Sunday 19 January 2014

Cerpen : Awak Hanya Sahabat Saya

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...


P/s : Cerpen ni klise sangat-sangat. Tahap gaban! >_< Lagi satu... cerpen ni tak berapa nak best.


~*~*~*~*~*~

Sesekali tangannya menutup mulutnya yang terbuka luas gara-gara menguap. Matanya yang berair dikesat dengan hujung jarinya. Matanya masih melekat kukuh di skrin komputernya. Letih! Tapi dia perlu menyelesaikan tugasan yang Puan Laila berikan padanya.

“Tak tidur lagi ke,dik?” tegur kakaknya yang berdiri di muka pintu.

Perlahan-lahan dia menggeleng seraya kembali tekun menghadap tugasannya. Lagi sekali dia menguap. Pantas tangannya bergerak menutup mulutnya.

“Apa lagi yang tak siapnya?” soal kakaknya. Dia melangkah mendekati meja belajar adiknya itu. Bertuah adiknya, dapat menyelesaikan kerja sekolah menggunakan komputer. Orang yang susah di luar sana pula adakalanya perlu menggunakan pelita semata-mata untuk mengira satu tambah satu.

“Tinggal nak buat list nama,” dia mengadu sambil membuat muka meminta simpati dari kakaknya.

Meh, akak tolong. Nak?”

Laju sahaja dia mengangguk. Rezeki sudah ada di depan mata, takkan mahu ditolak.


MATANYA melilau, cuba mencari kelibat orang yang dicari. Kanan, kiri... Kiri, kanan... tak ada! Penat kepalanya berpusing, dia kembali tertunduk memandang helaian kertas yang bertulis dengan tulisan komputer. Ada senyum yang merekah di bibirnya.

“Gila ke senyum sorang-sorang?” Tegur sebuah suara membuatkan dia kembali mendongak.

“Ha’ah, saya gila. Gila tunggu awak. Lambat!”

“Ala, maaflah Ra, saya tolong Cikgu Emil tadi.”

Gadis yang digelar Ra itu hanya mencebik ke arah budak lelaki di hadapannya itu.

“Macam-macamlah alasan awak ni, Faz. Dahlah, cepat tunjuk kertas awak.”

“Ada dalam kelas, jom!” Faz sudah membuka langkah. Ra di belakang yang tidak mahu ketinggalan turut membuka langkah.


LIMA SAINS SATU.

“Cikgu sudah mengajar kalian sehabis daya cikgu. Jadi, cikgu berharap agar kalian dapat memberi cikgu keputusan yang cemerlang, yang mampu membanggakan kalian, ibu bapa dan guru-guru kalian. Ingat, empat belas hari tu umpama empat belas jam,” suara Puan Laila bergema di setiap sudut.

Pelajar yang digelar pelajar elit itu hanya diam dan mendengar apa yang diucap oleh Puan Laila. Ra yang duduk di barisan paling hadapan terangguk-angguk tanda faham dengan kata-kata Puan Laila.

“Zahira, Fazrul,” Puan Laila memanggil nama ketua dan penolong ketua tingkatan kelas tersebut.

“Ya, cikgu,” serentak Ra dan Faz menjawab seraya berdiri.

“Kertas yang saya minta kalian berdua cetakkan tu, dah siap?” soalnya sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan ke belakang.

“Sudah cikgu. Kami sudah taip mengikut apa yang cikgu minta,” jawab Ra bagi pihak dia dan Faz.

Faz yang berada selang tiga buah meja daripadanya mengangguk mengiakan.

“Bagus. Kalau macam tu serahkan pada saya pada waktu rehat nanti. Saya akan berada di bilik guru.”

Serentak Zahira dan Fazrul mengangguk sebelum mereka kembali duduk.


“RA, awak tak nak kahwin dengan saya ke?” soal Fazrul sambil cuba menyaingi langkah Zahira.

“Awak hanya sahabat saya. Lagipun SPM pun kita tak lepas lagilah,” balas Zahira tanpa menoleh ke arah Fazrul.

Fazrul mencebik. Itulah Fazrul, sahabat Zahira. Suka sangat tanya soalan ‘awak tak nak kahwin dengan saya?’ kepada Zahira. Dan jawapannya, tetap sama. ‘Awak hanya sahabat saya’.

“Banyak kejadian sahabat menjadi suami. Tak mustahil jika suatu hari nanti awak jadi isteri saya, saya jadi suami awak,” balas Fazrul yang tidak mahu mengalah.

Zahira berhenti secara terkejut membuat Fazrul terpaksa berhenti dengan ‘brek’ kecemasan. Hampir saja kertas di tangannya melayang tapi sempat digapai.

Zahira menoleh melihat ke arah Fazrul. “Awak hanya sahabat saya. Memang tak ada yang mustahil tapi itu bagi orang lain. Dah, tutup topik ni. Empat belas hari, SPM melambai ke arah kita Faz. ‘Dia’ penentu hala tuju kita. Fokus!”

Zahira kembali membuka langkah meninggalkan Fazrul yang masih termangu-mangu. Menyedari langkah Zahira sudah menjauh, Fazrul turut membuka langkah.


EMPAT BULAN KEMUDIAN.

Zahira memberikan senyuman yang paling manis ke arah pelanggan yang baru masuk. Zahira membiarkan pelanggan tersebut menelek kertas menu yang terhampar di atas meja kaunter.

“Bagi saya KFC Dinner Plate satu.”

“Bungkus atau makan di sini?” sopan Zahira bersuara menyoal pelanggan tersebut.

“Bungkus ya, dik.”

Zahira pantas mengangguk dan menyiapkan pesanan. Selesai memberi bungkusan pesanan pelanggan tersebut, dia terus menghela nafas lega. Ramai sangat rakyat Malaysia yang memilih untuk makan makanan segera seperti KFC.

Makanan segera yang boleh membuat orang mati segera. Segera jugalah penuh hospital dan tanah perkuburan.

“Ra!” Zahira yang baru sahaja ingin berpaling pantas kembali ke arah kaunter apabila terdengar nama samarannya dilaung.

Dia tersenyum lebar melihat Fazrul yang tersengih-sengih.

“Faz! Lama tak nampak awak. Awak sihat?” soal Zahira.

“Syhhh... awak masih dalam waktu bekerja, kan?” Fazrul meletakkan jari telunjuk di bibirnya sambil matanya memerhati sekeliling.

Zahira yang terasa lucu dengan telatah Fazrul tertawa kecil. “Ha’ah. Lagi satu jam saya habis. Kenapa?”

“Kita dating nak? Lamalah tak berbual dengan awak. Awaklah, orang lain lepas habis SPM nak enjoy dulu. Awak pula terus aje cari kerja,” ujar Fazrul dengan cebikan di bibirnya.

Zahira ketawa lagi tapi kali ni lebih berhati-hati kerana dia melihat Epul atau nama sebenarnya, Saiful iaitu pengurus di situ sedang memerhatinya.

“Awak tunggu dulu. Sejam aje lagi. Lepas tu kita dating,” seakan berbisik suara Zahira bercakap dengan Fazrul.

For you, anything,” Fazrul mengenyitkan matanya ke arah Zahira.

“Awak nak makan apa? Sementara tunggu saya, isilah perut dulu,” Zahira menolak menu ke arah Fazrul.

“Nak Cheezy Wedges dengan air milo ajelah,” pesan Fazrul.

Zahira tangkas melaksanakan tanggungjawabnya. Sekotak Cheezy Wedges dan air milo diletakkan di dalam dulang. Fazrul berlalu sambil menatang dulangnya. Sempat juga dia mengenyitkan matanya ke arah Zahira.

Zahira tertawa kecil. Dia melihat ke arah Fazrul yang sudah pun duduk di sebuah meja yang menghadap ke arah kaunter.

“Tempat kerja bukan untuk tempat bercinta,” tegur Epul dari arah belakangnya membuatkan Zahira meremang bulu roma. Tertegak dan terkaku dia di situ. Kantoi!


“AWAK, kenapa awak kerja?” soal Fazrul sambil cuba menyaingi langkah Zahira.

“Sebab saya bosan dok melangut macam orang gila dekat rumah sorang-sorang,” selamba Zahira menjawab.

Fazrul terangguk-angguk sambil mencebik.

“Mana pergi kakak dengan umi awak?”

“Kakak saya dah nak kahwin. Jadi, hampir lapan puluh peratus masanya ditumpukan buat persiapan perkahwinan dia. Umi saya pun sama. Tolong kakak saya apa yang patut,” Zahira menjengukkan kepalanya ke dalam sebuah kedai kasut.

“Dah nak kahwin? Bukan kakak awak baru habis diploma ke?”

“Kahwin muda atau bahasa omputihnya... young married.”

Zahira sudah berlalu masuk ke dalam kedai kasut tersebut. Fazrul turut melangkah masuk ke dalam kedai tersebut.

Fazrul mengangguk. “Awak tak nak kahwin? Kahwin dengan saya.”

Baru sahaja di ingin mencapai sepasang kasut wedges, tangannya terus terkaku. Dia berpusing melihat ke arah Fazrul yang tersengih bak kerang busuk.

“Awak tak jemu ke tanya soalan tu sejak tingkatan satu. Saya yang dengar pun boleh dapat darah tinggi dengan kencing manis tahu tak. Tak cukup dengan tu, siap parkinson lagi.”

Fazrul menggosok belakang lehernya perlahan. Zahira pula kelihatan serius menuturnya. Mungkin ya, dia sudah jemu.

“Awak hanya sahabat saya, Faz. Kenyataan tu sukar untuk saya ubah. Awak kena faham. Lagipun kita kan masih muda,” Zahira menjongketkan sebelah keningnya ke arah Fazrul.

Wedges yang telah menarik perhatiannya tadi dicapai. Ditelek dan dicuba ke kaki sendiri. Muat!

Kasut di kakinya itu dibuka lantas diletakkan kembali ke tempat dia ambil tadi. Zahira terus berlalu keluar tanpa menunggu Fazrul.

“Eh, Ra! Tunggu saya,” ujar Fazrul apabila melihat Zahira sudah keluar terlebih dahulu. Dia berjalan pantas untuk mengejar langkah Zahira.

Zahira memperlahankan langkahnya. Fazrul segera menyaingi langkah Zahira. Kini, mereka berjalan sama-sama. Seiring dan sejalan. Tapi... masih ada batas antara mereka. Dibiarkan jarak mereka jauh lebih kurang dua jengkal.

“Ra... macam mana kalau tertulis takdir awak yang awak tu zaujah saya? Awak redha tak?” entah bagaimana soalan itu boleh terpacul dari bibir Fazrul.

Zahira menjeling tajam ke arah Fazrul. Tidak makan saman rupanya!

Fazrul pula sekadar tersengih. Tersengih yang lebih sengih dari kerang buruk yang tersengih-sengih.

“Awak, saya ni manusia biasa. Siapalah saya untuk menentang takdir Yang Maha Berkuasa. Jika benar saya, awak yang punya. Walau ke kutub utara saya berlari, awak pasti akan sentiasa bersama saya...”

Zahira mengetap bibirnya sambil berhenti di hadapan sebuah kedai buku. Matanya melilau memandang rak majalah yang menempatkan pelbagai majalah terbitan dalam dan luar negara.

Fazrul pula memandang ke arah wajah Zahira dari posisi tepi. Dia berharap Zahira akan berbicara lagi. Meluahkan sepatah dua kata kepadanya.

“Jika sudah jodoh, pasti sebuah ruang yang selama ini kosong di hati saya akan terisi. Terisi dengan nama awak. Tapi buat masa sekarang, awak hanya sahabat saya. Ruang itu masih kosong. Nama awak terpahat di hati saya di ruang insan yang saya sayang. Tapi, bukan yang saya cinta.”

Zahira mendongak seraya tersenyum sumbing ke arah Fazrul yang masih galak merenungnya. Menyedari pandangan mata Fazrul, Zahira segera berpaling membelakangi Fazrul. Tidak manis rasanya ditenung sebegitu.

Fazrul menggigit bibirnya. Terasa batasnya yang amat dia jaga selama hampir terbabas. Direnung wajah gadis yang tiada pertalian darah dengannya dalam masa yang begitu lama. Ahh, malunya!

“Maafkan saya, Ra... saya betul-betul minta maaf kalau awak tidak selesa dengan soalan saya tu. Sumpah saya bukan nak memaksa awak. Saya hanya bertanya kerana...” tidak sempat untuk meneruskan kata-katanya, Zahira pantas memotong bicara Fazrul

“Saya nak bayar majalah ni sekejap. Awak tunggu di sini, ya,” Zahira terus melangkah ke arah kaunter pembayaran.

Fazrul memandang ke arah Zahira yang membelakanginya dengan seribu satu perasaan. Perlahan-lahan dia tertunduk memandang jemari tangannya. Sukar sekali kata-kata keramat itu ingin keluar dari anak tekaknya. Sukar dan terlalu sukar!

“Dah, jom!” ajak Zahira pantas membuatkan Fazrul tersedar.

Dia terus mendongak dan tersenyum senget ke arah Zahira. Mereka kembali melangkah beriringan keluar dari pusat beli-belah tersebut.

Fazrul, masih dengan isi hati yang tidak mampu diluahkan. Zahira, masih tetap dengan pendiriannya. Awak hanya sahabat saya.


ENAM TAHUN KEMUDIAN.

Fazrul memandang sepi ke arah telefon bimbitnya yang berdering. Shasha. Nama itu berulang kali terpapar di skrin telefon bimbitnya. Namun, Fazrul masih begitu. Memandang sepi sesepi hatinya.

“Weyh, bro! Apa gunanya telefon tu melalak kalau bukan untuk diangkat. Jawablah telefon tu!” marah rakannya yang sedang berusaha untuk menelan burger yang dibeli dari McDonald. Ingin makan tapi jua ingin bercakap.

Fazrul berdecit. Dia menekan butang merah dengan kuat. Jika skrin telefon bimbitnya itu diperbuat daripada plastik, sudah hancur rasanya skrin telefon bimbitnya itu.

Rakannya memandang dengan wajah yang pelik. Sambil mulutnya mengunyah hingga lumat burger di dalam mulut, sambil itu dia menyusun soalan-soalan di dalam kepala untuk dituju kepada Fazrul.

“Kau ni dah kenapa? Aku tengok sekali dah macam orang datang bulan. Bila tengok dua kali macam orang putus cinta. Tengok pula tiga kali, macam orang kena kahwin paksa pun ada,” soal rakannya itu.

Fazrul menggeleng lemah.

“Aku okey aje. Aku bukan kena kahwin paksa tapi kena kawan paksa. Aku ada seorang kawan dekat U dulu. Dia selalu sangat nak perhatian aku. Contohnya macam sekaranglah, call aku tak habis-habis. Menyampah!” luah Fazrul.

Rakannya itu tersengih-sengih ke arah Fazrul. Selesai menghabiskan burger, dia sedut pula airnya. Usai minum air, dia kembali berbicara.

“Kawan aku yang seorang ni kan hensem. Biasalah tu kalau jadi perhatian orang. Lainlah aku, muka nak masuk dalam Hero Remaja pun tak lepas kau tau.”

Fazrul tersenyum senget.

Tang mana hensemnya aku ni? Cuba kau cerita sikit dekat aku. Lagipun kalau setakat harap muka hensem, aku tengok bangla cleaner tu pun hensem,” balas Fazrul.

Rakannya hanya tersengih. Ada ke patut dikatanya bangla cleaner hensem? Dah rabun jauh ke?

Sedang asyik matanya melilau memandang keliling taman tempat dia dan rakannya melepak, tiba-tiba mata Fazrul terpandang kelibat seseorang. Seseorang yang amat dia kenali meskipun jarang dapat bertentang empat mata.

Lama matanya merenung kelibat sang puteri itu. Ayu dan manis dengan sepersalinan baju kurung cotton berwarna merah jambu. Dipadankan pula dengan sehelai selendang yang juga berwarna merah jambu yang labuh menutup dadanya.

“Kau tengok apa, bro?” soal rakannya itu kerana pelik apabila tiba-tiba mata Fazrul statik dan tidak bergerak-gerak.

Fazrul tersedar dari lamunannya. Dia tersenyum sumbing ke arah rakannya itu sebelum memuncungkan bibir ke arah kelibat yang dia perhati.

Rakannya itu terpaksa memusingkan badannya untuk melihat ke arah yang ditunjuk oleh Fazrul.

“Tak salah aku itu kawan kau sejak sekolah menengah dulu, kan? Aku pernah jumpa dia akhir tahun lepas. Betul, kan?” soal rakannya itu.

Fazrul terangguk-angguk. “Aku pun rasa macam dia. Kejap, nak pergi tegur.”

Fazrul terus bangun lantas melangkah ke arah kelibat yang dilihatnya. Makin dekat langkah kakinya, makin lebar senyumannya. Kuntuman-kuntuman bunga di hatinya berkembang indah apabila matanya menyapa seraut wajah itu.

“Assalamualaikum. Awak... Zahira, kan?” soal Fazrul berhati-hati.

Gadis tersebut mendongak dan meneliti seraut wajah milik lelaki di hadapannya kini. Dia kemudiannya tersenyum manis.

“Waalaikummussalam. Ya, saya Zahira. Faz, awak kan? Aik, takkan saya pun awak dah tak kenal?” Zahira membalas dengan senyuman yang masih memekar di bibirnya.

Fazrul tersengih. Dia melabuhkan duduknya di hadapan Zahira. Wajah yang ayu dan manis itu ditatap sepuasnya.

Zahira yang menyedari mata Fazrul tidak lepas memandang ke arahnya mulai berasa lemas. Tidak selesa apabila direnung sebegitu rupa.

“Kenapa awak tengok saya macam tu?” soal Zahira dalam nada yang pelik.

Fazrul tertawa kecil seraya tertunduk. Dia kembali mendongak dan tersenyum manis semanis madu. Hatinya benar-benar berasa... berasa... lain macam. Seakan bunga-bunga yang selama ini kuncup mulai mengembang menghiasi taman hatinya.

“Awak nak kahwin dengan saya tak?”

Sengaja Fazrul mengulang pertanyaan yang pernah dia ajukan kepada Zahira kira-kira enam tahun lepas. Cuma, kali ni dia lebih serius. Lebih matang dan lebih gentleman.

Perlahan-lahan senyuman yang meniti di bibir Zahira mengendur. Dia memandang ke arah Fazrul dengan wajah yang bersalah.

“Faz, awak serius ke ni?” soal Zahira dengan wajah yang agak serius.

Fazrul tersenyum senget. “Kalau saya kata saya serius, awak sudi ke menerima saya untuk jadi suami awak?” duga Fazrul membuatkan Zahira terkedu.

Zahira tertunduk memandang jemarinya yang runcing. Bibirnya diketap rapat. Sesekali matanya menjeling ke arah Fazrul.

Fazrul masih lagi dengan senyuman sengetnya. Dia merenung dalam-dalam wajah gadis yang amat dia idamkan untuk menjadi suri di hatinya. Dia ikhlas dan dia benar-benar ikhlas untuk menjadi suami kepada Zahira. Setelah sekian lama memendam perasaan.

“Faz...” seru Zahira seraya mendongak memandang ke arah Fazrul.

“Hmm...”

“Errr... terlalu payah untuk Ra katakan soal ini. Terlalu payah, Faz.”

Tidak berkelip mata Fazrul memandang ke arah Zahira. Gadis itu kelihatan seperti sedang bersalah. Dadanya mulai dihimpit perasaan tidak enak.

“Kenapa, Ra? Ada sesuatu ke yang awak sembunyikan dari saya?” soal Fazrul bertubi-tubi.

Zahira mengetap rapat bibirnya. Lidahnya kelu tiba-tiba. Akalnya tidak berjaya mencipta walau sebaris ayat untuk membalas soalan Fazrul.

“Ira! Laa, awak dekat sini rupanya. Patutlah saya cari belah sana tak jumpa. Rupa-rupanya awak dekat sini,” tegur seseorang membuatkan masing-masing berkalih memandang ke tepi.

Susuk tubuh seorang lelaki menjamah mata mereka. Lelaki itu tersenyum lebar sambil merenung Zahira. Lesung pipit terserlah menghiasi pipi lelaki itu.

Zahira tersenyum sumbing. Pandangannya dikalihkan pula ke arah Fazrul. Dia melihat Fazrul seakan-akan terkaku.

“Ira... siapa ni?” soal lelaki itu sambil matanya melirik memandang ke arah Fazrul.

“Err... ini kawan Ira. Nama dia Fazrul. Fazrul, ini... tunang saya.”

Dum! Petir menyambar membakar hati Fazrul. Bunga-bunga yang asyik mengembang di taman hatinya layu terkulai.

“Owh, saya Hafiz,” lelaki tersebut yang bernama Hafiz menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Fazrul.

Lambat-lambat Fazrul menyambut huluran tersebut. Matanya melirik sayu ke arah Zahira. Hati lelakinya tercarik sedikit demi sedikit. Pertama kali dalam sejarah hidupnya dia berasa begitu kecewa. Kecewa tak terkata.

“Ira, jom pergi sekarang. Nanti takut tak sempat pula nak pergi butik pengantin,” ajak Hafiz yang masih setia dengan senyumannya.

Zahira mengangguk perlahan. Dia bangun dan berdiri di sisi Hafiz. Wajahnya ditunduk sedikit. Tidak sanggup rasanya untuk melihat ke arah Fazrul.

“Kami pergi dulu ya, Fazrul,” ucap Hafiz bagi pihak mereka berdua.

Lagi sekali mereka bersalam. Salam tanda perpisahan.

Fazrul menyambut huluran tersebut sambil tersenyum. Maniskah senyumannya? Tidak! Tapi senyumannya sarat dengan sebuah perasaan... kecewa...

“Assalamualaikum,” ucap Hafiz lagi sebelum mereka berlalu.

Waalaikummussalam. Salam yang diberi dibalas di dalam hati. Mata Fazrul melirik memandang pasangan merpati dua sejoli itu berlalu pergi meninggalkannya sendiri. Dia tertunduk memandang jarinya sendiri. Hatinya galau!

“Bro!” bahunya yang tiba-tiba ditepuk oleh seseorang membuatkan Fazrul kembali mendongak. Wajah rakannya menjamah matanya.

“Kenapa aku tengok kau semacam aje ni? Apa benda yang korang bualkan tadi?” soal rakannya itu, prihatin.

Fazrul menggeleng lemah. Dia tersenyum sumbing. Punggungnya diangkat dan terus berlalu. Rakannya itu turut mengikut langkahnya tanpa banyak bicara.


FAZRUL melangkah perlahan. Matanya melilau mencari kelibat seseorang. Kelibat sang raja sehari. Apabila matanya berjaya menangkap kelibat yang dicari, langkahnya dilajukan menuju ke arah sang raja sehari.

“Assalamualaikum,” sapa Fazrul membuatkan sang raja sehari yang sedang melayan tetamu tergamam seketika.

“Waalaikummussalam,” perlahan suara Zahira menjawab salam yang dihulur buatnya.

Hafiz yang setia di sisi Zahira memberikan senyuman kepada Fazrul. Genggaman tangannya yang menggenggam jemari Zahira dieratkan lagi.

Hafiz berbisik sesuatu kepada Zahira. Entah apa yang dibisikkan oleh sang mempelai itu tidaklah mampu untuk Fazrul dengari. Nama pun berbisik. Zahira terangguk-angguk. Dia tersenyum manis ke arah lelaki yang telah sah menjadi suaminya itu.

Fazrul yang melihat hanya memendam perasaan perit yang mencalar sekeping hatinya. Cemburu. Ya, dia cemburu. Tapi, siapalah dia buat Zahira berbanding dengan Hafiz.

Hafiz berlalu setelah itu, membiarkan Fazrul dan Zahira berbincang dengan selesa. Risau juga jika Fazrul tidak senang dengan kehadirannya.

“Hafiz dah tahu semua cerita tentang hubungan kita. Hubungan sebagai seorang sahabat,” Zahira memulakan perbualan antara mereka berdua.

Fazrul hanya tersenyum senget.

“Faz, walaupun saya bukan isteri awak, saya tetap sahabat awak. Awak tetap sahabat saya, Faz. InsyaAllah, di dunia dan di akhirat. Saya tak nak hubungan kita terputus begitu sahaja hanya kerana saya dah berkahwin,” panjang lebar Zahira berbicara.

“Tapi, awak tak rasa bersalah ke? Yalah, awak dah berkahwin tapi awak ada seorang sahabat lelaki. Lelaki, Ra. Bukan perempuan. Perkara tersebut mungkin boleh menimbulkan salah faham,” bidas Fazrul.

Zahira mengetap bibir. Matanya merenung ke arah Fazrul yang kacak. Kacak dengan sehelai kemeja berwarna hitam yang tersarung di tubuhnya. Tapi, kekacakan Fazrul tidak mampu mengocak kalbunya.

Zahira kembali bersuara. “Perkara ini tidak akan menjadi salah faham jika kita bijak mengawal hubungan kita. Lagipun, perkara ini mampu dielakkan jika... awak berkahwin juga.”

Fazrul tertawa kecil. “Kahwin, ya? Haii... siapalah yang nak dengan saya ni, Ra?”

Zahira turut tersenyum.

“Pasti ada, Faz. Setiap hamba-Nya dicipta dengan pasangan masing-masing. Saya dengan Hafiz dan awak... dengan seorang wanita yang bergelar isteri awak. InsyaAllah suatu hari nanti,” ujar Zahira.

Fazrul merenung jam di tangannya.

“Errr... saya kena balik dululah. InsyaAllah, ada rezeki kita berjumpa lagi ya. Saya doa kalau awak jumpa dengan saya lagi lepas ni, awak dah bertiga. Tak pun akan bertiga,” dalam nada yang mengusik, Fazrul berkata-kata.

Walaupun lidahnya lancar mengusik Zahira namun hatinya masih pedih. Tapi, dia sedar pedihnya tidak akan ke mana. Sekadar habis di situ. Zahira sudah pun menjadi hak milik Hafiz.

Zahira mengangguk.

“Nanti saya panggil Hafiz.”

“Eh, tak perlu! Lagipun saya pun nak cepat ni. Saya pergi dulu ya, Ra. Semoga awak bahagia dengan Hafiz,” ucap Fazrul, ikhlas.

“Terima kasih, Faz. Saya doakan agar jodoh awak sampai cepat. Saya tak sabar nak makan nasi minyak awak pula.”

Fazrul tertawa kecil mendengar kata-kata Zahira. Entah di bahagian mana yang kelakar pun entahlah. Mungkin di bahagian nasi minyak. Mungkin.

“InsyaAllah,” balas Fazrul.

“Assalamualaikum,” ucap Fazrul sebelum berpusing untuk berlalu. Sejujurnya, dia tidak betah untuk berhadapan dengan Zahira.

“Faz, awak hanya sahabat saya, Faz. Selamanya awak sahabat saya. Sahabat...” ujar Zahira membuatkan langkah Fazrul terhenti di tengah jalan.

Fazrul berpusing kembali, melihat ke arah Zahira. Sekuntum senyuman dihadiahkan buat gadis yang sudah bergelar isteri orang itu. Dia kembali mengorak langkah meninggalkan majlis perkahwinan Zahira dan Hafiz.

Waalaikummussalam. Di dalam hati, Zahira menjawab salam yang dihulur oleh Fazrul tadi.

Cinta, tak semestinya dimiliki jika tiada jodoh. Jodoh, walau tiada cinta ia tetap akan bersama. Usah diputuskan hubungan antara sesama insan hanya kerana perkara yang bernama cinta dan jodoh.

Terima kasih, Allah.

~*~*~*~*~*~
Terima kasih sangat-sangat pada yang sudi baca. Hehehe... sibuk konon tapi sempat juga Fitri menulis. Gagegigogu... hope enjoylah waktu baca cerpen yang biasa-biasa aje ni. Maaf atas semua kesalahan yang tidak saya sedari yang berada dalam cerpen ni. ^___^

No comments:

Post a Comment