Wednesday, 16 October 2013

Hati Coffee Boy 1

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum dan hai semua...

Wah, dah lama rasanya tak update cerpen. So, terimalah cerpen dahku yang ke .... Entahlah. Haha... Cerpen ni sekadar untuk mengisi masa bosan. *gitu pula?* Nak tegaskan juga, segala apa yang saya tulis adalah hasil dari hati saya sendiri bukan dari hati orang lain.

I'm not a coffee&pasta type. ^_^



Sara merenung ke luar tingkap kafe’. Manusia yang lalu-lalang di hadapan kafe’ tersebut tidak berjaya mencuri perhatiannya jika ingin dibandingkan dengan perhatiannya terhadap seorang lelaki yang bernama Haziqy. Sara memandang ke arah Haziqy di hujung sana yang sibuk.
Haziqy berkejar menghantar pesanan pelanggan yang singgah ke kafe’ tersebut. Sesekali dia mengesat peluh di dahinya. Baru sahaja ingin melabuhkan punggung melepaskan lelah, ada pula pelanggan yang baru masuk. Apalagi, terus Haziqy melangkah ke arah pelanggan tersebut dan melupakan hasrat untuk melepaskan lelah.
Sara tersenyum sendiri melihat jejaka tersebut. Rambutnya yang ikal mayang dipintal dengan hujung jari. Hatinya sedar perbuatannya itu salah di sisi agama kerana menyimpan perasaan terhadap seorang lelaki yang bukan mahramnya.
Tapi, perasaan kan perasaan. Bukannya dapat dibendung.
“Sara!” Sara tersentak apabila namanya dipanggil. Dari Haziqy kini pandangannya beralih ke arah seorang gadis bertudung bawal di hadapannya. Tegak gadis itu berdiri dengan wajah yang pelik.
Yup.” Sahut Sara.
“Kau ni menung apa, haa? Dari tadi aku panggil kau macam aku panggil batu. Aku ingatkan roh kau dah terbang ke tempat lain tadi.” Ujar gadis tersebut seraya melabuhkan punggung ke atas sebuah kerusi kosong di hadapan Sara.
Sara tersengih ke arah gadis tersebut. “I’m sorry, Zehra. Aku ralit tengok coffee boy aku ambil pesanan sampai tak perasan kau sampai.” Jawab Sara jujur lalu meneguk latte yang terhidang di atas meja.
Zehra menghela nafas dan merenung ke wajah Sara. Kadang-kadang dia pelik tengok rakannya itu. Macam pencinta psiko pun ada, spy cinta pun ada. Detektif cinta? Lagilah.
“Sara, kalau kau betul suka dekat dia apa kata kau jujur aje dengan dia. Bukannya susah pun. Lagipun aku takut kau kecewa menonggeng nanti. Buatnya kau lambat-lambat nanti, dia dah disambar. Kecewa tau! Bukan aku, kau juga.” Ujar Zehra.
Sara mengetap bibirnya sambil memandang ke arah Zehra yang turut memandangnya. Perlahan Sara melepaskan keluhan kecil dari celah bibirnya. Hatinya galau memikirkan soal cinta coffee boy yang tiada penghujungnya.
Belum sempat Sara membalas, tiba-tiba Haziqy melangkah ke arah mereka dengan senyuman manis yang meniti di bibirnya. Seimbas dilihat wajahnya mirip wajah seorang penyanyi, Nomad. Ala, yang nyanyi lagi tema Love You Mr. Arrogant tu.
“Hai, girl. May I take your order?” Ujarnya lagak seorang putera menunjukkan menu kepada Zehra.
Sara menahan perasaan cemburu di dalam hati. Sara mengecilkan matanya ke arah Zehra. Zehra hanya membuat muka innocent sambil membalas senyuman Haziqy.
“Saya nak mocha satu. Masukkan sekali cinta, kasih dan sayang dalam tu ya. Biar sedap sampai menjilat cawan.” Sengaja Zehra berkata begitu untuk melihat reaksi Sara.
Sara mencerlungkan matanya ke arah Zehra. Haziqy ketawa mendengar permintaan Zehra. Sampai tersepet tahap mata anak Cina dibuatnya kerana ketawa.
“Ok, awak. Saya masukkan rindu sekali, nanti. Don’t worry.” Balas Haziqy dan terus berlalu meninggalkan dua orang gadis tersebut. Sempat jua dia memberikan senyuman kepada Sara.
Sara hanya membalas dengan senyuman yang penuh dengan perasaan cemburu. Ikutkan hati jahatnya, sudah lama leher Zehra yang tersembunyi di balik tudung itu dicekiknya.
“Cemburu ke, Sara...? Haha!” Zehra ketawa terbahak-bahak tetapi nadanya masih dikawal untuk mengelak dirinya menjadi tumpuan.
Sara menjeling tajam ke arah Zehra. “Mestilah! Nanti kau, balik nanti aku belasah kau puas-puas.”
Zehra ketawa lagi mendengar amaran Sara. Gaya berani nak belasah anak orang. Sudahnya mereka ketawa bersama-sama.

HAZIQY berlalu pergi setelah mengambil pesanan Zehra. Dia tersenyum nipis apabila mendengar pesanan yang diminta oleh Zehra. Nakal!
“Oi! Yang kau senyum sorang-sorang ni kenapa? Dah terlebih bahagia apa?” Sergah Syarul yang muncul dari arah dapur.
Haziqy tersentak lantas mematikan senyuman dibibirnya.
“Saja aku senyum. Nak buat senaman bibir. Rasa macam bibir aku ni dah gemuk.” Selamba Haziqy menjawab. Dia pantas meletakkan pesanan Zehra tadi ke tempat letak pesanan.
Syarul membuat muka menyampah apabila soalannya dibalas dengan jawapan yang tak kurang dan tak lebih seperti orang kekurangan kasih sayang nak kasut melekat di pipi.
“Tak payah nak buat muka poyo sangat dengan aku. Tu, ada banyak pesanan tu. Lebih baik kau buat cepat sebelum ada pelanggan yang lari. Aku tak larat nak kejar mereka.” Sempat juga Haziqy ‘membasuh’ Syarul sebelum berlalu keluar dari dapur kafe’.
Haziqy melangkah naik ke tingkat atas melalui pintu rahsia. Pintu yang khas hanya untuk pekerja kafe’ tersebut yang membawa ke tempat rehat untuk pekerja-pekerja di kafe’. Haziqy tersenyum sambil menggeleng berkali-kali.
Dia sedar diri dia diperhatikan oleh gadis yang duduk di tepi tingkap tadi. Siapa lagi kalau bukan Sara. Tapi, dia tidak mahu melayan. Belum tiba masanya bagi Haziqy. Dia perlu fokuskan kepada keluarganya dahulu. Biarlah dia bersusah-payah bekerja demi pelajaran adiknya.
Lupakan dahulu soal cinta.
Haziqy membuka loker miliknya. Begnya dicapai lantas telefon bimbitnya dicari. Nama Hanim dicari di balik berpuluh-puluh nama di tempat kenalannya. Hanim! Dia lantas menekan butang hijau untuk mendail nombor milik nama tersebut.
Agak lama dia menunggu sebelum Hanim mengangkat panggilannya.
“Assalamualaikum, abang. Kenapa abang telefon Hanim ni? Abang dah habis kerja ke?” Bertubi-tubi Hanim menyoal abangnya. Pelik juga apabila abangnya menelefon pada waktu kerja.
Haziqy ketawa kecil mendengar suara adiknya di hujung talian.
“Waalaikummussalam. Saja abang telefon nak tahu adik abang ni dah makan ke belum. Abang rehat sekejap tapi kerja tak habis lagi.” Balas Haziqy.
“Owhh... Abang dah makan?” Lembut suara Hanim, satu-satunya keluarga Haziqy menampar gegendang telinga Haziqy.
“Abang dah makan. Hanim pula?” Haziqy menanyakan soalan yang sama.
Haziqy dan Hanim, dua beradik yang kehilangan kedua-dua orang tua kira-kira empat tahun yang lalu. Kedua-dua orang tua mereka meninggal sewaktu dalam perjalanan menuju ke tempat konvokesyen Haziqy pada ketika itu.
Hanim turut terlibat dalam kemalangan tersebut tetapi dia berjaya diselamatkan lebih awal daripada kedua-dua orang tua mereka yang tersepit di tempat duduk hadapan. Sebaik sahaja kedua-dua orang tua mereka dikeluarkan, mereka sudah tidak bernyawa.
Semenjak itulah, kehidupan Haziqy dan Hanim berubah 100% daripada kehidupan mereka dahulu. Haziqy bertindak sebagai seorang abang, ayah dan ibu buat Hanim. Empat tahun dia membanting tulang demi pelajaran adiknya yang muda sepuluh tahun darinya.
“Hanim dah makan. Abang rehatlah, tak payah telefon Hanim lagipun kan abang sibuk dekat kafe’ tu. Kesian abang.” Balas Hanim membuatkan Haziqy tersenyum lebar menampakkan lesung pipit di pipinya.
“Apa pula tak payahnya, Hanim kan adik abang. Abang kenalah ambil tahu soal adik. Adik makin tembam ke dekat rumah tu, makin cekeding ke.” Kata Haziqy lalu ketawa kecil.
“Abang! Jahatlah. Dahlah, adik nak sambung buat folio Biologi. Daripada layan abang ni sampai dah habis SPM nanti pun belum tentu adik siap folio ni.” Bebel Hanim di hujung talian.
Haziqy ketawa lagi. “Ok, ok. Abang minta maaf sebab ganggu Hanim buat kerja. Dah, pergi sambung buat kerja sekolah tu. Pastikan siap, kalau tak tahu ke apa tanya aje dekat kak Tiqa sebelah rumah tu. Jangan pergi merisik kak Tiqa untuk abang pula. Tanya soal kerja sekolah aje.” Ujar Haziqy.
“Amboi, hati abang dah terpaut dengan kak Tiqa ke? Kalau dah terpaut jangan biar lama-lama, bang. Kena sambar dek orang lain nanti abang juga yang tertonggeng.” Sakat Hanim.
“Haishh... Abang main-main ajelah. Mahu kena parang abang dengan Mak Cik Maria kalau dia dapat tahu. Dah, dah... Pergi buat kerja sekolah. Assalamualaikum.” Ucap Haziqy membuat adiknya yang ketawa di hujung talian.
“Haha! Yalah. Waalaikummussalam.” Sahut adiknya seraya mematikan talian.
Haziqy menekan butang merah. Dia tersenyum sendiri mengenangkan adiknya di rumah yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
Telefon bimbitnya diletakkan kembali ke dalam loker. Dia ingin kembali meneruskan kerjanya di bawah. Segera dia meninggalkan ruang rehat untuk pekerja dan bergegas untuk kembali meneruskan kerjanya.

“KAU dah lama hidup ke sampai boleh jadi gila macam ni?!” Jerit Zehra tapi suaranya masih terkawal. Wajah Sara yang tak ubah rupanya seperti anak kecil tertelan lolipop dipandang tajam. Dalam hatinya geram juga apabila mengenangkan rakannya yang memang sah dah jadi gila sebab cinta.
“Aku tak gilalah. Aku buat semua ni sebab aku dah tak tahan. Kalau aku duduk sini tiap-tiap hari pun belum tentu coffee boy aku tu nak tengok aku.” Balas Sara yang membela dirinya.
Zehra menggelengkan kepalanya berkali-kali seraya menyandarkan badannya ke kerusi. Ikutkan hatinya sudah lama dia tarik sampai putus rambut si Sara ni.
“Aduh, kawan aku ni! Kau ni tahu tak, perangai kau ni boleh buat dia jadi menyampah dengan kau. Elok-elok aje dia tak fikir apa-apa pasal kau, terus dia reject kau. Waktu tu kau jangan cari aku nak jadi pelepas perasaan.” Zehra membebel kepada Sara.
Sara hanya membuat muka tak bersalah sambil memandang ke arah Zehra.
“Alah, suka hati akulah. Aku jamin yang aku takkan cari kau sebagai pelepas perasaan, aku yakin yang coffee boy akan jadi milik aku. Aku yakin!” Ujar Sara dalam nada yang terlampau yakin.


Zehra hanya mampu menghela nafas melihat telatah rakan baiknya itu. Mungkin inilah yang orang katakan dengan gila bayang. Memang sah Sara sudah gila bayang dengan coffee boy dia sangatlah tu. Entah sejak bila Haziqy jadi milik dia. ‘Perah santan’ aje yang lebih.
“Ok, tapi takkan tak ada cara lain selain kau ikut dia balik rumah. Agak-agaklah, der!” Zehra sudah separuh mengaku kalah.
Sara tersenyum senget ke arah Zehra. “Tak ada. Cara ini aje yang boleh aku guna untuk tahu siapa coffee boy yang sebenarnya.” Jawab Sara.
Rambutnya seperti biasa, dipintal-pintal di hujungnya. Sudah jadi habit untuk dia memintal rambutnya. Tak mustahillah rambutnya separuh lurus, separuh kerinting. Tak perlu susah-payah pergi salun nak kerintingkan.
Zehra mengeluh lagi. Dia pening dengan sikap kawannya yang seorang itu.
“Haiii... Lantak kaulah. Dahlah, lagi lama aku dok mengadap kau ni, lagi sakit kepala aku. Lebih baik aku balik rumah, masak makan malam. Jimat duit tak payah dok keluar pergi kafe’ tiap-tiap hari.” Sempat juga Zehra menyindir Sara.
Sara hanya mengetap bibir. Mengata akulah tu! Desis hatinya.
Sara menghantar Zehra keluar dengan ekor matanya. Biarpun ombak taufan melanda, keputusan yang sudah diambil tetap tidak akan dia tarik balik. Dia tetap nak tahu bagaimana kehidupan Haziqy.
Sempat dia mencari bayangan Haziqy sebelum turut berlalu keluar. Bezanya dia, dia menyorok di tempat lain dan bukannya pulang ke rumah seperti Zehra.
Kalau dah gila bayang, bayang yang tak ada rupa pun sanggup dikejarnya.

HAZIQY berasa tidak selesa. Sedari tadi dia berasa seperti diikut oleh seseorang sejak dia keluar dari kafe’ lagi. Nak berpaling untuk melihat kalau-kalau benar ada orang mengikutinya, takut pula kalau orang jahat. Sia-sia hidupnya di tangan penjahat.
Sudahnya dia hanya menonong dan adakalanya dia menambah kelajuan motosikalnya. Sampai di sebuah simpang masuk ke Taman Lestari, dia memberhentikan motosikalnya di balik sebuah tembok yang tertulis nama Taman Lestari.
Sebuah kereta Perodua Myvi dilihat berhenti di hadapan tembok tersebut. Haziqy masih terintai-intai. Dia agak kereta Myvi itulah yang mengekorinya tadi. Alangkah terkejutnya Haziqy apabila melihat wajah Sara yang turun dari kereta tersebut.
Berkerut dahinya memikirkan soal mengapa gadis tersebut mengekorinya sehingga pulang ke rumah. Eh, belum sampai rumah lagi!
Perlahan-lahan Haziqy keluar dari balik tembok tersebut dan menuju ke arah Sara yang seperti sedang mencari sesuatu. Tak lain dan tak bukan sudah pastinya gadis tersebut sedang mencari Haziqy.
“Assalamualaikum.” Ucap Haziqy yang membelakangi gadis tersebut.
Sara tersentak seketika. Dia terkaku sebentar sambil menggenggam tangannya. Matanya terpejam dan perlahan dia berpusing ke belakang untuk melihat gerangan yang memberi salam buatnya.
Matanya dibuka perlahan-lahan lalu tersenyum campur tersengih sambil memandang ke arah Haziqy yang tak lekang dengan senyuman di bibir jejaka itu. Sara menunjukkan tanda ‘peace’ kepada Haziqy.
“Waalaikummussalam. Hehe...” Teragak-agak Sara membalas salam yang dihulur buatnya.
Haziqy ketawa kecil. Hati Sara bergetar melihat Haziqy yang comel dengan mata yang sepet waktu ketawa. Dengan lesung pipitnya yang indah berlekuk di pipinya lagi. Berkali-kali dia menelan liurnya yang terasa kesat di hujung kerongkong.
“Kenapa awak ikut saya? Rumah saya biasa-biasa aje, tak perlulah awak nak tengok.” Ujar Haziqy setelah berhenti ketawa. Senyum mengambil alih di bibirnya.
Sara mengetap bibir sambil melihat ke arah keliling dan tak berani untuk melihat ke arah Haziqy. Bibirnya kelu untuk menjawab pertanyaan Haziqy. Soalan maut baginya!
“Kenapa awak diam? Jangan risau, saya takkan minum darah awak pun kalau saya marah. Alih-alih lebih baik saya minum kopi. Lagi sedap dan banyak perisanya.” Sara terkedu.
‘Tajam’ juga lidah coffee boy ni. Detik hati Sara seraya memandang ke arah Haziqy yang masih dengan senyuman indah di bibirnya.
“Hmm... Sebenarnya, saya nak... Beli rumah. Ha’ah, beli rumah.” Ikut suka hati, limpa, peparu dia aje menjawab.
Haziqy tertawa kecil sambil menggeleng berkali-kali. Matanya tertancap ke arah wajah Sara yang jelas kelihatan cuak.
“Bibir awak boleh berkata macam-macam tapi wajah awak tak dapat nak berkata-kata. Cukup sahaja dengan menunjukkan riak, jelas kelihatan apa yang benarnya. Tak perlulah awak beria-ria nak bohong saya. Just tell me the truth. Seperti yang saya cakapkan, kalau saya marah, saya takkan minum darah awak, minum kopi lagi sedap.” Ujar Haziqy lebar.
Sara tersengih. Laju sahaja jemarinya memintal hujung rambutnya.
“Daripada awak pintal rambut awak tu, lagi cantik kalau awak tutup. Lagi comel dan insyaAllah takkan terbakar dek api neraka.” Pedas sekali sindiran yang dilempar oleh Haziqy buat Sara.
Sara tertunduk memandang jalan yang berturap. Hatinya sedikit sebanyak terguris dek kata-kata Haziqy. Haziqy tersenyum melihat reaksi Sara gara-gara bicaranya.
“Maaf kalau saya terlampau ketika berbicara tapi saya hanya memberitahu apa yang benar. Hmm... I’m sorry.” Ucap Haziqy.
Sara lantas mendongak memandang ke arah Haziqy. Dia tersenyum nipis ke arah Haziqy. Kini baru dia tahu, Haziqy ialah seorang yang caring. Kalau dia tak caring takkan dia tegur Sara yang tidak bertudung.
“Tak apa. Saya yang salah. Mengaku seorang muslimah tapi tak bertudung.” Bicara  Sara.
Haziqy tersenyum. “Ok, tutup topik ni. Sekarang saya nak awak jujur. Kenapa awak ikut saya? Ada apa-apa ke yang mengganggu fikiran awak soal saya?” Soal Haziqy kembali kepada tajuk asal.
Sara mengetap bibirnya. Nampaknya dia tidak mampu untuk lari lagi dari soalan cepumas Haziqy.
“Saya... Hmm... Saya ikut awak sebab saya nak tahu... Kehidupan awak. Rumah awak, awak tinggal dengan siapa.” Jawab Sara takut-takut. Dia takut untuk melihat reaksi Haziqy.
Haziqy menggeleng berkali-kali. “Kehidupan saya biasa-biasa sahaja. Tak ada banglo, tak ada kondo. Saya tinggal dengan adik saya, baru nak ambil SPM tahun ni. Mak ayah saya...” Haziqy tidak meneruskan kata-katanya membuat Sara kian tertanya-tanya tetapi dia tetap sabar menanti jawapan yang akan meniti di bibir jejaka itu.
“Mereka dah meninggal empat tahun lalu.” Ujar Haziqy setelah agak lama berdiam diri.
Sara terkedu. Perubahan riak wajah Haziqy membuatkan dadanya berdebar. “Awak, saya minta maaf. Saya tak tahu.” Pohon Sara.
Haziqy menggeleng sambil tersenyum hambar.
“Awak nak juga ke tengok rumah saya?” Haziqy mula mengubah topik perbualan antara mereka. Sara teragak-agak untuk memberikan kata putus.
“Tak apalah, jom. Adik saya ada aje dekat rumah tu.” Ujar Haziqy lantas berlalu ke arah motosikalnya di balik tembok meninggalkan Sara termangu-mangu yang masih belum membuat keputusan.
Walaupun bingung namun Sara tetap jua mengikuti Haziqy yang sudah pun menghidupkan enjin motosikalnya.

DALAM diam Sara memuji Haziqy dan adiknya. Rumah Haziqy kelihatan kemas dengan peralatan yang tersusun rapi. Tambahan pula, perabot yang berada di dalam rumah jejaka itu tidak terlalu banyak sehingga mampu menyerabutkan kepala.
Hanim, adik Haziqy juga seorang yang peramah dan berbudi bahasa. Bukan itu sahaja, malah dia adiknya turut pandai memasak dan membancuh air. Sedap air kopi dan kuih ketayap yang dihidangkan buatnya. Ops, air kopi itu coffee boy yang buat.
“Makanlah lagi kuih tu, kak. Tak sedap ke?” Ujar Hanim dengan senyuman yang memekar di bibirnya.
Sara menggeleng seraya tersenyum. “Sedap. Pandai adik buat tapi akak dah kenyang. Terima kasih, ya. Buat penat adik aje.” Balas Sara.
Matanya terarah ke arah sebuah bingkai gambar yang tergantung di suatu sudut. Gambar tersebut menyentuh kalbunya.  Gambar Haziqy dan Hanim bersama kedua-dua arwah orang tua mereka. Dalam diam bersyukur kerana dia masih punyai ibu dan ayah.
“Sama-sama kasih...” Balas Hanim seraya turut melihat ke arah yang dilihat oleh Sara.
“Itu ialah gambar kesayangan abang. Abang sayang sangat gambar tu sampai dia tak pernah benarkan sesiapa pun sentuh.” Jelas Hanim yang turut melihat ke arah gambar tersebut. Suaranya jelas berubah menjadi sayu.
“Akak minta maaf kalau akak buat adik sedih.” Ucap Sara apabila melihat gadis di hadapannya berubah riak dan nada suaranya.
Hanim kembali melihat ke arah Sara. Dalam diam dia menelek Sara. Terkejut juga dia apabila tiba-tiba sahaja abangnya pulang bersama-sama seorang perempuan. Tak pernah-pernah abangnya bawa balik perempuan. Tapi, ini memang memeranjatkan dia.
“Tak apa. Haa, turun pun putera dari kayangan tu.” Hanim menyakat abangnya yang menapak turun dari tingkat dua. Rambutnya yang agak panjang itu kelihatan basah menandakan jejaka itu baru selesai mandi.
“Ingatkan tak nak turun tadi. Nak biarkan puteri-puteri ni berdua-duaan.” Balas Haziqy seraya mendekati Sara dan Hanim.
Sara tersenyum melihat dua beradik di hadapannya itu. Terasa cemburu pun ada. Yalah, anak tunggal sepertinya, mana pernah merasa bergurau senda bersama-sama seorang abang.
Haziqy mencapai kuih ketayap yang masih berbaki empat ketul di dalam piring yang dihidang buat Sara. Sempat jua dia hulurkan kuih tersebut kepada Sara tapi Sara hanya menggeleng.
Sara menelek jam di pergelangan tangannya. Sudah jam 6.30 petang. Tiba-tiba wajahnya hangat kerana malu. Sudah senja tapi masih tidak reti mencari jalan pulang.
“Awak, saya balik dululah.” Ucap Sara menghentikan aktiviti mengunyah kuih ketayap di dalam mulut Haziqy.
Haziqy mengangguk seraya menyambung kembali sesi mengunyah. Hanim tersenyum melihat Sara yang kelihatan malu.
“Sara hantar akak ke depan, ya.” Tawar Hanim buat Sara. Sara hanya mengangguk membalas kata-kata Hanim. Dia segera mencapai beg tangannya dan bangun untuk berlalu.
Baru sahaja dia ingin menapak keluar dari pintu rumah Haziqy, dirinya dipanggil oleh Haziqy. Segera Sara berpaling ke belakang. Kelihatan Haziqy tersenyum manis ke arahnya.
“Hati-hati. Jangan lupa baca ayat Kursi, takut ada ‘benda’ ikut awak senja-senja macam ni.” Pesan Haziqy, prihatin. Berbunga hati Sara seraya mengangguk membalas bicara Haziqy.
“Awak...” Baru sahaja dia ingin melangkah keluar, namanya diseru sekali lagi oleh Haziqy. Lagi sekali dia berpaling melihat ke arah Haziqy yang masih tidak berganjak di tempat dia duduk.
“Assalamualaikum.” Ucap Haziqy.
Sara tertawa kecil lantas tersenyum lagi melihat ke arah Haziqy. “Waalaikummussalam.” Balasnya lalu keluar. Dapat dia lihat riak wajah Hanim yang tersenyum penuh makna. Tapi, dia buat-buat tidak nampak dan menonong keluar.
Setelah bersalaman dan berbalas salam, Sara masuk ke dalam kereta lantas menggerakkan keretanya itu setelah menghidupkan enjinnya. Sempat jua dia melambai ke arah Hanim yang masih menunggu pemergiannya. Dalam hati, dia membaca ayat Kursi seperti yang dipesan oleh Haziqy. 

Hehehe.... amacam? Ok dok? Fitri rasa bakat Fitri kian tipis sejak habis PMR. Yelah, dulu dok belajar aje, dah jadi susah nak menulis. Inipun jenuh dipaksa jari-jemari, hati dan akal untuk terus menulis. Takmo sia-siakan bakat yang telah DIA kurniakan. Heee.... Sejujurnya tak tahu cerita ni kategori apa. Sebabnya ia ada 5 part. Cerpen boleh panjang gitu?? Err... Polik aih!

Nantikan part 2.. Coming soon.. ;)

No comments:

Post a Comment