Saturday 16 March 2013

Biar Betul!

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Hari ni Fitri nak kongsi sebuah cerpen hasil idea yang dikurniakan olehNYA kepada Fitri. Tajuk yang diberi ialah Biar Betul! 


Hope sesiapa yang sudi baca suka dengan cerpen Fitri yang tak seberapa ni ^_^

Enjoy your reading...


Kringg....

Dengan malas Qila menutup jam locengnya yang tidak berhenti berbunyi selagi tidak ditutup suis loceng penggeranya. Perlahan tangannya ditarik masuk semula ke dalam selimut. Dia ingin meneruskan sesi ‘taik mata’.


Qila menghumban selimut yang menutupi tubuhnya kerana dia berasa lemas, lemas kerana hangat dek mentari pagi yang sudah mula menjenguk alam. Eh..!!! Mentari?! Laju Qila mencapai jam loceng yang terletak di atas meja kecil untuk melihat di manakah jarum pendek berada.

Terkejut beruk sampai tahap babun Qila rasakan apabila jarum pendek sudah tepat mengenai nombor 8. Apa maknanya? Maknanya dia sedang menempah tiket untuk dibebel tanpa henti oleh Prof. Asyikin. Nasib baiklah bendera merah sedang berkibar megah, jika tidak sudah pasti subuh pun dia ‘accident’ hari ni. Gerenti mengamuklah pak cik Suffian dekat Ipoh tu bila tahu anak dara tunggal dia ni tak sembahyang subuh.

Mati aku! Jerit Qila di dalam hati sambil berlari meninggalkan katil yang cukup empuk untuk menampung tubuh kecilnya.

Dengan sekadar mandi ala-ala P. Ramlee, Qila terus menyarung baju kurung berbunga kecil ke tubuhnya. Tudung ‘segera’ di atas kerusi dicapai dan laju disarung ke kepala.

Dengan lafaz basmallah, Qila berlari keluar dari bilik dan terus menyarung kasut. Seterusnya, berdesup sampai hilang bayang. Rakan-rakan yang menegur juga tidak sempat untuk dibalas, sekadar mengangguk dan lambai tangan aje. Cukuplah, kan? Daripada langsung tak bagi reaksi, nak elak kena cop mohor pangkat sombong.

Sesampainya di Dewan Mulia, dia menjenguk kepalanya sedikit untuk melihat keadaan samada dia patut masuk atau tak. Tapi, apa yang dia dapat lihat hanyalah kerusi, meja dan yang pastinya papan putih yang bersih di dalam dewan.

Qila menggaru kepalanya sambil meneliti segenap dewan. Takkanlah mereka semua dah jadi halimunan pula kut?

Qila terlihat kelibat Sarah di hujung tangga yang terletak tidak jauh dari Dewan Mulia. Laju kakinya melangkah ke arah Sarah untuk bertanya.

“Sarah, kenapa kosong aje dewan? Tak ada kelas ke?” Soal Qila kepada Sarah.

Sarah melihat ke arah Qila yang seperti dikejar anjing gila berkurap. “Haah, tak ada kelas hari ni sebab Prof. Asyikin ada hal dengan suami dia. Hal keluarga kut. Yang kau ni pula apahal dah macam rupa kena kejar dengan anjing aje ni?” Soal Sarah kembali.

Qila meneliti tubuhnya. Ada rupa macam orang kena kejar dengan anjing ke?

“Aku bangun lambat tadi. Aku ingatkan ada kelas pagi ni. Rupa-rupanya dibatalkan. Hish.. buat penat aje aku marathon lari ke sini. Dahlah makan pun tak sempat lagi ni.” Ujar Qila sambil mengusap perutnya yang sudah mengeluarkan bunyi guruh yang dahsyat.

Sarah ketawa mendengar bebelan kawan sehati dan sejiwa tapi tak seraganya.

“Jomlah pergi kafe’. Aku pun tak sarapan lagi sebenarnya ni.” Tangan Qila ditarik untuk menuruti langkahnya ke arah kafe’ yang terletak agak jauh dari tempat mereka berada.


Roti canai dan teh tarik menjadi pilihan Qila sebagai sarapan pagi ini. Sarah pula hanya mengambil tiga ketul kuih ketayap dan air teh’ o kurang manis, kurang gula. Tempat duduk yang baru sahaja dikosongkan oleh beberapa orang pelajar diserbu oleh Qila dan Sarah kerana tidak mahu tempat itu diambil oleh pelajar lain.

Sedang enak menikmati roti canai buatan mapley upah khas dari India, tiba-tiba tangannya seolah kaku apabila matanya tertangkap kelibat seorang jejaka yang kacak lagi menawan hatinya sedang seronok berbual bersama rakannya sambil makan makanan yang sama dengan Qila.

Siapa yang tidak kenal dengan Arif, pujaan hati dalam diam Qila merangkap pemain bola sepak yang mewakili Universiti Teknologi Mara yang sangatlah hensem sampaikan siapa yang duduk di sebelahnya pasti akan kaku sampai beku! Arif Nur Zulkarnain, nama yang tak pernah luput di otak Qila sejak dari awal dia menjejakkan kaki ke UITM.

Qila hanya memerhati Arif yang rancak berbual tanpa menyedari dia sedang diperhatikan oleh seorang secret admirer yang tak pernah curang walaupun Tom Cruise atau Dennis Oh diletakkan di hadapannya.

“Oi, Qila! Kau makan ke berangan? Makanlah cepat, lepas ni boleh kita lepak-lepak dekat luar sekejap.” Ujar Sarah. Air teh’ o yang suam-suam kuku dihirup sehingga habis.

Qila tersentak. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Sarah tapi matanya tetap gatal nak tengok anak teruna orang yang berada di belakang Sarah. Malas nak terus melayan perasaan tak berpenghujung, roti canai yang berbaki hanya suku pinggan dicarik dan dihabiskan dalam masa beberapa saat. Teh tariknya dihirup tapi tidak mampu dihabiskan, masih berbaki setengah di dalam gelasnya. Penangan Arif agaknya sampai rasa haus pun hilang sekelip mata.

Mereka membuat keputusan untuk meronda sekitar kawasan Shah Alam dengan menaiki kereta Sarah. Nak guna kereta Qila? Tunggulah dia habis belajar baru dia ada kereta.

Qila mengikut alunan lagu I Set Fire To The Rain yang berkumandang di sebalik corong radio. Otaknya masih terbayangkan rupa Arif ketika ketawa tadi. Rupa yang amat mencairkan hatinya yang sudah cukup cair dengan suara Arif. Ishh.. Tak baiklah simpan perasaan pada lelaki ajnabi! Kesian suami kita nanti sebab dia dapat cinta yang kedua. Laju Qila beristighfar menyedari kesilapannya. Walaupun dia tahu dia tetap akan mengulangi perkara yang sama iaitu mengingati apa-apa sahaja soal Arif lagi selepas ini tapi apa yang harus dia lakukan. Dia juga manusia, manusia yang tak sempurna mana.

Kedai yang menjual pelbagai jenis cenderahati bertema cinta menjadi pilihan Sarah dan Qila untuk mencuci mata yang bosan asyik memandang buku hampir 24 jam.

“Aku nak pergi tandas kejap. Kau tunggu kejap tau!” Ujar Sarah dan menghilang ke kaunter untuk bertanya di mana letaknya tandas.

Qila hanya melihat sambil menggeleng. Dia berjalan melihat cenderahati yang dijual di situ. Cantik! Hatinya terdetik tatkala terlihat sebuah mug yang cantik dengan corak berbentuk dua ekor burung berwarna biru sedang berehat bersama di atas sebatang dahan.

Dia ingin mencapai mug tersebut tapi tangan seseorang mendahului tangannya yang sangatlah slow motion. Dia tersenyum tapi dalam hati hanya dia yang tahu. Dia berpaling untuk melihat gerangan manusia yang telah mengambil mug comel itu.

Pap! Hatinya berdenyut apabila dia melihat seorang lelaki yang amatlah dia kenali sedang berdiri sambil tersenyum mesra ke arahnya. Matanya ditenyeh untuk memastikan dia bukan berada di alam mimpi di siang hari. Dia masih lagi melihat lelaki tersebut tersenyum ke arahnya walaupun matanya sudah berkali-kali ditenyeh.

Dia tidak bermimpi, jauh sekali berangan! Arif Nur Zulkarnain yang diminatinya sejak pertama kali masuk ke UITM sedang tersenyum ke arahnya. Qila tersipu apabila Arif tertawa kecil dengan gelagatnya yang tidak ubah seperti orang baru bangun tidur.

“Assalamualaikum, Humairah Aqilah Suffian.” Arif memberi salam sambil terus tersenyum dengan maksud yang tidak dapat difahami oleh Qila. Yang pastinya senyuman tersebut mampu meruntuhkan imannya yang senipis kulit bawang.

Qila terkejut, tersentak dan ter sebagainya apabila Arif menyebut nama penuhnya.

Dia tahu nama penuh aku?! Bisik Qila sendirian. Dia melihat lama Arif di hadapannya.

“Kalau tak jawab salam berdosa tapi kalau tak bagi salam tak apa sebab tak berdosa.” Ujar Arif lagi sambil ketawa yang penuh kemacoan tak terkata. Depan perempuan, kenalah tunjuk lagak maco, beb!

Bertambah-tambah rasa segan menjentik hatinya yang sememangnya sudah segan dari tadi. “Wa.. Waalaikummussalam...” Jawab Qila perlahan.

Qila jadi tak keruan apabila melihat gaya Arif yang sibuk membelek mug tadi. Apabila sekali sekala pandangan mereka bertaut, laju Qila mengalihkan pandangannya. Dia tidak mahu Arif melihat wajah tak keruannya.

“Awak tak pelik ke bila saya sebut nama penuh awak tadi?” Soal Arif tiba-tiba yang memecah kesunyian antara mereka berdua. Mug comel tadi diletakkan kembali di tempatnya. Arif berpusing untuk melihat Qila dengan lebih jelas.

Jelas anak dara bernama Aqilah di hadapannya segan dengan perbuatannya yang tiba-tiba menyibuk.

Qila mengerutkan dahinya. Soalan darjah berapalah yang dia soal ni?

“Mestilah saya terkejut! Tapi, boleh saya tahu, macam mana awak boleh tahu nama penuh saya?” Soal Qila.

Dengan berani Qila cuba untuk bertentang mata dengan Arif, tapi zahirnya sebagai seorang wanita membuatkan dia mengangkat bendera putih awal dengan panahan mata yang agak menggoda jiwa keperempuanannya. Dia tertunduk memandang lantai kedai tersebut yang licin.

Just wait and see. I promise that I’ll be yours forever and ever.” Ujar Arif dan terus berlalu keluar dari kedai tersebut.

Qila terpinga dengan ayat terakhir yang diucapkan oleh Arif. Be yours? Apa maksud dia dengan be yours? Ahh, segala perkara tentang Arif Nur Zulkarnain tiada yang tidak menyesakkan kepala.

Qila menghantar langkah Arif ke keretanya yang terparkir betul-betul di hadapan kedai tersebut tapi di seberang sana. Dia masih lagi melihat ke arah tapak parkir yang sudah kosong apabila kereta Arif bergerak keluar dari situ. Dia jadi buntu, buntu memikirkan ayat cinta yang jarang diperdengarkan oleh halwa telinganya. Yang dia selalu dengar hanyalah nasihat seorang bapa dan bebelan seorang pensyarah di universiti. Ayat cinta? Setakat baca tu pernahlah tapi kalau nak dengar secara live memang ini adalah first time.

“Qila.. Qila..” Panggil Sarah sambil melayangkan tangan kanannya di hadapan wajah Qila yang mengelamun.

“Haa..” Qila berpaling melihat Sarah yang sudah terpacak di sebelahnya.

“Kau tengok apa sampai aku panggil pun tak sedar?” Soal Sarah.

Qila menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tersengih ke arah Sarah. “Tak ada apa-apalah. Jom!” Qila menarik tangan Sarah keluar dari kedai tersebut.

Sarah hanya menuruti langkah Qila.

Apahal kawan aku ni? Lain macam aje dia ni. Selalunya muka tu dok buat harga seposen, tapi hari terlebih seringgit pula. Bisik Sarah sendiri yang pelik dengan sikap Qila yang berubah 180’ darjah.


“Ada orang hantar rombongan merisik tadi.” Ujar pak cik Suffian di hujung talian. Qila yang sedang bergolek di atas katil hampir tergolek jatuh ke bawah apabila mendengar kata-kata ayahnya.

“Biar betul ayah ni! Habis tu? Ayah terima ke?” Soal Qila, cuak. Jantung tak perlu nak cakaplah, tak payah guna stetoskop pun dah boleh dengar degupan jantungnya.

“Betullah, buat apa ayah nak reka-reka cerita pula. Ayah terimalah sebab dia cakap dia dah lama kenal dengan Qila. Katanya kamu berdua dah lama bercinta.” Ujar pak cik Suffian. Gambar arwah isterinya yang berada di sebelah telefon rumah dipandang sayu. Sudah hampir 10 tahun ibu Qila memasuki alam barzakh. Sudah 10 tahun juga pak cik Suffian menjadi ayah merangkap seorang ibu buat Aqilah yang kini sudah pun menginjak ke usia 22 tahun.

Rahang mulut Qila terjatuh, kalau boleh tercabut rasanya sudah terjatuh ke lantai gamaknya. Dia menjadi seperti orang bengong dengan berita yang disampaikan oleh ayahnya. Dia dirisik oleh seseorang yang mengatakan dia adalah kekasih atau dalam kata lain, sudah lama bercinta dengan si dia yang unknown.

“Ayah!! Ayah ni biar betul! Qila mana pernah bercinta dengan sesiapa. Qila masih single lagilah, ayah.” Jerit Qila tapi masih terkawal kerana tidak mahu rakan sebiliknya yang cerewet mendengar jeritannya.

Qila menggosok dahinya sambil merenung siling putih. Dia melihat seolah-olah siling tersebut begitu hampir dengan dirinya sehingga dia terpaksa memejamkan matanya kerana takut dia ditimpa oleh siling tersebut.

“Ayah nak yang terbaik buat anak ayah. Ayah yakin Zul orang yang baik.”

Owh.. Jadi Zul ialah nama ‘bakal suaminya’.

“Tapi, mana ayah tahu. Mana tahu kut-kut kalau dia tu bekas pesakit Hospital Bahagia ke? Macam mana? Nama penuh dia apa?” Ujar Qila dengan mata yang terpejam.

Dia mendengar ayahnya mendengus di hujung talian. Marahkah ayah pada dirinya?

“Jangan buruk sangka dengan orang, Qila. Tak pernah ayah ajar untuk anak ayah berburuk sangka dengan orang lain. Lagipun ayah yakin dia yang terbaik untuk anak ayah.” Mereka diam sebentar.

Qila hilang akal untuk membidas kata ayah yang nyata sudah masuk bab anak ayah.

“Sudahlah, ayah letak telefon dulu. Lupa ayah nak cakap, kamu tak akan bertunang tapi terus akad nikah aje waktu cuti semester bulan depan. Pastikan balik kampung cuti nanti! Assalamualaikum.” Belum sempat Qila berkata apa-apa, pak cik Suffian sudah meletakkan gagang telefon.

Bulan depan dia kahwin?! Owh my God! Mana nak letak muka kalau kawan-kawan dia tahu yang dia akan menyandang title wife of a husband bulan depan, bukan lagi seorang anak dara single lagi available.

Qila menekup wajahnya dengan bantal dan menjerit dengan kuat. Arrgghh....

Malam itu Qila tidak mampu tidur dengan lena.  Akalnya masih belum dapat menerima berita mengejut yang disampaikan oleh ayahnya tadi. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap lagi matanya tercelik lepas tu terpejam semula.

Zul, dia hanya tahu nama bakal suaminya itu nanti ialah Zul. Zul apa? Zulkifli ke? Zulkhairi, atau Zulhaimy? Jangan-jangan Zulkarnain, Arif Nur Zulkarnain. Qila tersengih sendiri apabila nama itu terlintas di benaknya. Tapi, sengihan tidak bertahan lama kerana kemudian dia jadi sebak pula. Mustahil. Ya, mustahil Arif Nur Zulkarnain yang merisiknya. Walaupun tempoh hari dia ada berkata yang dia ingin be yours tapi itu tidak semestinya dia serius.

Buktinya, sejak kejadian itu, tidak pernah sekali pun dia terserempak dengan Arif. Kalau ada pun, dia jadi seperti halimunan bagi Arif. Arif buat-buat tidak nampak dirinya. Sedih tak perlu diungkapkan lagilah, tak cukup tisu satu kotak jika dia menangis.

Perlahan air matanya mengalir jua. Setabah mana pun seorang wanita itu, walau sekuat mana pun hati wanita itu, tidak akan pernah lari wanita itu daripada mengalirkan air mata ketika bersedih, ketika berduka dan ketika hatinya dilukai oleh seorang manusia yang bergelar lelaki.

Dalam linangan air mata Qila terlena dengan kata-kata Arif yang masih terngiang di benaknya. Lelaki, tidak semua pernah membuat salah. Tapi, mereka juga manusia yang tidak lari dari melakukan kesilapan walaupun sekecil kuman.

Manusia, tiada seorang pun yang sempurna...


Semasa cuti semester...

Qila menggunakan bahu Sarah yang sentiasa setia menemaninya ke mana-mana sahaja untuk mencurahkan rasa sedihnya. Malah, hanya Sarah seorang sahaja yang mengetahui bahawa Qila akan berkahwin pada cuti semester ini.

Wajah Qila yang pucat telah disolek nipis oleh mak andam yang telah ditempah khas oleh ayahnya. Ayahnya telah mengadakan kenduri yang agak besar untuk seluruh penduduk kampung yang akan menghadiri majlis persandingannya bersama Zul atau suaminya yang dia sendiri masih belum tahu siapakah gerangannya.

“Qila... Janganlah sedih macam ni. Aku yakin pilihan ayah kau adalah yang terbaik. Sabarlah, Qila.” Sarah menenangkan Qila yang seperti mati suami padahal baru nak kahwin.

Qila hanya memandang ke arah Sarah dengan senyuman yang hambar, senyuman tanpa makna. Selendang yang sudah disematkan bersama jarum peniti dibetulkan agar dia selesa.

Perlahan dia menarik tangan Sarah dan digenggam lembut. “Sarah, aku tak kata pun yang aku tak terima apa yang telah ayah aku buat untuk aku. Tapi, aku risau, risau kalau aku tak mampu jadi isteri yang baik buat dia yang tak pernah aku kenal. Jumpa tidak, apa pun tidak, sedar-sedar sahaja aku berkahwin dengan dia.” Ujar Qila dalam sebak yang kian menggunung.

Sarah memeluk bahu Qila dan mengusap lembut bahunya.

“Qila, bakal suami kamu dah sampai. Keluar, jom.” Ajak kak Fatihah, sepupu sebelah ayahnya.

Qila menggenggam tangan Sarah sepanjang langkahnya menuju ke hadapan. Qila duduk bersimpuh di atas tilam khas untuknya. Sarah turut bersimpuh di sebelah Qila. Lagi sekali tangan Sarah digenggam oleh Qila.

Dari tempatnya, Qila dapat melihat bakal suaminya tapi hanyalah dari belakang. Baju Melayu putih yang dipakai Zul sedondon dengan warna baju kurung yang dipakainya.

“Aku terima nikahnya, Humairah Aqilah binti Suffian dengan mas kahwinnya RM100 tunai.” Hanya itu yang dapat didengari oleh Qila, kerana selebihnya dia lebih banyak terkenangkan ayahnya yang menjadi walinya. Bagaimana dengan kehidupan ayahnya setelah dia kahwin nanti? Adakah ayahnya perlu duduk bersamanya nanti atau ayahnya akan tetap berteduh di bawah bumbung yang telah menyaksikan banyak kejadian antara keluarganya termasuklah pemergian ibu yang tercinta.

Qila mengangkat wajahnya setelah mengaminkan doa. Dia melihat suaminya seperti ingin bangun. Lama dia menunggu untuk suaminya berpaling. Slow motion pula dia!

Qila terlopong apabila melihat suaminya yang sah ialah Zul, Zulkarnain, Arif Nur Zulkarnain! Sarah juga begitu. Qila jadi kaku apabila Arif melangkah menghampirinya untuk sesi pembatalan air sembahyang. Qila jadi beku, jari jemarinya yang runcing mulai sejuk umpama berjalan di dalam taman tema Snowwalk di i-City Shah Alam.

Biar betul! Jerit hati Qila. Ikutkan hati Qila sudah lama dia menenyeh matanya untuk mendapatkan kepastian samada dia bermimpi atau tidak.

Dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir Arif, dia melangkah untuk mendapatkan Qila yang anggun bersimpuh di sebelah Sarah. Qila, gadis yang telah berjaya membuatkan hatinya tidak berhenti berdenyut sehingga malam-malam harinya juga sering dibayangi dengan bayangan Qila.

Now, you’re mine. Ini semua betul, tiada yang tidak betul. Bisik Arif sendiri yang gembira kerana akhirnya satu bebanan perasaan di hatinya telah mampu dilepaskan.

Cincin di dalam kotak yang dibawa oleh adik perempuannya diambil dan disarung ke jari manis milik Qila. Qila turut membalas dengan menyarung semula cincin ke jari Arif. Tangan Arif disalam penuh syahdu, dia berjanji dalam diam yang dia akan cuba untuk menjadi seorang isteri yang taat pada perintah suami. Dahi Qila pula dicium oleh Arif dengan lembut, dengan perasaan kasih yang melimpah istimewa hanya buat Humairah Aqilah.


Cadar katil yang berkedut ditegangkan agar ia tampak kemas. Pintu bilik airnya yang terkuak membuatkan dia berpaling untuk melihat Arif, yang kini ialah seorang suaminya. Nak tengok juga, kacak atau tidak rupa suaminya setelah mandi. 

Tapi, baru sahaja dia berpaling, terus matanya ditutup rapat kerana malu. Malu apabila Arif dengan selamba hanya memakai sehelai tuala untuk menutup bahagian bawah.

“Sayang... Kenapa tutup mata ni? Tak nak tengok ke badan abang yang seksi ni?” Sengaja Arif ingin menyakat isterinya yang masih merapatkan matanya. Tubuh isterinya yang kecil dipeluk dari belakang.

“Abang... Janganlah, pakailah baju dulu.” Ujar Qila sambil menolak perlahan tubuh Arif yang masih memeluknya. Tapi, Arif pula mengeratkan lagi pelukannya sehingga Qila tiada ruang untuk melepaskan diri.

“Abang... Please... Waktu subuh bukannya panjang macam waktu Isyak, bang.” Qila masih tidak berputus asa untuk melepaskan diri.

Arif masih memeluk tubuh isterinya sambil menggeletek di bahagian pinggang Qila. Mengekek Qila ketawa. Sudahnya, mereka berdua bergolek di atas katil yang sudah dikemaskan.

Akhirnya terlepas juga Qila dari pelukan suaminya. Laju dia lari masuk ke dalam bilik air setelah mencapai tuala yang tersangkut di tepi pintu. “Abang kemaskan balik katil tu. Lepas tu jangan lupa ambil balik air wuduk.” Sempat juga Qila membebel sebelum hilang di dalam bilik air.

Arif ketawa dan bangun dari atas katil. Tuala yang tersarung dibuka. Dia memakai seluar pendek di dalamnya tetapi sengaja ingin menyakat isterinya yang masih malu-malu dengannya.

Katil dirapikan agar kemas seperti mana yang telah Qila kemas tadi. Arif memasuki bilik air setelah Qila keluar. Apabila dia ingin menyentuh tangan Qila, laju dia melarikan diri.

“Dah ada wuduklah.” Kata Qila dan terus berlari ke kati. Berlari ajelah kerjanya!

Arif buat-buat mencebik dan terus berlalu untuk mengambil wuduk.

Mereka bersolat subuh dengan diimamkan oleh Arif. Seronok hati dan telinga Qila apabila mendengar suaminya mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh syahdu.

Tangan Arif dicapai dan dicium seperti yang dia lakukan ketika akad nikah. Terasa seperti seluruh semangat yang hilang ketika arwah ibunya pergi kembali semula ke dalam dirinya.

Arif mencium lama dahi Qila. Masing-masing tenggelam di dalam kasih yang mengalir di dalam setiap sentuhan mereka yang sudah halal semuanya.

Now, I’m yours and you’re mine. Nothing can to separate our love until we die. Hanya ketika malaikat Izrail datang mengambil nyawa  kita, barulah cinta kita terpisah seketika dan InsyaAllah akan bersama semula di alam ‘sana’ yang kekal.” Itulah janji yang telah dibawa oleh Arif daripada hari pertama dia kata dia cintakan Qila.

Mata Qila berkaca dengan ayat cinta yang buat kali keduanya dipersembahkan secara live kepadanya oleh orang yang sama.

Tubuhnya dibawa ke dalam pelukan hangat Arif. Dia tenggelam di situ bersama rasa bersyukur tak terkata kerana dikurniakan seorang yang memahami dan seorang yang amat menyayanginya. Ada hikmah juga dengan mengikut kata-kata ayahnya. Ternyata apa yang diaturkan oleh ibu bapa itu adalah yang terbaik untuk anak mereka.


Setelah hampir setahun Arif dan Qila mendirikan rumah tangga, pada 4 haribulan Mei telah menjadikan hari bersejarah yang amat bermakna buat mereka apabila orang ketiga  telah hadir untuk menyerikan lagi kehidupan mereka.

Aiman Nur Zulkhairi selamat dilahirkan oleh Qila secara normal setelah berperang, bertarung nyawa di dalam labour room selama hampir dua jam dengan ditemani oleh Arif yang setia berada di sisinya.

Debaran dan kesakitan yang dialami ketika melahirkan seorang khalifah ke dunia ini hilang sekelip mata, begitu sahaja sebaik sahaja matanya menyapa tubuh anaknya yang comel, yang kacak seperti ayahnya.

Sanak saudara yang hadir tidak lepas daripada untuk mengambil gambar si kecil yang masih belum tahu apa erti dunia yang sebenarnya. Pipinya yang agak tembam juga menjadi sasaran ibu saudaranya untuk dicubit. Jenuh dibebel oleh Arif tapi mereka masih buat selamba badak mencubit lagi dan lagi. Sudahnya, Aiman terpaksa dibawa lari oleh ayahnya.

Qila yang sedang menyusukan Aiman, mengusap pipinya yang masih kemerahan. Dia tersenyum gembira apabila permata hatinya yang menjadi tanda cinta halal antara antara dia dan suami tercinta, Arif Nur Zulkarnain.

“Terima kasih, sayang...” Bisik Arif yang tiba-tiba muncul dari belakang Qila.

“Astaghfirullahalazim... Ya ALLAH abang ni. Terkejut Qila tau! Tengok, Eman pun terkejut. Ya tak, sayang ibu ni?” Qila menggomol lembut pipi anaknya yang baru selesai diberi susu.

Arif hanya tersengih. “Laa.. Ya ke, Eman? Maafkan ayah ek, ayah ingat tadi nak main bum bum chakk dengan ibu Eman tapi ibu Eman tak nak main. Apa kata kalau Eman cepat sikit membesar lepas tu bolehlah kita main sama-sama pula sebab lepas tu bolehlah ibu bagi adik lagi untuk Eman.” Ujar Arif sambil mengusap pipi anaknya.

“Eee.. Abang ni, kan!” Qila menampar lembut lengan Arif.

Arif hanya ketawa dan terus bermain dengan Aiman yang memegang erat jari telunjuknya. Wajah anak kecilnya ditatap penuh kasih dan sayang.

“Abang, kenapa abang ucap terima kasih dekat sayang tadi?” Soal Qila. Aiman di atas pangkuannya dibetulkan agar anak kecil itu selesa.

Arif menatap lembut wajah isterinya. “Abang ucap terima kasih pada sayang kerana sudi melahirkan anak buat abang.” Pipi isterinya diusap.

“Dah menjadi tanggungjawab sayang untuk melahirkan Aiman.” Kata Qila, membalas renungan Arif.

Arif membawa tubuh isteri dan Aiman ke dalam pelukannya. Ubun-ubun isterinya dicium berkali-kali.

ALLAH tidak pernah meminggirkan mana-mana hambaNya. Setiap hambaNya, ada rezeki yang berlainan yang akan dititip oleh sang malaikat ke dunia ini. Cinta, ia adalah salah satu rezeki dan nikmat yang amat besar maknanya. Pilihan, setiap pilihan yang dilakukan oleh orang tua ialah pilihan yang terbaik kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk anak mereka.

Terima kasih ALLAH.


#Maaf atas kekurangan yang tak terbilang dek jemari runcingmu, duhai pembaca. Ini adalah hasil penulisan saya yang pertama sebagai seorang pencoret alkisah alam imaginasi. ^_^

Terima kasih daun keladi, lain kali datang lagi...

No comments:

Post a Comment