Aku ingin membina sebuah syarikat penerbitan yang menerbitkan novel dan bahan bacaan untuk para remaja. Aku ingin melahirkan penulis-penulis yang profesional di bawah penerbitanku nanti.

Lamunanku terhenti apabila terdengar Sutina mengetuk pintu bilikku dari luar. Aku menyuruhnya masuk. Sutina masuk bersama sengihannya.

“Na, Puan panggil Na makan tengah hari.” Ujarnya.

Aku mengangguk sahaja. Sutina berlalu keluar dan aku melangkah turun setelah mengemas novel yang aku baca. Semasa turun, aku terdengar suara mama rancak berbual bersama papa dan Zhafira. Aku terus melabuhkan punggung di hadapan Zhafira. Aku mencapai kendi air untuk membasuh tangan.

“Mama, nanti Fira nak masuk sekolah sains. Nak jadi doktor yang berjaya and then Fira nak bantu orang-orang yang sakit. Nak rawat mereka sampai sembuh. Kan, kak Fina?” Aku terkedu apabila tiba-tiba namaku terselit dalam bicara Zhafira.

Aku yang sedang mencedok nasi ke dalam pinggan mendongak melihat ke arah Zhafira. Aku membuat muka kosong ke arahnya. Tidak tersenyum tidak juga memandang sinis ke arahnya.

“Tak perlulah nak tanya dia. Orang yang bawah ni selalunya tak faham apa-apa. I believe that you can do more than your ‘luvly’ sister.” Sinis suara mama menerjah ruang pendengaranku.

“Rozita!” Lantang papa bersuara. Aku yang terkejut memandang ke arah papa.

“Awak ni dah melampau. Kalau ya pun awak benci anak saya, tolong jangan rendahkan dia. Saya dah tak tahanlah.” Ujar papa dan terus berlalu meninggalkan ruang makan.

Aku tertunduk memandang pingganku yang hanya sempat diisi nasi separuh senduk. Dalam diam aku berfikir. Anak saya? Papa cakap anak saya. Kenapa bukan anak kita?

Aku terdengar suara mama mendengus kuat. “Hey, Fina! Kau nak tahu tak, gara-gara kau, hancur mood aku!” Lantang suara mama berbicara denganku sambil menunjal kepalaku dengan jari telunjuknya.

Mama turut berlalu pergi. Aku masih lagi tertunduk. Tidak sanggup untuk aku melihat apa yang terbentang di hadapan mataku. Namun, ekor mataku sempat jua menjeling ke arah Zhafira di hadapanku. Aku melihat Zhafira kelihatan seperti geram denganku. Ahh, ada aku kisah soal dia!

Dia juga berlalu mengikut mama. Aku keseorangan menghadap rezeki untuk tengah hari ini. Perlahan tanganku mencedok kuah lemak di dalam mangkuk. Air mataku mengalir seiring pergerakan tanganku.

Satu persatu suapan masuk ke mulutnya sambil air mataku masih mengalir dan kian lebat. Tiba-tiba aku terasa bahuku dipeluk. Aku mendongak dan melihat Sutina tersenyum tawar ke arahku.

Tanpa ditunggu, tubuh orang gaji di rumah mama ini ku peluk seeratnya. Mengapa mama tidak seperti Sutina yang memahami hatiku. Mengapa tidak hanya Sutina yang menjadi mama? Mengapa dan mengapa?



SEPULUH TAHUN KEMUDIAN...

Aku mengecilkan mataku sambil merenung ke atas. Bangunan yang setinggi dua tingkat ini berjaya aku ‘bina’ dengan harapan, semangat dan azam yang tinggi. Aku berjaya. Ya, aku kini sudah berjaya mengejar apa yang aku inginkan meskipun usiaku masih muda. Masih belum mencapai usia 30 tahun pun.

Lamunanku terhenti seketika apabila ada yang menyeru namaku. Aku segera menoleh ke belakang. Kelihatan kelibat Fatiha berlari-lari anak ke arahku. Kami berpelukan sesama sendiri.

“Alhamdulillah, kawanku. Akhirnya tak lama lagi kawan aku ni akan jadi penerbit novel. Wah, bangga aku!” Ucap Fatiha setealah meleraikan pelukannya.

Aku ketawa kecil mendengar kata-katanya.

“Alhamdulillah, rezeki di tangan Allah, kita sebagai hamba-Nya hanya mampu berusaha untuk menggapai apa yang diimpiankan. Tapi aku bukan akan jadi penerbit tapi memang dah jadi penerbit pun. Dah ada novel di bawah penerbitan aku sekarang.” Ujarku teuja.

Fatiha memandangku dengan pandangan yang tidak percaya.

“Serius?! Wah, hebatnya kawan aku ni! Siapa penulis yang berjaya menambat hati penerbit muda ni?” Soalnya padaku seraya memeluk bahuku.

“Akulah yang berjaya tarik hati penerbit muda ni.” Ucap seseorang dari arah belakang menyebabkan Fatiha laju berpaling untuk melihat gerangan yang berbicara.

Izzlyen memandang ke arah kami sambil tersengih-sengih. Izzlyen menapak ke arah kami.

“Kau? Kau jadi penulis? Awesome! Seorang kawan aku penulis, seorang lagi menerbitkan buku penulis ni. Wah, hebat-hebatlah kawan aku ni! Aku jadi pembaca ajelah. Boleh?” Teruja Fatiha menuturnya.

Aduh, kawan-kawan aku! Macam-macam. Aku menggeleng kepala berkali-kali melihat telatah Fatiha yang lucu tapi comel. Tak tahulah sejak bila dia berubah jadi orang yang over-excited macam ni.

“Sudahlah, dari tadi asyik bercakap aje. Jom, masuk. Aku nak kenalkan korang dengan staf-staf aku.” Ajakku.

Kami melangkah beriringan masuk ke pejabatku. Wah, tak sangka rupa-rupanya aku dah ada pejabat. Dari satu ke satu bahagian kami jelajahi. Aku memperkenalkan mereka kepada semua stafku. Majoriti staf aku ialah perempuan. Hanya di bahagian grafik sahaja yang majoritinya lelaki. Selebihnya, perempuan juga.

Aku membawa mereka masuk ke pejabatku. Tak habis-habis bibir mereka mengucap kata-kata pujian kepadaku. Aku tidak berasa riak kerana bagiku mengapa perlu aku riak sedangkan ini semua hanya pinjaman dari Yang Esa. Bukannya kekal milikku selamanya.

“Kau dengan mama kau macam mana?” Tiba-tiba Izzlyen membuka ‘buku’ soal mama dan aku.

Aku tersenyum ke arah Izzlyen dan Fatiha. Perlahan aku membalas.

“Masih macam tu. Aku ni ibarat tunggul aje. Lagipun aku tak nak berharap sangat soal mama. Aku bahagia dengan apa yang aku ada. Lagipun aku yakin yang aku mampu untuk berdikari. Kalau ada mama pun aku tetap berdikari juga. Mama takkan pernah tolong aku. Aku dapat tanah buat pejabat ni pun sebab papa aku sudi tolong.” Balasku.

Fatiha dan Izzlyen saling berpandangan.

“Sampai macam tu sekali? Bilalah mama kau nak berubah... Aku kesian tengok kau. Tak pernah merasa kasih sayang seorang mama.” Kata Fatiha yang menyentap kalbuku. Senyuman terus mati di bibirku.

Bibirku terkunci rapat. Tiada apa yang mampu aku katakan lagi untuk membalas kenyataan Fatiha. Mama nak berubah? Hmm... Hanya pada Allah aku serahkan segala-galanya.

“Fina, aku minta maaf kalau kata-kata aku menyakitkan hati kau. Aku cuma kesiankan kau. Kau tak patut dilayan begini oleh mama kau. Kau ada hak untuk dapatkan kasih sayang dari mama kau.” Ujar Fatiha. Kini, mereka berdua sudah berada di sebelahku.

Aku mengukirkan sebuah senyuman buat mereka. Mereka memandangku sayu.

“Sudahlah, hal aku adalah hak aku. Jom kita turun pergi makan, laparlah.” Aku segera menutup perbincangan soal mama. Biarlah aku menyimpan sendiri soal selebihnya. Cukuplah sekadar mereka mengetahui soal apa yang mama lakukan kepadaku.

Aku segera mencapai beg tanganku di atas meja. Aku menarik tangan mereka yang masih tercegat melihatku agar menuruti langkahku. Aku sedar riak mereka seakan tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan tapi... maaflah kawan.



AKU menutup pintu kereta. Sudah dua minggu aku tidak menjejakkan kaki ke rumah ini. Sudah dua minggu jugalah aku tidak berjumpa dengan mama dan Zhafira. Papa ada aku jumpa ketika majlis sempena pembukaan pejabatku.

Aku melangkah masuk setelah memberi salam. Aku mencari kelibat mama namun tiada. Aku segera melangkah ke dapur untuk mencari Fatanah, orang gaji mama yang baru sejak Sutina berhenti kira-kira tiga tahun yang lalu. Walau siapa pun orang gaji di rumah ini, aku tetap sukakan Sutina.

Tanpa Sutina, tak mungkin aku merasa kasih sayang umpama kasih sayang oleh seorang ibu. Tanpa Sutina yang sering menangkan aku berbanding mama, tak mungkin aku kuat.

“Fatanah, awak ada nampak mama tak?” Soalku kepada Fatanah yang ralit mengelap meja di ruang makan. Tangannya berhenti dari terus mengelap meja dan mendongak melihatku.

“Owh, Puan besarnya ada di luar. Lagi istirehat bersama Zhafira.” Jawab Fatanah dalam loghat Indonesianya yang masih pekat.

Aku memberikan senyuman kepada Fatanah dan terus berlalu keluar untuk mencari mama. Dari jauh lagi aku sudah terdengar suara mama dan Zhafira bergelak ketawa. Tidakku nafikan jauh di sudut hatiku timbul jua rasa cemburu yang tidak berkesudahan melihat Zhafira bergelak ketawa bersama-sama mama. Tapi, siapalah aku.

“Assalamualaikum, mama, Zhafira.” Ucapku.

Hubunganku dan Zhafira sudah tidak seperti dulu lagi. Aku sedar, cemburu aku tidak mampu membawa ku ke mana-mana. Adalah lebih baik untuk aku melupakan segala kisah lalu dan membuka buku baru. Masa mematangkan aku dengan usiaku yang kian meningkat.

Tapi, mama masih seperti dulu. Dingin dan beku melayanku.

“Waalaikummussalam. Eh, kak Fina! Bila akak datang? Fira tak sedar pun.” Balas Fira. Mama hanya memandangku dengan ekor matanya.

Zhafira bangun dan memelukku. Aku membalas pelukannya erat.

“Akak baru sampai. Bakal doktor ni apa khabar?” Soalku seraya meleraikan pelukan antaraku dan dia.

Zhafira ketawa kecil. “Alhamdulillah, Fira sihat aje. Penerbit muda ni pula apa khabar? Maaflah sebab Fira tak dapat datang waktu majlis pelancaran tempoh hari. Fira sibuk sangat.” Balas Zhafira.

Aku melabuhkan punggung di sebelah Zhafira. Aku sedar mama tidak enak dengan tindakanku duduk bersama-sama mereka. Aku hanya mampu menahan rasa di dalam hati.

“Akak sihat juga. Tak apa. Akak faham, lagipun bukan mudah nak jadi seorang doktor, Fira. Fokus dalam pelajaran. Jangan ketinggalan walau satu.” Sempat juga aku memberi kata nasihat kepada Zhafira.

“Dia tahu dengan komitmen dia. Tak perlulah kau nak jadi kaunselor pula.” Sinis suara mama membalas kata-kataku.

Aku terkedu dan tertunduk. Terasa ada usapan lembut di bahuku.

“Mama, kenapa mama cakap macam tu?” Ujar Zhafira.

“Mama cakap benda yang betul. Mentang-mentang dah jadi penerbit, ada hati nak jadi kaunselor pula.” Mama tetap dengan pendiriannya. Sekali dia kata dia tidak suka, memang selamanya tidak akan pernah berubah.

Aku tersenyum meskipun payah dan mendongak melihat mama. “Terima kasih mama kerana masih sudi memuji Fina.” Entah bagaimana ayat itu pula yang terbit di bibirku.

Mama memandang tajam ke arahku.

“Kau ni sama ajekan dengan Hasliza, kan! Suka sangat sindir aku macam kau tu sempurna sangat!” Lantang mama membalas.

Hasliza? Siapa pula Hasliza tu?

“Hasliza?” Dengan kerutan di dahi, aku menyoal mama.

Mama terkedu seketika dan menghela nafas dalam sedalamnya. Mama bangun dari duduknya. Mama melangkah ke arah deretan pasu bunga yang menempatkan bunga kesayangannya sambil membelakangiku.

Aku menanti mama untuk menjawab soalanku.

“Mungkin dah tiba masanya untuk aku bagitau kau perkara sebenar. Cukuplah selama 26 tahun aku sembunyikan rahsia. Aku dah tak larat dah nak simpan benda bodoh ni dalam kepala aku.” Tiba-tiba mama bersuara lantas berpaling ke arahku.

Dahiku berkerut melihat ke arah mama yang kelihatan serius.

“Maksud mama?” Lurusku membalas.

“Aku bukan mama kau. Dan yang pastinya aku tak sudi pun nak jadi mama kau.” Jawab mama membuatkan aku terkedu. Akalku tidak mampu untuk menghadam segala apa yang dikata oleh mama meskipun telinga mendengar setiap bait kata-kata mama.

“Ma... What do you mean by kak Fina is not your daughter?” Aku fikirkan hanya aku yang aku mendengarnya, tapi Zhafira turut mendengar kata-kata mama sebentar tadi.

Mama tersenyum sinis. “Aku tahu kisah kau ni tak ubah macam kisah novel yang kau baca, kisah sinetron yang kau tonton. Tapi, itu semua imaginasi orang lain tapi kini, di hadapan mata kau adalah realiti. Kau bukan anak aku.”

“Apa maksud mama dengan realiti tu?” Suaraku seakan berkompromi untuk keluar dari tekakku. Perlahan suaraku menyoal mama.

Zhafira menggenggam tanganku erat untuk memberikanku kekuatan yang ku rasakan telah hilang dari dalam diriku ini.

“Huh! Kau... bukan... anak... aku... Kau anak Hasliza, bini pertama papa kau tu. Jangan tanya aku di mana ibu kau tu sebab aku tak nak ambil tahu. Yang aku tahu, papa kau ceraikan dia sebaik sahaja usia kau 60 hari.” Hatiku luka. Luka dek ‘diramas’ oleh kenyataan mama.

Papa pernah berkahwin dua? Aku anak papa bersama isterinya yang pertama? Ya Allah, bermimpikah aku atau aku sedang menonton sinetron?

“Mama bohongkan...” Aku cuba menafikan apa yang aku dengar.

Mama tersenyum sinis membuatkan luka di hatiku kian besar.

“Aku tipu pun bukannya aku dapat duit pun. Aku rasa lebih baik kau tanya papa kau sendiri.” Ujar mama seraya memuncungkan bibirnya ke arah ruang garaj. Kelihatan kereta papa yang baru pulang dari tempat kerja masuk ke ruang garaj.

Tanpa menunggu, aku terus melepaskan tanganku dari genggaman Zhafira dan bangun mendapat papa. Aku berjalan dengan laju agar cepat aku sampai kepada papa.

Papa yang baru sahaja keluar dari tempat pemandu tersenyum apabila melihatku melangkah ke arahnya. Perlahan air mataku mengalir melihat senyuman papa yang manis itu terukir buatku.

“Eh, Fina! Kenapa menangis ni? Mama buat apa-apa ke dekat Fina?” Soal papa seraya cuba menggapai tanganku tapi aku segera melarikan tanganku. Air mata pula kian lebat membasahi pipiku.

“Fina nangis sebab papa. Sebab papa!” Aku sudah tidak mampu untuk mengawal perasaanku sendiri.

“Apa yang papa dah buat?” Pelik suara papa menyoalku kerana tiba-tiba sahaja aku menyatakan bahawa aku menangis kerana papa.

Aku memejamkan mata sebelum kembali merenung ke wajah papa yang kelihatan jelas kedutan di setiap sudut wajah itu meskipun masih belum agak jelas.

“Safina anak papa dengan Hasliza, kan?” Sinis suaraku menyoal papa sambil merenung dalam sedalamnya wajah milik lelaki yang bergelar papaku itu.

Aku melihat papa tersentak dengan soalanku. Papa terdiam dan tertunduk. Sesekali papa menjelingku dengan ekor matanya. Papa memegang kedua-dua belah bahuku.

“Mama dah bagitau ek? Syukurlah, akhirnya Fina dah tahu siapa Fina buat mama. Tapi, papa betul-betul minta maaf kerana sembunyikan kenyataan ini selama 26 tahun dari Fina.” Ujar papa lagak kenyataan aku bukan anak mama umpama bahan mainan.

Papa tak faham perasaan aku! Perasaan bukan anak mama. Aku sayangkan mama selama 26 tahun aku hidup di dalam rumah ini meskipun aku dilayan bak anak tiri oleh mama. Tapi kini, bukan sahaja dilayan bak anak tiri tapi aku memang anak tiri mama. Pilu hatiku mendengar kenyataan itu.

“Pa, apa semua ni? Kenapa perlu dirahsiakan hal ini? Apa salah Hasliza, ibu Fina, isteri pertama papa sampai papa nak rahsiakan hal ini? Kenapa papa kenapa?” Bertubi-tubi aku menerjah papa dengan pelbagai soalan.

Papa memandang ke anak mataku.

“Sebab salah papa. Papa tak nak ceritakan kebodohan papa lepaskan ibu Fina. Papa tak nak suatu hari nanti anak papa bencikan papa. Papa tak sanggup kalau Fina bencikan papa.” Papa memutar belitkan cerita sehingga berat kepalaku dengan kata-kata yang dituturkan oleh papa.

“Pa, just straight to the point. Fina bukan saintis nak kaji semua yang papa cakap. Fina nak sebuah kejujuran dari papa. Tolonglah pa, ceritakan perkara yang sebenar pada Fina.” Aku membentak apabila papa terusan bermain dengan kata-kata.

Papa mengukirkan senyuman manis buatku.

“Papa akan ceritakan selepas makan malam nanti. Papa penat, nak rehat dulu. Fina pun bermalamlah di sini untuk hari ni. Papa janji papa akan ceritakan segala-galanya pada Fina soal ibu Fina.” Ujar papa seraya berlalu meninggalkan aku sendirian termangu-mangu.

Aku menghantar langkah papa yang masuk ke dalam rumah dengan renungan mata. Aku tertunduk seraya menghela nafas panjang. Tiba-tiba terasa bahuku dipeluk dari arah belakang. Aku lantas mendongak dan berpaling ke belakang. Aku melihat Zhafira tersenyum ke arahku.

“Akak masuklah dulu. Tenangkan fikiran akak dulu. Fira tahu akak seorang yang tabah.” Zhafira memberikan aku kata-kata untuk menaikkan semangat.

Aku membalas senyumannya hambar dan berlalu masuk ke rumah bersama-sama Zhafira. Kelibat mama sudah tidak kelihatan di taman. Sudah masuk ke rumah juga barangkali.

Ya Allah, adakah aku sedang menghayati nukilan sebuah novel yang akan diterbitkan di bawah penerbitanku? Adakah aku sedang berlakon watak seorang anak yang perlu menerima kenyataan bahawa aku bukan anak kandung seorang mama?

Tidak! Aku tidak menghayati sebuah novel tidak juga seorang pelakon tapi ini semua adalah kenyataan. Kenyataan yang pahit sepahit hempedu.



AKU merenung wajah papa yang kelihatan tenang. Tapi, tenangkah hatinya? Wallahualam...

“Ceritalah hal yang sebenar pada Fina papa. Jangan sembunyikan apa-apa lagi dari pengetahuan Fina. Fina berhak tahu soal masa silam Fina.” Ujarku mematikan sunyi antara kami dua beranak.

Papa membuat keputusan untuk menceritakan segalanya di taman di luar rumah. Mama dan Zhafira tidak dibenarkan masuk campur urusan kami. Cukuplah mama sakitkan hatiku dengan kenyataan petang tadi. Papa tidak hatiku tercalar lagi gara-gara mama.

“Fina dah bersedia ke?” Soal papa.

Aku laju mengangguk tidak sabar untuk mendengar cerita yang sebenarnya dari bibir papa soal Hasliza, ibuku. Di mana ibuku? Kenapa papa menceraikan ibu? Bagaimana papa boleh menduakan ibu sedangkan aku sudah lahir ke dunia saat papa mengahwini mama?

Segala macam soalan berlegar-legar ruang benakku. Segala jawapan buat soalan tersebut, hanya ada pada papa.

Papa menghela nafas sebelum memulakan bicaranya. “Papa bahagia sangat bila dapat kahwin dengan ibu Fina. Papa cintakan ibu Fina sejak dari kami di bangku sekolah lagi. Kami bercinta sehinggalah cinta itu dibawa ke alam rumah tangga. Tapi, satu masalah kami, atuk dengan nenek Fina tak sukakan ibu Fina.” Ujar papa dengan senyuman yang tidak lekang di bibirnya tapi senyumannya kelihatan hambar.

Dahiku berkerut. “Papa dah kahwin dengan ibu tapi atuk dengan nenek tak suka. Habis tu kenapa atuk dengan nenek bagi papa kahwin dengan ibu?” Soalku lurus.

“Papa ugut nak kahwin dengan ibu Fina di Pattani kalau atuk dengan nenek tak bagi papa kahwin dengan ibu Fina. Mereka takut kalau papa betul-betul kahwin dekat Pattani, jadi mereka pun benarkan papa kahwin dengan Hasliza. Untuk pengetahuan Fina, Hasliza tak pernah bahagia pun.” Papa berhenti seketika. Papa meraup wajahnya berkali-kali.

“Atuk dengan nenek Fina selalu merendah-rendahkan ibu Fina. Papa tak mampu nak buat apa-apa. Setiap kali papa bersuara pasti atuk akan ungkit kembali kisah sebelum kami kahwin. Kata atuk, bersyukurlah mereka dah bagi kebenaran kahwin. Papa bersalah setiap kali atuk cakap macam tu. Papa...” Aku memotong kata-kata papa.

“Papa tengok aje ibu? Papa, how dare you.” Sayu suaraku menuturnya.

Papa menggeleng berkali-kali. “Fina tak faham perasaan papa waktu tu. Papa tersepit antara ibu Fina dengan atuk dan nenek.” Ujar papa dalam nada sedih. Aku bukan tidak mahu faham perasaan papa. Tapi, apa salah ibu?

“Habis tu macam mana papa boleh kahwin dengan mama?” Soalku.

“Atuk dengan nenek suruh papa kahwin dengan mama kalau tak, mereka ugut nak bunuh Fina. Waktu tu Hasliza tengah mengandungkan Fina lebih kurang dalam enam bulan macam tu. Papa sayangkan Fina, papa terus aje ikut cakap atuk dengan nenek. Papa ingat kalau dah kahwin dengan mama, atuk dengan nenek akan berhenti ganggu ibu.”

“Tapi, papa silap, mereka makin galak pula ganggu ibu Fina. Tambahan pula, mama tak suka dengan Hasliza. Paling dahsyat yang pernah mereka buat, mereka fitnah ibu Fina. Mereka cakap Hasliza tikam papa dari belakang. Tak padan dengan tengah mengandung tapi ada hati menduakan papa.” Papa merenung dalam anak mataku.

Aku hanya mampu kaku dan terdiam. Ibarat membaca novel, aku cuba menghayati cerita yang disampaikan oleh papa meskipun payah. Hatiku tercarik seiring dengan kata-kata papa. Atuk dan nenek ingin membunuh aku waktu aku dalam kandungan ibu. Apa salah aku waktu itu?

“Waktu tu emosi papa tak stabil. Papa tak mampu berfikir rasional. Dalam diam papa tekad nak berpisah dengan Hasliza bila dia selamat melahirkan Fina. Ya, papa ceraikan ibu Fina dengan talak tiga selepas Fina dilahirkan. Depan Fina pula tu. Hasliza merayu nak bawa Fina dengan alasan Fina masih menyusu badan. Papa tak bagi.”

“Papa hanya benarkan dia melawat Fina dua hari sekali tapi hanya untuk menghantar susu buat Fina. Papa tak benarkan dia melawat Fina lebih dari dua jam. Tepat setahun umur Fina, Hasliza dah menghilangkan diri. Jangan kata nak hantar susu pada Fina, nak lawat Fina pun tidak.” Papa berhenti seketika untuk mengambil nafas.

“Tapi papa tak kisah pun sebab waktu tu mama lagi penting. Mama tengah mengandungkan Zhafira waktu tu. Tidak papa nafikan, Fina banyak terabai sejak mama mengandung. Fina lebih rapat dengan orang gaji.” Dengan wajah yang bersalah papa memandang ke arahku.

Perlahan-lahan air mataku menitis membasahi pipi. Hatiku pilu menghadam segala cerita papa. Ibu...

“Kenapa ibu menghilangkan diri? Ibu pergi mana?” Soalku pada papa.

Papa ku lihat mendongak memandang dada langit yang kosong dan suram tanpa bintang dan bulan. “Ibu Fina meninggal. Papa dapat cerita dari jiran lama papa di kampung yang menyatakan ibu Fina meninggal digilis treler sewaktu balik kerja. Ibu Fina terjatuh di atas jalan raya sewaktu nak melintas jalan.”

Aku tersandar di kerusi. Ya Allah, berat sungguh cubaan yang KAU berikan buat ibu kandungku.

“Itupun papa tahu selepas dua tahun Hasliza menyepi. Dua tahun Fina. Bodohnya papa waktu tu. Papa biarkan seorang wanita yang amat papa cintai sejak bangku sekolah hanya kerana atuk, nenek dan mama Fina. Papa menyesal, Fina.” Ujar papa dengan juraian air mata seorang lelaki.

Aku tidak mampu membantu papa untuk menenangkan dirinya sedangkan aku turut berada dalam dilema. Dengan air mata yang masih galak membasahi pipi, aku merenung langit yang suram sesuram hatiku tika ini.

Patutlah sehingga kini mama membenciku, rupa-rupanya... Ahh, aku jadi sakit hati terkenangkan mama. Mama memang gila. Benar kata Izzlyen, mama aku gila.



AKU menyiram air mawar ke atas pusara setelah mensedekahkan bacaan Yasin dan al-Fatihah buat arwah. Pusara arwah bersih. Mungkin kerana penjaga kubur di sini yang membantu membersihkan pusara ibu. Papa di sebelahku kelihatan tak bermaya. Mungkin masih menyesal dengan keputusannya yang menceraikan ibu dulu.

“Assalamualaikum, ibu. Ibu, Safina dah besar sekarang. Dah 26 tahun dah pun. Safina nak ucap terima kasih kepada ibu kerana melahirkan Fina ke dunia ni walaupun waktu ibu sedang menghadapi cabaran yang amat berat.” Tuturku sambil memegang batu nisan yang tertera nama Hasliza binti Muhammad.

Papa memandang ke arahku. “Liza, saya minta maaf pada awak. Kalau bukan kerana saya yang terlalu kalut dalam membuat keputusan, pasti awak sedang bahagia di sisi Safina.” Ujar papa dalam nada sayu.

Aku menoleh melihat papa. Bahu lelaki kesayanganku itu dipeluk erat.

“Janganlah macam ni papa. Mungkin sudah takdir untuk ibu tertulis begini.” Pujukku.

Papa tersenyum hambar sambil memandang ke arahku. Aku membalas senyuman papa.

“Jom balik, papa. Lain kali kita datang lagi.” Ujarku.

Papa mengangguk membalas kata-kataku. Kami anak beranak bangun dan berlalu meninggalkan pusara ibu. Aku sempat menoleh ke arah pusara ibu. Aku tekad tidak mahu melepaskan ibu lagi. Aku berjanji akan ‘menziarah’ ibu walau bukan selalu.

Aku tidak mahu berpisah dengan ibu lagi. Cukuplah 26 tahun aku berpisah dengan ibu. Aku tidak mahu meninggalkannya lagi.

Benar, takdir Allah itu bukanlah suatu perkara yang mampu manusia capai. Takdirku telah tertulis di Luh Mahfuz. Indah dan suramnya hidupku segalanya telah tertulis di ‘sana’. Permulaan yang suram sedari aku kecil dan masih tidak mengerti apa-apa.

Kini hidupku mulai bersinar walau tidak seindah orang lain. Tapi cukup indah buatku. Aku baru tahu bahawa aku ada ibu yang mencintaiku walaupun bukannya mama. Walaupun tidak lama tapi kasihnya ibu sempat untukku rasa meskipun bukan pada era moden kini.

Aku perlu membuang ‘buku lama’ dan membuka ‘buku baru’. Aku tidak mahu hidupku dibayangi oleh bayangan mama yang membenciku dan ibu. Aku percaya, kasih ibu masih hangat mengalir di dalam diriku ini meskipun ibu sudah tiada.

Tanpa ibu siapalah aku. Ya, kasih mama tidak buatku kerana hanya ibu yang sentiasa memberikanku sebuah kasih yang indah. Di balik langit yang suram terlindung matahari yang mungkin belum tiba masanya untuk menyinar buatku.

Terima kasih Allah atas takdir-Mu buatku. Aku tahu, KAU mendugaku kerana KAU sayangkanku. SubhanAllah, terima kasih Allah.

6 comments:

  1. sad story. :'(
    Safina, awak adalah gadis yg hebat. respect for you!

    tahniah author, best. :)
    teruskan menulis ye.
    gud luck!

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih... terima kasih juga kerana sudi baca coretan saya.. :)

      Delete