Sunday 1 December 2013

Berkasih Dalam Bercinta 11

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...


SEBAIK sahaja punggung Achik menyentuh kusyen kerusi di ruang tamu rumah mak Nana, terus sahaja wajahnya dijamah tajam oleh mata Mak Datin Bunga. Terketar jugalah kepala lutut dibuatnya. Tak mampu nak cakap apa-apa, senyum aje dari tadi. Siapa dia buat Nana pun masih belum dijelaskan kepada Mak Datin Bunga. Senyum tak perlu kata apa-apa.


Nana pula tak sudah-sudah berkepit di sebelah emaknya. Lengan emaknya pula dipeluk bagai tidak mahu lepas. Tersengih-sengih sambil melentokkan kepalanya ke atas bahu emaknya.

“Siapa lelaki ni, Nana?” Soal Mak Datin Bunga dalam nada yang tegas.

Achik pula sudah kecut perut mendengar suara emak Nana. Nana pula menyimpan senyum apabila melihat reaksi Achik yang over takut. Macamlah Mak Datin Bunga ni nak cantas kepala dia macam cantas pokok.

“Biarlah dia jelaskan sendiri siapa dia. Nana buat air sekejap ya dekat dapur. Mak berbuallah dengan dia.” Jawab Nana sengaja membiarkan emaknya berteka-teki mengenai siapakah gerangan jejaka yang datang ke rumahnya bersama-sama Nana.

Bulat mata Achik melihat Nana yang sudah bangun. Sempat juga Nana mengenyitkan matanya ke arah Achik semasa melintasi kerusi tempat Achik duduk. Peluh jantan mulai merenek di dahi Achik apabila melihat wajah Mak Datin Bunga yang macam tak makan sejak dua hari lalu.

“Kau ni siapa? Macam mana boleh balik sekali dengan Nana ke sini? Apa hubungan kau dengan Nana?” Ayat dia!!!

Tertelan air liur yang terasa seperti bercampur dengan lemon dan limau kasturi Achik dibuatnya sewaktu mendengar soalan-soalan cari mati yang meniti di bibir Mak Datin Bunga. Ikutkan hati nak sahaja dia hidupkan enjin kereta dan terus blah. Tapi apabila mengenangkan Nana yang tersayang, ditabahkan hati.

Achik tersenyum sweet and sour sebelum membuka mulut untuk menjawab soalan-soalan yang diaju buatnya.

“Saya... saya...”

“Apa saya, saya?!” Achik terus menegakkan badannya apabila terdengar suara Mak Datin Bunga yang sudah naik seoktaf. Dia tersengih melihat ke arah mak Nana. Dadanya tak payah nak cakap lagilah. Berdebar hebat!

“Saya nak minta izin mak cik untuk berkahwin dengan Nana. Saya ni kawan dia. Saya nak kahwin dengan Nana.” Laju bak kereta api Achik bercakap.

Berkerut-kerut dahi Mak Datin Bunga mendengar kata-kata Achik. Matanya merenung Achik dari atas sampailah ke bawah. Bukanlah spesies yang bergaya sangat orangnya. Kulit pun boleh tahan, tak hitam dan tak putih. Rambut. Elok, tak ada rupa landak pun. Bibir. Manis dengan senyuman.

“Kerja apa?  Duduk dengan siapa sekarang? Dah berapa lama kenal dengan Nana?” Soal Mak Datin Bunga bertalu-talu membuatkan Achik pening untuk menjawab yang mana satu dahulu.

“Saya uruskan restoran arwah ayah saya. Lama tak lama adalah dalam lebih kurang sebulan lebih saya dan Nana saling mengenal.” Jawab Achik dengan riak yang tenang walaupun hatinya dah macam ada taufan.

“Duduk dengan siapa sekarang?” Mak Datin Bunga mengulang kembali soalan yang tidak dijawab oleh Achik. Mungkin terlalu gugup sampai terlupa nak jawab soalan tu. Mungkin! It’s all about maybe.

“Saya sekarang duduk dengan ibu dan adik saya. Kakak saya pula dah pindah lepas kahwin. Rumah pula dekat aje, betul-betul belakang restoran saya.”

Mak Datin Bunga menjeling ke arah Achik. Orang dok tanya duduk dengan siapa dia boleh tibai jawab sampai kedudukan rumah pun nak dibagitaunya. Kakak pindah pun nak bagitau.

“Nama penuh apa?” Mak Datin Bunga bersuara lagi.

“Amran Munif bin Azman.”

Mak Datin Bunga terangguk-angguk mendengar bicara Achik. Mereka terdiam seketika. Masing-masing layan feel. Mak Datin Bunga layan feel ‘aku nak dapat menantu’. Yang Achik pula layan feel ‘berjaya tak aku nak tackle mak Nana’.

“Kenapa diam? Malaikat lalu ke?” Celah Nana yang muncul dari dapur bersama dulang berisi tiga biji cawan air teh. Dia meletakkan dulang tersebut ke atas meja sebelum mengagihkan cawan tersebut kepada mereka bertiga.

“Ha’ah. Malaikat maut lalu nak tengok muka kita. Nak pastikan dia tak terlambat dan ‘tercepat’ menarik roh kita keluar daripada jasad daripada waktu yang telah ditetapkan.” Selamba Mak Datin Bunga menjawab.

“Hish, mak ni! Ada pula ke situ perginya.” Bidas Nana yang tidak gemar mendengar kata-kata yang ditutur oleh emaknya.

“Mak cakap benda betul. Tujuh puluh kali sehari malaikat maut memerhati kita. ‘Dia’ nak pastikan yang ‘dia’ tak terlanggar amanahnya. Amanah menarik roh manusia. ‘Dia’ nak pastikan tepat pada waktunya. Tidak lambat dan tidak cepat.” Balas Mak Datin Bunga.

Achik terangguk-angguk mendengar kata-kata Mak Datin Bunga.

“Betul tu Nana. Malah, Achik pernah terbaca hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas R.A...”

“Bahawa malaikat maut memerhatikan  wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah herannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berhura-hura dan bergelak-tawa.” Serius wajah Achik ketika berbicara.

Dalam diam Mak Datin Bunga terharu dan kagum dengan perwatakan Achik yang kelihatan matang.

“Ajal dan maut mendatang tidak mengira detik dan waktu. Adakalanya kita tersepak batu sekecil batu kelikir dan terjatuh pun kita boleh maut. Meninggal ketika kemalangan contohnya, habis satu dunia kita heboh mengenainya. Tapi sebenarnya itu salah. Yang sepatutnya dihebohkan adalah meninggal kerana sudah takdir, kerana malaikat maut datang menjemput kita.” Achik berbicara lagi.

Nana tekun mendengar bait-bait kata Achik. Dalam hati timbul perasaan tidak percaya. Benarkah lelaki di hadapannya ini lebih muda darinya? Mak Datin Bunga pula sudah tidak mampu menahan bibirnya dari mengukir seulas senyuman. Nyata dia senang dengan sikap Achik.

Menyedari mata emak Nana menyorot ke wajahnya dengan sekuntum senyuman, tenggelam terus suara Achik yang tadi lantang berbicara. Dia tersenyum seraya terus mencapai air yang dihidangkan oleh Nana.

Perlahan-lahan dia menghirup air teh dalam cawannya tanpa sedikit pun melihat ke arah Nana apatah lagi ke arah maknya. Matanya melihat ke arah jarinya sendiri. Bibirnya diketap rapat.

“Mak nak masak sekejaplah. Nana meh tolong mak. Amran pergilah keluarkan barang dari dalam kereta. Senang nanti nak solat Zuhur. Ni dah pukul dua.” Suara Mak Datin Bunga lembut dan mendayu-dayu.

Achik tersenyum. Dalam hati sudah separuh lega melihat perubahan pada nada suara emak Nana. “Tak perlu panggil Amran, panggil aje saya Achik.” Ujar Achik.

Mak Datin Bunga terangguk-angguk dengan senyuman yang manis sebelum bangun dan berlalu ke arah dapur. Nana pula masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Tersengih-sengih dia memandang ke arah Achik.

“Sikit aje lagi, Achik.” Ujar Nana menimbulkan kerutan di dahi Achik.

“Apa yang sikitnya?”

You’ll pass to be my husband.” Riang suara Nana menuturnya sambil tersenyum lebar. Tidak tahu mengapa tapi hatinya begitu teruja dan tidak sabar untuk menjadi suri yang halal di hati Achik. Terasa ruang cintanya yang dulunya kosong di suatu sudut kini hampir terisi. Empat ruang cintanya sudah penuh. Hanya tinggal satu lagi.

Ruang pertama, khas untuk Yang Maha Esa. Ruang yang kedua, istimewa buat kekasih-Nya yang mulia, Ya Muhammad Ya Rasulullah. Ruang yang ketiga dan keempat khusus untuk mak dan arwah ayahnya. Dan ruang yang kelima, masih belum berisi. Dan dia benar-benar ingin ruang tersebut diisi oleh Achik dengan cara yang lurus di jalan-Nya.

Achik tertawa kecil. Begitu teruja Nana begitu jugalah terujanya dia untuk menghalalkan hubungannya dengan Nana. Dia yakin dan cukup yakin yang dia sudah bersedia untuk menggalas sebuah lagi tanggungjawab.

You’ve pass to be my wife.” Balas Achik sambil turut tersenyum lebar. Tiba-tiba pula kempunan makan nasi minyak. Haha!

“Tak halal lagi, anak-anakku!!!” Lantang suara Mak Datin Bunga dari arah dapur membuatkan mereka kelam-kabut bangun. Achik laju aje mencari pintu keluar. Nana pula berdesup berlari ke arah dapur.

Dalam diam Mak Datin Bunga menyimpan senyum. Dia tahu anak tunggalnya itu berubah gara-gara jejaka tampan yang bernama Amran Munif itu. Malah, dia turut kagum dengan keberanian Achik yang datang bertentang mata dengannya semata-mata untuk mengejar cinta Nana.

Ibu, sentiasa tahu yang terbaik buat anaknya.


KETERUJAAN Achik dapat melihat pokok rambutan yang merendang lantas meredupkan suasana di sekeliling berada di tahap yang agak jakun. Waktu budak-budak dulu tak sempat nak panjat pokok. Bila dah bersedia nak jadi suami orang barulah nak merasa panjat pokok.

Kena pula mereka datang tepat pada musim buah rambutan berbuah dan sudah pun masak. Apalagi, balun panjat dan capai mana yang sampai. Tukang sambut di bawah pula ialah Nana. Mak Datin Bunga biasalah, petang-petang mula dok buat sesi ‘belai-membelai’ pokok bunganya.

“Sudahlah kut, Achik. Dah banyak dah ni.” Jerit Nana dari bawah. Achik yang baru sahaja ingin mencapai lagi sejambak buah rambutan yang menggoda matanya terus tunduk mencari wajah Nana.

“Ada lagi satu jambak ni. Kejap, Achik nak ambil.” Balas Achik dari atas pokok rambutan.

Baru sahaja dia ingin mencapai buah rambutan tersebut, tiba-tiba tupai melompat dari kabel elektrik dan mendarat betul-betul di hadapannya. Achik yang terkejut terus menjerit dan tak sempat untuk mengimbangkan dirinya. Apalagi, macam nangka busuk terjatuh ke atas tanah.

Gedebuk! Berkerut-kerut dahinya menahan sakit. Jatuh atas tanah pun atas tikar getah. Nasib baiklah tiba-tiba Mak Datin Bunga tergerak hati nak bentang tikar getah tu dekat bawah pokok sebab nanti senang nak melepak bawah pokok.

Ni kalau salah landing tadi mahu terjatuh atas pangkin sebelah tikar tu. Lagi merana punggung rasanya. Silap hari bulan sampai terkena buasir.

Nana yang turut terkejut melihat cara ‘turun’ pokok paling tragis oleh Achik terus menghampiri Achik. Wajahnya kelihatan risau melihat Achik yang berkerut-kerut dahinya. Nana jadi panik. Nak dibantu Achik bangun nanti tak pasal-pasal tersentuh lain pula jadinya.

“Achik, macam mana ni? Ok tak? Sakit?” Cemas suaranya menyoal Achik.

Achik cuba untuk tersenyum tapi sakit yang mengalahkan orang buasir membuatkan dia terus berkerut. Soalan Nana tak mampu untuk dia jawab rasanya. Tangannya memegang pinggang yang rasa macam lepas dikarate sampai patah sepuluh.

“Mak!!! Oooo... Mak!” Nana menjerit memanggil emaknya.

Terkedek-kedek Mak Datin Bunga datang menghampiri mereka. Terbuntang biji matanya apabila melihat Achik yang mengerang kesakitan manakala Nana pula cemas dan berpeluh-peluh mengalahkan dia yang terjatuh dari atas pokok.

“Ni kenapa pula ni?” Soal Mak Datin Bunga.

“A... Achik jatuh dari atas pokok. Nana rasa pinggang dia patah.” Jawab Nana bagi pihak Achik.

“Ya Allah budak ni! Dah, dah... Kejap mak minta tolong Acap papahkan Achik ni masuk dalam. Nanti mak panggilkan Pak Mot datang urutkan Achik ni.” Mak Datin Bunga terus berlalu ke rumah Mak Jah untuk memanggil Acap, anak Mak Jah.

“Naa... Nana... Tak payah u... urut. Pergi klinik aje.” Ujar Achik dalam payah.

Nana segera berpaling melihat ke arah Achik yang masih berkerut menahan sakit. Tangannya masih memegang pinggangnya.

“Nak pergi klinik? Achik pun sakit macam mana nak bawa kereta. Nana ada lesen tapi takut nak bawa kereta. Mak Nana bukannya reti. Tu, si Acap tu habis sekolah pun belum. Ayah dia kerja.” Lagak seorang mak tiri Nana menjawab. Tangannya mencekak pinggang.

“Ada lesen tapi takut...” Sempat juga Achik mengusik Nana dalam sakit-sakit pun.

Nana menjegilkan matanya ke arah Achik yang tersengih diselangi dengan suaranya yang mengaduh. Dia membuat aksi nak mencekik Achik.

“Aik... Dah jatuh pokok, teringin nak jatuh lombong pula ke? Nanti Nana humban Achik dalam lombong baru tahu. Kalau sakit tu buat cara orang sakit.” Nada suaranya penuh dengan geram.

Achik hanya tersengih dalam payah. Bantuan, roger-roger. Bantuan mana bantuan?


“ARRRRRGGGGGHHHHH!!!!” Silap hari bulan rasanya mahu pecah semua cermin yang ada dalam rumah Mak Datin Bunga ni apabila mendengar jeritan Achik. Nana yang mendengarnya sudah tertelan air liur. Nak pergi tengok nanti tak pasal-pasal dengan sekeh dengan maknya.

“Achik ok, kan mak?” Soal Nana kepada maknya yang masih selamba membuka kulit rambutan. Laju dimasukkan ke dalam mulut.

“Tak pernah lagi mak dengar Pak Mot kamu tu mengurut sampai terbunuh orang yang diurutnya.” Jawab Mak Datin Bunga. Dia menjeling ke arah Nana yang seperti cacing kepanasan. Sekejap bangun, sekejap duduk. Nasib baik kerusi tak boleh bercakap. Kalau tak dah lama ditengkingnya si Nana ni.

“Arrrgghhh!!!” Lagi sekali terdengar jeritan batinku versi Achik tapi kali ni zahir terus. Bergegar anak telinga Nana dibuatnya. Ni mahu Azlan & Typewriter pun angkat bendera putih ni.


Nana segera bangun untuk melangkah ke arah bilik tamu yang digunakan untuk Pak Mot mengurut Achik. Laju aje Mak Datin Bunga bersuara.

“Duduk! Tak payah masuk campur hal orang lelaki. Tahulah Pak Mot kamu tu nak pulihkan Achik. Kamu tu duduk aje diam-diam dekat situ. Yang risau sangat mengalahkan kamu dah kahwin dengan Achik tu kenapa?” Padan muka, Nana. Kan dah kena bebel dengan Mak Datin Bunga.

Nana terus menekur dan kembali melabuhkan punggung ke atas kerusi. Bibirnya terkunci rapat. Sebenarnya dia bukannya risau apa pun. Dia risau takut kalau-kalau nanti ibu Achik datang serang dia. Tak sampai sehari Achik ada dekat sini dah macam-macam yang jadi.

Panas jugalah punggung Nana di atas kerusi tersebut barulah terjengul wajah Pak Mot keluar dari bilik tamu. Berpeluh sakan Pak Mot. Nampak gaya macam lepas bersilat dengan Achik aje. Ke memang Pak Mot pakai teknik silat. Haha!

“Macam mana dengan dia, Pak Mot?” Soal Mak Datin Bunga kepada Pak Mot sebaik sahaja lelaki separuh abad itu melabuhkan punggungnya ke atas kerusi bertentangan dengan Nana dan emaknya.

“Esok, lusa baiklah tu. Cuma dalam dua hari ni janganlah bergerak banyak sangat. Kalau nak balik Kolumpo (Kuala Lumpur) tu tunggulah lusa. Esok aku datang ngurut lagi.” Jawab Pak Mot seraya mencapai cawan yang berisi air teh o suam dan diteguk perlahan.

Lusa? Hmm... Apa pula kata ibu Achik nanti. Gerenti nanti adik dia marah dekat aku sebab aku punca abang dia cedera. Ya Allah... Macam mana ni. Berkerut-kerut dahi Nana sambil memikirkan nasibnya.

“Nana!” Suara emaknya mengejutkannya dari terus mengelamun. Dia pantas berpaling mencari wajah emaknya.

“Kenapa mak?”

“Mak tanya ni. Boleh ke kamu berdua balik KL lusa? Boleh ke ambil cuti lagi sehari?” Soal Mak Datin Bunga.

Nana berfikir seketika. Perlahan-lahan dia mengangguk. “Boleh kut.” Jawab Nana tanpa sebarang kepastian. Achik mungkin boleh sebab dia bos. Si Nana ni haa... Makan gaji bukan bagi gaji.

“Alah, cuti bersebab. Bukannya korang saja-saja nak ambil cuti. Lagipun esok last Pak Mot ngurut. Lepas tu korang nak pergi mana pun pergilah.” Sampuk Pak Mot pula.

Tak mampu nak balas apa-apa, Nana hanya mampu tersenyum nipis. Sesekali dia mengerling ke arah pintu bilik tamu. Achik yang tidak keluar-keluar dari tadi menimbulkan perasaan resah dan gelisah di dalam hatinya.

Mak Datin Bunga menjeling ke arah Pak Mot sebelum menjuihkan bibirnya ke arah Nana. Pak Mot tersenyum penuh makna. Hai, orang muda bercinta!

“Dia tidur sekejap. Letih dok menjerit tak habis-habis.” Ujar Pak Mot membuatkan Nana segera menoleh melihat ke arah emaknya dan Pak Mot. Dia melihat mereka berdua tersenyum lain macam ke arahnya. Senyum ala-ala mengusik macam tu.

Malu punya pasal terus dia melarikan diri ke dalam biliknya yang terletak di sebelah bilik tamu yang menjadi bilik Achik buat sementara waktu. Dia terus berlari ke arah katilnya. Mukanya ditekup dengan bantal sebelum menjerit sepuas hati. Sampai merah wajahnya.

“Macam mana kau boleh kantoi, Nana?! Aduh, malu tau malu!” Nana berbicara sendiri. Dia merenung wajahnya yang memerah ke dalam cermin. Ditampar pipi di kiri dan kanan tapi perlahan ajelah. Kalau kuat-kuat mahu patah pula tulang pipi dia.

Dia kembali menekup wajahnya ke atas bantal.

2 comments:

  1. Hehheheh...malu nana...kesian achik...ingtkan balik kg nana boleh suka2...;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe.. dah takdir.. itupun nasib baik tak terkena buasir.. haha.. *sekali-sekala kejam* ;D

      Delete